Pengenalan Keusahawanan Dalam Islam
Secara prinsipnya, sistem keusahawanan menurut perspektif Islam mengandungi garapan tentang prinsip-prinsip muamalah yang bersifat dinamis dan dikodifikasikan sebagai peraturan perekonomian yang sentiasa memenuhi kehendak dan realiti sosio ekonomi masyarakat semasa. Dengan lain perkataan ia dapat difahami bahawa sifat normatif yang menjadi kerangka sistem keusahawanan perlu berasaskan kepada tuntutan al-Quran dan panduan yang ditinggalkan oleh Rasulullah S.A.W. Sehubungan dengan itu, dalam disiplin perundangan Islam, persoalan keusahawanan lazimnya diklasifikasikan di bawah komponen fiqh muamalah. Dalam perbincangan disiplin tersebut, ia menjelaskan tentang interaksi muamalah manusia secara global berasaskan doktrinisasi tauhid iaitu konsep hablumminannas dan hablulumminallah. Melalui proses ini kepentingan peribadi manusia dapat diselaraskan secara harmoni dengan kepentingan umum masyarakat yang berpotensi untuk mewujudkan keadilan dan nilai-nilai murni dalam sistem keusahawanan Islam.
Sekiranya dibuka lipatan sejarah dunia Islam silam Nabi Muhammad S.A.W. pernah terlibat secara langsung dalam bidang keusahawanan. Asas keusahawanan yang ditinggalkan oleh Nabi Muhammad S.A.W. boleh dijadikan panduan kepada manusia untuk merangka sistem keusahawanan yang dinamik dan mengenalpasti batasan gelagat manusia yang menguruskannya. Oleh kerana bidang keusahawanan dan perniagaan memberi sumbangan yang besar dalam memacu perkembangan ekonomi masyarakat maka Islam bersikap positif terhadap aktiviti sedemikian.
Sehubungan dengan itu, keunikan yang terdapat dalam sistem keusahawanan Islam disebabkan ia bukan hanya berasaskan kepada observed principles atau teori ekonomi ciptaan manusia semata-mata sebaliknya ia diadunkan dengan reavealed principles (wahyu). Melalui kombinasi kedua-dua elemen tersebut ia membentuk disiplin keusahawanan yang bercitrakan Islam dan menjadi panduan dan peraturan kepada gelagat hidup manusia untuk berinteraksi sesama manusia dan juga Penciptanya. Secara tidak langsung ia dapat membentuk Blueprint Economy yang strategik dan dalam masa yang sama masyarakat Islam dapat mengelakkan daripada kegiatan ekonomi yang menyimpang daripada prinsip Islam.
Oleh kerana sistem keusahawanan perlu diikat dengan prinsip-prinsip teologis maka sudah tentulah setiap aktiviti keusahawanan perlu didominasi dengan nilai-nilai murni. Ini kerana, nilai-nilai murni yang berorientasikan prinsip syariat dan akhlak akan mencerminkan tahap ketaqwaan seseorang muslim. Atas kepentingan inilah Islam menyeru pengikutnya mengaplikasikan nilai-nilai mulia dalam setiap tindak tanduk yang dilakukan. Umpamanya, berakhlak mulia, beretika, mengukuhkan perasaan persaudaraan, tolong menolong, bersimpati terhadap golongan yang lemah dan sebagainya.
Al-Quran secara jelas mengkritik golongan manusia yang bertindak melakukan penyelewengan dan mengabaikan nilai-nilai murni dalam setiap aktiviti perniagaan. Golongan ini melakukan penipuan dan penindasan dalam perniagaan disebabkan keuntungan merupakan objektif yang penting dalam hidup mereka. Sikap sedemikian dicela oleh al-Quran sebagaimana dapat dilihat dalam firman Allah S.W.T yang bermaksud:
“ Celakalah untuk tiap-tiap orang pengumpat dan pencela yang mengumpul harta benda dan menghitung-hitungkannya, tidakkah ia mengira bahawa hartanya itu akan mengekalkannya di dunia ini?”
