Assalamualaikum
Bersua kembali dalam laman blog. Saya kira sudah lama tidak mennjengah dalam blog ini. Terima kasih kepada para pembaca yang sudi membaca penulisan saya. Jika ada sebarang komen sila kemukakan kepada saya sebagai penambahbaikan dalam usaha penyebaran ilmu. Semoga tulisan kali ini memberi manfaat yang sewajarnya kepada semua. Doakan kesejahteraan saya sekeluarga dan ketekunan dalam menuntut ilmu. Semoga ianya diterima oleh Allah sebagai amalan dan bekalan untuk di bawa di alam yang seterusnya. Penulisan kali ini cenderung kepada kepentingan nilai-nilai murni
Pembugaran Nilai-Nilai
Murni Melalui Cermin Tasauf
Pengenalan
Fenomena yang berlaku di Barat seperti proses dekonstruksi secara
tidak langsung telah menghakis benteng-benteng nilai tradisi klasik yang telah
diasaskan oleh mahaguru moral yang terdahulu. Apa yang nyata ialah proses
dekonstruksi tersebut telah menafikan nilai-nilai tradisi yang disampaikan oleh
ajaran agama dan melalaikan manusia daripada mengikut petunjuk Ilahi. kekuatan
dalil aqliah yang berasaskan kepada kajian ilmiah dijadikan sebagai dalil yang
bersifat autoriti untuk menyangkal dalil-dalil yang bersumberkan naqliah yang
berteraskan ajaran agama. Akibatnya, lahirlah golongan manusia yang
mengagungkan akal pemikiran yang cenderung mempertikaikan ketentuan yang telah
ditetapkan oleh agama dan menuntut hak-hak yang melampaui batasan kerangka
syari`at. Justeru itu,
apabila tingkah laku manusia diwarnai dengan nilai-nilai murni yang
berorientasikan kepada pendekatan agama akan menjadi tunjang kekuatan yang
telah terbukti mampu melahirkan peribadi-peribadi besar dalam sejarah peradaban
manusia. Berasaskan kepada keterangan inilah nilai-nilai murni tidak boleh
disisihkan daripada faktor pembangunan manusia dalam setiap aspek peri lakunya.
Oleh yang demikian, nilai-nilai murni yang diutarakan oleh Islam perlu dihayati
dan disuburkan dalam segenap ruang lingkup keperluan sebagai asas kesejahteraan
manusia.
Pendekatan Tasauf
Secara umumnya, pelbagai pendekatan boleh
diaplikasikan untuk membudayakan
nilai-nilai murni secara teratur
dan terancang. Sebagai contoh, penerapan nilai-nilai murni boleh dilaksanakan
melalui jalan kerohanian pendekatan tasawuf. Al-Suhrawardi (1145-1234) dalam karyanya “`Awarif al-Ma`arif”, menukilkan maksud tasawuf sebagai individu yang sentiasa
dalam usaha pembersihan (al-Tasfiyah). Ia sentiasa memelihara setiap
waktu daripada kekotoran iaitu dengan membersihkan hati daripada kekotoran hawa
nafsu. Individu tersebut sentiasa memelihara dirinya daripada terikat dengan
kepatuhan yang mutlak kepada Allah S.W.T dan melaksanakan Sunnah. Melalui kaedah pentarbiahan latihan kerohanian
tersebut, sedikit sebanyak ia dapat memberi gambaran secara praktikal untuk
merawat penyakit-penyakit batin yang tidak dapat didiagnosa oleh manusia iaitu
penyakit hati yang cenderung kepada sifat-sifat tercela. Oleh yang demikian,
kaedah tersebut memberi petunjuk kepada individu untuk menjernihkan hati daripada semua sifat
yang tidak sempurna. Penyucian jiwa tersebut adalah bertujuan untuk mendidik
hati individu terbabit untuk mencapai darjat kesempurnaan iman dan akhlak.
Penegasan ini disentuh oleh Ibn `Abidin dalam penulisannya ”Hasyiah Radd al-Muhtar `ala al-Dur Mukhtar Ibn `Abidin” dengan
memberikan ulasan iaitu:
”......., dan sifat kerosakan jiwa lainnya
seperti ilmu tentang sombong, kedekut, dengki, putar belit, marah permusuhan,
kebencian, tamak, bakhil, sombong, takabur, khianat, bermuka-muka, menolak
kebenaran, tipu muslihat, keras hati, panjang angan-angan, dan lainya yang
telah dijelaskan dalam seperempat kebinasaaan sebagaimana yang terdapat dalam kitab Ihya’ `Ulum al-Din. Imam al-Ghazali (1058-1011) berkata: Seseorang itu janganlah
melalaikan hal itu, seharusnya ia mempelajari dari rab` al-muhlikat apa yang diperlukan dirinya. Sedangkan
menghilangkan semua itu adalah fardu `ain. Hal itu tidak dapat dilakukan melainkan
harus mengetahui batasan-batasan, faktor-faktor, tanda-tanda, dan upaya
penyembuhannya, kerana orang yang tidak mengetahui keburukan akan terjebak di
dalamnya.”
