Selamat Datang

Selamat datang saya ucapkan kepada pengunjung ke blog ini. Ia bertujuan untuk mengeratkan lagi hubungan silaturrahim sesama saudara kita dan berkongsi sedikit ilmu berkaitan dengan Islam. Semoga ianya mendapat keberkatan dan keredhaan daripada Ilahi. Semoga mendapat manfaat daripadanya

About Me

My photo
Abu Rushd Penulis berkaitan isu-isu agama

Sunday, October 7, 2012

 
Bismillahirrahmanirrahim
 
Assalamualaikum dan salam sejahtera. Sudah lama rasanya sati tidak post apa2 artikel. Pada kali ini, saya akan menyentuh berkaitan bidang keusahawanan Isla. Semoga ianya bermanfaat kepada para pembaca. Insyaallah. Doakan kesejahteraan saya dan keluarga.
 
 
Aktiviti Keusahawanan Perlu Berpaksikan Kepada Agama
 
Pendahuluan
 
Islam sebagai petunjuk yang hakiki kepada seluruh kehidupan manusia sudah pasti  secara tipikalnya tidak mengabaikan setiap aspek komponen keperluan insan. Begitu juga dalam ruang lingkup keusahawanan, secara prinsipnya  ia digarap melalui asas-asas Islam yang banyak diperincikan dalam disiplin pengurusan Islam. Menerusi konsep pandang semesta Islam, kerangka asas keusahawanan yang merangkumi konseptual, teoritikal, ciri-ciri, metodologi dan teknik-teknik yang diaplikasi perlu selari dan mematuhi prinsip-prinsip Islam yang telah ditentukan oleh dalil wahyu. Selagi mana teori-teori dan konsep-konsep yang diperkenalkan oleh manusia tidak berkonfrantasi dengan falsafah syara` maka ianya boleh diterima pakai oleh golongan usahawan.          
           
            Oleh yang demikian dapat difahami bahawa sistem yang mendasari disiplin ilmu keusahawanan perlu dibangun berdasarkan kepada prinsip-prinsip syara` yang bertindak sebagai asas panduan atau batasan tingkah laku manusia dalam berinteraksi. Perhubungan interaksi yang dimaksudkan tersebut merangkumi hubungan yang bersifat individu atau yang berskala umum iaitu hubungan kemasyarakatan. Justeru itu, jelaslah bahawa dalam sistem keusahawanan prinsip-prinsipnya adalah berasaskan kepada pertimbangan wahyu yang berfungsi sebagai kodifikasi hukum untuk dipatuhi oleh manusia dalam setiap urusan transaksinya. Berdasarkan kepada penjelasan ini, ia bukanlah bermaksud bahawa syara` bersifat rigid dan eksklusif sehingga menutup ruang untuk berkompromi dengan penyertaan manusia dalam memahami ketentuan hukum. Sebaliknya, idea-idea pemikiran manusia masih lagi berperanan penting dalam disiplin keusahawanan Islam sebagai kesepaduan di antara hukum tabi`e dan hukum syari`e. Hakikatnya, harmonisasi di antara pemikiran manusia dan prinsip hukum telah membuktikan bahawa ajaran Islam bersikap toleransi dan dinamis yang bersesuaian dengan fitrah manusia.
 
