Assalamualaikum dan bertemu lagi. sudah lama saya tidak menjengok ke blogni. Harini rasa bersemangat semula untuk melihat blog yang sudah sekian lama ditinggalkan. Doakan saya untuk terus beistiqamah berdakwah melalui pena penulisan ini untuk manfaat bersama. Semoga dengan apa yang dilakukan ini mendapat ganjaran yang sewajarnya daripada Allah S.W.T. Semoga Allah S.W.T mengampunkan dosa kita semua. 💪💪💪💪
COVID
19.
Pandemik
ini telah membawa kepada gangguan sosioekonomi global, penangguhan dan
pembatalan acara kebudayaan, keagamaan dan kesukanan serta ketakutan yang
meluas dalam kekurangan bekalan telah mendorong pembelian panik. Teori maklumat
palsu dan teori konspirasi mengenai virus itu telah tersebar secara meluas dalam
talian, dan terdapat insiden xenofobia dan perkauman terhadap orang Cina dan
orang Timur atau Asia Tenggara lain. Justeru, tindakan kerajaan membendung penularan
COVID-19 melalui Perintah Kawalan Pergerakan dan pelbagai kempen kesihatan yang
bermula awal tahun ini bertepatan dengan ajaran agama.
Meskipun
Covid 19, merupakan petaka atau bala kepada umat manusia,namun di sana adanya `ibrah
yang perlu diteladani dan diinsafi oleh setiap individu atas kapasitinya sebagai
seorang hamba. Di sebalik tularnya Novel Coronavirus 2019 yang ditakuti akan
mengancam umat manusia, umat Islam
sebenarnya harus mengingati kembali apa yang terjadi terhadap umat manusia
terdahulu yang ingkar kepada ajaran Allah S.W.T. Bagaimana kaum Nabi Luth yang
Allah terbalikkan bumi ke atas mereka, bagaimana kaum Nabi Nuh ditimpa banjir
besar yang menenggelamkan bumi, semuanya kerana mereka ingkar pada ajaran Allah
S.W.T. Malangnya, apabila Allah menurunkan bala dengan tujuan memberi
peringatan supaya manusia menginsafi perbuatannya, namun manusia berterusan
melakukan kerosakan dan melawan Allah. Mereka mencabar orang beriman dengan
kerosakan yang dibuat langsung tidak menjejaskan kehidupan mereka, bahkan
kehidupan mereka semakin baik dan dilimpahi kesenangan. Sungguh malang manusia
yang bertindak sedemikian. Oleh yang demikian, apabila sesuatu tindakan itu
berasaskan kepada nafsu maka berlakulah sesuatu di luar batasan. Malah boleh
mendorong kepada perlakuan-perlakuan songsang, tidak berintegriti, dan menyalahi
sunnah alami. Bahkan perbuatan, tindakan yang diklasifikasikan sebagai dosa
dianggap sesuatu yang fitrah dan selari dengan hak asasi kemanusiaan.
Perkataan
bala’ dan pecahannya di dalam al-Qur;an direkodkan sebanyak 38 kali. Setiap
ayat memiliki perinciannya yang tertentu. Bala itu menurut bahasanya juga
bermaksud ujian.Terdapat dua ayat yang menjelaskan fungsi bala Allah ini secara
umum iaitu pertama dengan merujuk kepada bala baik dan buruk. Seringkali
apabila menyebut perkataan bala’, yang dibayangi hanyalah keburukan dan terkena
pada orang jahat atau tidak beriman. Walhal bala’ ini boleh jadi pada kedua-dua
golongan baik dan buruk, beriman atau tidak, begitu juga bala’ boleh datang
dalam bentuk kesenangan mahupun keburukan. Boleh sahaja terjadi keduanya
menurut kehendak Allah Taala. Kedua, iaitu elemen peringatan. Penegasan ini
dijelaskan oleh Allah S.W.T bahawa fungsi bala, samada baik mahupun buruk,
mengenai orang beriman atau orang kufur, bertujuan mengembalikan manusia kepada
Allah. Berasaskan kepada ketetapan ini, Nabi S.A.W telah memuji orang beriman, apabila diuji dengan
keduanya pun tetap kembali pada Tuhan. Sabda Nabi S.A.W maksudnya;
“Adalah
amat mengkagumkan bagi orang yang beriman, kerana seluruh kehidupannya sentiasa
dalam keadaan baik. Keadaan ini tidak akan dirasai kecuali orang beriman
sahaja. Sekiranya dia mendapat kesenangan, dia bersyukur maka ia baik baginya.
Sekiranya dia ditimpa kesusahan, dia bersabar maka ia juga baik baginya.”
(Riwayat Muslim)
Apresiasi
manusia tentang faktor alamiah menyebabkan manusia rasa terusik. Rasa terusik
itu boleh menyebabkan manusia semakin dekat kepada Pencipta. Ini kerana, semua
yang terlihat terdengar, terasa datangnya dari kekuasaan Allah. Apa yang direka
dan digubah oleh manusia cuba mendekati Ilahi untuk membimbingnya menjadi insan
yang terbaik. Itulah puncak pengabdian hamba kepada Penciptanya. Umat Islam
harus menginsafi bahawa Islam membawa perubahan pada zaman dan bukannya zaman
membentuk prinsip Islam. Fitrah manusia harus selari dengan fitrah zaman. Islam
adalah agama yang hidup. Ia bukan agama yang ketinggalan zaman. Takdirnya zaman
menjadi rosak, manusia hanyut dengan faham kebendaan dan nafsu nafsi yang
melampau, Islam tidak boleh menurutinya. Ajaran Islam memberi jalan penyelesaian
kepada umat manusia dalam apa jua keadaan sesuai dengan objektif syaraknya yang
lima iaitu memelihara agama, nyawa, akal, harta benda dan keturunan. barangsiapa
yang tidak memahami kewujudan maqasid dalam perintah-perintah dan
larangan-larangan syara’, maka ia tidak memiliki pandangan yang jelas dan benar
tentang agama.
Justeru,
menginsafi `ibrah fenomena COVID 19 yang berlaku di dunia dan di Malaysia
khususnya akan mematangkan lagi masyarakat, baik orang awam mahupun agamawan
supaya kembali kepada ajaran Islam yang sebenar dalam konteks saling mengingati
ke arah kebaikan dan kesabaran, keperluan menjaga kebersihan dan mengutamakan
kepentingan umum daripada diri sendiri serta menjauhi daripada menyebarkan
berita palsu. Selain itu, mengingatkan kita bahawa ajaran Islam memberi
penekanan kepada kebersihan termasuklah kepada sebahagian daripada sunnah Nabi S.A.W
tentang adab menutup mulut dan merendahkan suara ketika bersin. Secara tidak
langsung juga, ujian yang berlaku ke atas umat Islam pada masa kini mendekatkan
diri kita dengan penuh ketaqwaan dan pengharapan penuh kepada Allah SWT agar
diselamatkan dari wabak ini. Malah isu yang berlaku ini juga telah menarik perhatian kita kepada amalan
pelbagai doa dan zikir bagi memohon kesihatan dan keselamatan dari musibah yang
begitu jarang dipraktikkan sebelumnya. Tegasnya, `ibrah yang paling penting
untuk dipelajari daripada ujian ini ialah memperkasa manusia supaya terus
berada dalam fitrah. Fitrah manusiawi atas landasan akidah yang mantap, ibadah
yang berterusan, kepatuhan kepada syariah bakal membentuk pekerti atau akhlak
yang mulia.
No comments:
Post a Comment