Tipu Daya Syaitan
Bertemu lagi dalam siri penulisan tipu syaitan bah. ke-2. Sambungan dari artikel lepas.
4. Syaitan seringkali mendorong manusia melakukan amal yang baik secara sempurna.
Ia bertujuan supaya jika dilakukan sambil lewa nanti amalannya akan diperhatikan oleh orang lain dan akan dicela. Walau bagaimanapun, bagi orang yang dipelihara oleh Allah, sentiasa berhati-hati dan tidak mudah terpedaya dengan hasutan tersebut. Baginya ia sentiasa menyedari bahawa setiap amalan yang dilakukan ikhlas kerana Allah dan Allah sahaja yang akan menilai amalannya. Setiap amalan yang dilakukan bukanlah bertujuan untuk mendapatkan perhatian dan pujian daripada manusia.
5. Syaitan akan berusaha menimbulkan perasaaan dalam hati orang yang beramal seperti " Sesungguhnya aku telah mencapai darjat yang tinggi disebabkan amal soleh yang aku lakukan dan begitu juga dengan kecerdikan dan kesempurnaan yang telah aku miliki".
Namun begitu, berbeza pula bagi orang yang bertaqwa kepada Allah S.W.T, mereka beranggapan bahawa semua keagungan dan kesempurnaan itu adalah hak Allah S.W.T sahaja. Sebaliknya segala keistimewaan yang telah dianugerahkan kepadanya hanya milik Allah S.W.T. Allah sahaja yang berhak memberi taufiq dan hidayah kepadanya untuk mengerjakan segala perintah-Nya. Tanpa keredhaan dan kerahmatan dari Allah nescaya apa faedahnya amalan yang dilakukan jika hendak dibandingkan dengan nikmat yang tidak terhitung dikurniakan oleh Allah Yang Maha Kuasa. Mereka juga menginsafi terhadap dosa yang dilakukan.
6. Syaitan juga menggoda manusia dengan menegaskan bahawa "Bersungguh-sungguhlah kamu beramal dengan cara sirr (supaya tidak dilihat oleh mata manusia). Ini kerana Allah S.W.T jugalah yang akan menzahirkan amal yang dilakukan oleh kamu supaya diketahui oleh manusia. Sudah pastilah apabila manusia lain mengetahui tentang dirimu mereka akan mengatakan bahawa kamu adalah seorang hamba yang ikhlas kepada Allah S.W.T
Tujuan syaitan melakukan tindakan sedemikian ke atas manusia supaya timbul rasa riak (sombong, bangga). Bagi golongan yang mendapat perlindungan daripada Allah S.W.T akan menolak bisikan syaitan tersebut dengan menyatakan " Hai syaitan yang dilaknat, engkau masih lagi tidak berputus asa dalam usaha menyesatkanku dan merosakkan amalanku dengan pelbagai cara dan sekarang engkau berpura-pura untuk memperbaiki dan memperelokkan amalanku. Padahal engkaulah seteru aku yang nyata dan engkaulah yang merosakkan amalanku. Aku ini hanyalah hamba Allah dan kepadaNyalah aku berserah sama ada Allah akan mengangkat martabatku atau sebaliknya. Kepada Allah sahajalah aku mendambakan segala amalan yang dilakukan dan yang lebih penting lagi penilaian amalanku bukanlah urusan manusia."
7. Setelah syaitan gagal dengan pelbagai cara yang dilakukannya, syaitan akan menggoda manusia dengan mengatakan" Wahai manusia engkau tidak perlu bersusah payah lagi untuk melakukan amal ibadah kerana jika engkau telah ditakdirkan sejak azali lagi ditakdirkan sebagai manusia yang berjaya dan mendapat rahmat daripada Allah S.W.T, maka tidak ada benda yang boleh memudharatkan diri kamu. Sebaliknya jika engkau telah ditakdirkan oleh Allah S.W.T termasuk dalam golongan yang dilaknat dan dimurkai, maka tidak ada gunanya engkau bersusah payah melakukan amal ibadah. Sudah pastilah engkau termasuk dalam golongan sesat dan mendapat azab kebinasaan."