Berpandukan ulasan tersebut, dapat
difahami bahawa kesucian dan ketenangan hati daripada nilai-nilai keji yang
boleh mencacatkannya adalah merupakan kunci keselamatan kepada manusia di dunia
dan akhirat. Antara kaedah yang boleh diaplikasikan untuk menyuburkan
nilai-nilai murni dalam diri individu melalui pendekatan disiplin amalan-amalan
sunat seperti dhikir, qiyam al-lail, puasa sunat, solat sunat (taubat, duha, rawatib, tahajjud dan sebagainya) serta pelbagai lagi amalan yang
boleh mendekatkan jiwa manusia dengan PenciptaNya. Amalan-amalan yang
dinyatakan tersebut adalah sebahagian daripada mekanisme ”mujahadah al-nafs” yang bertujuan untuk mendidik dan membersihkan
hati daripada pelbagai kotoron nilai-nilai keji (madhmumah). Keterikatan hati manusia dengan nilai-nilai
yang keji tersebut adalah didorong oleh nafsu shahwat yang boleh mengundang
kepada kerosakan potensi insan dan hubungannya dengan Allah S.W.T. Menginsafi situasi tersebut, Islam memberi petunjuk
kepada manusia supaya sentiasa memberi komitmen yang tinggi kepada cara hidup
beragama secara sempurna.
Justeru itu, andaikata
jiwa manusia dilingkari dengan nilai-nilai yang keji maka ia perlu berusaha
untuk memperbaiki dan menyucikannya. Jika nilai-nilai tersebut tidak dapat
diatasi nescaya sistem pertahanan dalamannya tidak mempunyai keupayaan untuk
menahannya daripada tergelincir ke dalam lembah kejahatan dan kekejian. Melalui
jalan latihan yang berorientasikan nilai-nilai kerohanian, manusia dapat
menginsafi dan kembali jalan sederhana dalam memenuhi keperluan kerangka
nilai-nilai murni yang luhur. Sebagai contoh, sifat pemurah merupakan
sebahagian daripada nilai-nilai sederhana di antara dua sifat yang keji seperti
boros dan kedekut. Dengan memberikan contoh tersebut, nilai-nilai murni yang
terpuji adalah asas kepada pembentukan hati budi yang terpuji dan dipandang
mulia dari perspektif akal manusia dan syariat seperti yang telah ditegaskan oleh
Muhammad Jamal al-Din al-Qasimi “Mau`izah al-Mu’minin min Ihya’ Ulum al-Din.” Dalam hal
ini, al-Qur’an
merekodkan bahawa
Maksudnya: “Orang yang bertaubat, yang
beribadat, yang memuji Allah, yang mengembara, yang ruku', yang sujud, yang menyuruh berbuat kebaikan
dan melarang daripada kejahatan, dan yang menjaga hukum-hukum Allah. Dan gembirakanlah orang yang beriman
itu.”
(al-Taubah:112)
Menurut Ibn Kathir dalam ”Tafsir Ibn Kathir”, ayat tersebut merupakan pujian daripada Allah S.W.T terhadap hamba-hambaNya yang
berkorban jiwa dan hartanya kepada Allah. Sebagai balasannya golongan ini disediakan
dengan Syurga. Mereka ini disifatkan sebagai orang yang bertaubat, beribadah
kepada Allah
dengan perkataan dan perbuatan memujiNya, berpuasa, melakukan solat, dengan
ruku` dan sujud. Di samping itu, mereka menyeru manusia yang lain ke jalan yang
baik, melaksanakan amal ma`ruf dan
nahi mungkar dan mempunyai
pengetahuan tentang hukum-hukum Allah. Lantaran itu, Allah S.W.T menyatakan bahawa bergembiralah
golongan manusia yang bersifat sedemikian. Selain itu, dalil daripada al-Sunnah
juga turut menyokong, seperti sabda Nabi
Muhammad S.A.W. yang bermaksud:[1]
”Daripada Abu Hurairah R.A katanya: Nabi S.A.W
bersabda” Allah berfirman: ”Aku menurut sangkaan hambaKu terhadap Aku dan Aku bersama
dengan dia, apabila dia mengingati (menyebut) Aku. Apabila ia menyebut Aku
dalam hatinya, nescaya aku menyebutnya pula sendiriku. Dan kalau dia menyebutKu
di hadapan orang ramai, nescaya Aku menyebutnya pula di hadapan orang ramai
yang lebih baik. Kalau dia mendekatkan diri kepadaKu sejengkal, nescaya aku
mendekatkan kepadanya sehasta. Dan kalau dia mendekatkan diri kepadaKu sehasta,
nescaya Aku mendekatinya sedepa. Dan kalau dia datang kepadaKu berjalan biasa,
nescaya Aku datang kepadanya berlari.”
(Muttafaq`alayh)
Kesimpulan
Berdasarkan
kepada al-Qur’an dan
al-Sunnah tersebut dapat difahami bahawa, manusia yang dilengkapi dengan
nilai-nilai murni menurut kerangka Islam akan menjadi insan baik hati budinya
dan diredhai oleh Allah
S.W.T. Tidak diragukan lagi bahawa nilai-nilai murni yang dihayati oleh
individu manusia akan memantulkan cahaya kebaikan dan kebajikan yang memberi
manfaat kepada persekitaran sekelilingnya. Justeru itu, penghayatan nilai-nilai
murni tersebut memerlukan satu bentuk latihan kerohanian bagi melembut dan
membentuk jiwa manusia menurut acuan yang ditentukan oleh agama.
-Sekian- Abu Rushd
[1] Abu `Abd Allah Muhammad Isma`il bin Ibrahim
al-Bukhari
(1981) dlm Kitab Tauhid, Sahih al-Bukhari, jil. 3, h:467.