Konsep Umum
Fenomena globalisasi yang melanda dunia pada hari ini sudah tentu memberi kesan dan dampak dalam pelbagai dimensi seperti ekonomi, politik, kebudayaan dan keagamaan serta keilmuan. Negara Malaysia juga tidak terkecuali daripada menerima gelombang globalisasi yang mewarnai dunia. Antara kesan kehadiran globalisasi terhadap peradaban manusia ialah penonjolan hak asasi kaum wanita . Pada zaman silam, wanita hanya dilabelkan sebagai orang yang layak duduk di ceruk dapur sahaja (Sabitha Marican, 1998). Kini perubahan masa dan zaman yang mempengaruhi kehidupan manusia dan secara tidak langsung mempengaruhi nilai-nilai dalam institusi kekeluargaan. Dalam situasi tertentu, tuntutan hidup yang tinggi di kota metropolitan dan perubahan ekonomi memaksa kaum wanita untuk terus bekerja bagi membantu kewangan keluarga (Mazidah Zakaria, 1981). Justeru, dalam kehidupan masyarakat moden pada hari ini, wanita memainkan peranan penting dalam pembangunan negara (Rozi Bainun, 2003). Menurut Shamsudin Bardan, Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia dipetik daripada Berita Harian bertarikh 5 Mei 2005 dalam ruangan “Dalam Negeri” menjelaskan penyertaan golongan wanita dalam sektor pekerjaan adalah sebanyak 47 peratus daripada lima juta wanita dalam negara yang bekerja. Situasi ini menunjukkan bilangan wanita yang bekerja di Malaysia adalah satu fenomena yang biasa.
Sehubungan dengan itu, taraf pendidikan tinggi (Muhammad Abdul Rauf, 1997) dan permintaan sumber manusia yang semakin meningkat membuka peluang untuk wanita bersaing dengan kaum lelaki (Raja Rohana Raja Mamat, 1991) dalam dunia pekerjaan. Bagi wanita yang telah berkahwin dan bekerjaya, mereka mempunyai bebanan tanggungjawab yang berat di mana tugas keibuan perlu dimbangi dengan tugas kerja harian (Wanita, 2005). Di tempat kerja si ibu perlu melakukan tugas yang telah diamanahkan oleh majikan dengan seoptimum mungkin. Apabila pulang dari tempat kerja si ibu terpaksa mengurus keluarga, mengasuh anak, memasak, membasuh dan pelbagai tugas lagi. Cabaran dan rintangan yang terpaksa dihadapi bagi ibu bekerjaya memerlukan semangat juang ketabahan yang tinggi. Dalam hal ini, pengurusan keluarga secara kolektif antara suami dan isteri merupakan elemen penting dalam memastikan pengurusan rumah tangga tidak diabaikan. Tanggungjawab suami dan isteri membina keluarga dan memelihara keutuhan rumah tangga adalah merupakan keperluan asasi yang perlu dipertahankan (Mohammad Mahdi Syamsu al-Din, 1971).
Islam sebagai al-din yang lengkap mempunyai tata cara yang tersendiri dalam merangka pembentukan institusi kekeluargaan. Pembahagian bidang tugas suami isteri dalam sesebuah rumah sebagaimana ditegaskan oleh Baginda S.A.W dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Umar (Sahih Muslim, 1972) yang bermaksud:
“Tiap-tiap orang kamu adalah penjaga, dan tiap-tiap orang daripada kamu bertanggung jawab terhadap apa yang dipertanggungjawabkan. Lelaki itu penjaga di kalangan ahlinya dan bertanggungjawab terhadap mereka. Wanita itu penjaga dalam rumah tangga suaminya dan anaknya dan dia bertanggungjawab terhadap mereka. Khadam itu penjaga terhadap urusan harta benda tuannya dan ia dipertanggungjawabkan terhadapnya. Tiap-tiap orang daripada kamu adalah penjaga dan dipertanggungjawabkan terhadap orang yang di bawahnya.”
Oleh yang demikian, bagi memastikan pengurusan rumah tangga dalam suasana yang harmoni, sikap toleransi dan saling memahami di antara suami dan isteri merupakan kunci utama yang efektif. Suami tidak boleh lepas tangan dan hanya bergantung kepada isteri semata-mata untuk mengurus hal ehwal dalam rumah. Mentaliti yang menggambarkan bahawa kerja-kerja di rumah hanya akan merendahkan martabat lelaki perlu dikikis. Bukan satu perkara yang jelik sekiranya suami bertolak ansur dalam kerja yang dilakukan oleh isteri. Sebagai contoh, tugas memasak, membasuh pakaian, mencuci pingan, menjaga anak dan tugas rutin harian rumah tangga boleh dilakukan secara bersama atau berseorangan bergantung kepada situasi keadaan. Secara tidak langsung pertolongan yang diberikan akan menambahkan lagi rasa kasih sayang serta penghargaan isteri terhadap suami. Bantuan tersebut adalah satu manifestasi kasih sayang yang akan menarik perhatian isteri terhadap suami dan keluarga seluruhnya Mustafa, (1995). Tanpa sifat toleransi di antara pasangan menyebabkan berlakunya konflik yang mengeruhkan interaksi perhubungan suami isteri dan seterusnya boleh menjejaskan kualiti pengurusan rumahtangga. Situasi ini boleh meningkatkan tekanan di kalangan kaum ibu yang bekerja disebabkan tugas pengurusan hal ehwal rumahtangga dibebankan secara mutlak oleh suami kepada si isteri.
Dalam konteks pendidikan anak-anak, si ibu perlu memberikan fokus yang semaksima mungkin dalam mengikuti perkembangan anaknya dari aspek fizikal, rohani dan psikologi. Tidak dinafikan kesibukan ibu yang bekerja sudah tentulah tidak dapat memberi perhatian yang optimum terhadap anak-anaknya dan menjejaskan fungsinya dalam menguruskan rumahtangga. Meskipun begitu, kerjaya bukanlah penghalang utama bagi seseorang wanita dalam menguruskan rumahtangga. Menurut Salmi Jalina Jalil, (Wanita, 2005) Kaunselor di Bahagian Pembangunan Keluarga, Lembaga Penduduk & Pembangunan Keluarga Negara, dalam pengurusan keluarga seorang ibu perlu bijak membahagikan masa. Sebagai contoh, sekalipun si ibu sibuk, ibu perlu meruangkan masa sekurang-kurangnya lima minit untuk menghubungi anaknya di pejabat. Pada peringkat pembentukan fisiologi kanak-kanak, mereka tidak mengharapkan material daripada ibu bapa untuk mengisi kekosongan jiwa mereka. Sebaliknya, perhatian dan kasih sayang yang ditunjukkan oleh ibu kepada anak merupakan sentuhan yang ajaib dalam membentuk keperibadian kanak-kanak tersebut. Justeru itu, tidak wajarlah tugas mendidik anak diserahkan secara berterusan kepada pembantu rumah tanpa ada sedikit penglibatan daripada pihak ibu. Harus diingat anak merupakan anugerah Ilahi yang tiada nilai dengan harta benda.
Justeru, pengurusan rumahtangga di kalangan wanita yang bekerja bukanlah merupakan penghalang cita-cita untuk menjadi seorang ibu yang mithali. Namun begitu, pengorbanan yang tinggi diperlukan oleh seseorang ibu dalam membahagikan masa dalam menguruskan rumah tangga dan mendidik anak-anaknya. Sebagai buktinya, terdapat ramai ibu-ibu mithali yang bekerja berjaya membentuk keluarga dan mendidik anak-anak mereka sehingga berjaya keseluruhannya. Natijahnya, kepuasan dan kebanggaan seorang isteri ialah apabila beliau dapat mengecapi kebahagiaan rumahtangga yang dibina dan melihat anak yang dilahirkannya menjadi insan yang cemerlang, gemilang dan terbilang. Sebaliknya, hati seorang ibu akan hancur berkecai bak kaca yang terhempas ke bumi apabila melihat masa depan rumahtangganya menanti kehancuran meskipun beliau amat cemerlang dalam karier yang diceburinya. (Abu Rushd)
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera. Blog ini bertujuan untuk berkongsi ilmu dengan pembaca budiman tentang keindahan dan kemurnian ajaran Islam. Diharapkan percambahan ilmu ini dapat membantu para pembaca untuk memahami asas pengajaran agama Islam. Pembaca dialu-alukan untuk memberi sebarang komen bagi memantapkan lagi pengisian blog ini. sekian terima kasih- (Abu Rushd)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
`Ibrah Covid 19. Suluhan Daripada Perspektif Islam
Assalamualaikum dan bertemu lagi. sudah lama saya tidak menjengok ke blogni. Harini rasa bersemangat semula untuk melihat blog yang sudah se...
-
Bismillahirrahmanirrahim Assalamualaikum & Salam Sejahtera Bertemu lagi dalam ruangan blog. Rasanya sudah lama saya tidak memasukkan art...
-
Konsep Insan Islam sebagai ad-din yang ditaja oleh Allah bersifat universal merupakan sistem tatacara hidup yang sempurna dan komprehensif. ...
-
KEPENTINGAN KONSEP PERSAUDARAAN DALAM ISLAM Secara konseptualnya, persaudaraan (ukhuwwah) merupakan asas kepada kesatuan umat ma...
No comments:
Post a Comment