 
Garis Panduan Islam Dalam Aktiviti Keusahawanan
 
            Islam bersikap optimis terhadap penganutnya untuk menggerakkan setiap aktiviti keusahawanan bagi memajukan diri dan masyarakat umumnya. Melalui penjanaan aktiviti tersebut, manusia dapat melangsungkan peradaban dalam suasana yang cukup sempurna atas fungsinya sebagai khalifah al-ard. Bagi mencapai objektif murni tersebut, Islam mempunyai mekanisme-mekanisme tertentu dalam menyediakan satu gagasan yang adil dan telus untuk menyelesai dan merungkai permasalahan mua`malah yang dihadapi oleh seluruh manusia. Atas premis yang mengisyaratkan bahawa Islam bersifat universal yang berorientasikan order tauhid rabbani, memberi mafhum yang jelas bahawa ajarannya mengutamakan konsep kesepaduan, kesatuan dan ketaatan yang mutlak kepada PenciptaNya yang Agung. Secara eksplisitnya, konseptual tauhid yang dimanifestasikan dalam ruang lingkup kehidupan insan akan menyerlahkan nilai-nilai  positif seperti konsep kesatuan ummah yang bertunjangkan kasih sayang, persaudaraan dan persamaan sosial tanpa membezakan semangat bangsa, wilayah, status sosial dan sebagainya. Berasaskan pegangan kukuh kepada kepercayaan akidah ini, ia dapat membantu menyediakan satu platform pembentukan sistem nilai dan institusi sosial sebagai asas untuk membentuk dan merealisasikan sebuah insitusi masyarakat yang berakauntabiliti. M.Umer Chapra dalam karyanya “Toward a Just Monetary System: a Discussion of Money, Banking and Monetary Policy in the Light of Islamic Teaching” menegaskan bahawa asas inilah yang dapat menyediakan satu suasana yang harmoni dalam masyarakat untuk menjalani kehidupan yang ideal di atas muka bumi ini.
 
Jika diamati dalam sesebuah masyarakat yang berpegang kukuh kepada norma-norma keimanan dan akhlak yang luhur, mereka bebas dari cara hidup yang tidak sihat seperti penyelewengan, pengurusan yang tidak cekap, penyalahgunaan kuasa, mengutamakan kepentingan diri, rasuah, menipu, tidak amanah, masalah sosial, hasad dengki dan sebagainya. Ini kerana, asas kesedaran tersebut adalah bersumberkan petunjuk daripada Allah S.W.T.
 
Menurut Sayyid al-Qutb dalam ”Fi Zilal al-Qur’an,” memberi ulasan bahawa satu ketika negara Amerika Syarikat pernah mengeluarkan satu polisi untuk kebaikan rakyatnya iaitu mengharamkan minuman keras kerana telah diketahui kesannya dari sudut saintifik dan sosial. Pelbagai usaha telah dilaksanakan melalui media massa dan agensi kerajaan untuk menjelaskan kemudharatan arak dan telah ditaksirkan kerajaan Amerika telah menghabiskan berpuluh juta untuk tujuan tersebut. Namun, polisi tersebut tidak berjaya memberi kesan kepada rakyatnya bahkan dalam tempoh penguatkuasaan undang-undang tersebut ramai pesalah yang telah ditahan dan dijatuhkan hukuman bunuh. Pada kemuncaknya menjelang tahun 1933, penguatkuasaan undang tersebut ditarik balik sepenuhnya oleh kerajaan Amerika kerana gagal memberi impak yang positif malah ia gagal untuk membendung gejala ketagihan arak dalam kalangan masyarakat. Ternyatalah undang-undang tajaan manusiawi gagal untuk menyelesaikan masalah kejiwaan yang dihadapi oleh manusia. Sebaliknya, bagi manusia yang beriman pula mereka sentiasa berwaspada dan bersikap apologetik terhadap kesalahan yang dilakukan kerana takut pada siksaan pedih yang bakal diterima pada hari pembalasan kelak.
 
