Thursday, May 15, 2008

Hak-Hak Kewangan Yang Boleh Dituntut Oleh Wanita Apabila Berlaku Perceraian


Hak-Hak Kewangan Yang Boleh Dituntut Apabila Berlaku Pembubaran


Penulisan ini cuba memfokuskan hak-hak kewangan yang boleh dituntut oleh seseorang isteri apabila berlaku penceraian menurut Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Keluarga Islam 1991.


1. Nafkah

Bekas isteri yang diceraikan oleh suaminya boleh memohon kepada Mahkamah supaya memerintahkan bekas suaminya memberi nafkah dalam tempoh `iddah. Permohonan ini boleh dibuat berasaskan seksyen 59 (1) Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Keluarga Islam 1991, memperuntukkan seperti berikut:

“Tertakluk kepada hukum Syarak, Mahkamah boleh memerintahkan seseorang lelaki membayar nafkah kepada isteri atau bekas isterinya”.



Peruntukan seksyen ini disokong oleh Dr. Wahbah al-Zuhayli dalam penulisannya “al-Fiqh al-Islami Wa Adillatuh” dan Ibn Qudamah dalam kitabnya “al-Mughni” menjelaskan isteri yang diceraikan berhak mendapat nafkah i`ddah dalam tempoh masa tersebut sehingga tamat i`ddah. Dalam kes yang melibatkan isteri nusyuz, ia mempunyai kesan dari sudut undang-undang. Pemberian nafkah `iddah isteri boleh digugurkan sekiranya pihak isteri berlaku nusyuz (derhaka). Peruntukan ini boleh dilihat dalam seksyen 59 (2), memperuntukkan:

“Tertakluk kepada Hukum Syarak dan pengesahan Mahkamah, seseorang isteri tidaklah berhak mendapat nafkah apabila dia nusyuz atau enggan dengan tidak berpatutan menurut kemahuan atau perintah sah suaminya, iaitu, antara lainya-

(a) apabila dia menjauhkan dirinya atau enggan disetubuhi oleh suaminya;
(b) apabila dia meninggalkan rumah suaminya bertentangan dengan suaminya;
(c) apabila dia enggan berpindah bersama suaminya ke satu rumah atau tempat lain,

tanpa apa-apa sebab yang sah mengikut Hukum Syarak.

Masalah nusyuz ini telah dijelaskan dalam penulisan “Fiqh al-Madhahib al-Arba`ah” oleh `Abd. al-Rahman al-Jaziri. Dalam kes `Iddah Talak Bain (irrevocable Talaq), Jumhur sepakat mengatakan, isteri tersebut berhak mendapat nafkah dengan syarat perempuan tersebut hamil berdasarkan nas al-Quran surah al-Talaq ayat 6, yang bermaksud :

“ Dan jika mereka itu sedang hamil, maka berilah kepada mereka nafkahnya, sehingga mereka bersalin”

Bekas isteri juga berhak menuntut hak tempat tingggal daripada bekas suaminya. Undang-undang memberi hak dan menjaga kebajikan seseorang wanita sesuai dengan tuntutan syarak. Peruntukan ini boleh dilihat dalam seksyen 71 (1), seperti berikut:

“Seseorang perempuan yang diceraikan adalah berhak tinggal di rumah di mana ia biasa tinggal semasa ia berkahwin selagi suami tidak mendapatkan tempat tinggal lain yang sesuai untuk isteri”.

Manakala dalam kes isteri yang kematian suami, Jumhur sependapat mengatakan bahawa isteri tersebut tidak berhak mendapat nafkah, dengan alasan bahawa kematian tersebut telah memutuskan hubungan di antara keduanya.

Dalam pada itu, pihak isteri boleh memohon kepada Mahkamah untuk mendapatkan nafkah anak dan nafkah tunggakan. Mahkamah boleh memerintahkan kepada suami berdasarkan peruntukan seksyen 73 (1) dan seksyen 69 (1) 1991 yang berbunyi:


Seksyen 73 (1):

“Mahkamah boleh pada bila-bila masa memerintahkan seorang lelaki membayar nafkah untuk faedah mana anak-anak-
(a) jika dia telah enggan atau cuai mengadakan peruntukan dengan munasabah bagi anaknya itu;
(b) jika dia telah meninggalkan langsung isterinya dan anaknya itu adalah dalam jagaan isterinya;
(c) dalam masa menanti keputusan sesuatu prosiding hal-ehwal suami isteri; atau
(d) apabila membuat atau selepas daripada membuat sesuatu perintah meletakkan anak itu dalam jagaan seseorang lain.