Meskipun begitu, bagi golongan yang beriman kepada Allah S.W.T mereka sentiasa menyedari dan menginsafi bahawa mereka hanyalah hamba kepada Allah S.W.T. Sebagai hamba mereka berkewajipan akur dengan segala titah perintah Allah. Allah yang Maha Mengetahui telah menentukan sesuatu mengikut Kudrat dan IradahNya. Amalan yang dilakukan tetap mendapat manfaat dan ganjaran. Sekiranya dimasukkan ke dalam neraka, padahal kami sentiasa taat, maka kami lebih menyukainya berbanding dengan dimasukkan ke dalam neraka sebagai ahli maksiat. Namun begitu, tidak akan berlaku sedemikian, kerana Allah S.W.T telah berjanji, dan janjinya pasti tepat dan benar. Allah S.W.T telah berjanji barangsiapa yang melakukan amal kebajikan maka ia akan mendapat ganjaran yang sewajarnya. Sesiapa yang meninggal dunia dalam keadaan beriman dan taat kepada Allah tidak akan dimasukkan ke dalam neraka dan pasti akan dimasukkan ke dalam syurga. Oleh yang demikan dapat difahami bahawa seseorang yang dimasukkan ke dalam syurga bukanlah kerana kekuatan amalannya tetapi kerana janji Allah S.W.T. Seperti Firman Allah S.W.T yang bermaksud:
"Segala puji bagi Allah yang telah memberi kenyataan janjiNya dengan syurga sepertimana yang kami kehendaki
(al-Zumar:74)
Oleh yang demikian, kepada para pembaca dan juga diri saya marilah sama-sama kita memohon perlindungan kepada Allah S.W.T daripada tipu daya dan hasutan syaitan yang dilaknat. Golongan syaitan tidak pernah berputus asa untuk menyesatkan golongan manusia supaya mengikuti jejak langkahnya dan menjadi pengikut setianya dalam neraka kelak. Wal`yazubillah min zalik.
Sebagai manusia yang mempunyai sifat-sifat kelemahan tidak ada daya upaya untuk kita melawan serangan bisikan syaitan yang sering menggoda ke lembah kesesatan. Oleh yang demikian marilah sama-sama kita berbanyak berdoa dan memohon rahmat dan keberkatan semoga kita dilindungi dari tipu daya syaitan dan manusia yang berniat jahat ke atas kita. Amin....
(Abu Rushd)
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera. Blog ini bertujuan untuk berkongsi ilmu dengan pembaca budiman tentang keindahan dan kemurnian ajaran Islam. Diharapkan percambahan ilmu ini dapat membantu para pembaca untuk memahami asas pengajaran agama Islam. Pembaca dialu-alukan untuk memberi sebarang komen bagi memantapkan lagi pengisian blog ini. sekian terima kasih- (Abu Rushd)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
`Ibrah Covid 19. Suluhan Daripada Perspektif Islam
Assalamualaikum dan bertemu lagi. sudah lama saya tidak menjengok ke blogni. Harini rasa bersemangat semula untuk melihat blog yang sudah se...
-
Bismillahirrahmanirrahim Assalamualaikum & Salam Sejahtera Bertemu lagi dalam ruangan blog. Rasanya sudah lama saya tidak memasukkan art...
-
Konsep Insan Islam sebagai ad-din yang ditaja oleh Allah bersifat universal merupakan sistem tatacara hidup yang sempurna dan komprehensif. ...
-
KEPENTINGAN KONSEP PERSAUDARAAN DALAM ISLAM Secara konseptualnya, persaudaraan (ukhuwwah) merupakan asas kepada kesatuan umat ma...
No comments:
Post a Comment