Wednesday, February 29, 2012

Nilai-Nilai Murni



Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum

Bersua kembali dalam laman blog. Saya kira sudah lama tidak mennjengah dalam blog ini. Terima kasih kepada para pembaca yang sudi membaca penulisan saya. Jika ada sebarang komen sila kemukakan kepada saya sebagai penambahbaikan dalam usaha penyebaran ilmu. Semoga tulisan kali ini memberi manfaat yang sewajarnya kepada semua. Doakan kesejahteraan saya sekeluarga dan ketekunan dalam menuntut ilmu. Semoga ianya diterima oleh Allah sebagai amalan dan bekalan untuk di bawa di alam yang seterusnya. Penulisan kali ini cenderung kepada kepentingan nilai-nilai murni

Pembugaran Nilai-Nilai Murni Melalui Cermin Tasauf
Pengenalan
Fenomena yang berlaku di Barat seperti proses dekonstruksi secara tidak langsung telah menghakis benteng-benteng nilai tradisi klasik yang telah diasaskan oleh mahaguru moral yang terdahulu. Apa yang nyata ialah proses dekonstruksi tersebut telah menafikan nilai-nilai tradisi yang disampaikan oleh ajaran agama dan melalaikan manusia daripada mengikut petunjuk Ilahi. kekuatan dalil aqliah yang berasaskan kepada kajian ilmiah dijadikan sebagai dalil yang bersifat autoriti untuk menyangkal dalil-dalil yang bersumberkan naqliah yang berteraskan ajaran agama. Akibatnya, lahirlah golongan manusia yang mengagungkan akal pemikiran yang cenderung mempertikaikan ketentuan yang telah ditetapkan oleh agama dan menuntut hak-hak yang melampaui batasan kerangka syari`at. Justeru itu, apabila tingkah laku manusia diwarnai dengan nilai-nilai murni yang berorientasikan kepada pendekatan agama akan menjadi tunjang kekuatan yang telah terbukti mampu melahirkan peribadi-peribadi besar dalam sejarah peradaban manusia. Berasaskan kepada keterangan inilah nilai-nilai murni tidak boleh disisihkan daripada faktor pembangunan manusia dalam setiap aspek peri lakunya. Oleh yang demikian, nilai-nilai murni yang diutarakan oleh Islam perlu dihayati dan disuburkan dalam segenap ruang lingkup keperluan sebagai asas kesejahteraan manusia.

Pendekatan Tasauf

Secara umumnya, pelbagai pendekatan boleh diaplikasikan untuk membudayakan  nilai-nilai murni  secara teratur dan terancang. Sebagai contoh, penerapan nilai-nilai murni boleh dilaksanakan melalui jalan kerohanian pendekatan tasawuf. Al-Suhrawardi (1145-1234) dalam karyanya “`Awarif al-Ma`arif”, menukilkan maksud tasawuf sebagai individu yang sentiasa dalam usaha pembersihan (al-Tasfiyah). Ia sentiasa memelihara setiap waktu daripada kekotoran iaitu dengan membersihkan hati daripada kekotoran hawa nafsu. Individu tersebut sentiasa memelihara dirinya daripada terikat dengan kepatuhan yang mutlak kepada Allah S.W.T dan melaksanakan Sunnah.  Melalui kaedah pentarbiahan latihan kerohanian tersebut, sedikit sebanyak ia dapat memberi gambaran secara praktikal untuk merawat penyakit-penyakit batin yang tidak dapat didiagnosa oleh manusia iaitu penyakit hati yang cenderung kepada sifat-sifat tercela. Oleh yang demikian, kaedah tersebut memberi petunjuk kepada individu  untuk menjernihkan hati daripada semua sifat yang tidak sempurna. Penyucian jiwa tersebut adalah bertujuan untuk mendidik hati individu terbabit untuk mencapai darjat kesempurnaan iman dan akhlak. Penegasan ini disentuh oleh Ibn `Abidin dalam penulisannya ”Hasyiah Radd al-Muhtar `ala al-Dur Mukhtar Ibn `Abidin” dengan memberikan ulasan iaitu:




”......., dan sifat kerosakan jiwa lainnya seperti ilmu tentang sombong, kedekut, dengki, putar belit, marah permusuhan, kebencian, tamak, bakhil, sombong, takabur, khianat, bermuka-muka, menolak kebenaran, tipu muslihat, keras hati, panjang angan-angan, dan lainya yang telah dijelaskan dalam seperempat kebinasaaan sebagaimana yang terdapat dalam kitab Ihya’ `Ulum al-Din. Imam al-Ghazali (1058-1011) berkata: Seseorang itu janganlah melalaikan hal itu, seharusnya ia mempelajari dari rab` al-muhlikat apa yang diperlukan dirinya. Sedangkan menghilangkan semua itu adalah fardu `ain. Hal itu tidak dapat dilakukan melainkan harus mengetahui batasan-batasan, faktor-faktor, tanda-tanda, dan upaya penyembuhannya, kerana orang yang tidak mengetahui keburukan akan terjebak di dalamnya.”

