Selamat Datang

Selamat datang saya ucapkan kepada pengunjung ke blog ini. Ia bertujuan untuk mengeratkan lagi hubungan silaturrahim sesama saudara kita dan berkongsi sedikit ilmu berkaitan dengan Islam. Semoga ianya mendapat keberkatan dan keredhaan daripada Ilahi. Semoga mendapat manfaat daripadanya

About Me

My photo
Abu Rushd Penulis berkaitan isu-isu agama

Wednesday, October 7, 2009

Kesempurnaan Solat


Bismillallahirrahmanirrahim
Assalamualaikum dan salam sejahtera. Pada ruang kali ini, saya akn mengupas topik solat. Meskipun amalan tersebut sudah begitu sinonim dengan kita namun barangkali ada beberapa perkara lagi yang perlu diber perhatian. Semoga ia dapat memberi manfaat dan pengajaran kepada saya dan para pembaca amnya. Salam aidilfitri.


Pendahuluan

Solat ataupun sembahyang merupakan ibadah yang asasi kepada umat Islam. Ketentuan solat telah termaktub sebagai rukun Islam. Pensyari`atan ibadah ini adalah satu yang istimewa berbanding dengan ibadah lain seperti puasa, zakat, haji dan lain-lain lagi. Ini kerana, ibadah solat ini diterima secara langsung oleh Nabi Muhammad S.A.W daripada Allah S.W.T di langit pada peristiwa agung iaitu isra’ dan mi`raj. Justeru itu, ibadah ini adalah satu anugerah daripada Allah S.W.T kepada makhlukNya yang bernama manusia untuk dilaksanakan sebagai perintah wajib secara qatie sebagai tanda kesyukurannya kepada Pencipta Yang Maha Esa. Meskipun ungkapan solat sehari semalam lima begitu mudah untuk diungkapkan oleh lisan manusia, namun dari segi amali atau praktikalnya begitu sukar dan berat untuk dilaksanakannya. Dengan kata lain jika dilihat pada zahir ibadah solat tersebut, ia bukanlah mengambil masa yang lama untuk dilakukan barangkali mengambil masa lima hingga sepuluh minit untuk satu waktu.

Namun begitu, ia merupakan satu beban kepada manusia yang tidak pernah melakukan ataupun yang timbul tenggelam menunaikannya. Maka sebagai jalan mudahnya, ibadah tersebut diabaikan mungkin disebabkan sifatnya yang malas, mengambil mudah, tidak penting atau malu untuk melaksanakan kerana dibimbangi perlakuannya tersebut akan menjadi bahan bualan orang yang melihatnya disebabkan selama ini ia tidak pernah bersolat. Pada kemuncaknya, apabila sifat-sifat tercela yang dinyatakan tersebut sudah sebati dalam diri inidividu manusia, maka pada anggapannya ibadah solat bukanlah satu perkara penting dalam hidupnya dan tidak merasakan kebimbangan, keresahan dan kegerunan apabila ibadah tersebut ditinggalkan. Secara itlaknya, manusia yang bersifat sedemikian adalah termasuk dalam golongan yang diistilahkan sebagai al-khusran (rugi) dalam perundangan Islam dan akan dikenakan bala (ibtila’) dan azab yang pedih bukan sahaja di dunia tetapi yang lebih malang pada hari akhirat kelak. Ironinya, bagi golongan manusia yang melaksanakan tuntutan ibadah tersebut secara sempurna maka ia termasuk dalam golongan yang diistilahkan oleh Allah S.W.T sebagai al-falah (berjaya). Golongan inilah yang mendapat kebaikan di dunia dan akhirat (hasanah fi al-dunya wa al-akhirah).


Keistimewaan Solat

Secara nisbinya, ibadah solat bukan hanya dilaksanakan secara gerakan fizikal semata-mata seperti yang dilihat oleh mata kasar manusia tetapi ia perlu ditunaikan hak-hak tersebut secara sempurna dengan perasaan kehambaan dan keikhlasan yang dikhususkan kepada Allah S.W.T. Unjuran untuk memenuhi tuntutan tersebut direkodkan dalam sebuah hadith Nabi S.A.W yang dipetik dalam kitab Tanbih al-Ghafilin, bemaksud:

“Diriwayatkan oleh `Ubadah ibn Al-Shamit R.A, Nabi S.A.W bersabda: Allah mewajibkan ke atas hamba-hambaNya solat lima waktu. Barang siapa yang melakukan dengan sempurna dan tidak mengurangi hak-hak solat itu kerana menganggap sebagai remeh, maka di sisi Allah dijanjikan dengan Syurga, dan barang siapa yang meninggalkannya kerana beranggapan hak-hak tersebut sebagai remeh, maka di sisi Allah tidak ada janji , apabila Allah mengkehendakinya, maka Allah mengasihaninya dan apabila tidak, maka Allah akan menyiksanya.”

Berdasarkan kepada mafhum hadith tersebut, ia memberi satu pengajaran kepada manusia berkaitan hak yang perlu dilaksanakan oleh manusia dalam menunaikan solat. Di samping itu, manusia juga diberi peringatan berkaitan dengan ganjaran dan balasan yang disediakan oleh Allah terhadap pelaku yang menunaikan dan yang meninggalkan ibadah tersebut.

Keistimewaan ibadah solat diperihalkan oleh ulama’ sebagai satu ibadah yang mulia. Abu Laith al-Samarqandi menukilkan bahawa ketika Allah S.W.T menciptakan langit, ia dipenuhi dengan para Malaikat dan ditugaskan untuk menunaikan ibadah solat. Para Malaikat melaksanakannya tanpa henti walau sesaaat pun. Allah S.W.T telah memperuntukkan amalan khusus kepada para penduduk langit sehingga berlakunya hari Qiamat. Sebagai contoh, sebahagian daripada para Malaikat diperintahkan beribadah dalam keadaan berdiri, sekelompok yang lain pula berada dalam keadaan ruku’, ada pula dalam keadaan sujud. Sebahagian yang lain merendahkan sayapnya disebabkan tunduk kepada Keagungan Allah S.W.T, begitu juga dengan golongan ahli `Illiyin dan ahli `Arsy sentiasa berdiri mengelilingi `Arasy sambil bertasbih memuji Allah S.W.T dan memohon keampunan kepada manusia yang berada di bumi. Berasaskan kepada amalan tersebut, Allah S.W.T menghimpunkan metod ibadah yang dipraktikkan oleh penduduk langit (para Malaikat) dan dirumuskan dalam bentuk ibadah solat yang diklasifikasikan sebagai ibadah yang istimewa untuk golongan manusia yang beriman. Justeru itu, bagi golongan manusia yang melaksanakan tuntutan ibadah tersebut sebagai ganjarannya mereka akan memperolehi faedah-faedah yang diperolehi oleh para Malaikat dan yang lebih istimewa lagi manusia dianugerahkan dengan kitab al-Qur’an untuk bacaan dan juga sebagai perlembagaan yang agung.

Dalam pada itu, Sa`id meriwayatkan daripada Qatadah bahawa Nabi Danial A.S dalam member gambaran tentang sifat-sifat umat Nabi Muhammad S.A.W, beliau bersabda:

“Mereka menunaikan suatu solat, sekiranya ibadah tersebut dilaksanakan oleh umat Nabi Nuh A.S nescaya mereka tidak akan tenggelam. Di samping itu, jika ibadah tersebut dilaksanakan oleh kaum `Ad, barangkali mereka tidak ditimpa dengan angin taufan yang dahsyat, dan jika dilakukan oleh kaum Samud, sudah tentu mereka tidak ditimpa dengan seksaan suara keras bagaikan halilintar.” Kemudian Qatadah berkata: “Hendaklah kamu sentiasa menunaikan solat, kerana solat itu adalah sebaik-baik perilaku terhadap orang-orang yang beriman.”


Hak-Hak Yang Perlu Ditunaikan Dalam Solat

Sebagai persediaan kepada individu-individu untuk menunaikan solat, terdapat beberapa hak atau keperluan-keperluan yang perlu dipatuhi. Ketentuan ini ditegaskan oleh Abu Laith dalam teks penulisannya “Tanbih al-Ghafilin” berkaitan dengan garis panduan yang perlu diberi perhatian supaya ibadah solat tersebut dapat dilaksanakan secara sempurna. Perinciannya adalah seperti berikut:



1. Memiliki Ilmu Pengetahuan.

- Mengetahui perkara yang wajib dan sunat tentang ibadah yang dilaksanakan. Ini kerana, perlaksanaan solat tersebut tidak sah melainkan memiliki kefahaman dan pengetahuan perkara-perkara berkaitan.

- Mengetahui tentang amalan yang wajib dan sunat berkaitan dengan kaedah-kaedah mengambil wudu’.

- Mengetahui tipu daya Syaitan dalam solat dan bagaimana mengatasinya.

2. Wudu’ Yang Sempurna

- Membersihkan hati daripada perasaan dengki dan jahat.

