Tuesday, May 13, 2008

Zakat Gaji dan Pendapatan


Zakat Gaji dan Pendapatan Profesional.

Pendahuluan

Kewajipan menunaikan zakat merupakan hak yang perlu ditunaikan. Harta-harta yang diwajibkan zakat seperti pertanian, binatang ternakan, emas dan perak, wang simpanan, perniagaan, harta karun (rikaz) dan yang terkini gaji/pendapatan. Dalam artikel ini, penulis hanya memfokuskan kepada persoalan konsep zakat gaji dan pendapatan profesional atau juga dikenali sebagai zakat penggajian. Ini disebabkan, perbincangan berkenaan zakat selain dari zakat gaji telah banyak dibincangkan dalam penulisan klasik mahupun kontemporari.


Dalil Berkaitan Zakat Gaji dan Pendapatan Profesional

Fatwa yang dikeluarkan negeri Perlis berkenaan zakat gaji, mendefisikan gaji sebagai:

“Gaji adalah pendapatan yang diperolehi seseorang melalui pekerjaannya secara langsung atau tidak langsung (Pencen, Imbuhan dan sebagainya) dengan pihak lain sama ada Kerajaan, Swasta atau orang perseorangan.”

Berdasarkan kepada pengertian tersebut gaji termasuklah imbuhan yang diterima oleh individu dari pihak majikan sama ada kerajaan atau swasta atau bekerja sendiri sama ada diterima secara langsung atau sebaliknya. Takrif ini termasuklah bayaran yang diterima atas perkhidmatan melalui pekerjaan secara sepenuh masa atau separuh masa.

Kewajipan zakat gaji dipetik berdasarkan firman Allah dalam al-Quran yang bermaksud:
“Ambillah (sebahagian) dari mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak buruk); dan doakanlah untuk mereka kerana sesungguhnya doa-doa itu menjadi ketetnteraman bagi mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”
(At-Taubah:103)

Dalil dari al-Quran ini dikuatkan lagi dengan hadis Nabi yang bermaksud:
“Sesungguhnya Allah mewajibkan ke atas mereka sedekah pada harta-harta mereka, diambil dari orang-orang kaya dan diberikan kepada golongan fakir miskin mereka.”
(Riwayat al-Bukhari)

Dalam istilah fiqh, al- Nawawi dalam kitabnya “al-Majmu`” pendapatan atau gaji dikenali sebagai “al-mal al-mustafad” iaitu perolehan baru yang bukan terhasil daripada perolehan sedia ada.

Isu tentang zakat gaji dan pendapatan professional sering dipolemikkan oleh para ulama’ pada satu ketika dahulu. Pelbagai tafsiran diberikan sehinggakan satu golongan berpendapat gaji dan pendapatan profesional tidak dikenakan zakat kerana perolehan tersebut bukan dalam bentuk simpanan. Meskipun terdapat perselisihan di kalangan ulama’ fiqh, pendapat yang dominan di kalangan para fuqaha’ bersetuju supaya gaji dan pendapatan profesional dikenakan zakat. Pandangan ini dijelaskan oleh sarjana kontemporari iaitu al-Qaradhawi. Pendapat pertama berpegang kepada pendapat Ibn Abbas, Ibn Masu`d dan Mua`wiyah. Pendapat kedua berdasarkan pandangan daripada sahabat iaitu Sayyidina Ali, Ibn Umar, Anas dan Aishah R.A. Pendapat yang terakhir diambil dari kalangan generasi tabi`in yang terdiri daripada Umar Ibn Abdul Aziz, Hassan al-Basri, az-Zuhri dan al-Auza`i. Sekiranya dianalisis dengan kritis semua pandangan tadi, para ulama telah bersetuju tentang kewajipan zakat pendapatan Cuma perbezaannya dari sudut teknikal terutamanya dalam bab haul. Dalam istilah perhukuman Islam “haul” bermaksud tempoh masa genap satu tahun. Malah para sarjana dalam era kontemporari ini juga bersetuju mewajibkan zakat gaji dan pendapatan seperti Abdul Rahman Hassan, Muhammad Abu Zahrah dan Abdul Khallaf. Oleh yang demikian, berdasarkan asas-asas pendalilan dan pandangan ulama’ dapat dirumuskan pelaksanaan zakat gaji dan pendapatan profesional adalah menjadi satu obligasi yang wajib.

Berpegang kepada gaji dan pendapatan profesional berasaskan mata wang, maka sudah tentulah ia tertakluk di bawah kaedah zakat wang. Realitinya, perkara ini telah berlaku sejak zaman Rasulullah S.A.W. Menurut al Nawawi dalam kitabnya “al-Majmu`” menjelaskan dalam teori mazhab Shafi`i, mata wang yang dikenakan zakat iaitu emas dan perak. Rasionalnya, pada zaman Nabi, selain daripada berfungsi sebagai barangan perhiasan, emas dan perak juga berperanan sebagai alat pertukaran dalam sistem muamalah khususnya dalam soal transaksi jual beli. Secara tidak langsung, ia mempunyai persamaan dengan fungsi wang ringgit yang digunapakai oleh masyarakat pada hari ini. Pada prinsip asalnya, zakat mata wang hanya dikenakan ke atas simpanan sekiranya memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan, bukannya dalam bentuk pendapatan. Menurut Prof. Dato’ Dr. Mahmood Zuhdi dalam artikelnya “Zakat Gaji dan Pendapatan Profesional Dari Perspektif Mazhab Shafi`i”, beliau menjelaskan zakat hanya dikenakan ke atas kumpulan wang lebihan dari belanja harian yang disimpan dan bukan tujuan untuk dilaburkan. Ini kerana, jika wang tersebut dilaburkan ia tidak lagi diklasifikasikan sebagai simpanan, tetapi menjadi modal pelaburan yang akan dikenakan zakat perniagaan.


