Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum dan bertemu lagi siri penulisan lain. Doakan saya supaya Allah memberi kekuatan kepada saya untuk untuk terus berkarya dalam menyebarkan ilmu. Semoga usaha kecil ini diterima olehNya sebagai ibadah. Artikel ini pernah saya siarkan dalam akhbar harian.
Budaya Infaq
Pengenalan
Dalam kerangka falsafah pembangunan insan, orientasi material yang bersifat
tunggal bukanlah dianggap sebagai kemuncak kepada kebahagian insan. Sebaliknya
objektif pembangunan insan adalah untuk melahirkan individu yang dapat memberi
manfaat atau sumbangan untuk memperkasakan agama, ekonomi dan institusi
masyarakat amnya. Golongan inilah yang menjadi sebahagian daripada kelompok
masyarakat yang menjadi pemangkin untuk menggerakkan sosio ekonomi masyarakat
dan negara amnya. Berasaskan penjelasan tersebut ia memberi satu gambaran umum
kepada setiap insan yang berfungsi sebagai pemegang amanah supaya memikul
tanggungjawab tersebut sebagaimana yang dikehendaki oleh syara`. Tanpa panduan
dan pedoman daripada agama, manusia untuk akan bertindak berasaskan kepada
pertimbangan keterbatasan akal dan hawa nafsu semata-mata.
Tuntutan Untuk Berinfaq
Sebagai insan, setiap individu dituntut untuk melazimkan diri menginfaqkan sebahagian daripada hartanya pada jalan Allah S.W.T. Penekanan kepada faktor ini
adalah berasaskan kepada tuntutan al-Qur’an dan al-Sunnah. Secara tersiratnya, syara`
menyeru kepada umat manusia supaya menginfaqkan sebahagian daripada harta kepada golongan
tertentu supaya pengagihan kitaran harta kekayaan dapat dilakukan secara adil
dan saksama dalam institusi masyarakat. Tuntutan tersebut disyari`atkan adalah
bertujuan untuk mengelakkan berlakunya
monopoli dan penimbunan harta dalam kelompok individu tertentu. Dalam masa yang
sama juga, amalan ini dapat membersihkan jiwa manusia daripada sifat-sifat yang
keji seperti bakhil, individualistik, tamak dan sebagainya.
Maksudnya: ”Bukanlah suatu kebajikan itu kamu menghadapkan muka ke timur
dan barat, tetapi kebajikan itu ialah berimannya seseorang kepada Allah, dan hari akhirat, segala malaikat,
segala Kitab, dan sekalian Nabi; dan mendermakan harta yang dicintainya kepada
kerabatnya, anak-anak yatim, orang miskin, orang yang musafir, orang yang
meminta-minta, orang yang memerdekakan hamba abdi; orang mendirikan sembahyang,
serta mengeluarkan zakat, dan perbuatan orang yang menyempurnakan janjinya
apabila mereka berjanji orang yang sabar dalam masa kesempitan, dan kesakitan,
dan dalam peperangan. Mereka itulah orang yang benar; dan mereka itulah
juga orang yang bertakwa.”
(al-Baqarah: 177)
Dalam persoalan perhubungan
dengan masyarakat berdasarkan ayat tersebut, Ibn Kathir (1301-1372/774H)
berpendapat setiap individu muslim juga dituntut supaya melakukan
sedekah kepada golongan yang memerlukan, mengeluarkan zakat dan menginfaqkan sebahagian
daripada harta mereka ke jalan Allah S.W.T. Beliau telah memetik sebuah hadith yang bermaksud:
“Abu Hurairah R.A mengatakan
bahawa Rasulullah S.A.W bersabda: Sedekah yang paling utama ialah anda
bersedekah ketika anda sihat, rasa kedekut, masih mengharap untuk menjadi kaya
dan takut miskin.”
(Bukhari)
(Wahbah al-Zuhayli, 1991) pula mengutarakan pandangannya bahawa firman Allah S.W.T yang bermaksud ”dan mendermakan
harta yang dicintainya” merujuk kepada sedekah yang dikategorikan wajib
iaitu zakat dan terangkum juga bagi maksud sedekah sunat. Beliau mengemukakan
hujah yang disokong oleh al-Jassas
menyatakan bahawa ayat ini tidak menyentuh persoalan sedekah wajib. Sebaliknya,
ia mengandungi objektif untuk
menggalakkan aktiviti sedekah dan menjanjikan ganjaran kepada para
pelakunya. Alasan yang dikemukakan kerana perbuatan yang dimaksudkan dalam ayat
tersebut secara literalnya diistilahkan sebagai kebajikan. Oleh yang demikian,
ayat tersebut mengandungi konotasi makna yang boleh difahami sebagai sedekah
wajib (zakat) dan juga sedekah sunat. Secara keseluruhannya, individu yang
patuh kepada tuntutan ayat tersebut disifatkan sebagai melaksanakan segala
kebajikan. Sebagai penghormatannya, Allah S.W.T mengklasifikasikan golongan manusia
tersebut sebagai individu yang jujur dan bertaqwa.
Dalam keterangan ayat yang lain, Allah S.W.T turut menegaskan bahawa menafkah
atau menginfaqkan harta pada
jalanNya adalah seperti mewujudkan jaringan interaksi dengan Allah S.W.T dalam urusan transaksi yang
dijalankan oleh pelakunya. Sebagai ganjarannya, manusia yang melakukan tuntutan
infaq akan dinilai
sebagai individu yang berjaya di sisi Allah S.W.T.
Kenyataan ini berdasarkan kepada firman Allah S.W.T iaitu:
Maksudnya: ”Maka berikanlah kepada kerabatmu, dan orang miskin serta
orang musafir akan haknya masing-masing; pemberian yang demikian adalah baik
bagi orang yang bertujuan memperoleh keredhaan Allah, dan mereka itulah orang yang berjaya.”
(Al-Rum:38)
Mengulas ayat
tersebut, Ibn Kathir
(1301-1372/774H) menjelaskan bahawa golongan manusia yang mempraktikkan tuntutan
dalam ayat tersebut adalah mereka yang sentiasa mengharapkan keredaan Allah S.W.T. Justeru itu, manusia yang
bersifat sedemikian dikategorikan sebagai golongan yang berjaya di dunia dan
akhirat.
Maksudnya: “Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai kebajikan (yang
sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian dari apa yang kamu sayangi. Dan
sesuatu apa jua yang kamu dermakan maka sesungguhnya Allah mengetahuinya.”
(Ali-`Imran: 92)
“Bagus-bagus, itulah harta
yang menguntungkan. Aku telah mendengar kata-katamu dan aku berpendapat hendaklah engkau berikan kepada kaum keluarga
kamu. Maka beliau melakukan sedekah tersebut seperti yang diperintahkan oleh
Nabi.”
Berasaskan pandangan yang telah dikemukakan ole Ibn Kathir (1301-1372/774H) jelas menunjukkan bahawa
individu yang melaksanakan tuntutan infaq
akan mendapat keutamaan yang tinggi daripada Allah
S.W.T.
Di
samping dalil-dalil daripada al-Qur’an, didapati banyak hadith yang menyeru manusia melaksanakan aktiviti infaq sebagai memenuhi
tuntutan syara`. Di antara keterangan hadith yang berkaitan dengan infaq seperti sabda Nabi
S.A.W yang bermaksud:
Daripada `Abd Allah ibn Umar R.A, katanya ketika Rasulullah
S.A.W sedang berada di atas mimbar, Baginda menjelaskan perihal sedekah
(`iffah) dan perihal meminta-minta. Sabda Baginda: Tangan yang di atas lebih
baik daripada tangan yang di bawah. Tangan di atas iaitu tangan yang memberi
dan tangan yang di bawah iaitu tangan yang meminta.
(al-Bukhari)
Dalam keterangan hadith yang lain yang bermaksud:
Daripada Abu Hurairah R.A berkata: Nabi S.A.W
bersabda: ”Setiap hari turun dua orang malaikat dari langit, salah seorang
daripadanya berkata, Ya Allah! Gantikanlah bagi setiap orang yang pemurah keranaMu. Dan yang lain
berkata, Ya Allah! Musnahkanlah harta setiap orang yang menahan-nahan (hartanya daripada
bersedekah).”
(al-Bukhari)
Berdasarkan kepada dalil-dalil daripada al-Qur’an dan al-Sunnah yang telah dinyatakan
tersebut jelaslah bahawa syara` menuntut kepada manusia melakukan aktiviti infaq untuk dikongsikan lebihan harta manusia untuk
disumbangkan kepada institusi masyarakat. Tambahan lagi sebagai individu
muslim, ia menjadi kewajipan untuk melakukan infaq sama ada yang berbentuk wajib seperti zakat
dan juga yang berbentuk sunat seperti bersedekah. Dengan cara menginfaqkan hartanya pada jalan Allah secara tidak langsung individu terbabit
telah melakukan satu pelaburan yang paling menguntungkan bukan sahaja di dunia
tetapi yang lebih penting di alam akhirat kelak. Ini kerana, individu tersebut
telah melaksanakan tangungjawab sosialnya di dunia ini terhadap insan yang
memerlukan dan juga membahagiakan orang lain dalam memenuhi keperluan asas
mereka. Sehubungan dengan itu, tuntutan Islam ke atas individu muslim
melakukan infaq terhadap orang lain
adalah bertujuan supaya umat Islam mengutamakan kepentingan umum berbanding
dengan keperluan peribadi.
Menurut kajian yang dilakukan oleh Mushtaq Ahmad dalam karyanya ” Business Ethics in Islam”, beliau mendapati keterangan-keterangan
yang ada dalam al-Qur’an
menunjukkan tidak kurang daripada sebelas ayat yang menyeru kepada golongan muslim
supaya mengorbankan harta dan jiwa mereka pada jalan Allah. Apa yang menariknya, al-Qur’an menarik perhatian manusia dengan
menegaskan harta terlebih dahulu daripada terma jiwa. Secara impilisitnya, ia
memberi satu indikasi yang jelas kepada manusia bahawa menurut kaca mata
al-Qur’an
mengorbankan yang pertama lebih diutamakan daripada yang kedua seperti yang
dinukilkan oleh al-Tahawi dalam bukunya ”al-Iqtisad
al-Islami Madhhaban wa Nizaman.” Keterangan inilah yang mengukuhkan lagi bahawa infaq merupakan aktiviti yang diberi penekanan dalam
Islam. Oleh yang demikian, segala perolehan atau pendapatan yang didapati akan
menjadi nikmat dan kebajikan jika ia disalurkan ke arah jalan-jalan kebaikan.
Kesimpulan
No comments:
Post a Comment