            Berpandukan ulasan tersebut, dapat difahami bahawa kesucian dan ketenangan hati daripada nilai-nilai keji yang boleh mencacatkannya adalah merupakan kunci keselamatan kepada manusia di dunia dan akhirat. Antara kaedah yang boleh diaplikasikan untuk menyuburkan nilai-nilai murni dalam diri individu melalui pendekatan disiplin amalan-amalan sunat seperti dhikir, qiyam al-lail, puasa sunat, solat sunat (taubat, duha, rawatib, tahajjud dan sebagainya) serta pelbagai lagi amalan yang boleh mendekatkan jiwa manusia dengan PenciptaNya. Amalan-amalan yang dinyatakan tersebut adalah sebahagian daripada mekanisme ”mujahadah al-nafs” yang bertujuan untuk mendidik dan membersihkan hati daripada pelbagai kotoron nilai-nilai keji (madhmumah). Keterikatan hati manusia dengan nilai-nilai yang keji tersebut adalah didorong oleh nafsu shahwat yang boleh mengundang kepada kerosakan potensi insan dan hubungannya dengan Allah S.W.T. Menginsafi  situasi tersebut, Islam memberi petunjuk kepada manusia supaya sentiasa memberi komitmen yang tinggi kepada cara hidup beragama secara sempurna.

            Justeru itu, andaikata jiwa manusia dilingkari dengan nilai-nilai yang keji maka ia perlu berusaha untuk memperbaiki dan menyucikannya. Jika nilai-nilai tersebut tidak dapat diatasi nescaya sistem pertahanan dalamannya tidak mempunyai keupayaan untuk menahannya daripada tergelincir ke dalam lembah kejahatan dan kekejian. Melalui jalan latihan yang berorientasikan nilai-nilai kerohanian, manusia dapat menginsafi dan kembali jalan sederhana dalam memenuhi keperluan kerangka nilai-nilai murni yang luhur. Sebagai contoh, sifat pemurah merupakan sebahagian daripada nilai-nilai sederhana di antara dua sifat yang keji seperti boros dan kedekut. Dengan memberikan contoh tersebut, nilai-nilai murni yang terpuji adalah asas kepada pembentukan hati budi yang terpuji dan dipandang mulia dari perspektif akal manusia dan syariat seperti yang telah ditegaskan oleh Muhammad Jamal al-Din al-QasimiMau`izah al-Mu’minin min Ihya’ Ulum al-Din.” Dalam hal ini, al-Qur’an merekodkan bahawa

Maksudnya: “Orang yang bertaubat, yang beribadat, yang memuji Allah, yang mengembara, yang ruku', yang sujud, yang menyuruh berbuat kebaikan dan melarang daripada kejahatan, dan yang menjaga hukum-hukum Allah. Dan gembirakanlah orang yang beriman itu.”
                                                                                        (al-Taubah:112)

Menurut Ibn Kathir dalam ”Tafsir Ibn Kathir”, ayat tersebut merupakan pujian daripada Allah S.W.T terhadap hamba-hambaNya yang berkorban jiwa dan hartanya kepada Allah. Sebagai balasannya golongan ini disediakan dengan Syurga. Mereka ini disifatkan sebagai orang yang bertaubat, beribadah kepada Allah dengan perkataan dan perbuatan memujiNya, berpuasa, melakukan solat, dengan ruku` dan sujud. Di samping itu, mereka menyeru manusia yang lain ke jalan yang baik, melaksanakan amal ma`ruf dan nahi mungkar dan mempunyai pengetahuan tentang hukum-hukum Allah. Lantaran itu, Allah S.W.T menyatakan bahawa bergembiralah golongan manusia yang bersifat sedemikian. Selain itu, dalil daripada al-Sunnah juga turut  menyokong, seperti sabda Nabi Muhammad S.A.W. yang bermaksud:[1]

Daripada Abu Hurairah R.A katanya: Nabi S.A.W bersabda” Allah berfirman: ”Aku menurut sangkaan hambaKu terhadap Aku dan Aku bersama dengan dia, apabila dia mengingati (menyebut) Aku. Apabila ia menyebut Aku dalam hatinya, nescaya aku menyebutnya pula sendiriku. Dan kalau dia menyebutKu di hadapan orang ramai, nescaya Aku menyebutnya pula di hadapan orang ramai yang lebih baik. Kalau dia mendekatkan diri kepadaKu sejengkal, nescaya aku mendekatkan kepadanya sehasta. Dan kalau dia mendekatkan diri kepadaKu sehasta, nescaya Aku mendekatinya sedepa. Dan kalau dia datang kepadaKu berjalan biasa, nescaya Aku datang kepadanya berlari.”
                                                                                                       (Muttafaq`alayh)                                                                                                                                              

Kesimpulan

            Berdasarkan kepada al-Qur’an dan al-Sunnah tersebut dapat difahami bahawa, manusia yang dilengkapi dengan nilai-nilai murni menurut kerangka Islam akan menjadi insan baik hati budinya dan diredhai oleh Allah S.W.T. Tidak diragukan lagi bahawa nilai-nilai murni yang dihayati oleh individu manusia akan memantulkan cahaya kebaikan dan kebajikan yang memberi manfaat kepada persekitaran sekelilingnya. Justeru itu, penghayatan nilai-nilai murni tersebut memerlukan satu bentuk latihan kerohanian bagi melembut dan membentuk jiwa manusia menurut acuan yang ditentukan oleh agama.

-Sekian- Abu Rushd


[1] Abu `Abd Allah Muhammad Isma`il bin Ibrahim al-Bukhari (1981) dlm Kitab Tauhid, Sahih al-Bukhari, jil. 3, h:467.

No comments:

`Ibrah Covid 19. Suluhan Daripada Perspektif Islam

Assalamualaikum dan bertemu lagi. sudah lama saya tidak menjengok ke blogni. Harini rasa bersemangat semula untuk melihat blog yang sudah se...