Monday, April 14, 2008

pengenalan siasah Islam

DEFINISI DAN KONSEP POLITIK ISLAM


Dalam menghadapi arus dunia yang serba moden dan canggih ini, seseorang individu ataupun masyarakat haruslah mempersiapkan diri dengan ilmu pengetahuan yang tinggi dengan mengambil kira ilmu kedunian dan juga akhirat. Begitu juga dalam hal-hal yang berkaitan dengan urusan-urusan negara, sama ada dalam bidang politik dan pentadbiran, ekonomi dan juga social. Seharusnya urusan-urusan ini ditadbir dengan menitik beratkan ilmu-ilmu agama disamping tidak mengabaikan ilmu keduniaan. Sebagai contoh dalam urusan politik dan pentadbiran haruslah seimbang perlaksaannya dari segi kedua-dua aspek tersebut.

Politik Islam merupakan suatu system pemerintahan dan pentadbiran negara yang berlandaskan kepada nilai-nilai agama. Politik Islam ini lahir daripada aspirasi Al-Quran dan As-Sunnah serta tidak melupai hokum-hukum yang telah diputuskan oleh ijmak sahabat dan juga ijtihad para ulama’. Politik Islam lahir daripada penghayatan seseorang individu itu terhadap agama Islam, yang mana ia berhubung kait dengan ketatanegaraan. Oleh sebab itulah di dalam Islam, politik tidak boleh dipisahkan dari agama.

Namun begitu, jika diteliti konsep politik yang dinyakan oleh para sarjana Barat, jelas menampakkan adanya pemisahan antara agama dengan politik. Allah SWT yang berperanan sebagai pencipta alam, langsung tidak disentuh apabila membincangkan soal kedaulatan. Perbezaan inilah yang menjadi garis pemisah antara system politik Islam dengan system politik Barat.

Islam sebenarnya tidak pernah mengenepikan tentang kepentingan rakyat dalam menentukan kedaulatan sesebuah negara. Namun kepentingan yang ada ditangan rakyat itu tidak boleh digunakan dengan sewenang-wenangnya tanpa mempedulikan kedaulatan Allah SWT.

Al-Maududi dalam karyanya menyatakan bahawa tidak seorangpun yang berhak mengeluarkan sesuatu hokum dalam sesuatu perkara yang hukumnya telah dikeluarkan oleh Allah SWT dan rasul-Nya, kerana jika seseoang pemimpin itu menjalankan pentadbiran yang menyimpang jauh daripada hokum Allah dan rasul-Nya, maka ia boleh menjejasan keimanan seseorang. Perkara ini telah dijelaskan sendiri oleh Allah SWT di dalam al-Quran surah al-Ahzab ayat 36 yang bermaksud:

“Dan tidaklah patut bagi laki-laki mukmin dan tidakpula bagi perempuan mukminah, apabila Allah dan Rasul-Nya telah menetapkan suatu ketetapan, akan adabagi mereka pilihan yang lain tentang urusan mereka dan barangsiapa menderhakai Allah dan Rasul-Nya maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang nyata”.

Ayat ini telah menjelaskan bahawa konsep kedaulatan Islam sentiasa dikawal dan terbimbing jika ianya berpandukan al-Quran dan al-Sunnah. Pentadbiran yang tidak terkawal dan hanya mengikut hawa nafsu semata-mata akan mewujudkan ketidakstabilan dan kemusnahan dalam kehidupan manusia itu sendiri.

Sementara itu, ilmu politik Islam pula merupakan ilmu yang menghuraikan tentang teori-teori politik Islam dan system politik Islam. Manakala dari segi perlaksanaan pula, para pemimpin telah menjalankan tugas pemerintahan dan pentadbiran mengikut peraturan yang telah ditetapkan di dalam al-Quran.

Teori politik Islam adalah berasaskan wahyu dan panduan daripada Allah SWT. Ia telah dilaksanakan sejak zaman pemerintahan Rasulullah SAW lagi. Kemudian disambung pula oleh khalifah-khalifah Islam selepasnya. Melalui perbahasan dan perlaksanaannya dalam system pentadbiran negara, teori politik Islam terus berkembang sebagai teori yang mantap dan terbukti keunggulannya dalam sejarah pemerintahan dan politik Islam.

Menurut Al-Maududi lagi, konsep politik Islam yang sebenarnya diasaskan berdasarkan kepada tiga prinsip utama iaitu tauhid, risalah dan khalifah. Tauhid merupakan suatu pengakuan manusia terhadap keesaan Allah SWT. Ia menjadi titik permulaan keada segala kegiatan manusia khususnya dalam melaksanakan pentadbiran Islam. Sifat-sifat kesempurnaan yang dimiliki oleh Allah SWT haruslah diakui oleh manusia. Allah SWT merupakan nadi penggerak utama dalam segala kegiatan politik dan Dia juga yang paling layak mengatur system politik yang paling sesuai dengan fitrah semulajadi manusia.

Manakala risalah pula merupakan hokum-hakam Allah SWT yang berkaitan dengan segala aspek kehidupan, bukan sahaja dalam bidang politik tetapi juga dalam pelbagai disiplin ilmu yang lain. Ia diterima melalui wahyu dan disampaikan oleh Rasulullah SAW dan ditulis dalam al-Quran dan As-Sunnah. Rasulullah SAW telah menunjukkan satu contoh teladan yang unggul bagaimana politik itu harus dilaksanakan. Be;iau merupakan seorang pemimpin yang pertama dan juga menjadi pengasas kepada perlaksanaan politik dan pentadbiran Islam.

Prinsip yang ketiga adalah khalifah. Khalifah merupakan seseorang yang dilantik serta dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan amanah Allah SWT. Manusia merupakan khalifah Allah SWT di atas muka bumi ini yang dilantik untuk menjalankan segala urusan pentadbiran berlandaskan undang-undang yang telah ditetapkan di dalam al-Quran dan As-Sunnah.

Jelaslah di sini bahawa panduan serta peraturan yang dilaksanakan dalam pentadbiran negara mestilah bersandarkan kepada ajaran Al-Quran dan As-Sunnah. Ini penting untuk memastikan perjalanan pentadbiran sesebuah negara berjalan dengan lancer dan sempurna. Tanpa prinsip-prinsip utama ini, sudah tentu manusia tidak akan dapat merasai kenikmatan kehidupan di dunia dan juga pembelaan di akhirat nanti. (Abu Rushd)

2 comments:

Abu Rushd said...

Saya mohon supaya saudara mengupas topik ini dengan panjang lebar kerana ia sangat baik

Abu Rushd said...

Terima, kasih memang menjadi hasrat saya doakan insyallah saya akan tunaikan permintaan saudara

`Ibrah Covid 19. Suluhan Daripada Perspektif Islam

Assalamualaikum dan bertemu lagi. sudah lama saya tidak menjengok ke blogni. Harini rasa bersemangat semula untuk melihat blog yang sudah se...