Selamat Datang

Selamat datang saya ucapkan kepada pengunjung ke blog ini. Ia bertujuan untuk mengeratkan lagi hubungan silaturrahim sesama saudara kita dan berkongsi sedikit ilmu berkaitan dengan Islam. Semoga ianya mendapat keberkatan dan keredhaan daripada Ilahi. Semoga mendapat manfaat daripadanya

About Me

My photo
Abu Rushd Penulis berkaitan isu-isu agama

Saturday, May 3, 2008

Pandangan Abu Hanifah Tentang Keizinan Wali


Pandangan Aliran Abu Hanifah

Walau bagaimanapun, Imam Abu Hanifah dan Abu Yusuf pula mempunyai pandangan yang tersendiri dalam bab perwalian. Aliran ini berpendapat perempuan yang akil baligh (mukallaf) boleh mengahwinkan dirinya sendiri tanpa perlu mendapat keizinan wali. Meskipun begitu, bagi perempuan yang mempunyai wali `asabah, disyaratkan bakal suami mestilah sekufu. Jika sebaliknya, wali diberi ruang oleh syara` memohon kepada kadi untuk memfasakhkan perkahwinan tersebut. Namun dalam kes-kes tertentu keizinan wali masih diperlukan terutama yang melibatkan kanak-kanak dan gila. Pendapat golongan ini jelas menunjukkan percanggahan dengan pendapat jumhur fuqaha’. Alasan yang diberikan oleh golongan ini berasaskan hadis Nabi S.A.W yang diriwayatkan oleh al-Bukhari (810-870), Muslim (821-875), Abu Dawud, al-Tirmidhi, al-Darimi, (797-869) Ibn Majah, Ibn Jarud (919/920), al-Daraqutni (918-995) daripada Abu Hurairah R.A. bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda:
“Tidak boleh dikahwini janda sebelum diajak berunding dan tidak boleh dikahwinkan anak dara sebelum diminta izin. Mereka berkata: Bagaimanakah izinya ya Rasulullah? Baginda bersabda: Ia diam”.

Menurut Ibn Rushd. Beliau menjelaskan hadis tersebut tidak menunjukkan makna yang bersifat qati`e dalalah dan ia memberi ruang untuk diperbahaskan dari aspek maknanya.

Menurut pandangan yang dikemukakan oleh Abu Hanifah dan Abu Yusuf mereka mentafsirkan perempuan yang berseorangan bermaksud perempuan yang tidak mempunyai suami sama ada yang belum berkahwin atau yang telah berkahwin. Sebagai analoginya, orang perempuan mempunyai kelayakan dalam pengurusan harta yang melibatkan persoalan jual beli, sewaan dan sebagainya. Oleh kerana orang perempuan mempunyai hak kelayakan dalam urusan kehidupan yang lain sudah tentulah mereka juga mempunyai hak yang sama dalam menguruskan soal perkahwinan.

Menyentuh persoalan yang berkisar tentang wali mujbir, al-Kasani menghuraikan dalam penulisannya “Bada’i` al-Sana`i fi Tartib al-Shara’i`” tentang pendirian al- Imam al- Hanafi. Menurut aliran tersebut, bidang kuasa ijbar hanya berlaku ke atas gadis yang masih kecil dan belum baligh. Meskipun begitu, sekiranya anak gadis yang belum baligh ini dikahwinkan oleh walinya tanpa keizinannya, dia diberi ruang oleh syara` untuk melakukan pemilihan (khiyar) di bawah prinsip syara` apabila mencapai umur baligh. Dengan adanya peruntukan ini, ia memberi kuasa kepada anak gadis tersebut sama ada meneruskan perkahwinan tersebut atau memfasakhkannya. Berbeza pula dalam kes wanita yang masih gadis tetapi sudah mencapai umur baligh, wali tidak berhak mengahwinkan tanpa terlebih dahulu mendapat keizinan daripadanya. Muhammad `Uqlah dalam kitabnya “Nizam al-Usrah fi al-Islam” menukilkan bahawa pada pandangan al-Imam Abu Hanifah, syara` telah meletakkan kuasa ijbar kepada anak gadis adalah berasaskan kepada `illat disebabkan ketidakmampuan anak gadis yang belum baligh untuk menguruskan diri sendiri. Di samping itu, perkahwinan yang dilakukan tidak memberi kesan kemaslahatan dari akad yang dilakukan tersebut.


(Abu Rushd)

No comments: