PANDANGAN ISLAM TERHADAP PERUBATAN TRADISIONAL MELAYU
Pada prinsipnya, amalan perbomohan menurut perspektif Islam mestilah didasari dengan sumber-sumber yang pasti sama ada dari al-Quran dan al-Sunnah serta sumber-sumber perundangan yang diiktiraf oleh Islam. Sekiranya berlaku kontradiksi dengan prinsip akidah Islam maka amalan tersebut dianggap terkeluar dari landasan Islam. Sebagai contoh dalam amalan mantera dan jampi serapah, kandungan isi mantera perlu jelas dan terang dan perkataan yang digunakan tidak mengandungi konotasi atau elemen yang mempersekutukan kekuasaan Allah.
Penggunaan perkataan roh, penunggu atau makluk lain dengan tujuan bersahabat atau meminta bantuan tidak dibenarkan dalam amalan perubatan. Rawatan yang menggunakan bantuan makluk seperti jin atau umumnya dikenali sebagai syaitan bertentangan dengan prinsip akidah Islam. Menurut al-Alusi dalam karangannya “Ruh al-Ma`ani”, amalan bertaqarrub (mendekatkan) diri dengan makhluk halus boleh berlaku dalam tiga keadaan. Pertama, melalui perkataan seperti jampi yang mengandungi elemen-elemen syirik serta pujian kepada syaitan di atas bantuannya. Kedua, melalui perbuatan seperti menyembah cakerawala, sentiasa dalam keadaaan melakukan dosa dan kefasikan. Ketiga, melalui kepercayaan seperti sangkaan baik terhadap amalan yang dilakukan untuk mendekatkan diri kepada syaitan. Justeru itu, bantuan dan harapan hanyalah bersandarkan kepada Allah di samping usaha-usaha yang dilakukan.
Dalam buku yang ditulis oleh Dr. Nazih Hammad bertajuk “Penggunaan Bahan-Bahan Yang Haram dan Najis Dalam Makanan dan Ubat-Ubatan”, beliau menukilkan bahawa penggunaan ubat-ubatan dalam rawatan tradisional mestilah tidak mengandungi bahan-bahan yang diharamkan oleh syara`. Berubat dengan menggunakan bahan yang diharamkan merupakan satu perbuatan yang keji dari sudut hukum akal dan perspektif syara`. Contohnya, memberi pesakit memakan daging ular, katak bertanduk atau haiwan-haiwan berbisa untuk tujuan penyembuhan. Menggunakan arak dan dicampur dengan ramuan herba-herba yang lain untuk tujuan perubatan. Oleh yang demikian, bomoh perlu memastikan tidak menggunakan bahan-bahan terlarang dalam merawat pesakit.
Menurut Ibn al-Qayyim al-Jauziah dalam penulisannya “al-Tibb al-Nabawi”, asas perubatan Islam yang diwarisi daripada Nabi Muhammad S.A.W diklasifikasikan kepada tiga bahagian seperti berikut:
Pertama: perubatan secara alamiah (tabie).
Perubatan secara tabie tidak bertentangan dengan kehendak syara`. Terdapat juga sebahagian daripada penawar diwahyukan kepada Nabi. Sebagai contoh, keistimewaan madu lebah sebagai penawar kepada penyakit dirakamkan oleh al-Quran. Firman Allah S.W.T yang bermaksud:
“ Kemudian makanlah dari segala jenis bunga-bungaan dan buah-buahan (yang engkau sukai), serta turutlah jalan-jalan peraturan Tuhanmu yang diilhamkan dan dipermudahkan kepadamu”. (Dengan itu) akan keluarlah dari badannya minuman (madu) yang berlainan warnanya, yang mengandungi penawar bagi manusia (dari (pelbagai penyakit)
(al-Nahl:69)
Al-Quran juga menjelaskan kepada Nabi tentang persoalan kesihatan yang berkaitan dengan aspek pemakanan. Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak disembelih) dan darah (yang keluar mengalir), dan daging babi (termasuk semuanya), dan binatang-binatang yang disembelih kerana yang lain dari Allah, dan yang mati tercekik, dan mati dipukul, dan mati jatuh dari tempat yang tinggi, dan yang mati ditanduk, dan yang mati dimakan binatang buas, kecuali yang sempat kamu sembelih (sebelum habis nyawanya), dan yang disembelih atas nama berhala; dan diharamkan juga kamu bertenung nasib dengan undi batang anak panah.”)