Konsep Zakat Gaji dan Pendapatan Profesional

Peralihan zaman memperlihatkan bentuk sistem Institusi Baitulmal pada masa sekarang mengalami penstrukturan semula dari segi kaedah-kaedah dan prosedur-prosedur berbanding dengan bentuk asas Baitulmal pada masa silam. Realiti masyarakat pada masa sekarang lebih komplek berbeza dengan kondisi masyarakat silam yang bersifat simple. Oleh yang demikian dengan tercetusnya gagasan mewajibkan zakat ke atas gaji dan pendapatan profesional ia memberi impak yang positif kepada masyarakat Islam dan pembangunan negara amnya

Persoalan zakat gaji mula digagaskan oleh Prof. Dr. Yusof al-Qaradhawi yang beraliran Hanafi. Idea ini dilontarkan dalam penulisannya yang terkenal iaitu “fiqh Zakat”, beliau menganjurkan pembaharuan dalam persoalan zakat yang dilihat begitu relevan dalam dunia moden. Beliau melihat situasi pada hari ini tidak adil, di mana para petani yang miskin dikenakan zakat sedangkan pegawai yang bertaraf profesional diberi pengecualian daripada zakat dengan alasan tidak cukup haul. Oleh yang demikian, al-Qaradhawi menegaskan gaji dan pendapatan yang diterima oleh individu Islam setelah mencapai syarat-syarat yang ditentukan perlu dikenakan zakat. Hakikatnya, pendapatan dan perolehan yang dimiliki oleh golongan profesional jauh lebih tinggi berbanding dengan golongan petani.

Tidak dinafikan sumber perolehan yang meliputi gaji dan pendapatan profesional merupakan sebahagian sumber pendapatan utama masyarakat Islam. Oleh itu, amat bertepatan apabila para ulama’ di Malaysia mengambil langkah menguatkuasakan kewajipan zakat gaji ke atas setiap muslim yang berkelayakan. Usaha sedemikian amat bertepatan dengan objektif zakat untuk membasmi masalah kemiskinan yang membelenggu masyarakat Islam. Oleh yang demikian, dengan berkuatkuasa kewajipan zakat gaji dan pendapatan professional bagi individu yang layak secara tidak langsung dapat menyumbang ke arah membangunkan ekonomi umat Islam.



Senario di Malaysia, pemakaian mewajibkan zakat gaji dan pendapatan profesional telah dilaksanakan oleh kebanyakan negeri dalam tahun 1990-an. Sebagai contoh, pada 22 Jun 1997, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan telah memfatwakan bahawa zakat ke atas penggajian adalah wajib ke atas seseorang Islam yang layak dan negeri Kedah memasukkan zakat gaji dalam Warta Kerajaan pada 19 April 1986 dengan memperuntukkan seksyen 38 (2) Undang-Undang Pentadbiran Islam Kedah 1992 dalam Warta Kerajaan no. 146. Negeri Perlis juga melaksanakan kewajipan zakat gaji melalui fatwa yang dikeluarkan pada 20 Oktober 1991 yang diputuskan oleh Jawatankuasa Syariah.

Amalan di Perlis, Jawatankuasa Baitulmal telah menetapkan zakat gaji dan pendapatan dinilai berasaskan dua perkiraan. Pertama berasaskan kepada zakat pertanian. Dalam hal ini zakat gaji diandaikan termasuk dalam bahagian pertanian. Perkiraan ini berdasarkan seseorang mendapat hasil perolehan pada waktu tertentu iaitu ada musimnya. Pendapat ini bersandarkan firman Allah dalam al-Quran yang bermaksud:

“Makanlah dari buahnya ketika ia berbuah dan keluarkan haknya (zakat) pada hari memetik.”
(al-An`am:141)

Kedua, berasaskan kepada zakat emas dan perak. Zakat gaji diqiyaskan dengan zakat emas dan perak. Alasan ini bersandarkan realiti yang berlaku pada zaman Nabi di mana emas (dinar) perak (dirham) berfungsi sebagai instrumen kewangan Islam pada ketika itu. Apabila zaman berubah, wang emas dan perak ditukar bentuk kepada wang kertas namun dari ia masih lagi mengekalkan nilai emas pada wang kertas tersebut. Atas alasan tersebut, sewajarnya ia dimasukkan dalam zakat emas dan perak. Pendapat ini ditegaskan oleh para fuqaha’ silam seperti Imam Malik, Imam Shafi`i, Ibn Masu`d, Muawiyah dan Umar Ibn Aziz. Umumnya, kebanyakan Majlis Fatwa Negeri berpegang kepada kaedah-kaedah yang dinyatakan dalam mengimplementasikan kewajipan zakat gaji dan pendapatan professional.

Apa yang menariknya, individu muslim yang mengeluarkan zakat gaji dan pendapatan dikecualikan daripada cukai pendapatan. Perkara ini termaktub dalam Akta Cukai Pendapatan 1967. Perkara 6A(1) Akta Cukai Pendapatan memperuntukkan:
“Tertakluk kepada seksyen ini cukai pendapatan yang dikenakan bagi tahun taksiran atas pendapatan tiap-tiap orang individu yang bermastautin dalam tahun asas bagi tahun ini hendaklah direbatkan bagi tahun taksiran itu mengikut sub seksyen (3). Rebate hendaklah diberi bagi tahun taksiran untuk zakat fitrah dan lain tuntutan-tuntutan Agama Islam, yang mana pembayarannya wajib dan yang telah dibayar dalam tahun asas bagi tahun taksiran itu dan dibuktikan oleh resit yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa agama yang berkenaan yang ditubuhkan mengikut undang-undang bertulis.”


Pengiraan Kadar Zakat Gaji

Amalan di sebahagian negeri contohnya perlis, penaksiran zakat gaji dan pendapatan profesional kebiasaannya dinilai berasaskan zakat emas dan perak. Contoh :A.


PENDAPATAN 1. Gaji bulanan = RM 2,293.86 x 12 bulan = RM 27,526.322.

Elaun sebenar = RM 1,070.00 x 12 bulan = RM 12,840.00

Jumlah = RM 40,366.32


B. PERBELANJAAN


1. Diri = RM 5,000.00

2.Isteri = RM 3,000.00

3. Anak (1 orang) = RM 1,200.00

4. Pemberian kepada ibu bapa = RM 4,200.00

5. Perubatan = RM 200.00

6. Tabung Haji = RM 3,600.00

7. Hutang Darurat i. Kenderaan = RM 6,720.00

Jumlah = RM 23,920.00


Nota :Perkara 3,4,5,6 & 7 bergantung kepada perbelanjaan sebenar. C.BAKI YANG DIKENAKAN ZAKAT ( Pendapatan tolak Perbelanjaan )

1. Pendapatan = RM 40,366.32


2. Perbelanjaan = RM 23,920.00


Baki = RM 16,446.32


KADAR ZAKAT RM 16,446.32 x 2.5% = RM 411.16


(Zakat yang dikenakan pada tahun perkiaraan tersebut).


Kesimpulannya, kewajipan berzakat tidak terhad kepada kepada kategori pertanian, penternakan, perniagaan dan simpanan sahaja. Walaupun nas tidak menyebut secara jelas kewajipan menunaikan zakat gaji dan pendapatan profesional, namun ada dasar maslahah dan disokong dengan dalil yang lain menguatkan kewajaran mewajibkan zakat penggajian. Justeru itu, diharapkan pembaharuan dalam bidang zakat ini dapat memberi implikasi yang positif terhadap kemajuan umat Islam amnya. Secara tidak langsung sumber yang dizakatkan ini dapat disalurkan kepada golongan yang benar-benar memerlukannya.

Saturday, May 10, 2008

Tipu Daya Syaitan (Bah. 1)

Bismillahirrahmanirrahim

Bertemu lagi dalam ruangan penawar hati. Pertama sekali saya panjatkat kesyukuran kepada Allah S.W.T kerana taufiq dan rahmatnya dapat saya meluangkan masa untuk menulis dalam blog ini. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada pengunjung yang datang melawat ke laman ini semoga anda semua mendapat manfaat daripadanya dan sebarkanlah kepada saudara kita yang lain. Sekiranya ada komen saya sangat alu-alukan. Saya juga berdoa supaya Allah S.W.T memberikan saya satu sinergy untuk terus menyampaikan ilmu melalui pena maya ini. ( Abu Rushd)

Tipu Daya Syaitan

Sesungguhnya Syaitan itu adalah seteru yang nyata kepada anak cucu Nabi Adam A.S. sehinggalah hari akhirat. Syaitan tidak pernah berputus asa dalam mengatur plan strategik bagi menghancurkan kehidupan manusia di atas muka bumi ini. Ia tidak pernah mengenal erti putus asa dalam memesongkan akidah manusia sebagaimana perakuan jahatnya yang di buat di hadapan Allah S.W.T seperti yang telah dirakamkan dalam al-Quran. Justeru itu, manusia yang bersifat naif dan lemah perlu memohon perlindungan, kerahmatan, keredhaan dan dijauhkan daripada tipu daya syaitan. Hanya manusia yang mempunyai nilai ketaqwaan yang tinggi kepada Allah S.W.T sahaja yang berjaya mengatasi jerangkap samar yang dipasang oleh syaitan dalam usahanya mendorong kepada kejahatan dan kesesatan.

Imam al-Ghazali dalam penulisannya Minhaj al-`Abidin telah mengungkapkan di atara strategi tipu daya syaitan untuk menjauhkan diri manusia daripada mendekati Allah S.W.T seperti berikut:

1. Syaitan sentiasa berusaha keras melarang dan mendorong manusia supaya sentiasa menjauhkan dan mengelak daripada taat kepada perintah Allah S.W.T. Meskipun begitu, bagi manusia yang mendapat perlindungan dan kerahmatan Allah akan berjaya mengatasi bisikan pujuk rayu jahat tersebut dan berkata pada hatinya: Aku memerlukan pahala dan ganjaran daripada Allah S.W.T sebagai bekal dari alam dunia untuk di bawa ke kehidupan yang abadi di alam akhirat.

2. Syaitan sentiasa mendorong dan menyeru manusia agar berpaling daripada mentaati Allah S.W.T. Pelbagai kaedah yang digunakan antaranya seperti menghasut manusia menangguh dan melengahkan sesuatu urusan kewajipan, dengan memberi alasan masih lagi muda tunggulah sehingga tua. Bagaimanapun, manusia yang memiliki keimanan yang tinggi tidak mudah terpedaya dengan helah tersebut sebaliknya dengan tegas menolak dan meyakini; Sesungguhnya persoalan ajal bukan ditangannku tetapi ia ada urusan Allah, jika aku melengah-lengahkan tuntutan kewajipan agama (soalat, berpuasa dan amalan-amalan lain) dan menangguhkan di masa yang lain, sudah tentulah aku termasuk dalam golongan yang sentiasa dalam kerugian dan berkemungkinan aku akan terlepas peluang untuk menunaikannya. Realiti ini dirakamkan dalam al-Quran sebagaiman firman Allah S.W.T yang bermaksud : "Demi masa. Sesungguhnya manusia itu dalam kerugiaan...... (al-`Asr).

3. Syaitan amat senang dan suka kepada golongan manusia yang bersifat bergopoh-gapah dan terburu-terburu dalam melakukan amal soleh dengan membisikkan dalam qalbu (hati) manusia "Marilah mengerjakan ibadah dengan secepat mungkin (gopoh) supaya engkau dapat melakukan amal ibadah yang lain pula. Berbeza pula dengan manusia yang beriman, mereka akan menolakknya dan sentiasa berhati-hati dalam mengerjakan amal ibadah dan sentiasa menginsafi bahawasanya: Setiap amalan yang dilakukan perlu disempurnakan dengan penuh tertib dan tekun. Sedikit amalan yang dilakukan dengan penuh kesempurnaan dan tartil adalah lebih baik dan utama daripada mengerjakan banyak amal tetapi penuh dengan kecacatan dan terburu-buru.

Menyentuh tentang tabiat bergopoh-gabah dan terburu-terburu, sifat negatif sedemikian dicela oleh Nabi S.A.W dalam sebuah hadisnya yang bermaksud:
"Tergopoh-gapah itu daripada syaitan, kecuali dalam lima perkara iaitu: mengahwinkan anak dara sekiranya telah sampai waktunya. Menjelaskan hutang jika sudah sampai tempoh janjinya. Menyempurna dan mengebumikan jenazah jika sampai ajalnya. Bertaubat apabila melakukan dosa..

Bertemu pada bahagian ke-2

Abu Rushd

Wednesday, May 7, 2008

Apa Itu Globalisasi


Takrif Globalisasi

Globalisasi merupakan satu proses untuk meletakkan dunia di bawah satu unit yang sama tanpa dibatasi oleh sempadan dan kedudukan geografi sesebuah negara. Melalui proses ini, dunia akhirnya tidak lagi mempunyai sempadan dengan ruang udara dan langit sesebuah negara itu terbuka luas untuk dimasuki oleh pelbagai maklumat yang disalurkan menerusi perantaraan media komunikasi seperti internet, media elektronik, dan teknologi siber. Perkembangan ini memungkinkan perhubungan di antara sesebuah negara dengan negara yang lain dan perhubungan sesama manusia dapat dilakukan dalam tempoh yang singkat. Ianya juga dikatakan sebagai sebuah perkampungan global. Dunia yang besar dan luas ini telah menjadi seperti kampung yang mudah dihubungi dan dilawati dalam masa yang singkat.
Dr. Yusuf al-Qaradhawi, ia adalah seorang ulama yang terkenal, dan dikenali sebagai seorang pemikir Islam yang sangat sederhana serta sangat dihormati kesarjanaanya. Karya beliau yang berjudul Tamadun Islam Alternatif Masa Depan (terjemahan) mengatakan:

Kampung ini terus mengecil dan mengecil hingga menjadi mirip seperti sebuah lorong. Apa yang berlaku dihujung lorong boleh sampai kesannya ke hujung yang lain dalam masa beberapa saat sahaja.

Pelbagai definisi telah diberikan oleh sarjana dalam menjelaskan fenomena berat sebelah yang sedang melanda dunia hari ini, antaranya ialah:

· McLuhan dalam bukunya ‘Explorations in Communication’ (1960), beliau telah memperkenalkan perkataan ‘Perkampungan Global’ atau dikenali sebagai ‘Global Village’ berikutan kepada arus yang dibawa oleh teknologi tinggi seperti melalui pengangkutan dan telekomunikasi (Habibul Haque Khondker 1997).

· Menurut Kamus Dewan pula, globalisasi didefinisikan sebagai fenomena yang menjadikan dunia mengecil dari segi perhubungan manusia disebabkan kepantasan perkembangan teknologi maklumat.
· Manakala cendiakawan barat mentakrifkan globalisasi sebagai satu proses kehidupan yang serba luas dan infiniti merangkumi segala aspek kehidupan seperti politik, sosial dan ekonomi yang boleh dirasai oleh seluruh umat manusia di dunia ini. Ini bermakna segala-galanya menjadi milik bersama dalam konsep dunia tanpa sempadan.

· Prof. Hashim Musa (2001),[1] menyatakan: Globalisasi adalah penyebaran elemen yang perkasa ke atas sesebuah negara dan masyarakat serta mengubah institusi tersebut.

· Ziauddin Sardar[2] mengatakan globalisasi ialah satu proses ke arah menuju satu budaya massa yang menuntut agar negara-negara bangsa menerima kuasa autonomi dari negara berkuasa besar. Dengan kewujudan “international Community Order” maka wujud penyusunan semula diantara negara kecil yang saiz pertumbuhan ekonominya bersaiz besar dari sudut komuniti ekonomi.

· Menurut Prof. Mohamad Kamal Hasan pula, globalisasi adalah satu fenomena megatrend di abad baru yang diistilahkan oleh intelektual muslim sebagai “the cultural neo-imperialisme” yang merebak ke serata dunia umat Islam dengan kecepatan teknologi maklumat sebagai alat transformasi tersebut.

· Princeton N. Lyman[3] mengatakan, globalisasi adalah “rapid growth of interdependency and connection in the world of trade and finance”. Beliau sendiri berpendapat bahawa globalisasi tidak boleh dihadkan kepada fenomena perdagangan dan pengaliran kewangan yang berkembang dengan kian meluas. Ini kerana terdapat trend yang lain yang dipandu oleh keupayaan teknologi yang sama yang mempercepatkan pertukaran kewangan dan globalisasi komunikasi ialah salah satu dari trend tersebut.

· Pusat Kajian Globalisasi dan Serantau (CSGR)[4] memberikan takrifan, globalisasi tidak terhad kepada ekonomi sahaja. Ia bukannya fenomena Amerika Utara atau Eropah sahaja, tetapi mencakupi semua perkara dan semua tempat. Institut ini mengambil pendirian bahawa kefahaman tentang globalisasi mengambil pelbagai dimensi, iaitu politik, ideologi, ekonomi dan budaya. Banyak benda boleh diglobalisasikan antaranya “goods, services, money, people, information, effects on the international order as well as less tangible things such as ideas, behavioral norms and cultural practices”.

· Leonor Briones[5] memberikan tafsiran bahawa globalisasi ialah “globalization of the democratic institutions, social development and human rights and the women’s movement”

· Pensyarah dari Universiti Bunkyo, Jepun, David Loy mentakrifkan globalisasi sebagai “a complex set of developments: economic, political, technological and cultural”.

