Selamat Datang

Selamat datang saya ucapkan kepada pengunjung ke blog ini. Ia bertujuan untuk mengeratkan lagi hubungan silaturrahim sesama saudara kita dan berkongsi sedikit ilmu berkaitan dengan Islam. Semoga ianya mendapat keberkatan dan keredhaan daripada Ilahi. Semoga mendapat manfaat daripadanya

About Me

My Photo
Abu Rushd Penulis berkaitan isu-isu agama

Tuesday, April 22, 2008

Pengenalan Masyarakat Jahiliah



Masyarakat Arab Jahiliah Sebelum Islam

Sekiranya dianalisa daripada intipati-intipati yang terdapat dalam al-Quran secara literalnya terdapat 4 (empat) ciri-ciri yang terdapat pada masyarakat Jahiliah yang dapat disimpulkan seperti berikut:

Zaman yang tidak mempunyai nabi dan kitab suci sebagai garis panduan dan petunjuk.

Zaman yang tidak mempunyai nilai-nilai peradaban/tamadun yang unggul.

Zaman di mana masyarakat yang tidak mempunyai nilai-nilai etika akhlak/moral yang murni sebaliknya mempunyai sikap yang angkuh dan bongkak.

Zaman masyarakat yang jahil dibelenggu dengan pemikiran yang jumud dan lesu dari aspek intelektual serta keilmuan.

Ciri-ciri yang dinyatakan di atas terdapat pada orang Arab sebelum kelahiran agama Islam. Justeru itu, dapat dirumuskan sekiranya elemen-elemen yang dinyatakan tersebut terdapat pada mana-mana masyarakat atau zaman, maka boleh diklasifikasikan sebagai masyarakat Jahiliah. Nilai-nilai negatif yang disentuh oleh al-Quran merupakan norma kehidupan masyarakat yang tidak bertamadun. Aspek-aspek kerohanian dan pembangunan insan yang positif tidak dapat diterima oleh masyarakat tersebut. Manusia pada zaman tersebut terpesong dari aspek akidah yang betul dan terpengaruh dengan kecenderungan hawa nafsu.


Secara amnya, al-Quran tidak menentukan secara tepat permulaan pasca era Jahiliah. Walau bagaimanapun, al Quran hanya menyentuh ungkapan Jahiliah secara umum iaitu masyarakat sebelum lahirnya ajaran Islam. Begitu juga, kebanyakan kamus-kamus arab mendefenisikan istilah Jahiliah merujuk kepada zaman sebelum Islam.

Asal usul bangsa Arab terbahagi kepada tiga komponen bangsa besar iaiitu bangsa al’Arabaa’, bangsa al-`Aaribah dan bangsa al-Musta`rabah. Menurut kebanyakan para pengkaji sejarah Semenanjung Tanah Arab, zaman yang dikategorikan sebagai zaman Jahiliah iaitu selepas kejatuhan dan keruntuhan kerajaan Saba’. Justeru itu, zaman Jahiliah berlaku selama tiga abad iaitu apabila jatuhnya kerajaan Saba’ (bangsa Arab Muta`arabah) dan kerajaan Himyar, sekitar 300M sehingga turun al-Quran dan kerasulan Nabi Muhammad s.a.w pada (610M). Sepanjang tempoh zaman Jahiliah, komuniti masyarakat tersebut berada dalam kekufuran dan kesesatan serta keangkuhan sebagaimana yang digambarkan dalam al-Quran. Mereka bukan sahaja mengalami zaman keruntuhan dari aspek agama bahkan merangkumi sistem politik, ekonomi, perundangan, sosial dan juga ilmu pengetahuan.

Umumnya, bangsa arab sebelum kedatangan Islam terbahagi kepada 2 kelompok besar iaitu arab badawi (tinggal di desa) dan arab hadhari (tinggal di bandar).Kedua-dua kelompok masyarakat tersebut memiliki latarbelakang, mentaliti, pengaruh persekitaran, kebudayaan dan norma-norma hidup yang berbeza. Perbezaan ini berlaku disebabkan corak kehidupan dan pengalaman hidup yang berbeza di antara satu sama lain.

Kelompak arab badawi merupakan kaum yang dominan di kalangan masyarakat arab. Kebanyakan kaum ini tinggal di desa, padang pasir, berdekatan dengan gunung-gunung atau di lereng-lereng bukit. Kegiatan ekonomi masyarakat tersebut dengan memelihara binatang ternakan seperti unta, kambing dan sebagainya. Unta merupakan haiwan ternakan yang penting pada ketika itu kerana digunakan sebagai kemudahan logistik di kawasan padang pasir yang luas. Kebanyakan masyarakat arab yang dikategorikan sebagai badawi dari kalangan bangsa Arab Hijaz dan Najd.




Oleh kerana kondisi masyarakat arab badawi yang serba kekurangan dan tidak memiliki sumber ekonomi yang stabil menyebabkan berlakunya konflik di antara puak antara satu sama lain. Pertelingkahan ini berlaku disebabkan keperluan hidup, keinginan menguasai sesuatu wilayah, sebagai lambang kekuasaan dan kemegahan atau untuk membalas dendam. Justeru itu, kebanyakan dari masyarakat tersebut sanggup melakukan sesuatu perkara yang dikatakan mencabuli hak kemanusiaan seperti berperang, merompak, menyamun, membunuh, melakukan kekacauan dan perkara-perkara lain. Kondisi dan situasi masyarakat ini menyebabkan diri mereka diasuh dengan sifat-sifat berani, tidak mudah berputus asa, berdikari, tegas dan sanggup menghadapi sebarang cabaran.

Bagi masyarakat yang tinggal di bandar dikenali sebagai arab hadhari. Kegiatan ekonomi terdiri daripada hasil perniagaan yang dijalankan masyarakat setempat. Kehidupan masyarakat tersebut lebih teratur dan tersusun berbanding dengan kehidupan masyarakat badawi. Kegiatan ekonomi, politik dan sosiobudaya yang terancang dapat membentuk sebuah masyarakat yang kuat dan mempunyai jati diri yang tinggi sesuai.

Secara keseluruhannya, bersesuaian dengan persekitaran iklim dan keadaan semulajadi Semenanjung Tanah Arab ia banyak mempengaruhi personaliti dan tingkah laku masyarakat arab. Sikap seperti kuat bekerja, berani dan sentiasa berpindah dari satu tempat ke satu tempat merupakan ciri-ciri yang dimiliki oleh masyarakat badawi. Masyarakat arab mempunyai semangat asabiah (kepuakan) yang tinggi di kalangan mereka. Bagi masyarakat tersebut, pertalian darah di antara satu sama lain merupakan ikatan pertalian persaudaraan yang kukuh dan tidak mudah untuk diputuskan atau diganggu oleh orang asing. Sentimen kepuakan yang tinggi menyebabkan hubungan sesama puak sangat akrab seperti hubungan saudara dan ia dianggap sebagai satu perkara yang sensitif. Oleh yang demikian sekiranya hubungan ini dicabuli oleh pihak asing boleh mengakibatkan berlakunya pergaduhan dan pembunuhan dan boleh berlarutan sehingga mencetuskan peperangan,

No comments: