Wednesday, May 21, 2008

Amalan Peniagaan Yang Bertentangan Dengan Akidah


Bismillahirrahmanirrahim


Assalamualaikum


Bertemu lagi dalam siri penulisan Penawar Hati. Saya bersyukur ke hadrat Allah S.W.T. kerana diberi kelapangan untuk berkongsi sedikit ilmu dengan para pembaca. Pada hemat saya, masyarakat Melayu pada hari ini masih lagi dipengaruhi dengan amalan khurafat yang mempengaruhi minda mereka. Perkara yang dinyatakan ini sudah tentulah bertentangan akidah Islam yang murni. Barangkali kepercayaan sedemikian sudahpun sebati dalam minda sebahagian masyarakat Melayu. Penulisan kali ini cenderung untuk membincangkan amalan yang menyalahi akidah Islam dalam aspek perniagaan.


Kepercayaan Yang Menyalahi Akidah Islam Dalam Perniagaan


Masyarakat Melayu pada hari ini masih lagi mempercayai amalan memohon bantuan kepada bomoh atau pawang. Tulisan ini bukanlah bertujuan mengkritik institusi perbomohan yang masih lagi mendapat tempat dan perhatian orang Melayu. Tidak dinafikan bukan semua amalan perbomohan bertentangan dengan akidah sekiranya ia dilakukan mengikut batas-batas yang ditentukan oleh syara`. Namun apa yang hendak ditonjolkan di sini ialah amalan perbomohan yang berasimilasi dengan kepercayaan khurafat dan ianya masih lagi diterima oleh masyarakat Melayu. Kepercayaan seperti inilah yang boleh memudharatkan akidah pemikiran umat Islam.


Dalam pemerhatian saya, segelintir kedai milik orang Melayu masih lagi mempercayai pelaris yang bertujuan sama ada untuk menarik pelanggan datang berkunjung ke kedai mereka atau untuk mendapatkan keuntungan menjana kegiatan ekonomi yang sedang dijalankan. Malah persepsi peniaga yang mempraktikkan amalan sedemian, mereka beranggapan perniagaan yang dijalankan akan mendapat keuntungan yang lumayan dan aktiviti perniagaan yang dijalankan juga akan bertahan. Ada juga peniaga yang menggantung gambar tokoh di dinding kedai kononnya dengan kekeramatan yang dimiliki oleh tokoh tersebut akan menjadi pelaris untuk meningkatkan prestasi perniagaan mereka. Ia telah menjadi satu stigma dalam pemikiran pengusaha, sekiranya perniagaan yang dijalankan tanpa mengambil pelaris sudah tentulah tidak akan maju dan kurang menarik perhatian pelanggan. Atas kepercayaan inilah maka peniaga memohon bantuan bomoh mendapatkan pelaris untuk memenuhi hajat mereka. Pelbagai jampi serapah, azimat, tangkal dan sebagainya diberikan kepada peniaga, dengan harapan agar pernigaan yang dijalankan akan berjaya sebagaimana yang diimpikan oleh peniaga. Akibatnya, peniaga sanggup menghabiskan wang ringgit semata-mata demi untuk mendapatkan pelaris tersebut.

Situasi yang dijelaskan tersebut bukanlah sebagai satu kisah silam namun amalan tersebut masih lagi berlaku dalam kalangan peniaga dalam realiti dunia moden pada hari ini. Kepercayaan sedemian masih lagi mempengaruhi mentaliti segelintir masyarakat Melayu seolah-olah ia dapat memberi impak yang positif dalam keperluan kehidupan mereka. Sudah tentulah kepercayaan kepada pelaris ini bertentangan dengan falsafah akidah Islam yang murni. Percanggahan sedemikian timbul apabila timbul kepercayaan tentang persoalan rezeki ini adalah bergantung kepada semangat yang ada dalam pelaris tersebut atau sesuatu objek lain yang digunakan seperti rajah, azimat, wafak dan sebagainya. Pelaris ini juga mengandungi pantang larang yang perlu dipatuhi oleh penggunanya. Apabila wujudnya `iktitiqad tersebut dalam diri seseorang sudah tentulah ia akan mengundang kepada unsur-unsur yang boleh membuka ruang kepada elemen syirik kepada Allah, wal`iyazubillah min zalik. Asas kepercayaan yang mengiktiraf dan memperakui wujudnya kuasa yang dapat mempengaruhi manusia selain daripada Allah sudah tentulah diklasifikasi sebagai syirik.


Peniaga yang menggunakan pelaris begitu yakin bahawa perniagaan yang dijalankan akan mendapat tuah. Bagi peniaga yang begitu ta`sub kepada kepercayaan tersebut, mereka mencari helah supaya kepercayaan tersebut dipandang sebagai satu usaha atau ikhtiar dan perbuatan tersebut tidak bercanggah dengan Islam. Mereka mempunyai kaedah dan taklik yang tertentu untuk mengalihkan pandangan masyarakat bagi menghalalkan perbuatan mereka. Jika dilihat kepada perbuatan tersebut fenomena yang berlaku boleh membawa kekeliruan dan membawa ancaman kepada akidah umat Islam.


