Selamat Datang

Selamat datang saya ucapkan kepada pengunjung ke blog ini. Ia bertujuan untuk mengeratkan lagi hubungan silaturrahim sesama saudara kita dan berkongsi sedikit ilmu berkaitan dengan Islam. Semoga ianya mendapat keberkatan dan keredhaan daripada Ilahi. Semoga mendapat manfaat daripadanya

About Me

My photo
Abu Rushd Penulis berkaitan isu-isu agama

Tuesday, April 22, 2008

Akhlak





Pengenalan Konsep Akhlak

Akhlak, yang merupakan unsur keperluan dalam melengkapkan umat manusia ke arah peradaban yang ideal dan unggul. Akhlak melambangkan keperibadian dan tatasusila sesuatu bangsa umat manusia dalam sesebuah peradaban. Nabi Muhammad s.a.w. merupakan manusia yang paling sempurna dan ideal dari aspek akhlak yang perlu dicontohi oleh umat manusia. Sifat Baginda yang tinggi budi pekerti, adab yang mulia, berintegriti, pemalu dan sebagainya diakui oleh umat Islam bahkan diiktiraf oleh pihak lawan. Keperibadian Baginda yang mulia telah melemahkan musuh Islam apabila berdepan dengannya.


Sebagai pemimpin agung, Baginda meletakkan akhlak sebagai batu asas dalam membentuk negara Islam yang bersepadu. Kombinasi elemen akhlak dan prinsip-prinsip asas kenegaraan diterapkan ke dalam setiap individu masyarakat, sama ada Islam atau bukan Islam dalam menjana masyarakat yang bertamadun. Produk masyarakat yang dihasilkan oleh Nabi Muhammad s.a.w. merupakan satu institusi komuniti sosial yang beretika dan berakhlak mulia serta bersatu padu di bawah satu sistem politik, sosial dan ekonomi. Tanpa akhlak yang mantap, nilai kemanusiaan yang diasaskan oleh nabi akan hancur dan menyebabkan nilai-nilai kebendaan akan menguasai manusia. Nilai akhlak dianggap sebagai kawalan sosial bagi masyarakat Islam dalam tindak tanduk dan perilaku dalam kehidupan seharian.

Rasulullah s.a.w telah memperlihatkan dua buah empayar terhebat dalam sejarah, pertama ialah empayar maknawi iaitu pembinaan jati diri dan akhlak mulia dalam peribadi muslim. Kedua ialah empayar kekuasaan negeri-negeri Islam dan pembinaan tamadun dunia terhebat dalam sejarah. Jarang sekali dalam sejarah, seorang pemimpin yang mengungguli kekuasaan dan pemerintahan dapat menyeimbangkan kedua-dua aspek kebendaan dan kerohanian dalam kerajaannya. Sebaliknya, Rasulullah s.a.w berjaya menghimpunkan empayar maknawi dan material itu sekaligus. Sesungguhnya ini merupakan suatu kemuliaan, dan keagungan ini sesuatu yang diakui oleh sesiapa jua sama ada yang Islam atau bukan Islam.

Noel Grove dalam National Geographic Atlas of World History menyatakan bahawa kerajaan Parsi, Mesir, Moroko (Maghribi) dan Sepanyol semuanya jatuh ke bawah kekuasaan Islam. Beliau menyebut, “Nevertheless, within a century after Muhammad’s death, calls to prayer five times a day could be heard from minarets from the Atlantic Ocean to the border of China, north into Spain and Russia. Arab fleets made the Mediterranean a Muslim sea. Islam spread southward into Indonesia through trade and missionary work.” Grove mengakui kelebihan budaya kehidupan yang dibentuk oleh Islam; kehidupan yang penuh dengan nilai-nilai ketuhanan dan kemanusiaan yang mulia seperti yang ditunjukkan oleh al-Quran al-karim. Dalam nada memuji, Grove berkata, “Perhaps the biggest impact of the Arab Empire was the cohesiveness it gave to culture. Arabic became the learned, and therefore the common language from Baghdad to the Alhambra in Spain. Over three continents, the faithful worshiped the same God, and lived by the same principles in the Koran.”

Pada zaman pra-Islam semangat yang ditunjukkan oleh para sahabat agung merupakan manifestasi kepada keberanian dan kepahlawanan serta diterjemahkan dalam tingkah laku dan keperibadian mereka. Sekiranya lipatan sejarah kaum muslimin terawal dibuka semula, kita pasti kagum dengan kehebatan generasi Islam terunggul itu. Generasi tersebut menjadi contoh teladan kepada para sarjana ilmu dan politik. Apa yang mereka lakukan sebenarnya ialah meletakkan kekuatan akhlak mengatasi lahiriah ilmu semata-mata dan meletakkan kekuatan akidah kebenaran mengatasi teori-teori falsafah dan pelbagai aliran mazhab. Tidak dapat disangkal baginda s.a.w. merupakan contoh terbaik mereka dalam keindahan akhlak dan budi pekerti. Firman Allah s.w.t

“Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) berada dalam akhlak yang paling mulia.” (al-Qalam, 68:4)
Antara sebab perutusan baginda s.a.w. ialah melengkap dan menyempurnakan akhlak manusia yang terpuji. Perkataan melengkapkan di sini jelas menunjukkan bahawa masyarakat jahiliyyah, di sebalik keruntuhan nilai akidah dan masalah sosialnya, juga memiliki peribadi-peribadi yang masyhur dengan sifat-sifat terpuji seperti penyayang, dermawan dan menghormati tetamu.

No comments: