Saturday, May 17, 2008

Bagaimana Insan Berinteraksi Sesama Insan


Bismillahirrahmanirrahim


Assalamualaikum. Terima kepada para pembaca atau yang sudi berkunjung ke blog ini. Saya kongsikan kepada anda semua berkaitan artikel ini. Semoga mendapat manfaat yang sebaiknya. Doakan kepada saya semoga diberikan kekuatan oleh Allah untuk terus menulis melalui medium blog ini. Semoga Allah memberkati usaha kecil ini.


Kehidupan manusia di atas muka bumi ini bukanlah hanya bertujuan semata-mata untuk memenuhi survival melangsungkan kehidupannya sebagai makhluk seperti makan, minum, berkeluarga, mengembangkan zuriat, bermasyarakat dan sebagainya. Keperluan yang dinyatakan tersebut hanyalah bersifat menyempurnakan masalah asasi yang dihajati oleh manusia. Objektif yang perlu dicapai oleh manusia dari perspektif konsep pandangan hidup muslim lebih tinggi dan murni dari keperluan tersebut. Insan yang diciptakan Allah dan mendapat kedudukan yang istimewa di sisi makhluk lain perlu memelihara status kedudukan ini. Meskipun begitu, kegagalan manusia memenuhi tanggungjawabnya sebagai insan dalam kaca mata Islam akan meruntuhkan pengiktirafan tersebut sehingga darjat manusia sama sahaja dengan status haiwan. Analogi manusia yang bersifat sedemikian digambarkan dalam al-Quran,


Allah S.W.T berfiman:


Maksudnya: Dan sesungguhnya kami jadikan untuk (isi neraka Jahannam) kebanyakan dari jin dan manusia, mereka mempunyai hati, tetapi tidak dipergunakannya untuk memahami (ayat-ayat Allah) dan mereka mempunyai mata (tetapi) tidak dipergunakannya untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah), dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakannya untuk mendengar (ayat-ayat Allah). mereka itu sebagai binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. mereka Itulah orang-orang yang lalai.
(al-`Araf:179)


Dalam konteks agama Islam, ruanglingkup amalannya perlu diharmonikan dengan nilai-nilai murni yang perlu dihayati dan dibudayakan oleh setiap individu muslim agar kejayaan yang ingin dicapai benar-benar menepati falsafahnya. Keperluan kepada nilai tersebut adalah penting kepada setiap insan dalam merangka blue print kehidupan manusia yang seimbang dari aspek rohani, spritual dan intelektual. Dalam mengurus institusi manusia amnya, elemen agama, akhlak dan etika perlu diberi keutamaan. Elemen-elemen yang dinyatakan ini menjadi asas yang bersifat fundamental dalam proses membangunkan nilai-nilai kemanusiaan yang positif. Ia perlu diolah secara kreatif dan komprehensif supaya pemahaman nilai-nilai murni yang berteraskan nilai rohaniah dapat diseimbangkan dengan faktor pematuhan, penghayatan dan pengamalan.
Banyak kepincangan yang berlaku dalam institusi masyarakat antaranya adalah disebabkan oleh mengutamakan nilai materialistik, bersifat ananiah (individualistik), terpengaruh dengan faktor peredaran semasa serta nilai-nilai negatif yang lain. Oleh yang demikian, tidak menghairankan sekiranya pihak pemerintah begitu menekankan penghayatan nilai-nilai murni dalam kalangan masyarakat. Realitinya, kepentingan nilai-nilai murni perlu dijadikan agenda keutamaan dalam proses membangunkan institusi manusia. Hal yang demikian disebabkan agama adalah kemuncak keutamaan bagi manusia dan agama juga menjadi petunjuk hakiki kepada kejayaan yang dikecapi oleh manusia.


Meskipun nilai-nilai murni dilihat sebagai subjektif, namun mengetepikan nilai-nilai moral rohaniah akan menjadi pembangunan insan tidak bersifat holistik. Ini kerana, dengan mengabaikan nilai-nilai luhur yang mempengaruhi tingkahlaku manusia ia akan memberi dampak yang negatif kepada kerangka perhubungan manusia sesama manusia secara bersepadu. Justeru itu, nilai murni yang bersumberkan nilai rohaniah menjadi formula yang terbaik untuk mendidik masyarakat tentang nilai-nilai fitrah kemanusiaan yang murni, menyedarkan manusia tentang hak dan obligasi sosial yang lain.

Masyarakat yang dididik dengan lokus kawalan nilai-nilai murni akan berjaya mencipta budaya masyarakat penyayang dan bertoleransi terhadap kepelbagaian dan perbezaan agama dan budaya. Oleh yang demikian, budaya penyayang dalam institusi masyarakat yang dijalin dengan nilai insaniah yang murni tidak mungkin menyuburkan nilai-nilai negatif seperti berfikiran jumud, hasad dengki, bersifat cauvinis, individualistik, materialistik dan sebagainya. Penyatuan di antara kelompok etnik yang berlainan seperti yang berlaku di antara kaum Ansar dan Muhajirin menjalinkan ukhuwwah al-Islamiah dan mengukuhkan lagi jaringan interaksi sosial menjadi bukti kepada konsep persaudaraan yang dislogankan oleh Islam.


Dalam kaca mata Islam, sistem perhubungan sosial perlu dijalinkan dengan dua pra syarat utama. Pertama, melalui pemeliharaan semangat persaudaraan (ukhuwwah), kerjasama dan pertautan kasih sayang di antara sesama muslim. Kedua, pemeliharaan hak, obligasi dan kehormatan individu yang merangkumi dalam ruang lingkup maqasid syariyyah iaitu darah, harta, maruah, akal dan sebagainya. Atas kepentingan yang telah dijelaskan tersebut, sekiranya berlaku pelanggaran atau pencerobohan ke atas syarat-syarat tersebut secara rigidnya perbuatan tersebut dihukum sebagai haram. Balasan yang diterima ini adalah bersesuaian kesengsaraan dan kerugian yang ditimbulkan yang boleh memberi impak dari aspek moral atau material ke atas individu yang terlibat. Gambaran ini telah dijelaskan oleh Allah S.W.T dalam al-Quran:


Maksudnya: Orang-orang beriman itu sesungguhnya bersaudara. sebab itu damaikanlah (perbaikilah hubungan) antara kedua saudaramu itu dan takutlah terhadap Allah, supaya kamu mendapat rahmat. Hai orang-orang yang beriman, janganlah sekumpulan orang laki-laki merendahkan kumpulan yang lain, boleh jadi yang ditertawakan itu lebih baik dari mereka. dan jangan pula sekumpulan perempuan merendahkan kumpulan lainnya, boleh jadi yang direndahkan itu lebih baik. dan janganlah suka mencela dirimu sendiri dan jangan memanggil dengan gelaran yang mengandung ejekan. seburuk-buruk panggilan adalah (panggilan) yang buruk sesudah iman dan barangsiapa yang tidak bertaubat, Maka mereka Itulah orang-orang yang zalim. Hai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan sangka (kecurigaan), kerana sebagian dari sangka itu dosa. dan janganlah mencari-cari keburukan orang dan janganlah menggunjingkan satu sama lain. Adakah seorang diantara kamu yang suka memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya. dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang.
(al-Hujurat:10-12)


Berdasarkan kepada maksud ayat al-Quran tersebut, Allah S.W.T secara tegas menjelaskan bahawa setiap individu muslim adalah bersaudara di antara satu sama lain yang dilabelkan sebagai saudara seagama dan mempunyai ikatan kemanusia yang kuat. Konsep persaudaraan unggul yang disyorkan oleh Islam adalah berteraskan kepada nilai-nilai kasih sayang yang sukar digugat oleh elemen-elemen yang boleh mengeruhkan dan memutuskan tali persaudaraan yang dijalin dengan ikatan keagamaan. Sikap positif seperti saling menyayangi, bantu membantu, bersatu padu dan nilai-nilai murni yang lain. Penciptaan masyarakat yang berkonsepkan masyarakat madani yang dididik dengan ajaran Islam yang hakiki akan menyedarkan masyarakat tentang hak dan tanggungjawab sosial yang perlu ditunaikan.

Sehubungan dengan itu, penilaian nilai-nilai murni terhadap konsep ”Khalifah al-Ard” pula membawa pengertian bahawa objektif utama insan diutuskan bertujuan untuk memakmurkan bumi. Melalui konsep ini (raison d`entre) secara tidak langsung manusia dianggap sebagai pemegang amanah untuk menguruskan sumber yang telah dianugerahkan oleh Allah S.W.T untuk membangun peradaban manusia yang sejahtera. Islam telah memberi petunjuk dan bimbingan kepada manusia bagaimana untuk memimpin dan menguruskan sumber alam yang ada dan mengagihkan sumber tersebut secara adil untuk tujuan kemakmuran manusia. Oleh itu, segala tindak tanduk manusia dalam sistem perhubungan sesama manusia perlu terarah kepada pembangunan insaniah yang bersumberkan kepada al-Quran dan al-Hadith.

Manusia diutuskan ke alam ini ialah untuk mengabdikan diri secara mutlaknya dengan mengerjakan ibadah kepada Penciptanya. Atas kapasitinya sebagai Khalifatulard, sudah tentulah arah tujunya perlu difokuskan kepada strategi pembangunan insan dalam ruanglingkup dimensi rohaniah dan jasmaniah menurut kerangka keagamaan Islam. Khalifah merupakan pengiktirafan anugerah yang tertinggi diberikan kepada manusia berbanding dengan makhluk lain. Pengiktirafan ini dirakamkan oleh al-Quran seperti firman Allah S.W.T. :

Maksudnya: ”Dan sesungguhnya telah kami muliakan anak-anak Adam, kami angkut mereka di daratan dan di lautan, kami beri mereka rezeki dari yang baik-baik dan kami lebihkan mereka dengan kelebihan yang sempurna atas kebanyakan makhluk yang telah kami ciptakan.”
(al-Isra’:70)


Berdasarkan ayat tersebut, Allah S.W.T telah memberi penghormatan kepada manusia sebagai pemimpin di atas bumi ciptaan Allah ini. Berasaskan kepada kefahaman ini, penterjemahan khalifah ini merangkumi makna menguasai dan memerintah atas fungsinya sebagai al-Qiyadah. Atas sifatnya yang sedemikian, maka Allah menundukkan seluruh alam ini kepada manusia demi untuk melangsungkan peradabannya. Ia dijelaskan dalam al-Quran melalui firman Allah S.W.T:

Maksudnya: ”Tidakkah kamu perhatikan sesungguhnya Allah telah menundukkan untuk (kepentingan)mu apa yang di langit dan apa yang di bumi dan menyempurnakan untukmu nikmat-Nya lahir dan batin. Dan di antara manusia ada yang membantah tentang (keesaan) Allah tanpa ilmu pengetahuan atau petunjuk dan tanpa Kitab yang memberi penerangan.”
(Luqman: 20)

Dalam ayat yang lain Allah S.W.T berfirman:
Maksudnya: ”Dan kepada Tsamud (Kami utus) saudara mereka Shaleh. Shaleh berkata: "Hai kaumku, sembahlah Allah, sekali-kali tidak ada bagimu Tuhan selain Dia. dia Telah menciptakan kamu dari bumi (tanah) dan menjadikan kamu pemakmurnya, kerana itu mohonlah keampunan-Nya, kemudian bertaubatlah kepada-Nya, Sesungguhnya Tuhanku amat dekat (rahmat-Nya) lagi memperkenankan (doa hamba-Nya)."
(Hud: 61)

Fakh al-Razi dalam mengulas ayat tersebut, beliau menjelaskan penciptaan fizikal alam ini adalah diciptakan untuk faedah manusia dan manusia dianugerahkan keupayaan dan inovasi bagi memakmurkan bumi ini. Menurut al-Jassas pula, demi melangsungkan survival kehidupan di muka bumi ini, manusia bertanggungjawab sepenuhnya untuk memakmurkan alam melalui proses pembangunan fizikal yang merangkumi aktiviti perekonomian, pertanian, sektor pembinaan dan sebagainya.


Bagi menyubur dan memantapkan lagi sistem interaksi sosial manusia ia perlu diadun dengan nilai akhlak Islam. Doktrin akhlak bertindak sebagai sumber kuasa rohaniah berfungsi mengawal seseorang muslim daripada melakukan sesuatu perbuatan atau tingkah laku yang keji menurut pertimbangan agama. Akhlak juga memandu manusia kepada perilaku yang bersifat mahmudah. Secara fitrahnya, pembangunan insan yang berorietasikan nilai-nilai akhlak yang luhur tidak akan wujud kontradiksi dan konflik (disequilibirium) dengan kepentingan asas manusia disebabkan perkara tersebut telah diberi jaminan daripada Ilahi kepada hamba-hamba-Nya yang bertaqwa.


Oleh yang demikian, pembangunan manusia yang mengutamakan orientasi nilai akhlak yang murni akan memberi impak yang positif terhadap penyempurnaan kesejahteraan manusia dalam pelbagai aspek kehidupan. Melalui penetrasi nilai-nilai murni dalam diri individu muslim yang bersumberkan akhlak Islamiyyah akan mengelakkan mereka daripada dicemari dengan nilai-nilai mazmumah seperti sombong, pentingkan diri, hasad dengki, tidak amanah, rasuah dan sebagainya yang akhirnya mendorong melakukan pengkhianatan dan kerosakan atas muka bumi (fasad). Islam jelas bersikap tegas terhadap nilai-nilai negatif yang boleh mencemarkan keharmonian sistem perhubungan manusia.


Al-Quran begitu memberi penekanan kepada persoalan pembentukan akhlak dalam kehidupan manusia. Semua ketentuan yang berkaitan nilai-nilai murni dalam domain akhlak berasaskan kepada ketetapan yang ditentukan oleh syara`. Islam tidak hanya melihat dan menilai personaliti manusia dari aspek zahiriah semata-mata tetapi juga mengambilkira aspek personaliti dalaman (batiniah) manusia. Keseimbangan personaliti manusia dari sudut zahiriah dan batiniah yang diikat dengan nilai akhlak akan menggerakkan manusia bertindak secara positif mengikut tatacara yang telah ditentukan oleh Islam. Dalam al-Quran didapati banyak ayat-ayat yang menyeru manusia mengutamakan nilai-nilai luhur sebagai asas yang menjadi pegangan manusia. Di antara Allah S.W.T berfirman:


Maksudnya:(Tidak demikian) bahkan barangsiapa yang menyerahkan diri kepada Allah, sedang ia berbuat kebajikan, Maka baginya pahala pada sisi Tuhannya dan tidak ada kekhuatiran terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati.
(al-Baqarah:112)

Dalam ayat lain Allah S.W.T menjelaskan:


Maksudnya: Dia-lah yang menurunkan al Kitab (al Quran) kepada kamu. Di antara (isi) nya ada ayat-ayat yang muhkamaat, Itulah pokok-pokok isi Al qur'an dan yang lain (ayat-ayat) mutasyaabihaat. adapun orang-orang yang dalam hatinya cenderung kepada kesesatan, maka mereka mengikuti sebahagian ayat-ayat yang mutasyaabihaat daripadanya untuk menimbulkan fitnah untuk mencari-cari ta'wilnya, padahal tidak ada yang mengetahui ta'wilnya melainkan Allah. Dan orang-orang yang mendalam ilmunya berkata: "Kami beriman kepada ayat-ayat yang mutasyaabihaat, semuanya itu dari sisi Tuhan kami." dan tidak dapat mengambil pelajaran (daripadanya) melainkan orang-orang yang berakal. (Mereka berdoa): "Ya Tuhan kami, janganlah Engkau jadikan hati kami cenderung kepada kesesatan sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami rahmat dari sisi Engkau; Kerana Sesungguhnya Engkau-lah Maha pemberi (kurnia)"."Ya Tuhan kami, Sesungguhnya Engkau mengumpulkan manusia untuk (menerima pembalasan pada) hari yang tak ada keraguan padanya". Sesungguhnya Allah tidak menyalahi janji.
(Ali-Imran: 7-9)


