Selamat Datang

Selamat datang saya ucapkan kepada pengunjung ke blog ini. Ia bertujuan untuk mengeratkan lagi hubungan silaturrahim sesama saudara kita dan berkongsi sedikit ilmu berkaitan dengan Islam. Semoga ianya mendapat keberkatan dan keredhaan daripada Ilahi. Semoga mendapat manfaat daripadanya

About Me

My photo
Abu Rushd Penulis berkaitan isu-isu agama

Wednesday, May 7, 2008

Apa Itu Globalisasi


Takrif Globalisasi

Globalisasi merupakan satu proses untuk meletakkan dunia di bawah satu unit yang sama tanpa dibatasi oleh sempadan dan kedudukan geografi sesebuah negara. Melalui proses ini, dunia akhirnya tidak lagi mempunyai sempadan dengan ruang udara dan langit sesebuah negara itu terbuka luas untuk dimasuki oleh pelbagai maklumat yang disalurkan menerusi perantaraan media komunikasi seperti internet, media elektronik, dan teknologi siber. Perkembangan ini memungkinkan perhubungan di antara sesebuah negara dengan negara yang lain dan perhubungan sesama manusia dapat dilakukan dalam tempoh yang singkat. Ianya juga dikatakan sebagai sebuah perkampungan global. Dunia yang besar dan luas ini telah menjadi seperti kampung yang mudah dihubungi dan dilawati dalam masa yang singkat.
Dr. Yusuf al-Qaradhawi, ia adalah seorang ulama yang terkenal, dan dikenali sebagai seorang pemikir Islam yang sangat sederhana serta sangat dihormati kesarjanaanya. Karya beliau yang berjudul Tamadun Islam Alternatif Masa Depan (terjemahan) mengatakan:

Kampung ini terus mengecil dan mengecil hingga menjadi mirip seperti sebuah lorong. Apa yang berlaku dihujung lorong boleh sampai kesannya ke hujung yang lain dalam masa beberapa saat sahaja.

Pelbagai definisi telah diberikan oleh sarjana dalam menjelaskan fenomena berat sebelah yang sedang melanda dunia hari ini, antaranya ialah:

· McLuhan dalam bukunya ‘Explorations in Communication’ (1960), beliau telah memperkenalkan perkataan ‘Perkampungan Global’ atau dikenali sebagai ‘Global Village’ berikutan kepada arus yang dibawa oleh teknologi tinggi seperti melalui pengangkutan dan telekomunikasi (Habibul Haque Khondker 1997).

· Menurut Kamus Dewan pula, globalisasi didefinisikan sebagai fenomena yang menjadikan dunia mengecil dari segi perhubungan manusia disebabkan kepantasan perkembangan teknologi maklumat.
· Manakala cendiakawan barat mentakrifkan globalisasi sebagai satu proses kehidupan yang serba luas dan infiniti merangkumi segala aspek kehidupan seperti politik, sosial dan ekonomi yang boleh dirasai oleh seluruh umat manusia di dunia ini. Ini bermakna segala-galanya menjadi milik bersama dalam konsep dunia tanpa sempadan.

· Prof. Hashim Musa (2001),[1] menyatakan: Globalisasi adalah penyebaran elemen yang perkasa ke atas sesebuah negara dan masyarakat serta mengubah institusi tersebut.

· Ziauddin Sardar[2] mengatakan globalisasi ialah satu proses ke arah menuju satu budaya massa yang menuntut agar negara-negara bangsa menerima kuasa autonomi dari negara berkuasa besar. Dengan kewujudan “international Community Order” maka wujud penyusunan semula diantara negara kecil yang saiz pertumbuhan ekonominya bersaiz besar dari sudut komuniti ekonomi.

· Menurut Prof. Mohamad Kamal Hasan pula, globalisasi adalah satu fenomena megatrend di abad baru yang diistilahkan oleh intelektual muslim sebagai “the cultural neo-imperialisme” yang merebak ke serata dunia umat Islam dengan kecepatan teknologi maklumat sebagai alat transformasi tersebut.

· Princeton N. Lyman[3] mengatakan, globalisasi adalah “rapid growth of interdependency and connection in the world of trade and finance”. Beliau sendiri berpendapat bahawa globalisasi tidak boleh dihadkan kepada fenomena perdagangan dan pengaliran kewangan yang berkembang dengan kian meluas. Ini kerana terdapat trend yang lain yang dipandu oleh keupayaan teknologi yang sama yang mempercepatkan pertukaran kewangan dan globalisasi komunikasi ialah salah satu dari trend tersebut.

