Saturday, May 3, 2008

Keizinan Wali


Keizinan Wali Dalam Perkahwinan Menurut Pandangan Fuqaha’

Wali merupakan salah satu elemen penting dalam rukun nikah. Oleh yang demikian, sekiranya terdapat kecacatan atau kekurangan salah satu daripada rukun nikah maka perkahwinan tersebut diklasifikasikan sebagai tidak sah. Alasan ini bersandarkan kepada pendapat fuqaha’ yang terdiri dari aliran Maliki (795), Shafi`i (820) dan Hanbali (780-850) telah mencapai kata sepakat bahawa wali merupakan sebahagian daripada perkara asasi dalam sesuatu perkahwinan. Berasaskan prinsip ini, maka para fuqaha’ telah menegaskan wanita tidak mempunyai kuasa untuk mengahwinkan dirinya sendiri dan diri orang lain. Dengan lain perkataan, perkahwinan yang dilakukan tanpa wali dianggap terbatal. Dalil yang dipegang oleh jumhur ulama’ adalah berasaskan kepada sebuah hadis sahih yang telah diriwayatkan daripada Abu Musa seperti kenyataan dari Rasulullah S.A.W yang bermaksud:

“Tidak sah nikah, melainkan dengan wali.”

Menyelami tuntutan yang dianjurkan daripada hadis di atas dapat difahami bahawa wali merupakan sebahagian daripada unsur-unsur penting dalam sesuatu perkahwinan. Oleh yang demikian, perkahwinan yang dilakukan tanpa disertai dengan keizinan wali adalah terbatal dengan sendirinya. Dengan menafikan ketentuan wali dalam perkahwinan menyebabkan pernikahan tersebut tidak dapat diiktiraf sebagai sah. Dalam hal ini, analisis secara kritis terhadap ruang lingkup wali diperlukan untuk melihat sejauhmana hukum syara` memperuntukkan bidang kuasa tersebut. Untuk itu, penulisan ini akan meneliti berkenaan konsep wali secara menyeluruh bagi mendapat gambaran yang jelas tentang persoalan yang berbangkit tentang masalah wali.

Tambahan lagi, terdapat juga peruntukan yang memberi kuasa kepada wali mujbir untuk mengahwinkan anak gadisnya meskipun tanpa persetujuan daripadanya. Berdasarkan peruntukan yang diberikan oleh syara`, ia menunjukkan bahawa wali mujbir mempunyai bidang kuasa penuh dalam mengahwinkan anak gadisnya dengan syarat memenuhi keperluan-keperluan yang telah ditetapkan oleh syara`. Kuasa ijbar boleh dikuatkuasakan ke atas seseorang perempuan sekiranya para wali memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan. Kandungan syarat-syarat ini meliputi, pertama, tidak ada permusuhan di antara anak gadis dengan walinya. Kedua, tidak wujud permusuhan di antara gadis dengan bakal suaminya. Ketiga, bakal suami tersebut adalah sekufu dengan gadis yang menjadi pilihannya. Keempat, bakal suami mampu membayar mas kahwin mengikut nilai mata wang tempatan. Kelima, perempuan yang bakal dikahwinkan tersebut masih berstatus anak dara.

Pandangan Jumhur

Justeru itu, dengan adanya peruntukan kuasa ijbar, wali diberi kuasa eksklusif membuat keputusan untuk mengahwinkan seseorang perempuan (anak dara) di bawah perwaliannya. Apa yang jelas jumhur fuqaha’ selain daripada Hanafi berpendirian mensabitkan kuasa ijbar ke atas perempuan yang masih dara sama ada mencapai umur baligh atau belum dalam urusan perkahwinan. Keterangan ini dijelaskan oleh sarjana perundangan Islam seperti yang telah dinukilkan oleh Al-Ramli dalam kitabnya “Nihayah al-Muhtaj dan Ibn Juzay menerusi karangannya “al-Qawanin al-Fiqhiyyah” menjelaskan bahawa para fuqaha’ yang berpendirian sedemikan terdiri daripada kalangan Maliki (795), Shafi`i (820) dan Hanbali (780-855). Alasan golongan ini berasaskan kepada sabda Nabi Muhammad S.A.W.

Maksudnya: Perempuan janda lebih berhak pada dirinya daripada walinya, perempuan perawan atau dara dikahwinkan oleh bapanya”

Jumhur menggunakan dalil ini sebagai hujah yang membuktikan bahawa wali mempunyai kuasa autoriti ke atas perempuan yang berstatus dara. Berbeza pula bagi kes janda, mereka mempunyai hak yang lebih kuat berbanding dengan walinya. Umumnya, dalam masalah perwalian, kebanyakan para sahabat terdiri daripada Umar, Ali, Ibn Masud, Ibn Abbas, Abu Hurairah dan Aishah R.A berpendapat bahawa seseorang perempuan tidak dibenarkan berkahwin melainkan mendapat keizinan daripada walinya. Meskipun begitu, menurut Ibn Rushd dalam kitabnya “Bidayat al-Mujtahid wa Nihayat al-Muqtasid” Imam Hanafi (767) mempunyai pendirian yang tersendiri dalam hal ini, beliau cenderung menjelaskan perempuan lebih berhak mengahwinkan dirinya sendiri.

Syara` telah menetapkan sesuatu hukum bukan bertujuan untuk membebankan dan menyusahkan manusia. Sebaliknya sesuatu hukum yang diperundangkan mengandungi hikmah-hikmah untuk kesejahteraan manusia. Sesungguhnya sesuatu tindakan yang difikirkan baik pada pertimbangan manusia berkemungkinan mencapai keputusan sebaliknya hanya Allah yang Maha Bijaksana dan Maha Mengetahui. Sehubungan dengan itu, berasaskan adat tradisi yang terpuji, secara fitrahnya kaum perempuan dikenali dengan sifat pemalu dan tidak wajar mereka dibebankan atas kapasiti sebagai wali dalam sesuatu perkahwinan. Atas sifat tabie inilah sewajarnya beban wali diletakkan kepada kaum lelaki. Bersesuaian dengan firman Allah S.W.T dalam al-Quran al-Karim yang bermaksud:

“Kaum lelaki itu pengawal dan pemimpin bagi kaum wanita kerana kelebihan yang telah dikurniakan Allah kepada sebahagian daripada mereka (lelaki) melebihi sebahagian yang lain (wanita)….”
(al-Nisa’: 34)

Menurut Ahmad Mustafa al-Maraghiy dalam penulisannya Tafsir al-Maraghiy, ayat ini menjelaskan kaum lelaki diiktiraf sebagai ketua bersesuaian dengan kelebihan fizikal dan ketahanan mental yang dimiliki oleh kaum lelaki. Pentafsiran ayat ini menjelaskan bahawa kaum lelaki diciptakan oleh Allah bersesuaian dengan fitrahnya, mempunyai obligasi terhadap kaum wanita dengan berfungsi memberi perlindungan dan pengawasan dan menyediakan keperluan hidup. Hakikat ini telah dijelaskan oleh Allah S.W.T dalam al-Quran yang bermaksud:

….Dan isteri-isteri itu mempunyai hak yang sama seperti kewajiban yang ditanggung oleh mereka (terhadap suami) dengan cara yang sepatutnya (dan tidak dilarang oleh syara`); dalam pada itu orang lelaki (suami isteri itu) mempunyai satu darjat kelebihan atas orang perempuan (isterinya)…
(al-Baqarah:228)

Sayyid Qutb dalam tafsirnya Fi Zilali al-Quran menjelaskan bahawa Allah telah menciptakan manusia terdiri daripada lelaki dan wanita sebagai sepasang suami isteri mengikut sistem hidup rabbani. Peraturan inilah yang menjadi sempadan memelihara fitrah dan potensi-potensi yang ada pada lelaki dan perempuan supaya mereka dapat berfungsi melaksanakan tugas mengikut kebolehan masing-masing. Oleh yang demikian adalah adil bagi Allah meletakkan tanggungjawab kepada kaum lelaki untuk menyediakan keperluan-keperluan asas rumah tangga dan memberi perlindungan kepada isi keluarganya. Atas alasan inilah maka kaum lelaki lebih wajar memegang tampuk kepimpinan dalam institusi kekeluargaan. Oleh kerana tanggungjawab dan bebanan tugas yang berat diberikan kepada kaum lelaki maka bersesuaianlah kuasa wali diberikan kepada kaum lelaki.

Justeru itu, di antara dalil-dalil yang menjadi hujjah jumhur ulama’ yang menekankan kepada keperluan wali dalam sesuatu perkahwinan berasaskan kepada hadis Nabi S.A.W. seperti berikut:

1. Maksudnya: Nabi S.A.W. pernah berkata ”Tidak sah nikah, melainkan dengan wali”.

2. Daripada `Aishah R.A. bahawa Nabi S.A.W. bersabda, maksudnya: Mana-mana perempuan yang berkahwin tanpa izin walinya maka nikahnya adalah batal, nikahnya adalah batal, nikahnya adalah batal, jika suaminya menyetubuhinya maka ia mendapat mahar kerana dihalalkan kemaluannya, dan jika mereka berselisih maka Sultan (Penguasa) adalah wali mereka bagi mereka yang tidak ada wali.

3. Dalam keterangan hadis yang lain, Ibn Majah, Daraqutni meriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A. bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda:
Hadis Abu Hurairah, maksudnya: ”Perempuan (tidak sah) mengahwinkan dirinya sendiri. Sesungguhnya penzina ialah orang yang mengahwinkan diri sendiri”.

Menyentuh persoalan tentang perwalian, al-Shawkani (1759-1839) dalam kitabnya “al-Badr al-Tali` bi Mahasin min Ba`d al-Qarn al-Sabi`” menjelaskan jumhur yang terdiri daripada salaf dan khalaf berpendapat, keizinan wali merupakan satu keperluan dalam perkahwinan bagi seseorang perempuan. Bahkan menurut Ibn al-Munzir berdasarkan pengetahuan beliau, para sahabat Nabi tidak berselisih pendapat dalam masalah ini (keperluan tentang wali).

(Abu Rushd)

No comments:

`Ibrah Covid 19. Suluhan Daripada Perspektif Islam

Assalamualaikum dan bertemu lagi. sudah lama saya tidak menjengok ke blogni. Harini rasa bersemangat semula untuk melihat blog yang sudah se...