Seksyen 69 (1):

“Tunggakan nafkah yang tak bercagar boleh dituntut sebagai suatu hutang daripada yang mungkir itu dan, jika tunggakan itu terkumpul kena dibayar sebelum suatu perintah penerimaan dibuat terhadap pihak yang mungkir itu, tunggakan itu boleh dibuktikan dalam kebankrapannya dan, jika tunggakan itu terkumpul kena dibayar sebelum dia mati, tunggakan itu hendaklah menjadi suatu hutang yang kena dibayar dari harta pesakanya.”

Kedua-dua seksyen ini dengan jelas memberi jaminan kepada pihak isteri dan anak untuk mendapat hak nafkah. Kemungkiran pihak suami menunaikan tanggunjawab ini boleh dikenakan tindakan undang-undang dan hukuman. Peruntukan seksyen ini mengambilkira pandangan dalam kitab fiqh dari aliran Shafie, Maliki, Hanbali dan Mazhab Ahlu al-Sunnah. Oleh yang demikian, menjadi obligasi kepada si bapa untuk memberi nafkah (saraan) yang sewajarnya kepada anak-anaknya (belum boleh berdikari). Kebajikan dan kepentingan anak-anak perlu diberi perhatian yang serius terutama dari aspek penginapan, perbelanjaan makan minum, pakaian, pendidikan, kesihatan dan faktor-faktor lain yang berkaitan dengan anak tersebut. Dari segi psikologi, ia akan memberi implikasi yang negatif terhadap perkembangan fizikal dan mental kanak-kanak tersebut sekiranya faktor kebajikan dan kasih sayang diabaikan. Justeru itu, peruntukan tuntutan nafkah anak dan nafkah tunggakan yang dimasukkan dalam Undang-Undang Keluarga Islam bertepatan dengan prinsip syariat dan menjaga kemaslahatan anak-anak akibat daripada perceraian ibu bapa mereka.





Selain itu, pihak isteri juga boleh menuntut kepada Mahkamah nafkah sementara. Undang-undang memberi ruang kepada pihak isteri membuat sedemikian berdasarkan peruntukan seksyen 70 (1), yang menjelaskan:


“Jika Mahkamah berpuas hati bahawa terdapat alasan-alasan untuk membayar nafkah, Mahkamah boleh membuat suatu perintah terhadap suami bagi membayar nafkah sementara yang akan berkuatkuasa dengan serta merta dan terus berkuatkuasa sehingga perintah Mahkamah dibuat atas permohonan untuk nafkah”.

Satu keistimewaan yang terdapat dalam peruntukan nafkah ini, dalam kes pihak suami tidak mempunyai keupayaan atau kemampuan, pihak isteri boleh memohon kepada mahkamah, waris atau keluarga pihak suami membayar nafkah kepada pihak isteri. Begitu juga dalam kes keengganan suami untuk menunaikan nafkah, pihak isteri boleh memohon kepada mahkamah supaya harta suami boleh ditahan atau disita. Di samping itu, mahkamah juga boleh

2) Mut`ah

Selain daripada hak-hak isteri untuk mendapatkan nafkah iddah dan nafkah anak, bekas isteri juga berhak untuk mendapat mut'ah. Istilah"mut'ah" dalam Enakmen Undang-Undang Keluarga dikenali sebagai bayaran "saguhati”. Secara prinsipnya, istilah ini bukanlah bermaksud bayaran sukarela yang dibuat oleh suami kepada bekas isterinya tetapi ia merupakan satu ketetapan yang perlu diberikan begantung kepada kemampuan suami. Mengikut Mazhab Syafi'i, mut'ah adalah bayaran pampasan yang mesti diberi kepada bekas isteri yang telah diceraikan tanpa sebab dengan adil dan munasabah. Pendapat ini disokong oleh Dr. Wahbah al-Zuhayli dalam kitabnya “al-Fiqh al-Islami Wa Adillatuh”. Ia merupakan hak seorang isteri dalam bentuk material yang perlu ditunaikan oleh seorang suami apabila berlaku pembubaran perkahwinan. Di samping itu, pensyariatan mut`ah bertujuan untuk memulihkan kehidupan isteri dan meminimumkan penderitaan yang ditanggung oleh bekas isteri, seperti yang dijelaskan oleh Dr. Badran Abu al-Aynan Badran dalam kitabnya “al-Zawaj Wa al-Talaq Fi al-Islam Fiqh al-Muqaran Bayna al-Madhahib al-Arbaah”.

Al-Quran tidak menetapkan bayaran mut`ah secara jelas dan tepat yang perlu diberikan kepada isteri yang telah diceraikan. Namun indicator yang digunakan oleh al-Quran ialah kemampuan ekonomi pihak suami. Firman Allah s.w.t yang bermaksud:




“Tidak berdosa ke atas kamu jika kamu ceraikan isteri-isteri kamu sebelum kamu setubuhi mereka atau menetapkan apa-apa bahagian untuk mereka. Orang yang mampu memberi mengikut kemampuannya dan orang yang miskin mengikut kemampuannya pula sebagai pemberian yang baik. Yang demikian itu adalah suatu ketetapan bagi orang yang baik”
(al-Baqarah:6)


Dalam Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Perlis, mut`ah diperuntukkan dalam seksyen 56, iaitu:

“Selain dari haknya untuk memohon nafkah, seseorang perempuan yang telah diceraikan tanpa sebab yang patut oleh suaminya boleh memohon mut`ah atau pemberian saguhati kepada Mahkamah, dan Mahkamah boleh, selepas mendengar pihak-pihak itu dan apabila berpuashati bahawa perempuan itu telah diceraikan tanpa sebab yang patut, memerintahkan suami membayar sejumlah wang yang wajar dan patut mengikut Hukum Syarak”.

Bagaimanapun, seksyen ini tidak memasukkan garis panduan yang lebih jelas dan terperinci untuk menentukan jumlah yang berpatutan bagi muta'ah dalam sesuatu kes tertentu mengikut hal keadaan pihak-pihak yang terlibat. Faktor-faktor yang patut diambilkira termasuklah jumlah pendapatan dan hal ehwal kewangan pihak-pihak berkenaan, tempoh perkahwinan itu dan hal keadaan perceraiannya. Misalnya Akta No. 10011985 di Mesir memperuntukkan bahawa seseorang isteri yang diceraikan tanpa sebab adalah berhak, selain daripada mendapat nafkah iddah, untuk mendapat muta'ah yang tidak kurang daripada jumlah dua tahun nafkah dengan pertimbangan sewajarnya diberi mengikut latar belakang ekonomi. Pihak suami boleh dibenarkan membayar muta'ah secara ansuran. Secara umumnya, isteri berhak mendapat hak mut`ah selepas berlaku pembubaran perkahwinan.



3) Hak terhadap mas kahwin

Dalam penulisan fiqh, mas kahwin dikenali sebagai Mahr. Mas kahwin merupakan pemberian oleh pihak suami kepada isteri atau wakilnya ketika berlaku kontrak akad nikah. Secara amnya, mas kahwin mestilah daripada sesuatu benda yang bernilai dan berharga sebagai simbolik tanda kasih sayang suami ke atas isterinya.



Oleh yang demikian, sekiranya berlaku pembubaran perkahwinan, isteri boleh menuntut kepada bekas suami hak mas kahwin secara sepenuhnya jika pemberian tersebut tidak ditunaikan dalam tempoh perkahwinan mereka. Tuntutan ini berdasarkan seksyen 57, Enakmen Pentadbiran 1991 yang memperuntukkan seperti berikut:

“Tiada apa-apa jua yang terkandung dalam Enakmen ini boleh menyentuh apa-apa hak yang mungkin ada pada seseorang isteri di bawah Hukum Syarak terhadap mas kahwinnya dan pemberian kepadanya atau apa-apa bahagian daripadanya apabila perkahwinannya dibubarkan”

Peruntukan ini memberi keadilan kepada bekas isteri untuk mendapat hak yang sepatutnya diperolehi. Dengan kata lain, mas kahwin yang tidak dijelaskan dengan sepenuhnya oleh suami dianggap sebagai hutang disisi undang-undang yang perlu dijelaskan apabila berlaku pembubaran perkahwinan.


4. Harta sepencarian

Harta sepencarian didefinisikan sebagai harta, sama ada harta alih atau harta tak alih, yang diperolehi bersama oleh sepasang suami isteri, dalam tempoh perkahwinan mereka hasil dari usaha bersama pasangan tersebut. Melalui takrifan ini, harta yang dimiliki secara pewarisan dan harta yang dimiliki sebelum perkahwinan tidak termasuk harta sepencarian. Namun begitu, jika harta tersebut diusahakan secara bersama dalam tempoh perkahwinan dan hasilnya telah menambah nilai harta tersebut, maka pihak yang satu lagi berhak menuntut upah jika berlaku pembubaran perkahwinan. Jika isteri membantu mengusahakan harta tersebut dia berhak mendapat setengah daripada harta tersebut. Dalam situasi lain dia berhak mendapat satu pertiga sahaja. Perkara ini dijelaskan oleh Ahmad Ibrahim dalam bukunya “Islamic Law in Malaya”.