Kesimpulan
 
          Ironinya, Islam bersikap terbuka terhadap umatnya dalam melangsungkan aktiviti keusahawanan bagi tujuan memakmurkan alam ini. Atas ruang yang diberikan ini, manusia perlu menunjukkan komitmen yang bersungguh-sungguh memanipulasikan segala sumber alam dan tenaga secara efisien untuk menjana sumber pengeluaran, dan mengembangkannya atau menjadi pelopor atau peneraju meneroka idea baru untuk kepentingan umum manusia. Namun begitu, setiap pendekatan, teknik, kaedah dan sebagainya dalam memajukan aktiviti tersebut perlu merujuk kepada panduan yang telah ditentukan oleh al-Qur’an dan al-Sunnah. Sebagai contoh, dalam skop kerangka mu`amalah Islam, aktiviti keusahawanan yang merangkumi idea, inovasi, penerokaan sesuatu potensi perlu bertepatan dengan prinsip syara` dan tidak berlawanan dengan  falsafah maqasid syar`iyyah.  Begitu juga dalam setiap bidang yang diusahakan yang merangkumi bidang perkhidmatan, perniagaan, ekonomi, pengurusan, kesenian, kebudayaan, akademik dan sebagainya perlu diimplemantasikan atas prinsip memelihara kemaslahatan umum dengan cara menunaikan hak-hak yang wajib ke atasnya seperti yang dinukilkan oleh Muhammad `Abd al-Mu`im al-Jamal dalam “Mausu`ah al-Iqtisad al-Islami.”  Inilah keadilan dan kedinamikan yang ada pada sistem keusahawanan Islam sentiasa menolak sebarang unsur kemudharatan yang boleh menjejaskan sistem tersebut dan  menghalang sebarang bentuk penindasan serta kezaliman kepada manusia amnya.
 
-Abu Rushd-


Sunday, June 17, 2012

kematian

Bismillahirramanirrahim

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera. Artikel kali ini memerihalkan berkaitan topik kematian yang dilalui oleh manusia. Selamat membaca, semoga mendapat manfaatnya Insyallah.


Pengenalan

            Maut, ajal dan mati adalah satu makna yang membawa kepada pengertian terpisahnya keberadaan roh yang mengisi setiap jasad manusia. Realitinya, topik berkaitan kematian kurang senang dan tidak digemari untuk dibicarakan. Namun, sudah menjadi Sunnatullah, sama ada enak di dengar oleh halwa telinga atau sebaliknya yang pasti semua yang hidup akan mengalami saat ini. Panggilan maut ini datang pada saat yang tidak diundang bahkan tidak akan diketahui oleh sesiapapun melainkan semuanya dalam perbendaharaan ilmu Allah S.W.T.

            Lazimnya, kematian merupakan satu perkara yang digeruni oleh setiap manusia. Ini kerana, kematian akan memutuskan kelazatan dan kenikmatan manusia untuk mengecapi kemewahan, keindahan, keseronokan, kepopularan dan kemasyhuran yang menjadi idaman dan impian dalam hidupnya. Atas kepentingan tuntutan dunia seperti yang dinyatakan tersebut ketentuan maut adalah pemutus hubungan manusia dengan dunia. Meskipun begitu, bagi sesetengah golongan manusia mengingati tentang kematian adalah satu perkara yang baik bagi melenturkan jiwa dan memenjarakan nafsunya kepada kehendak-kehendak yang boleh menjerumuskan dirinya kepada perkara yang keji. Golongan manusia sedemikian, sentiasa melazimkan diri dengan perkara-perkara kebajikan yang menjadi bekalan hidup apabila berhijrah ke satu destinasi yang menjadi tempat pengadilan bagi setiap tingkah laku manusia. Tuntutan kepada ketetntuan ini disentuh dalam sebuah hadith Nabi Muhammad S.A.W yang bermaksud:

          Wadhin ibn `Ata’ menukilkan bahawa Rasulullah S.A.W., jika merasakan adanya kelalaian pada orang-orang yang akan kematian, beliau mendatangi mereka dan mengetuk pintu mereka, lalu berucap tiga kali, “Wahai sekelian manusia, wahai pemeluk Islam! Telah datang kepada kamu semua kematian yang merupakan suatu kepastian. Dia datang dengan segala yang dibawanya. Dia membawa ketenangan, kedamaian dan berkat yang melimpah bagi para wali-Nya daripada golongan para penghuni akhirat, yang usaha dan keinginan mereka tertuju pada-Nya. Ingatlah, bahawa setiap orang yang berusaha pasti mempunyai tujuan dan tujuan setiap orang yang berusaha adalah kematian; baik ia mendahuluinya atau didahului olehnya.”