· Pusat Kajian Globalisasi dan Serantau (CSGR)[4] memberikan takrifan, globalisasi tidak terhad kepada ekonomi sahaja. Ia bukannya fenomena Amerika Utara atau Eropah sahaja, tetapi mencakupi semua perkara dan semua tempat. Institut ini mengambil pendirian bahawa kefahaman tentang globalisasi mengambil pelbagai dimensi, iaitu politik, ideologi, ekonomi dan budaya. Banyak benda boleh diglobalisasikan antaranya “goods, services, money, people, information, effects on the international order as well as less tangible things such as ideas, behavioral norms and cultural practices”.

· Leonor Briones[5] memberikan tafsiran bahawa globalisasi ialah “globalization of the democratic institutions, social development and human rights and the women’s movement”

· Pensyarah dari Universiti Bunkyo, Jepun, David Loy mentakrifkan globalisasi sebagai “a complex set of developments: economic, political, technological and cultural”.

· Deklarasi yang dikeluarkan melalui persidangan Globalisasi anjuran JUST[6] pula, “Globalization refers to the interconnectedness of human activity on a global scale, to the unprecendented flows of capital and labour, technology skills, ideas and values across state and boundaries, but in ways which neither state nor nations can adequately control”.
Sebenarnya globalisasi merujuk kepada perpindahan nilai, terutamanya cara berfikir dan gaya bertindak dari satu daerah dunia kepada daerah dunia yang lain terutama sekali merujuk kepada perpindahan nilai-nilai Barat seperti falsafah dan pemikiran, ekonomi kapitalis, budaya berseronok-seronok (hedonisme) kepada tamadun bukan Barat. Keadaan ini telah menyebabkan tamadun bukan Barat terpesona dan terpikat serta akhirnya kecundang ditangan tamadun Barat yang lebih perkasa dan gagah dari segala segi. Oleh sebab itulah Tun Dr. Mahathir, bekas perdana menteri Malaysia dalam kertas kerja yang disampaikan oleh beliau dialog Bangkok bagi pemimpin perniagaan Asia pada 3 Mac 1996 mengatakan bahawa, globalisasi adalah umpama sebuah padang permainan yang rata tetapi mempunyai pemain yang berbeza, Barat diumpamakan pemain yang hebat dan gagah, manakala Asia adalah pemain yang lemah dan lembab. Oleh itu permainan ini pastinya akan menjadi berat sebelah dan akan didominasi oleh Barat dan Asia akan gagal walaupun berjaya, tetapi kegagalan pastilah lebih banyak daripada kejayaan. Terdapat beberapa faktor yg menyebabkan proses globalisasi mudah bertindak, antaranya ialah;
i-Kelumpuhan Soviet Union (komunisme). Oleh itu tiada lagi sekatan ideologi seperti berlangsungnya perang dingin antara Amerika Syarikat dan Soviet Union.
ii-Negara-negara Barat yg terlibat dlm globalisasi ini tidak perlu lagi bersaing sesama mereka sebagaimana yg berlaku ketika zaman penjajahan (abad ke-15-19). Mereka umumnya sehaluan & sealiran.
iii-Kemudahan sistem perhubungan dan Komunikasi khususnya melalui media elektronik & cetak.
iv- Peradaban-peradaban bukan Barat terpesona dengan nilai-nilai Barat. Tambahan pula peradaban bukan Barat berada dlm keadaan lemah, oleh itu mrk mudah menerima cara-cara & gaya Barat.
Umumnya proses globalisasi ini meliputi aspek-aspek politik, ekonomi, sosial, budaya dan lain-lain. Namun apa yg jelas terlihat pada zaman kontemporari ini, globalisasi budaya yg paling berpengaruh dlm merubah sifat dan struktur peradaban bukan Barat. Institusi keluarga adalah institusi yang agak teruk terjejas dengan fenomena ini. Agen-agen globalisasi yang meresap ke dalam bidang sosial seperti pakaian, makanan, gaya hidup, hiburan dan sebagainya telah merubah dan merosakkan institusi keluarga.

(Abu Rushd)


[1] Ketua Jabatan Bahasa, Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya. Aktif dalam membentangkan kertas kerja dan membincangkan persoalan mengenai gejala globalisasi dan peradaban.
[2] Merupakan cendiakawan Islam yang sering menulis buku dan terlibat dalam perbincangan tentang Islam diperingkat antarabangsa. Sekarang beliau adalah Profesor Tamu di City University, London.
[3] Princeton N. Lyman, Felo Kanan Institut Keamanan, Amerika Syarikat dan bekas duta negara itu ke Afrika Selatan
[4] Pusat Kajian Globalisasi dan Serantau (CSGR) yang berpusat di University Warwick, England, bertanggungjawab dalam mengkaji dan memantau perkembangan globalisasi sedunia.
[5] Leonor Briones adalah Pengerusi Focus on the Global South yang beribu pejabat di Bangkok
[6] JUST adalah International Movement for a Just World yang diketuai oleh dr. Chandra Muzaffar

1 comment:

Anonymous said...

mi...kandungan yang menarik..teruskan..stravagas...jip-roman