Umumnya, tuntutan harta sepencarian adalah mirip kepada undang-undang adat tempatan kemudian dikodifikasikan sebagai undang-undang yang diiktiraf oleh masyarakat Melayu. Ianya diklasifikasikan sebagai satu maslahah (kepentingan umum) yang tidak bercanggah dengan syarak untuk menjaga keadilan dan kebajikan kaum wanita. Dalam kes Norbee lwn Ahmad Shanusi [1978] 1 Jurnal Hukum, Kadi Besar Pulau Pinang berpendapat;

“Harta sepencarian yang dibenarkan oleh syarak berdasarkan khidmat dan perkongsian hidup. Isteri yang menguruskan rumahtangga, suami mencari rezeki. Isteri menurut syarak berhak mendapat orang gaji dalam mengurus rumahtangga, jika tidak maka kerja memasak, membasuh dan menguruskan rumah hendaklah dianggap sebagai sebahagian daripada kerja yang mengurangkan tanggungan suami”.


Dalam Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Keluarga 1991, seksyen 58 (1), memperuntukkan kuasa Mahkamah memerintahkan pembahagian harta sepencarian. Mahkamah mempunyai autoriti apabila membenarkan lafaz cerai atau membuat perintah perceraian. Harta yang diperolehi oleh pasangan dalam tempoh perkahwinan hasil usaha bersama boleh dibahagikan sama rata atau sekiranya harta tersebut dijual maka hasil jualan tersebut boleh dibahagi sama rata. Mahkamah dalam memutuskan tuntutan harta sepencarian perlu menimbangkan beberapa aspek seperti yang diperuntukkan dalam seksyen 58 (2), seperti berikut:

a) kadar sumbangan-sumbangan yang telah dibuat oleh tiap-tiap satu pihak dalam bentuk wang, harta, kerja atau perkhidmatan bagi memperolehi aset-aset tersebut;
b) apa-apa hutang yang terhutang oleh salah satu pihak yang telah dilakukan bagi manfaat bersama mereka;
c) keperluan-keperluan anak-anak yang belum dewasa dan perkahwinan itu, jika ada.

Tertakluk kepada pertimbangan-pertimbangan itu, Mahkamah hendaklah membuat pembahagian yang sama banyak.

Menurut Mimi Kamariah Majid dalam bukunya “Undang-Undang Keluarga di Malaysia”, sekiranya pihak isteri tidak bekerja, Mahkamah boleh membahagikan aset-aset atau hasil jualan aset tersebut mengikut apa-apa kadar yang difikirkan munasabah. Mahkamah perlu menimbangkan takat sumbangan yang diberikan oleh pihak yang tidak memiliki aset dengan mengambilkira kebajikan keluarga, anak-anak yang belum dewasa dari perkahwinan itu. Di samping itu, sumbangan secara tidak langsung seperti moral dan kesanggupan isteri hidup bersama suami perlu diberi pertimbangan oleh Mahkamah dalam menaksirkan pemberian harta sepencarian. Sekiranya diteliti dengan terperinci peruntukan yang berkaitan dengan harta sepencarian, undang-undang yang sedia ada memberi perlindungan hak dan keadilan yang sebaiknya kepada kaum wanita.

Secara umumnya, Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Keluarga Islam Perlis 1991, memberi sirna harapan yang positif dalam membela dan memartabatkan kaum wanita. Penggubalan undang-undang keluarga bertujuan untuk menjamin hak dan kebajikan serta keadilan kepada kaum wanita di sisi undang-undang. Sehingga kini, boleh dikatakan 3/4 peruntukan undang-undang keluarga Islam mempunyai kecenderungan untuk membela dan menjaga hak wanita. Oleh yang demikian tidak timbul persoalan undang-undang keluarga yang sedia ada sekarang tidak melindungi kaum wanita sekiranya mereka mengetahui hak-hak yang perlu dituntut di sisi undang-undang.
Abu Rushd

No comments:

`Ibrah Covid 19. Suluhan Daripada Perspektif Islam

Assalamualaikum dan bertemu lagi. sudah lama saya tidak menjengok ke blogni. Harini rasa bersemangat semula untuk melihat blog yang sudah se...