            Justeru, daripada mafhum hadith di atas dapat difahami bahawa setiap individu manusia akan melalui detik kematian. Kematian yang datang menziarahi manusia itu akan membawa perkhabaran yang gembira bagi golongan yang takut kepada Allah dan mengharapkan kepada keredaan-Nya. Golongan manusia yang mendapat jaminan keistimewaan tersebut sentiasa menginsafi terhadap tindakan yang dilakukan dan sentiasa mencari peluang untuk melakukan perkara-perkara kebajikan bagi mengisi ruang hidup yang ada. Individu yang bersifat sedemikian akan mendapat ganjaran yang istimewa daripada Pencipta-Nya Yang Maha Berkuasa.
Menginsafi Kematian

             Kontemplasi tentang soal kematian bukanlah satu perkara yang merugikan dan memudaratkan kehidupan manusia. Malah tindakan tersebut, adalah sebahagian daripada persediaan kepada setiap individu untuk melalui detik getir tersebut yang dikenali dengan saat sakarat al-maut (sakit saat hampir mati). Bahkan dengan mengingatinya juga akan menimbulkan perasaan insaf tentang hakikat kejadian manusia, objektif penciptaannya dan ujian yang sedang dihadapinya. Secara tidak langsung, ia dapat melembutkan jiwa yang keras dan melemahkan keinginan dan ketamakan nafsu serakah yang sentiasa mendorong  manusia bersifat kebinatangan.

            Al-Imam Jalaluddin as-Suyuti dalam karyanya “Syarh as-Sudur bi Syarh Hal al-mawta wa al-Qubur” menukilkan satu riwayat daripada al-Barrara’ ibn Azib menjelaskan bahawa:
“Kami pernah pergi Rasulullah S.A.W melawat jenazah seseorang daripada kaum Ansar. Kami mengikuti menghantarnya sampai ke kubur. Ketika jenazah dimasukkan dalam lubang kubur, Rasulullah S.A.W duduk dan kami ikut duduk di sekeliling baginda; seakan-akan di kepala kami terdapat burung sementara di tangan beliau terdapat tongkat yang dihentakkan di tanah. Baginda mengangkat kepalanya lalu berkata, “Mohonlah perlindungan daripada azab kubur.” Beliau mengulangi sabdanya sehingga dua ke tiga kali. Baginda berkata lagi, ”Jika seorang hamba mukmin akan meninggalkan dunia menuju ke akhirat, turunlah beberapa malaikat daripada langit dengan berwajah putih seakan-akan matahari dengan membawa kain kafan dan minyak dari syurga. Para malaikat ada pada jarak sejauh mata memandang daripada si mayat. Kemudian malaikat maut datang dan duduk di sisi kepalanya lalu mengucapkan, “Wahai jiwa yang tenang, keluarlah menuju pengampunan dan keredaan Allah.” Serentak dengan itu, keluarlah nyawa seperti mengalirnya air meskipun orang sekeliling tidak melihatnya. Roh tersebut dikafankan dan diletakkan minyak wangi oleh para malaikat. Wangian yang keluar tersebut seperti aroma minyak kastur yang paling wangi di atas muka bumi.

Kemudian para malaikat naik ke langit. Mereka tidak melintasi satu kumpulan malaikat melainkan disambut dengan pertanyaan, “Siapakah roh yang memiliki aroma yang wangi,?. Mereka menjawab, “fulan Ibn fulan, dengan panggilan nama yang paling indanh semasa hidup di bumi.” Apabila sampai di langit. Mereka meminta dibukakan pintu dan roh yang diiring tersebut dibawa melalui langit yang terendah sehinggalah ke tingkat langit yang tertinggi (langit ke-tujuh). Lantaran itu, Allah berfirman dengan mafhumnya, “Tulislah buku catatan hambaku di Illiyin (orang yang melakukan kebajikan) dan kembalikan roh tersebut ke tanah kerana sesungguhnya Aku menciptakannya dari tanah dan daripada tanah Aku kembalikannya serta Aku akan keluarkannya pada suatu hari nanti.”

            Berbeza pula dengan pula dengan individu yang ingkar dan kafir. Al-Barrara’ ibn Azib menjelaskan bahawa:
“Sekiranya manusia itu dikategorikan sebagai kafir meninggal dunia, akan datang kepadanya para malaikat dengan wajahnya yang hitam dengan pakaian bulu yang tebal. Mereka duduk di sekelilingnya pada jarak sejauh mata yang memandang. Malaikat maut yang datang dan menyeru kepada roh tersebut “Wahai jiwa yang buruk, keluarlah menuju pada kemurkaan dan kemarahan Allah,!”.


Apabila nyawa terpisah daripada jasad ia digambarkan seperti mencabut besi pemanggang daripada bulu yang basah. Roh yang dicabut tersebut di bawa naik ke langit. Para malaikat yang mengiringi roh tersebut melintasi kumpulan malaikat di langit melainkan ditanya, “Roh siapa yang buruk tersebut.” Mereka menjawab,”fulan bin fulan. Apabila sampai dipintu langit malaikat meminta izin supaya dibuka pintunya, namun permintaan tersebut tidak dibenarkan.” Peristiwa digambarkan melalui firman Allah S.W.T yang bermaksud:

Sekali-kali tidak akan dibukakan bagi mereka pintu-pintu langit.”
                                                                                       (al-`Araf:40)

Lantaran itu, Allah berfirman dengan mafhumnya, “Catatkan amalan orang itu di Sijjin (orang yang derhaka). Roh tersebut akan dicampakkan pada lapisan bumi yang paling bawah. Roh tersebut akan disiksa dengan azab yang pedih. Kuburnya akan disempitkan sehingga hancur tulang-belulang. Begitulah sebahagaian daripada balasan azab yang bakal dikenakan terhadap jiwa-jiwa manusia yang ingkar dan degil dengan perintah Allah S.W.T.

Kesimpulan
           
Secebis kisah daripada perjalanan manusia menuju ke alam barzakh sedikit-sebanyak akan memberi pengajaran kepada manusia untuk hidup taat kepada perintah Allah dan menyumbang bakti untuk kehidupan sejagat. Dalam situasi ini, berfikir dan bermuhasabah tentang kehidupan pasca-kematian bukanlah satu kisah dongeng yang direka untuk menakutkan manusia. Sebaliknya, ia adalah satu pengalaman ghaib yang bakal dilalui oleh setiap individu yang bernafas. Kehidupan seseorang insan akan lebih bermakna dan menguntungkan jika setiap saat yang ada  diisi sepenuhnya dengan amal kebajikan yang menjadi bekalan untuk sampai kepada terminal pengakhiran kehidupan. Keyakinan tentang pengalaman ghaib seperti diberitakan melalui al-Qur’an dan al-Sunnah hanya dapat diyakini oleh insan yang memiliki keyakinan yang jazam terhadap kekuasaan Allah S.W.T. Bagi individu yang tidak mempercayainya ataupun berfikiran waham (keraguan) sudah pasti kedangkalan akal fikiran tidak dapat menerima berdasarkan kerasionalan fikiran manusia yang terbatas. Justeru, bagi individu muslim yang beriman sepenuhnya bermuhasabah berkaitan kematian akan mendekatkan diri dengan Pencipta dan sentiasa mengharapkan rahmat dan pertolongan-Nya apabila sampai pada saat sakarat al-maut kelak. 

