Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum dan salam sejahtera. Sudah lama rasanya sati tidak post apa2 artikel. Pada kali ini, saya akan menyentuh berkaitan bidang keusahawanan Isla. Semoga ianya bermanfaat kepada para pembaca. Insyaallah. Doakan kesejahteraan saya dan keluarga.
Aktiviti Keusahawanan Perlu Berpaksikan Kepada
Agama
Pendahuluan
Islam sebagai petunjuk yang hakiki kepada seluruh
kehidupan manusia sudah pasti secara
tipikalnya tidak mengabaikan setiap aspek komponen keperluan insan. Begitu juga
dalam ruang lingkup keusahawanan, secara prinsipnya ia digarap melalui asas-asas Islam yang
banyak diperincikan dalam disiplin pengurusan Islam. Menerusi konsep pandang
semesta Islam, kerangka asas keusahawanan yang merangkumi konseptual,
teoritikal, ciri-ciri, metodologi dan teknik-teknik yang diaplikasi perlu
selari dan mematuhi prinsip-prinsip Islam yang telah ditentukan oleh dalil wahyu.
Selagi mana teori-teori dan konsep-konsep yang diperkenalkan oleh manusia
tidak berkonfrantasi dengan falsafah syara` maka ianya boleh diterima pakai
oleh golongan usahawan.
Oleh yang demikian dapat
difahami bahawa sistem yang mendasari disiplin ilmu keusahawanan perlu dibangun
berdasarkan kepada prinsip-prinsip syara` yang bertindak sebagai asas panduan
atau batasan tingkah laku manusia dalam berinteraksi. Perhubungan interaksi
yang dimaksudkan tersebut merangkumi hubungan yang bersifat individu atau yang
berskala umum iaitu hubungan kemasyarakatan. Justeru itu, jelaslah bahawa dalam
sistem keusahawanan prinsip-prinsipnya adalah berasaskan kepada pertimbangan
wahyu yang berfungsi sebagai kodifikasi hukum untuk dipatuhi oleh manusia dalam
setiap urusan transaksinya. Berdasarkan kepada penjelasan ini, ia bukanlah
bermaksud bahawa syara` bersifat rigid dan eksklusif sehingga menutup ruang
untuk berkompromi dengan penyertaan manusia dalam memahami ketentuan hukum.
Sebaliknya, idea-idea pemikiran manusia masih lagi berperanan penting dalam
disiplin keusahawanan Islam sebagai kesepaduan di antara hukum tabi`e dan hukum
syari`e. Hakikatnya, harmonisasi di antara pemikiran manusia dan prinsip hukum
telah membuktikan bahawa ajaran Islam bersikap toleransi dan dinamis yang
bersesuaian dengan fitrah manusia.
Garis Panduan Islam Dalam
Aktiviti Keusahawanan
Islam bersikap optimis
terhadap penganutnya untuk menggerakkan setiap aktiviti keusahawanan bagi
memajukan diri dan masyarakat umumnya. Melalui penjanaan aktiviti tersebut,
manusia dapat melangsungkan peradaban dalam suasana yang cukup sempurna atas
fungsinya sebagai khalifah al-ard.
Bagi mencapai objektif murni tersebut, Islam mempunyai mekanisme-mekanisme
tertentu dalam menyediakan satu gagasan yang adil dan telus untuk menyelesai
dan merungkai permasalahan mua`malah yang dihadapi oleh seluruh manusia.
Atas premis yang mengisyaratkan bahawa Islam bersifat universal yang
berorientasikan order tauhid rabbani, memberi mafhum yang jelas bahawa
ajarannya mengutamakan konsep kesepaduan, kesatuan dan ketaatan yang mutlak
kepada PenciptaNya yang Agung. Secara eksplisitnya, konseptual tauhid
yang dimanifestasikan dalam ruang lingkup kehidupan insan akan menyerlahkan
nilai-nilai positif seperti konsep
kesatuan ummah yang bertunjangkan kasih sayang, persaudaraan dan
persamaan sosial tanpa membezakan semangat bangsa, wilayah, status sosial dan
sebagainya. Berasaskan pegangan kukuh kepada kepercayaan akidah ini, ia dapat
membantu menyediakan satu platform pembentukan sistem nilai dan
institusi sosial sebagai asas untuk membentuk dan merealisasikan sebuah
insitusi masyarakat yang berakauntabiliti. M.Umer Chapra dalam karyanya
“Toward a Just Monetary System: a Discussion of Money, Banking and Monetary Policy
in the Light of Islamic Teaching” menegaskan bahawa asas inilah yang dapat menyediakan satu suasana yang
harmoni dalam masyarakat untuk menjalani kehidupan yang ideal di atas muka bumi
ini.
Jika diamati dalam sesebuah masyarakat yang
berpegang kukuh kepada norma-norma keimanan dan akhlak yang luhur, mereka bebas
dari cara hidup yang tidak sihat seperti penyelewengan, pengurusan yang tidak
cekap, penyalahgunaan kuasa, mengutamakan kepentingan diri, rasuah, menipu,
tidak amanah, masalah sosial, hasad dengki dan sebagainya. Ini kerana, asas
kesedaran tersebut adalah bersumberkan petunjuk daripada Allah
S.W.T.
Menurut Sayyid al-Qutb
dalam ”Fi Zilal al-Qur’an,” memberi ulasan bahawa satu ketika
negara Amerika Syarikat pernah mengeluarkan satu polisi untuk kebaikan
rakyatnya iaitu mengharamkan minuman keras kerana telah diketahui kesannya dari
sudut saintifik dan sosial. Pelbagai usaha telah dilaksanakan melalui media
massa dan agensi kerajaan untuk menjelaskan kemudharatan arak dan telah
ditaksirkan kerajaan Amerika telah menghabiskan berpuluh juta untuk tujuan
tersebut. Namun, polisi tersebut tidak berjaya memberi kesan kepada rakyatnya
bahkan dalam tempoh penguatkuasaan undang-undang tersebut ramai pesalah yang
telah ditahan dan dijatuhkan hukuman bunuh. Pada kemuncaknya menjelang tahun
1933, penguatkuasaan undang tersebut ditarik balik sepenuhnya oleh kerajaan
Amerika kerana gagal memberi impak yang positif malah ia gagal untuk membendung
gejala ketagihan arak dalam kalangan masyarakat. Ternyatalah undang-undang
tajaan manusiawi gagal untuk menyelesaikan masalah kejiwaan yang dihadapi oleh
manusia. Sebaliknya, bagi manusia yang beriman pula mereka sentiasa berwaspada
dan bersikap apologetik terhadap kesalahan yang dilakukan kerana takut
pada siksaan pedih yang bakal diterima pada hari pembalasan kelak.
Kesimpulan
Ironinya, Islam bersikap terbuka terhadap
umatnya dalam melangsungkan aktiviti keusahawanan bagi tujuan memakmurkan alam
ini. Atas ruang yang diberikan ini, manusia perlu menunjukkan komitmen yang
bersungguh-sungguh memanipulasikan segala sumber alam dan tenaga secara efisien
untuk menjana sumber pengeluaran, dan mengembangkannya atau menjadi pelopor
atau peneraju meneroka idea baru untuk kepentingan umum manusia. Namun begitu,
setiap pendekatan, teknik, kaedah dan sebagainya dalam memajukan aktiviti
tersebut perlu merujuk kepada panduan yang telah ditentukan oleh al-Qur’an dan
al-Sunnah. Sebagai contoh, dalam skop kerangka mu`amalah Islam, aktiviti
keusahawanan yang merangkumi idea, inovasi, penerokaan sesuatu potensi perlu
bertepatan dengan prinsip syara` dan tidak berlawanan dengan falsafah maqasid syar`iyyah. Begitu
juga dalam setiap bidang yang diusahakan yang merangkumi bidang perkhidmatan,
perniagaan, ekonomi, pengurusan, kesenian, kebudayaan, akademik dan sebagainya
perlu diimplemantasikan atas prinsip memelihara kemaslahatan umum dengan cara menunaikan hak-hak yang wajib ke
atasnya seperti yang dinukilkan oleh Muhammad `Abd al-Mu`im al-Jamal
dalam “Mausu`ah al-Iqtisad
al-Islami.” Inilah
keadilan dan kedinamikan yang ada pada sistem keusahawanan Islam sentiasa
menolak sebarang unsur kemudharatan yang boleh menjejaskan sistem tersebut
dan menghalang sebarang bentuk
penindasan serta kezaliman kepada manusia amnya.
-Abu Rushd-
No comments:
Post a Comment