Justeru itu, kondisi dan persekitaran yang tidak dipelihara dengan benteng keimanan yang konkrit akan membuka ruang dan peluang kepada syaitan untuk mempengaruhi manusia ke arah jalan yang sesat. Syaitan adalah pakar dalam melakukan penipuan ke atas manusia. Dia akan akan datang dengan pelbagai perancangan yang strategi yang licik bagi memperdayakan manusia. Allah S.W.T berfirman yang bermaksud:

“Barangsiapa yang berpaling dari pengajaran Tuhan Yang Maha Pemurah (Al-Quran), kami adakan baginya syaitan (yang menyesatkan) maka syaitan itulah yang menjadi teman yang selalu menyertainya. Dan sesungguhnya syaitan-syaitan itu benar-benar menghalangi mereka dari jalan yang benar dan mereka menyangka bahawa mereka mendapat petunjuk.”
(al-Zukhruf:36-37)

Dalam surah yang lain, Allah S.W.T berfirman yang bermaksud:

“Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan. Barangsiapa yang mengikuti langkah-langkah syaitan, maka sesungguhnya syaitan itu menyuruh mengerjakan perbuatan yang keji dan yang mungkar.”
(al-Nur: 21)

Allah S.W.T adalah tempat kepada manusia untuk bergantung harapan dan memohon pertolongan. Setiap sesuatu yang direncanakannya adalah untuk kebaikan agama dan untuk kesejahteraan golongan yang beriman di dunia dan di akhirat. Sebagi seorang mukmin kita perlu memikul tanggungjawab sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah dan Rasul melalui bimbingan dan pedoman wahyu. Kepada Allah lah tempat kita berserah dengan penuh tawadu` dan ikhlas. Dalam al-Quran, Allah mengungkapkan satu perkara misteri yang tidak diketahui oleh orang-orang yang ingkar. Firman Allah S.W.T yang bermaksud:

“Barangsiapa yang bertakwa kepada Allah nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar. Dan memberinya rezeki dan arah yang tidak disangka-sangkanya. Dan barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah nescaya Allah akan mencukupkan (keperluan)nya. Sesungguhnya, Allah melaksanakan urusan (yang dikehendaki)Nya. Sesungguhnya, Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu.
(at-Talaq:2-3)

Islam bersikap positif ke atas kegiatan menjana aktiviti manusia. Malah Islam menggalakkan penganutnya berusaha secara tekun untuk memajukan kehidupan. Meskipun begitu, setiap transaksi urusan perniagaan yang dijalankan perlu mematuhi prinsip-prinsip yang telah ditetapkan dalam muamalah Islam. Perlakuan dan aktiviti yang bertentangan dengan kehendak syariat dan kemaslahatan manusia adalah bertentangan dengan prinsip murni perniagaan Islam. Perkara-perkara negatif seperti tipu, tidak amanah, mengamalkan riba, melakukan sesuatu yang bertentang dengan prinsip akidah dan sebagainya adalah sama sekali ditegah dalam prinsip perniagaan Islam. Ciri-ciri keistimewaan yang ada pada konsep perniagaan menurut acuan Islam berbeza dengan konsep perniagaan yang ditaja oleh akal fikiran manusia. Keuntungan dalam perniagaan Islam bukan hanya dinilai dari aspek material semata-mata tetapi yang menjadi keutamaan adalah mendapat keberkatan dan keredhaan Allah S.W.T.

Dalam menjalankan aktiviti perniagaan, seseorang peniaga perlu memliki ilmu dan strategi tertentu dalam usaha merangsang prestasi perniagan yang dijalankan. Akal yang kreatif juga diperlukan bagi merancang plan perniagaan dan strategi bagi menarik perhatian pelanggan untuk membeli produk atau perkhidmatan yang diusahakannya. Tidak salah bagi pengusaha untuk berikhtiar untuk memajukan perniagaannya, namun bukan melalui jalan yang bertentangan dengan falsafah perniagaan Islam. Sebaik-baiknya berusahalah dengan gigih, melakukan solat hajat dan berdoa kepada Allah S.W.T supaya memberkati usaha yang dijalankan. Insyaallah akan berjaya.

Sehingga berjumpa lagi dalam siri penulisan yang seterusnya.

-Abu Rushd-

No comments:

`Ibrah Covid 19. Suluhan Daripada Perspektif Islam

Assalamualaikum dan bertemu lagi. sudah lama saya tidak menjengok ke blogni. Harini rasa bersemangat semula untuk melihat blog yang sudah se...