-Abu Rushd-

Thursday, April 26, 2012

Perlis homestay

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum dan salam sejahtera

Taman Aman Homestay





Kepada para pembaca yang sedang mencari homestay di  kawasan kangar. Para pembaca boleh menghubungi pemilik taman aman homestay. Kediaman ini dekat dengan kawasan bandar kangar,  unimap, uitm dan institut perguruan. Homestay ini terletak di Jalan Raja Muda, Kangar. Bayaran untuk satu malam hanya RM 150.00. Rumah tersebut dilengkapi dengan air cond. Jika para pembaca berminat boleh hubungi no. tel. 013 4448725 (Mie).

Terima kasih

Thursday, March 8, 2012

seminar ICOHSE 3


Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera

Dimaklumkan bahawa Pusat Teknologi Komunikasi  dan Pembangunan Insan, UniMAP akan menganjurkan seminar antrabangsa ICOHSE kali ke-3 .http://icohse2012.unimap.edu.my/

Para pembaca dijemput untuk menyertai seminar tersebut. Mohon untuk dihebahkan kepada para sahabat yang lain.
Terima kasih.

-Aburushd-
Posted by Picasa

Wednesday, February 29, 2012

Nilai-Nilai Murni



Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum

Bersua kembali dalam laman blog. Saya kira sudah lama tidak mennjengah dalam blog ini. Terima kasih kepada para pembaca yang sudi membaca penulisan saya. Jika ada sebarang komen sila kemukakan kepada saya sebagai penambahbaikan dalam usaha penyebaran ilmu. Semoga tulisan kali ini memberi manfaat yang sewajarnya kepada semua. Doakan kesejahteraan saya sekeluarga dan ketekunan dalam menuntut ilmu. Semoga ianya diterima oleh Allah sebagai amalan dan bekalan untuk di bawa di alam yang seterusnya. Penulisan kali ini cenderung kepada kepentingan nilai-nilai murni

Pembugaran Nilai-Nilai Murni Melalui Cermin Tasauf
Pengenalan
Fenomena yang berlaku di Barat seperti proses dekonstruksi secara tidak langsung telah menghakis benteng-benteng nilai tradisi klasik yang telah diasaskan oleh mahaguru moral yang terdahulu. Apa yang nyata ialah proses dekonstruksi tersebut telah menafikan nilai-nilai tradisi yang disampaikan oleh ajaran agama dan melalaikan manusia daripada mengikut petunjuk Ilahi. kekuatan dalil aqliah yang berasaskan kepada kajian ilmiah dijadikan sebagai dalil yang bersifat autoriti untuk menyangkal dalil-dalil yang bersumberkan naqliah yang berteraskan ajaran agama. Akibatnya, lahirlah golongan manusia yang mengagungkan akal pemikiran yang cenderung mempertikaikan ketentuan yang telah ditetapkan oleh agama dan menuntut hak-hak yang melampaui batasan kerangka syari`at. Justeru itu, apabila tingkah laku manusia diwarnai dengan nilai-nilai murni yang berorientasikan kepada pendekatan agama akan menjadi tunjang kekuatan yang telah terbukti mampu melahirkan peribadi-peribadi besar dalam sejarah peradaban manusia. Berasaskan kepada keterangan inilah nilai-nilai murni tidak boleh disisihkan daripada faktor pembangunan manusia dalam setiap aspek peri lakunya. Oleh yang demikian, nilai-nilai murni yang diutarakan oleh Islam perlu dihayati dan disuburkan dalam segenap ruang lingkup keperluan sebagai asas kesejahteraan manusia.

Pendekatan Tasauf

Secara umumnya, pelbagai pendekatan boleh diaplikasikan untuk membudayakan  nilai-nilai murni  secara teratur dan terancang. Sebagai contoh, penerapan nilai-nilai murni boleh dilaksanakan melalui jalan kerohanian pendekatan tasawuf. Al-Suhrawardi (1145-1234) dalam karyanya “`Awarif al-Ma`arif”, menukilkan maksud tasawuf sebagai individu yang sentiasa dalam usaha pembersihan (al-Tasfiyah). Ia sentiasa memelihara setiap waktu daripada kekotoran iaitu dengan membersihkan hati daripada kekotoran hawa nafsu. Individu tersebut sentiasa memelihara dirinya daripada terikat dengan kepatuhan yang mutlak kepada Allah S.W.T dan melaksanakan Sunnah.  Melalui kaedah pentarbiahan latihan kerohanian tersebut, sedikit sebanyak ia dapat memberi gambaran secara praktikal untuk merawat penyakit-penyakit batin yang tidak dapat didiagnosa oleh manusia iaitu penyakit hati yang cenderung kepada sifat-sifat tercela. Oleh yang demikian, kaedah tersebut memberi petunjuk kepada individu  untuk menjernihkan hati daripada semua sifat yang tidak sempurna. Penyucian jiwa tersebut adalah bertujuan untuk mendidik hati individu terbabit untuk mencapai darjat kesempurnaan iman dan akhlak. Penegasan ini disentuh oleh Ibn `Abidin dalam penulisannya ”Hasyiah Radd al-Muhtar `ala al-Dur Mukhtar Ibn `Abidin” dengan memberikan ulasan iaitu:




”......., dan sifat kerosakan jiwa lainnya seperti ilmu tentang sombong, kedekut, dengki, putar belit, marah permusuhan, kebencian, tamak, bakhil, sombong, takabur, khianat, bermuka-muka, menolak kebenaran, tipu muslihat, keras hati, panjang angan-angan, dan lainya yang telah dijelaskan dalam seperempat kebinasaaan sebagaimana yang terdapat dalam kitab Ihya’ `Ulum al-Din. Imam al-Ghazali (1058-1011) berkata: Seseorang itu janganlah melalaikan hal itu, seharusnya ia mempelajari dari rab` al-muhlikat apa yang diperlukan dirinya. Sedangkan menghilangkan semua itu adalah fardu `ain. Hal itu tidak dapat dilakukan melainkan harus mengetahui batasan-batasan, faktor-faktor, tanda-tanda, dan upaya penyembuhannya, kerana orang yang tidak mengetahui keburukan akan terjebak di dalamnya.”

            Berpandukan ulasan tersebut, dapat difahami bahawa kesucian dan ketenangan hati daripada nilai-nilai keji yang boleh mencacatkannya adalah merupakan kunci keselamatan kepada manusia di dunia dan akhirat. Antara kaedah yang boleh diaplikasikan untuk menyuburkan nilai-nilai murni dalam diri individu melalui pendekatan disiplin amalan-amalan sunat seperti dhikir, qiyam al-lail, puasa sunat, solat sunat (taubat, duha, rawatib, tahajjud dan sebagainya) serta pelbagai lagi amalan yang boleh mendekatkan jiwa manusia dengan PenciptaNya. Amalan-amalan yang dinyatakan tersebut adalah sebahagian daripada mekanisme ”mujahadah al-nafs” yang bertujuan untuk mendidik dan membersihkan hati daripada pelbagai kotoron nilai-nilai keji (madhmumah). Keterikatan hati manusia dengan nilai-nilai yang keji tersebut adalah didorong oleh nafsu shahwat yang boleh mengundang kepada kerosakan potensi insan dan hubungannya dengan Allah S.W.T. Menginsafi  situasi tersebut, Islam memberi petunjuk kepada manusia supaya sentiasa memberi komitmen yang tinggi kepada cara hidup beragama secara sempurna.

            Justeru itu, andaikata jiwa manusia dilingkari dengan nilai-nilai yang keji maka ia perlu berusaha untuk memperbaiki dan menyucikannya. Jika nilai-nilai tersebut tidak dapat diatasi nescaya sistem pertahanan dalamannya tidak mempunyai keupayaan untuk menahannya daripada tergelincir ke dalam lembah kejahatan dan kekejian. Melalui jalan latihan yang berorientasikan nilai-nilai kerohanian, manusia dapat menginsafi dan kembali jalan sederhana dalam memenuhi keperluan kerangka nilai-nilai murni yang luhur. Sebagai contoh, sifat pemurah merupakan sebahagian daripada nilai-nilai sederhana di antara dua sifat yang keji seperti boros dan kedekut. Dengan memberikan contoh tersebut, nilai-nilai murni yang terpuji adalah asas kepada pembentukan hati budi yang terpuji dan dipandang mulia dari perspektif akal manusia dan syariat seperti yang telah ditegaskan oleh Muhammad Jamal al-Din al-QasimiMau`izah al-Mu’minin min Ihya’ Ulum al-Din.” Dalam hal ini, al-Qur’an merekodkan bahawa

Maksudnya: “Orang yang bertaubat, yang beribadat, yang memuji Allah, yang mengembara, yang ruku', yang sujud, yang menyuruh berbuat kebaikan dan melarang daripada kejahatan, dan yang menjaga hukum-hukum Allah. Dan gembirakanlah orang yang beriman itu.”
                                                                                        (al-Taubah:112)

Menurut Ibn Kathir dalam ”Tafsir Ibn Kathir”, ayat tersebut merupakan pujian daripada Allah S.W.T terhadap hamba-hambaNya yang berkorban jiwa dan hartanya kepada Allah. Sebagai balasannya golongan ini disediakan dengan Syurga. Mereka ini disifatkan sebagai orang yang bertaubat, beribadah kepada Allah dengan perkataan dan perbuatan memujiNya, berpuasa, melakukan solat, dengan ruku` dan sujud. Di samping itu, mereka menyeru manusia yang lain ke jalan yang baik, melaksanakan amal ma`ruf dan nahi mungkar dan mempunyai pengetahuan tentang hukum-hukum Allah. Lantaran itu, Allah S.W.T menyatakan bahawa bergembiralah golongan manusia yang bersifat sedemikian. Selain itu, dalil daripada al-Sunnah juga turut  menyokong, seperti sabda Nabi Muhammad S.A.W. yang bermaksud:[1]

Daripada Abu Hurairah R.A katanya: Nabi S.A.W bersabda” Allah berfirman: ”Aku menurut sangkaan hambaKu terhadap Aku dan Aku bersama dengan dia, apabila dia mengingati (menyebut) Aku. Apabila ia menyebut Aku dalam hatinya, nescaya aku menyebutnya pula sendiriku. Dan kalau dia menyebutKu di hadapan orang ramai, nescaya Aku menyebutnya pula di hadapan orang ramai yang lebih baik. Kalau dia mendekatkan diri kepadaKu sejengkal, nescaya aku mendekatkan kepadanya sehasta. Dan kalau dia mendekatkan diri kepadaKu sehasta, nescaya Aku mendekatinya sedepa. Dan kalau dia datang kepadaKu berjalan biasa, nescaya Aku datang kepadanya berlari.”
                                                                                                       (Muttafaq`alayh)                                                                                                                                              

Kesimpulan

            Berdasarkan kepada al-Qur’an dan al-Sunnah tersebut dapat difahami bahawa, manusia yang dilengkapi dengan nilai-nilai murni menurut kerangka Islam akan menjadi insan baik hati budinya dan diredhai oleh Allah S.W.T. Tidak diragukan lagi bahawa nilai-nilai murni yang dihayati oleh individu manusia akan memantulkan cahaya kebaikan dan kebajikan yang memberi manfaat kepada persekitaran sekelilingnya. Justeru itu, penghayatan nilai-nilai murni tersebut memerlukan satu bentuk latihan kerohanian bagi melembut dan membentuk jiwa manusia menurut acuan yang ditentukan oleh agama.

-Sekian- Abu Rushd


[1] Abu `Abd Allah Muhammad Isma`il bin Ibrahim al-Bukhari (1981) dlm Kitab Tauhid, Sahih al-Bukhari, jil. 3, h:467.