· Deklarasi yang dikeluarkan melalui persidangan Globalisasi anjuran JUST[6] pula, “Globalization refers to the interconnectedness of human activity on a global scale, to the unprecendented flows of capital and labour, technology skills, ideas and values across state and boundaries, but in ways which neither state nor nations can adequately control”.
Sebenarnya globalisasi merujuk kepada perpindahan nilai, terutamanya cara berfikir dan gaya bertindak dari satu daerah dunia kepada daerah dunia yang lain terutama sekali merujuk kepada perpindahan nilai-nilai Barat seperti falsafah dan pemikiran, ekonomi kapitalis, budaya berseronok-seronok (hedonisme) kepada tamadun bukan Barat. Keadaan ini telah menyebabkan tamadun bukan Barat terpesona dan terpikat serta akhirnya kecundang ditangan tamadun Barat yang lebih perkasa dan gagah dari segala segi. Oleh sebab itulah Tun Dr. Mahathir, bekas perdana menteri Malaysia dalam kertas kerja yang disampaikan oleh beliau dialog Bangkok bagi pemimpin perniagaan Asia pada 3 Mac 1996 mengatakan bahawa, globalisasi adalah umpama sebuah padang permainan yang rata tetapi mempunyai pemain yang berbeza, Barat diumpamakan pemain yang hebat dan gagah, manakala Asia adalah pemain yang lemah dan lembab. Oleh itu permainan ini pastinya akan menjadi berat sebelah dan akan didominasi oleh Barat dan Asia akan gagal walaupun berjaya, tetapi kegagalan pastilah lebih banyak daripada kejayaan. Terdapat beberapa faktor yg menyebabkan proses globalisasi mudah bertindak, antaranya ialah;
i-Kelumpuhan Soviet Union (komunisme). Oleh itu tiada lagi sekatan ideologi seperti berlangsungnya perang dingin antara Amerika Syarikat dan Soviet Union.
ii-Negara-negara Barat yg terlibat dlm globalisasi ini tidak perlu lagi bersaing sesama mereka sebagaimana yg berlaku ketika zaman penjajahan (abad ke-15-19). Mereka umumnya sehaluan & sealiran.
iii-Kemudahan sistem perhubungan dan Komunikasi khususnya melalui media elektronik & cetak.
iv- Peradaban-peradaban bukan Barat terpesona dengan nilai-nilai Barat. Tambahan pula peradaban bukan Barat berada dlm keadaan lemah, oleh itu mrk mudah menerima cara-cara & gaya Barat.
Umumnya proses globalisasi ini meliputi aspek-aspek politik, ekonomi, sosial, budaya dan lain-lain. Namun apa yg jelas terlihat pada zaman kontemporari ini, globalisasi budaya yg paling berpengaruh dlm merubah sifat dan struktur peradaban bukan Barat. Institusi keluarga adalah institusi yang agak teruk terjejas dengan fenomena ini. Agen-agen globalisasi yang meresap ke dalam bidang sosial seperti pakaian, makanan, gaya hidup, hiburan dan sebagainya telah merubah dan merosakkan institusi keluarga.

(Abu Rushd)


[1] Ketua Jabatan Bahasa, Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya. Aktif dalam membentangkan kertas kerja dan membincangkan persoalan mengenai gejala globalisasi dan peradaban.
[2] Merupakan cendiakawan Islam yang sering menulis buku dan terlibat dalam perbincangan tentang Islam diperingkat antarabangsa. Sekarang beliau adalah Profesor Tamu di City University, London.
[3] Princeton N. Lyman, Felo Kanan Institut Keamanan, Amerika Syarikat dan bekas duta negara itu ke Afrika Selatan
[4] Pusat Kajian Globalisasi dan Serantau (CSGR) yang berpusat di University Warwick, England, bertanggungjawab dalam mengkaji dan memantau perkembangan globalisasi sedunia.
[5] Leonor Briones adalah Pengerusi Focus on the Global South yang beribu pejabat di Bangkok
[6] JUST adalah International Movement for a Just World yang diketuai oleh dr. Chandra Muzaffar

Konsep Imperialisme


Imperialisme


Imperialisme ialah suatu keadaan penguasaan sebuah negara atau lebih terhadap negara-negara lain dari sudut ekonomi, ketenteraan, politik, budaya, pendidikan, undang-undang, teknologi dan lain-lain.

Imperialisme baru merujuk kepada fenomena kebangkitan semula ketamakan, rasa ketuanan yang melampau dan keinginan meluaskan hegemoni kuasa, pengaruh, dan sebagainya kepada sistem keamanan dunia dengan tindakan unilateral dan dasar pre-emptive war dan penggubalan undang-undang yang bercanggah dengan prinsip keadilan sejagat dan dasar yang disepakati bersama. Ia seiring dengan keghairahan untuk membentuk diri sebagai sebuah empayar.

Imperialisme baru adalah kebangkitan semula semangat dan amalan penjajahan lama dengan topeng dan slogan baru dan juga dengan dakwaan untuk membawa demokrasi, kebebasan dan nilai tamadun yang lebih tinggi untuk kesejahteraan bangsa-bangsa di negara muslim yang tertindas atau yang tersalah urus. Imperialisme baru juga merupakan negara pengganas yang menggunakan hujah untuk menghapuskan pengganas dan mahu memusnahkan senjata pemusnah besar-besaran negara lain untuk menjadi satu-satunya kuasa adijagat di dunia ini dengan Senjata Pemusnah Besar-besarannya yang tercanggih. Imperialisme baru, kini mungkin menggunakan pakatan ketenteraan yang kuat dan mengheret beberapa negara lain untuk menjadi alat peluasan dan penjagaan pengaruh hegemoninya di samping memperkuda badan-badan dunia seperti PBB, Majlis keselamatan, Bank Dunia dan sebagainya sebagai perkakas untuk mengabsahkan tindakanpenjajahannya. Dengan projek "New American Century" dan Dasar Luar Negaranya yang baru, Amerika dan sekutunya berubah menjadi kuasa penjajah baru yang mengancam keselamatan dunia Islam dan negara yang tidak sehaluan dengannya. Tindakannya yang bertopengkan kempen memerangi terrorisme global menjadikan seluruh negara, umat dan ajaran Islam sebagai sasaran dan mangsa.

Penjajahan fizikal keatas negara-negara Islam bermula pada awal abad ke 16. ia dipelopori oleh kuasa-kuasa barat seperti Portugis, Belanda, Sepanyol, Peranchis, Britain dan lain-lain lagi. Mereka memulakan dasar hegemoni ini atas prinsip “white men’s burden” atau bebanan ke atas masyarakat barat untuk mentamadunkan dunia yang dipenuhi oleh masyarakat barbarik. Walau bagaimanapun maksud yang tersembunyi di sebalik semua ini ialah impian dan cita-cita mereka untuk menguasai dunia bagi kepentingan ekonomi dan politik serta dendam yang sentiasa membara.

Saturday, May 3, 2008

Pandangan Abu Hanifah Tentang Keizinan Wali


Pandangan Aliran Abu Hanifah

Walau bagaimanapun, Imam Abu Hanifah dan Abu Yusuf pula mempunyai pandangan yang tersendiri dalam bab perwalian. Aliran ini berpendapat perempuan yang akil baligh (mukallaf) boleh mengahwinkan dirinya sendiri tanpa perlu mendapat keizinan wali. Meskipun begitu, bagi perempuan yang mempunyai wali `asabah, disyaratkan bakal suami mestilah sekufu. Jika sebaliknya, wali diberi ruang oleh syara` memohon kepada kadi untuk memfasakhkan perkahwinan tersebut. Namun dalam kes-kes tertentu keizinan wali masih diperlukan terutama yang melibatkan kanak-kanak dan gila. Pendapat golongan ini jelas menunjukkan percanggahan dengan pendapat jumhur fuqaha’. Alasan yang diberikan oleh golongan ini berasaskan hadis Nabi S.A.W yang diriwayatkan oleh al-Bukhari (810-870), Muslim (821-875), Abu Dawud, al-Tirmidhi, al-Darimi, (797-869) Ibn Majah, Ibn Jarud (919/920), al-Daraqutni (918-995) daripada Abu Hurairah R.A. bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda:
“Tidak boleh dikahwini janda sebelum diajak berunding dan tidak boleh dikahwinkan anak dara sebelum diminta izin. Mereka berkata: Bagaimanakah izinya ya Rasulullah? Baginda bersabda: Ia diam”.

Menurut Ibn Rushd. Beliau menjelaskan hadis tersebut tidak menunjukkan makna yang bersifat qati`e dalalah dan ia memberi ruang untuk diperbahaskan dari aspek maknanya.

Menurut pandangan yang dikemukakan oleh Abu Hanifah dan Abu Yusuf mereka mentafsirkan perempuan yang berseorangan bermaksud perempuan yang tidak mempunyai suami sama ada yang belum berkahwin atau yang telah berkahwin. Sebagai analoginya, orang perempuan mempunyai kelayakan dalam pengurusan harta yang melibatkan persoalan jual beli, sewaan dan sebagainya. Oleh kerana orang perempuan mempunyai hak kelayakan dalam urusan kehidupan yang lain sudah tentulah mereka juga mempunyai hak yang sama dalam menguruskan soal perkahwinan.

Menyentuh persoalan yang berkisar tentang wali mujbir, al-Kasani menghuraikan dalam penulisannya “Bada’i` al-Sana`i fi Tartib al-Shara’i`” tentang pendirian al- Imam al- Hanafi. Menurut aliran tersebut, bidang kuasa ijbar hanya berlaku ke atas gadis yang masih kecil dan belum baligh. Meskipun begitu, sekiranya anak gadis yang belum baligh ini dikahwinkan oleh walinya tanpa keizinannya, dia diberi ruang oleh syara` untuk melakukan pemilihan (khiyar) di bawah prinsip syara` apabila mencapai umur baligh. Dengan adanya peruntukan ini, ia memberi kuasa kepada anak gadis tersebut sama ada meneruskan perkahwinan tersebut atau memfasakhkannya. Berbeza pula dalam kes wanita yang masih gadis tetapi sudah mencapai umur baligh, wali tidak berhak mengahwinkan tanpa terlebih dahulu mendapat keizinan daripadanya. Muhammad `Uqlah dalam kitabnya “Nizam al-Usrah fi al-Islam” menukilkan bahawa pada pandangan al-Imam Abu Hanifah, syara` telah meletakkan kuasa ijbar kepada anak gadis adalah berasaskan kepada `illat disebabkan ketidakmampuan anak gadis yang belum baligh untuk menguruskan diri sendiri. Di samping itu, perkahwinan yang dilakukan tidak memberi kesan kemaslahatan dari akad yang dilakukan tersebut.


(Abu Rushd)

Keizinan Wali


Keizinan Wali Dalam Perkahwinan Menurut Pandangan Fuqaha’

Wali merupakan salah satu elemen penting dalam rukun nikah. Oleh yang demikian, sekiranya terdapat kecacatan atau kekurangan salah satu daripada rukun nikah maka perkahwinan tersebut diklasifikasikan sebagai tidak sah. Alasan ini bersandarkan kepada pendapat fuqaha’ yang terdiri dari aliran Maliki (795), Shafi`i (820) dan Hanbali (780-850) telah mencapai kata sepakat bahawa wali merupakan sebahagian daripada perkara asasi dalam sesuatu perkahwinan. Berasaskan prinsip ini, maka para fuqaha’ telah menegaskan wanita tidak mempunyai kuasa untuk mengahwinkan dirinya sendiri dan diri orang lain. Dengan lain perkataan, perkahwinan yang dilakukan tanpa wali dianggap terbatal. Dalil yang dipegang oleh jumhur ulama’ adalah berasaskan kepada sebuah hadis sahih yang telah diriwayatkan daripada Abu Musa seperti kenyataan dari Rasulullah S.A.W yang bermaksud:

“Tidak sah nikah, melainkan dengan wali.”