(al-Maidah:3)
Pada dasarnya, perubatan secara alamiah terbahagi kepada tiga kaedah. Asas perubatan ini bersandarkan kepada sebuah hadis Nabi yang bermaksud:
“Dari Sa`id bin Jubair, dari Ibn Abbas, dari Nabi S.A.W, baginda bersabda yang bermaksud: Penyembuhan (perubatan) terletak kepada tiga cara: minum madu, (goresan) pisau pembekam dan keadah pemanasan dengan api. Dan aku melarang umatku berubat dengan menggunakan kaedah penyembuhan dengan api”.
(Bukhari)
Berdasarkan kepada hadis tersebut, kaedah rawatan bagi penyakit dikategorikan kepada tiga peringkat iaitu:
i. Kaedah menggunakan madu dalam rawatan
ii. Kaedah berbekam
iii. Kaedah berubat dengan pembakaran dengan api
Meskipun begitu, kaedah ketiga iaitu berubat dengan panas api tidak digalakkan oleh Nabi. Kalimah “aku melarang umatku menggunakan kaedah pembakaran api” menunjukkan bahawa kaedah rawatan dengan cara menggunakan api panas adalah merupakan usaha rawatan yang terakhir dan tidak boleh dilakukan secara terburu-buru. Namun begitu, sekiranya keadaan penyakit tidak dapat disembuhkan melalui kaedah (i) dan (ii), maka jalan terakhir kaedah iii boleh dilaksanakan. Ini kerana, kaedah ini menimbulkan kesakitan kepada pesakit.
Kedua: Perubatan secara ruqyah (kerohanian)
Kaedah rawatan yang kedua ini berasaskan doa yang dipetik dari al-Quran dan al-Sunnah. Banyak peristiwa yang menjelaskan tentang keharusan pemakaian ruqyah dalam merawat penyakit. Dalam al-Quran, Allah SWT berfirman yang bermaksud:
“Dan Kami turunkan al-Quran menjadi penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman dan al-Quran itu tidaklah menambah kepada orang-orang yang zalim selain kerugian.”
(al-Isra’: 82)
Ketiga: Kombinasi perubatan secara alamiah dengan perubatan berasaskan ruqyah
Kaedah ini juga pernah diamalkan oleh Nabi Muhammad S.A.W dan para sahabat. Keistimewaan yang terdapat dalam perubatan Nabi, sistem perubatan ini merupakan i ubat yang efektif untuk merawat penyakit kerohanian dan penyakit kejiwaan yang sukar untuk disembuhkan oleh perubatan moden. Ini, kerana perubatan Nabi mengandungi rahsia yang bersifat Ilahi dan ianya datang dari Pencipta sekelian makhluk.
Setelah dianalisis amalan perbomohan Melayu tradisonal kebanyakannya bersumberkan kepada sistem perubatan Nabi. Meskipun begitu, terdapat juga amalan perbomohan di kalangan pengamal perubatan tradisional Melayu masih lagi dipengaruhi dengan amalan nenek moyang yang mempunyai elemen magis. Malah segelintir individu bomoh masih menerima pakai amalan memohon bantuan makhluk halus, roh nenek moyang, roh para wali dan sheikh dalam merawat pesakit. Dalam istilah perbomohan, ketentuan ini dikenali sebagai “bersahabat” atau menggunakan perkhidmatan “khadam”. Ia bermaksud, bomoh akan meminta bantuan dari makhluk halus dalam proses penyembuhan atau untuk memudharatkan orang lain. Menurut al-Syahid Dr. Abdullah Yusuf Asma dalam bukunya “Akidah Asas Wawasan Ummah”, amalan ini jelas bercanggah dengan Islam.
Islam juga melarang sebarang bentuk kepercayaan yang mempunyai unsur-unsur khurafat dan tahyul kerana boleh menyebabbkan seseorang itu cenderung kepada perbuatan syirik. Sebagai contoh, ada dalam kalangan individu berjumpa bomoh untuk mendapatkan pandangan tentang jodoh pilihannya kerana dibimbangi pasangan tersebut tidak akan bahagia. Malah ada yang sanggup berjumpa bomoh untuk menghancurkan kebahagian rumah tangga orang lain kerana bermotifkan dendam. Dalam soal ekonomi, individu tertentu mendapatkan bantuan bomoh untuk mendapatkan tangkal atau azimat supaya perniagaanya maju. Terdapat juga di kalangan peniaga mendapatkan pelaris, tangkal atau azimat yang berbentuk angka-angka atau rajah-rajah tertentu dan gambar seseorang tokoh bertujuan untuk menarik pelanggan ke premis perniagaanya. Selain itu, ada juga yang mendapatkan khidmat bomoh untuk merosakkan manusia seperti sihir dan santau. Semua amalan ini merosakkan akidah umat Islam dan dilaknat oleh Allah. Islam melarang sebarang bentuk pencerobahan ke atas jiwa manusia. Ini kerana objektif perubatan Islam adalah untuk tujuan kebaikan dan dilarang secara mutlak menggunakan ilmu tersebut untuk tujuan jahat seperti dendam, menakut-nakutkan orang lain atau untuk mendapat keistimewaan dalam kalangan masyarakat.
Dalam al-Quran Allah S.W.T. berfirman yang maksudnya:
“Katakanlah,"Tidak ada seorangpun di langit dan di bumi yang mengetahui perkara yang ghaib, kecuali Allah", dan mereka tidak mengetahui bilakah mereka akan dibangkitkan.
(an-Naml:65)
KESIMPULAN
Sistem perubatan tradisional Melayu merupakan khazanah warisan perubatan nenek moyang silam yang sangat berharga kepada generasi pada masa kini. Meskipun begitu, realiti yang berlaku pada hari ini, masyarakat Melayu pada masa sekarang masih lagi cenderung mendapatkan perkhidmatan bomoh dalam merawat sakit demam. Dalam konteks perbomohan pula, para pengamal perubatan tradisional perlu berhati-hati dalam memastikan bahawa setiap amalan yang dilakukan untuk merawat pesakit perlu bebas dan suci daripada elemen-elemen yang boleh mengundang kepada unsur-unsur syirik seperti puja memuja dan memanggil ruh tertentu dan sebagainya. Di samping itu, para pengamal perubatan tradisional juga perlu beretika dalam memberi perkhidmatan mereka kepada masyarakat dan tidak menyalahgunakan ilmu tersebut ke jalan yang salah. Ini kerana, amalan perbomohan yang masih lagi terikat dengan unsur-unsur animisme dan berpegang kepada adat-adat yang bertentangan dengan falsafah syariat Islam perlu ditolak sama sekali.
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera. Blog ini bertujuan untuk berkongsi ilmu dengan pembaca budiman tentang keindahan dan kemurnian ajaran Islam. Diharapkan percambahan ilmu ini dapat membantu para pembaca untuk memahami asas pengajaran agama Islam. Pembaca dialu-alukan untuk memberi sebarang komen bagi memantapkan lagi pengisian blog ini. sekian terima kasih- (Abu Rushd)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
`Ibrah Covid 19. Suluhan Daripada Perspektif Islam
Assalamualaikum dan bertemu lagi. sudah lama saya tidak menjengok ke blogni. Harini rasa bersemangat semula untuk melihat blog yang sudah se...
-
Bismillahirrahmanirrahim Assalamualaikum & Salam Sejahtera Bertemu lagi dalam ruangan blog. Rasanya sudah lama saya tidak memasukkan art...
-
Konsep Insan Islam sebagai ad-din yang ditaja oleh Allah bersifat universal merupakan sistem tatacara hidup yang sempurna dan komprehensif. ...
-
KEPENTINGAN KONSEP PERSAUDARAAN DALAM ISLAM Secara konseptualnya, persaudaraan (ukhuwwah) merupakan asas kepada kesatuan umat ma...
No comments:
Post a Comment