Berpandukan kepada kenyataan firman Allah S.W. T. tersebut jelaslah bahawa seorang muslim yang mukmin sentiasa taat kepada perintah Allah dan sentiasa melazimi kehidupannya dengan nilai-nilai murni yang baik seperti yang diutarakan oleh Islam. Individu mukmin yang memiliki ciri-ciri ketaqwaan yang tinggi kepada Allah S.W.T sentiasa berhati-hati dan berwaspada terhadap tindak-tanduk yang dilakukannya kerana ianya akan dinilai oleh Allah S.W.T. Setiap tindak balas rangsangan manusia sama ada yang bersifat personal, sosial ataupun memenuhi keperluan yang lain seperti politik, muamalah, kenegaraan dan sebagainya perlu ditunjangi dengan nilai-nilai luhur yang berlatarbelakangkan akhlak Islam. Oleh yang demikian, jelaslah bahawa akhlak yang mengandungi elemen-elemen rohaniah berfungsi memerihalkan prinsip-prinsip tata kelakukan manusia dan menjelaskan sifat-sifat tercela yang perlu dijauhkan oleh manusia. Pensyariatan akhlak ini mempunyai fungsi yang tinggi iaitu untuk membersihkan qalbu manusia melalui penyucian jiwa (tazkiah al-nafs) berasaskan kepada petunjuk wahyu. Melalui proses ini, ia dapat membersihkan jiwa dan fizikal manusia daripada cenderung kepada tingkahlaku yang mazmumah dan secara tidak langsung akan mengangkat martabat manusia mencapai tingkatan yang tinggi dalam usaha mencari rahmat dan keredhaan Allah S.W.T.


Pandangan generalisasi akhlak dalam ruanglingkup Islam tidak hanya terhad kepada perlakuan zahiriah yang boleh dilihat dengan pandangan mata kasar manusia semata-mata. Seorang sarjana Islam Rafik Issa Beekun, memberi ulasan bahawa akhlak perlu dilihat sebagai etika peraturan kepada tata kelakuan muslim yang merangkumi keseluruhan aspek kehidupan. Muslim yang berakhlak mulia dapat dilihat daripada perbuatan, pemikiran dan jiwanya cenderung kepada perkara kebaikan dan kebajikan serta benci kepada kemungkaran. Individu yang bersifat sedemikian dianalogikan sebagai limau yang harum dan manis. Ia bukan sahaja bermanfaat kepada dirinya tetapi juga memberi manfaat kepada orang lain. Mereka juga mempunyai adab yang tinggi, budi bicara yang berhemah, hati budi yang luhur, bijaksana dan nilai-nilai terpuji yang lain.



Al-Quran memerihalkan konsepsi etika mempunyai relevansi dengan nilai akhlak, sebagaimana firman Allah S.W.T.:
Maksudnya: Dan sesungguhnya kamu benar-benar berbudi pekerti yang agung.
(al-Qalam:4)

Berdasarkan firman Allah S.W.T tersebut dapat difahami bahawa keunggulan akhlak yang dimiliki oleh Nabi Muhammad S.A.W sebagai penawar yang agung bagi merawat penyakit jiwa yang dihadapi oleh manusia. Keindahan dan kemurnian akhlak yang ditunjukkan oleh Rasulullah S.A.W berjaya mengatasi nilai-nilai keji yang menjadi amalan masyarakat Jahiliah dan baginda juga berjaya membentuk dan mengembangkan empayar generasi muslim yang bersifat kewilayahan. Meskipun begitu, apa yang begitu mengkagumkan warisan yang ditinggalkan oleh Rasulullah S.A.W, baginda juga berjaya memperluaskan pengaruh empayar yang bersifat ma`nawi iaitu pembinaan modal insan yang mengutamakan nilai-nilai akhlak dalam kalangan masyarakat Islam. Lihat sahajalah keperibadian yang dimiliki oleh para sahabat baginda seperti Khulafa’ al-Rashidin dan generasi yang selepasnya. Produk masyarakat yang dihasilkan oleh Nabi Muhammad s.a.w. merupakan satu institusi komuniti sosial yang beretika dan berakhlak mulia serta bersatu padu di bawah satu sistem politik, sosial dan ekonomi. Tanpa akhlak yang mantap, nilai kemanusiaan yang diasaskan oleh Nabi S.A.W akan hancur dan menyebabkan nilai-nilai kebendaan akan menguasai manusia. Nilai akhlak dianggap sebagai kawalan sosial bagi masyarakat Islam dalam tindak tanduk dan perilaku dalam kehidupan seharian.

-AbuRushd-

No comments:

`Ibrah Covid 19. Suluhan Daripada Perspektif Islam

Assalamualaikum dan bertemu lagi. sudah lama saya tidak menjengok ke blogni. Harini rasa bersemangat semula untuk melihat blog yang sudah se...