Menyelami tuntutan yang dianjurkan daripada hadis di atas dapat difahami bahawa wali merupakan sebahagian daripada unsur-unsur penting dalam sesuatu perkahwinan. Oleh yang demikian, perkahwinan yang dilakukan tanpa disertai dengan keizinan wali adalah terbatal dengan sendirinya. Dengan menafikan ketentuan wali dalam perkahwinan menyebabkan pernikahan tersebut tidak dapat diiktiraf sebagai sah. Dalam hal ini, analisis secara kritis terhadap ruang lingkup wali diperlukan untuk melihat sejauhmana hukum syara` memperuntukkan bidang kuasa tersebut. Untuk itu, penulisan ini akan meneliti berkenaan konsep wali secara menyeluruh bagi mendapat gambaran yang jelas tentang persoalan yang berbangkit tentang masalah wali.

Tambahan lagi, terdapat juga peruntukan yang memberi kuasa kepada wali mujbir untuk mengahwinkan anak gadisnya meskipun tanpa persetujuan daripadanya. Berdasarkan peruntukan yang diberikan oleh syara`, ia menunjukkan bahawa wali mujbir mempunyai bidang kuasa penuh dalam mengahwinkan anak gadisnya dengan syarat memenuhi keperluan-keperluan yang telah ditetapkan oleh syara`. Kuasa ijbar boleh dikuatkuasakan ke atas seseorang perempuan sekiranya para wali memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan. Kandungan syarat-syarat ini meliputi, pertama, tidak ada permusuhan di antara anak gadis dengan walinya. Kedua, tidak wujud permusuhan di antara gadis dengan bakal suaminya. Ketiga, bakal suami tersebut adalah sekufu dengan gadis yang menjadi pilihannya. Keempat, bakal suami mampu membayar mas kahwin mengikut nilai mata wang tempatan. Kelima, perempuan yang bakal dikahwinkan tersebut masih berstatus anak dara.

Pandangan Jumhur

Justeru itu, dengan adanya peruntukan kuasa ijbar, wali diberi kuasa eksklusif membuat keputusan untuk mengahwinkan seseorang perempuan (anak dara) di bawah perwaliannya. Apa yang jelas jumhur fuqaha’ selain daripada Hanafi berpendirian mensabitkan kuasa ijbar ke atas perempuan yang masih dara sama ada mencapai umur baligh atau belum dalam urusan perkahwinan. Keterangan ini dijelaskan oleh sarjana perundangan Islam seperti yang telah dinukilkan oleh Al-Ramli dalam kitabnya “Nihayah al-Muhtaj dan Ibn Juzay menerusi karangannya “al-Qawanin al-Fiqhiyyah” menjelaskan bahawa para fuqaha’ yang berpendirian sedemikan terdiri daripada kalangan Maliki (795), Shafi`i (820) dan Hanbali (780-855). Alasan golongan ini berasaskan kepada sabda Nabi Muhammad S.A.W.

Maksudnya: Perempuan janda lebih berhak pada dirinya daripada walinya, perempuan perawan atau dara dikahwinkan oleh bapanya”

Jumhur menggunakan dalil ini sebagai hujah yang membuktikan bahawa wali mempunyai kuasa autoriti ke atas perempuan yang berstatus dara. Berbeza pula bagi kes janda, mereka mempunyai hak yang lebih kuat berbanding dengan walinya. Umumnya, dalam masalah perwalian, kebanyakan para sahabat terdiri daripada Umar, Ali, Ibn Masud, Ibn Abbas, Abu Hurairah dan Aishah R.A berpendapat bahawa seseorang perempuan tidak dibenarkan berkahwin melainkan mendapat keizinan daripada walinya. Meskipun begitu, menurut Ibn Rushd dalam kitabnya “Bidayat al-Mujtahid wa Nihayat al-Muqtasid” Imam Hanafi (767) mempunyai pendirian yang tersendiri dalam hal ini, beliau cenderung menjelaskan perempuan lebih berhak mengahwinkan dirinya sendiri.

Syara` telah menetapkan sesuatu hukum bukan bertujuan untuk membebankan dan menyusahkan manusia. Sebaliknya sesuatu hukum yang diperundangkan mengandungi hikmah-hikmah untuk kesejahteraan manusia. Sesungguhnya sesuatu tindakan yang difikirkan baik pada pertimbangan manusia berkemungkinan mencapai keputusan sebaliknya hanya Allah yang Maha Bijaksana dan Maha Mengetahui. Sehubungan dengan itu, berasaskan adat tradisi yang terpuji, secara fitrahnya kaum perempuan dikenali dengan sifat pemalu dan tidak wajar mereka dibebankan atas kapasiti sebagai wali dalam sesuatu perkahwinan. Atas sifat tabie inilah sewajarnya beban wali diletakkan kepada kaum lelaki. Bersesuaian dengan firman Allah S.W.T dalam al-Quran al-Karim yang bermaksud:

“Kaum lelaki itu pengawal dan pemimpin bagi kaum wanita kerana kelebihan yang telah dikurniakan Allah kepada sebahagian daripada mereka (lelaki) melebihi sebahagian yang lain (wanita)….”
(al-Nisa’: 34)

Menurut Ahmad Mustafa al-Maraghiy dalam penulisannya Tafsir al-Maraghiy, ayat ini menjelaskan kaum lelaki diiktiraf sebagai ketua bersesuaian dengan kelebihan fizikal dan ketahanan mental yang dimiliki oleh kaum lelaki. Pentafsiran ayat ini menjelaskan bahawa kaum lelaki diciptakan oleh Allah bersesuaian dengan fitrahnya, mempunyai obligasi terhadap kaum wanita dengan berfungsi memberi perlindungan dan pengawasan dan menyediakan keperluan hidup. Hakikat ini telah dijelaskan oleh Allah S.W.T dalam al-Quran yang bermaksud:

….Dan isteri-isteri itu mempunyai hak yang sama seperti kewajiban yang ditanggung oleh mereka (terhadap suami) dengan cara yang sepatutnya (dan tidak dilarang oleh syara`); dalam pada itu orang lelaki (suami isteri itu) mempunyai satu darjat kelebihan atas orang perempuan (isterinya)…
(al-Baqarah:228)

Sayyid Qutb dalam tafsirnya Fi Zilali al-Quran menjelaskan bahawa Allah telah menciptakan manusia terdiri daripada lelaki dan wanita sebagai sepasang suami isteri mengikut sistem hidup rabbani. Peraturan inilah yang menjadi sempadan memelihara fitrah dan potensi-potensi yang ada pada lelaki dan perempuan supaya mereka dapat berfungsi melaksanakan tugas mengikut kebolehan masing-masing. Oleh yang demikian adalah adil bagi Allah meletakkan tanggungjawab kepada kaum lelaki untuk menyediakan keperluan-keperluan asas rumah tangga dan memberi perlindungan kepada isi keluarganya. Atas alasan inilah maka kaum lelaki lebih wajar memegang tampuk kepimpinan dalam institusi kekeluargaan. Oleh kerana tanggungjawab dan bebanan tugas yang berat diberikan kepada kaum lelaki maka bersesuaianlah kuasa wali diberikan kepada kaum lelaki.

Justeru itu, di antara dalil-dalil yang menjadi hujjah jumhur ulama’ yang menekankan kepada keperluan wali dalam sesuatu perkahwinan berasaskan kepada hadis Nabi S.A.W. seperti berikut:

1. Maksudnya: Nabi S.A.W. pernah berkata ”Tidak sah nikah, melainkan dengan wali”.

2. Daripada `Aishah R.A. bahawa Nabi S.A.W. bersabda, maksudnya: Mana-mana perempuan yang berkahwin tanpa izin walinya maka nikahnya adalah batal, nikahnya adalah batal, nikahnya adalah batal, jika suaminya menyetubuhinya maka ia mendapat mahar kerana dihalalkan kemaluannya, dan jika mereka berselisih maka Sultan (Penguasa) adalah wali mereka bagi mereka yang tidak ada wali.

3. Dalam keterangan hadis yang lain, Ibn Majah, Daraqutni meriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A. bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda:
Hadis Abu Hurairah, maksudnya: ”Perempuan (tidak sah) mengahwinkan dirinya sendiri. Sesungguhnya penzina ialah orang yang mengahwinkan diri sendiri”.

Menyentuh persoalan tentang perwalian, al-Shawkani (1759-1839) dalam kitabnya “al-Badr al-Tali` bi Mahasin min Ba`d al-Qarn al-Sabi`” menjelaskan jumhur yang terdiri daripada salaf dan khalaf berpendapat, keizinan wali merupakan satu keperluan dalam perkahwinan bagi seseorang perempuan. Bahkan menurut Ibn al-Munzir berdasarkan pengetahuan beliau, para sahabat Nabi tidak berselisih pendapat dalam masalah ini (keperluan tentang wali).

(Abu Rushd)

Takrif Wali Dalam Perkahwinan




Definisi Wali

Menurut al-Imam Taqi al-Din dalam kitabnya “Kifayah al-Akhyar” perkataan wali diambil daripada perkataan arab iaitu al-Wilayah. Ia bermaksud kesanggupan bertindak, mengurus atau kekuasaan mentadbir sesuatu termasuklah mengurus anak yatim dengan menjamin keperluannya dan memperwalikan perempuan menguruskan akad nikah ke atasnya. Secara terminologinya, `Abd al-Rahman al-Jaziri dalam teks penulisannya “al-Fiqh `ala Madhahib al-Arba`ah” menukilkan wali merupakan sebagai pihak yang diberi kuasa oleh syara` untuk menguruskan akad perkahwinan seseorang perempuan sama ada wali tersebut di bawah kategori wali mujbir atau bukan mujbir. Wali mujbir terdiri daripada bapa atau datuk sebelah bapa sahaja. Secara ringkasnya wali mujbir bermaksud hak autoriti yang diberikan syara` kepadanya untuk mengahwinkan anak perempuannya dengan seseorang tanpa perlu mendapat keizinan daripadanya. Dengan kata lain wali mempunyai kuasa mutlak memberi pandangan dan melaksanakan keputusan atau menetapkan kata putus ke atas orang di bawah perwaliannya. Walau bagaimanapun, para ulama’ berbeza pendapat dalam menentukan kuasa perwalian dan keahlian tersebut.

Teks al-Quran yang menjelaskan tentang kepentingan wali dalam perkahwinan sebagaimana yang diperuntukkan dalam al-Quran yang bermaksud:

“Janganlah kamu menghalang mereka berkahwin kembali dengan bekas suami mereka apabila telah terdapat kerelaan antara mereka dengan cara yang makruf”
(al-Baqarah:232)

Berdasarkan tafsiran di atas, jelaslah bahawa ayat tersebut difokuskan kepada para wali. Ia dapat difahami apabila terdapat tegahan yang ditujukan kepada para wali agar tidak menghalang anaknya yang telah diceraikan untuk kembali semula kepada bekas suaminya.

Keperluan tentang wali juga boleh dilihat berasaskan penjelasan yang dibuat oleh Rasulullah S.A.W dalam sebuah hadis yang bermaksud:

“Tidak sah nikah itu melainkan dengan adanya wali. Mana-mana wanita berkahwin tanpa keizinan walinya maka nikahnya adalah batal, nikahnya batal, nikahnya batal. Apabila ia telah bersetubuh dengan wanita itu, maka yang wajib adalah mahar mitsli disebabkan ia telah mencampuri wanita itu. Jika mereka berselisih, maka sultanlah wali bagi orang yang tidak mempunyai wali.” (Abu Daud dan al-Thirmidhi).

(Abu Rushd)

`Ibrah Covid 19. Suluhan Daripada Perspektif Islam

Assalamualaikum dan bertemu lagi. sudah lama saya tidak menjengok ke blogni. Harini rasa bersemangat semula untuk melihat blog yang sudah se...