(104:1-3)
Dalam surah yang lain, Allah S.W.T berfirman yang bermaksud:
“Perlumbaan memperbanyakkan harta dan anak-anak telah melalaikan kamu (iaitu mengabaikan nilai-nilai yang lebih mulia) sehingga kamu masuk kubur”
(102: 1-2)
Secara amnya, aktiviti pengumpulan harta sangat dituntut oleh Islam, meskipun begitu ia perlu berjalan atas landasan order yang adil dan tidak berlaku kontradiksi dengan kepentingan umum manusia. Justeru itu, Islam telahpun menyediakan satu garis panduan berkaitan bentuk-bentuk perniagaan yang dihalalkan dan melarang aktiviti perniagaan yang mempunyai unsur-unsur yang diharamkan. Oleh yang demikian seseorang usahawan yang mengabaikan nilai-nilai murni dalam kegiatan perniagaannya akan mendedahkan dirinya melakukan perkara yang boleh merosakkan kepentingan masyarakat dan merampas hak orang lain. Di samping itu juga, nilai-nilai negatif yang diamalkan oleh sebahagian daripada usahawan secara tidak langsung boleh merosakkan akhlak dalam sesebuah masyarakat. Menginsafi hakikat ini menyebabkan Islam mengharamkan perbuatan yang bercanggah dengan norma-norma masyarakat dan agama seperti amalan riba, tipu helah, judi, sorok barang dan pelbagai lagi. Islam juga melarang penganutnya daripada melakukan pembaziran. Sebagai contoh, menggunakan pinggan yang diperbuat daripada emas untuk hidangan makanan kerana ia boleh mengundang kepada perasaan sombong, riak dan sebagainya.
Natijahnya, keusahawanan yang bercitrakan kerangka Ilahi akan membentuk satu sistem perekonomian yang mengutamakan prinsip keadilan dan kesaksamaan serta nilai-nilai murni yang positif. Justeru itu, nilai-nilai murni yang berorientasikan prinsip akhlak yang terpancar melalui aktiviti keusahawanan akan meninggalkan kesan yang praktikal dalam kehidupan seseorang. Dalam masa yang sama ia bertindak sebagai tenaga kawalan dalaman dalam diri seseorang dalam setiap tingkah laku. Atas kesedaran inilah para usahawan perlu memberi penekanan terhadap nilai-nilai murni dalam sebarang aktiviti ekonomi mereka seperti berakhlak terpuji, profesionalisme, keadilan, amanah, berintegriti, bersyukur, amanah, bertanggungjawab dan sebagainya. Pengabaian kepada penghayatan nilai-nilai murni tersebut akan melahirkan individu usahawan yang bersifat individualistik, materialistik, bersikap Michiavelli, mengejar jalan pintas untuk mengaut keuntungan sehingga sanggup membelakangkan nilai-nilai luhur agama dan kepentingan umum masyarakat. (Abu Rushd)
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera. Blog ini bertujuan untuk berkongsi ilmu dengan pembaca budiman tentang keindahan dan kemurnian ajaran Islam. Diharapkan percambahan ilmu ini dapat membantu para pembaca untuk memahami asas pengajaran agama Islam. Pembaca dialu-alukan untuk memberi sebarang komen bagi memantapkan lagi pengisian blog ini. sekian terima kasih- (Abu Rushd)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
`Ibrah Covid 19. Suluhan Daripada Perspektif Islam
Assalamualaikum dan bertemu lagi. sudah lama saya tidak menjengok ke blogni. Harini rasa bersemangat semula untuk melihat blog yang sudah se...
-
Bismillahirrahmanirrahim Assalamualaikum & Salam Sejahtera Bertemu lagi dalam ruangan blog. Rasanya sudah lama saya tidak memasukkan art...
-
Konsep Insan Islam sebagai ad-din yang ditaja oleh Allah bersifat universal merupakan sistem tatacara hidup yang sempurna dan komprehensif. ...
-
KEPENTINGAN KONSEP PERSAUDARAAN DALAM ISLAM Secara konseptualnya, persaudaraan (ukhuwwah) merupakan asas kepada kesatuan umat ma...
No comments:
Post a Comment