- Membersihkan tubuh badan daripada dosa.

- Menbasuh anggota wudu’ secara sempurna tanpa membazirkan air.

3. Pakaian Yang Sempurna

- Pakaian dari sumber yang halal.

- Bersih daripada najis.

- Bersesuaian dengan Sunnah. Bukan mempunyai tujuan untuk bermegah-megah.

4. Memelihara Waktu

- Mengetahui waktu solat

- Telinga sentiasa mendengar suara azan.

- Hati sentiasa terikat dengan waktu solat.

5. Mengadap Kiblat

- Mengadap muka ke arah Kiblat

- Memfokuskan kepada Allah dengan sepenuh hati.

- Perasaaan khusu` dan merendah diri.

6. Niat

- Mengetahui solat yang ditunaikan

- Menyedari dengan cara berhati-hati berdiri di hadapan Allah dan Allah melihat apa yang dilakukan oleh hambaNya.
- Menginsafi bahawa Allah Maha Mengetahui apa yang ada pada hati manusia. Justeru itu, bersihkanlah hati daripada dilalaikan dengan aktiviti dunia.

7. Takbirat al-Ihram

- Takbir secara jazam dan penuh keyakinan.

- Mengangkat kedua tangan sejajar dengan paras dua telinga.

- Memfokuskan hati dan melafazkan tabir dengan kusyu`.

8. Berdiri Betul

- Mata memfokuskan kepada tempat sujud.

- Mengarahkan hati kepada Allah.

- Tidak mengalihkan pandangan mata kepada tempat lain.

9. Membaca Ayat al-Qur’an Secara Sempurna

- Membaca surah al-Fatihah dengan bacaan yang tartil.

- Memahami maksud yang dibaca.

- Mempraktikkan apa yang dibaca.

10. Ruku` Yang Sempurna

- Meluruskan tulang punggung.

- Meletakkan kedua tapak tangan pada lutut dan merenggangkan jari.

- Thumakninah dan membaca tasbih mengagungkan Allah.

11. Sujud Dengan Sempurna

- Meletakkan kedua tapak tangan sejajar dengan kedua telinga.

- Tidak meletakkan (menghamparkan) kedua lengan pada tempat sujud.

- Thumakninah dan membaca tasbih mengagungkan Allah.

12. Duduk Dengan Sempurna

- Duduk di atas tapak kaki kiri dan menegakkan tapak kaki kanan.

- Membaca tasyahud dengan penuh ta`zim dan berdoa untuk diri sendiri dan juga kepada seluruh kaum muslimin.

- Mengucapkan salam dengan sempurna merangkumi perkara-perkara seperti:

i- Niat memberi salam yang lahir dari lubuk hati semoga kesejahteraan itu dilimpahkan kepada para Malaikat dan termasuklah kepada orang yang berada di sebelah kanan dan kiri barisannya. Ketika memberi salam pandangannya tidak melebihi kedua bahu.

Dalam pada itu, kesempurnaan ibadah solat tersebut akan lebih sempurna sekiranya ia disertai dengan perasaan ikhlas kepada Allah S.W.T. Dengan kata lain, kesempurnaan ikhlas tersebut merangkumi tiga komponen seperti berikut:

- Melakukan solat kerana Allah

- Melaksanakan solat kerana taufiq daripda Allah.

- Memelihara solat kerana setiap individu akan berhadapan dengan Allah pada hari pembalasan kelak.


Kesimpulan

Justeru itu, setiap individu yang melaksanakan solat perlu mengetahui ibadah yang dikerjakannya dan memahami nilai hakikat pekerjaan tersebut. Ini kerana, apabila sesuatu amalan itu difahami secara lahiriah dan batiniah, secara implisitnya, akan lahirlah perasaaan syukur kepada Allah di atas segala nikmat dan hidayah yang telah dianugerahkan oleh Allah kepada manusia. Ini kerana, dalam ibadah solat terkumpul pelbagai rahsia kebaikan yang perlu dirungkai oleh manusia yang merangkumi pergerakan fizikal dan juga zikir. Oleh yang demikian, apabila ia dilaksanakan dengan penuh khusu` dan sempurna ia akan meninggalkan impak yang positif dalam proses pembersihan jiwa manusia daripada kekotoran batiniah yang boleh menjauhkan diri mereka dengan PenciptaNya. Sebaliknya, jika amalan tersebut tidak dijaga dengan sempurna maka nyatalah golongan tersebut adalah termasuk dalam kelompok manusia yang rugi di sisi Allah. Wal`iyazubillah.

-AbuRushd-