Friday, December 2, 2011

Perkasakan Budaya Infaq Dalam Pembangunan Insan

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum dan bertemu lagi siri penulisan lain. Doakan saya supaya Allah memberi kekuatan kepada saya untuk untuk terus berkarya dalam menyebarkan ilmu. Semoga usaha kecil ini diterima olehNya sebagai ibadah. Artikel ini pernah saya siarkan dalam akhbar harian.



Budaya Infaq

Pengenalan
Dalam kerangka falsafah pembangunan insan, orientasi material yang bersifat tunggal bukanlah dianggap sebagai kemuncak kepada kebahagian insan. Sebaliknya objektif pembangunan insan adalah untuk melahirkan individu yang dapat memberi manfaat atau sumbangan untuk memperkasakan agama, ekonomi dan institusi masyarakat amnya. Golongan inilah yang menjadi sebahagian daripada kelompok masyarakat yang menjadi pemangkin untuk menggerakkan sosio ekonomi masyarakat dan negara amnya. Berasaskan penjelasan tersebut ia memberi satu gambaran umum kepada setiap insan yang berfungsi sebagai pemegang amanah supaya memikul tanggungjawab tersebut sebagaimana yang dikehendaki oleh syara`. Tanpa panduan dan pedoman daripada agama, manusia untuk akan bertindak berasaskan kepada pertimbangan keterbatasan akal dan hawa nafsu semata-mata.

Tuntutan Untuk Berinfaq
Sebagai insan, setiap individu dituntut untuk melazimkan diri menginfaqkan sebahagian daripada hartanya pada jalan Allah S.W.T. Penekanan kepada faktor ini adalah berasaskan kepada tuntutan al-Qur’an dan al-Sunnah. Secara tersiratnya, syara` menyeru kepada umat manusia supaya menginfaqkan sebahagian daripada harta kepada golongan tertentu supaya pengagihan kitaran harta kekayaan dapat dilakukan secara adil dan saksama dalam institusi masyarakat. Tuntutan tersebut disyari`atkan adalah bertujuan untuk  mengelakkan berlakunya monopoli dan penimbunan harta dalam kelompok individu tertentu. Dalam masa yang sama juga, amalan ini dapat membersihkan jiwa manusia daripada sifat-sifat yang keji seperti bakhil, individualistik, tamak dan sebagainya.
 Jika dilihat daripada skop pandangan al-Qur’an pula didapati banyak ayat yang menyeru manusia supaya menginfaqkan sebahagian daripada harta yang diperolehi. Antaranya firman Allah S.W.T :
Maksudnya: ”Bukanlah suatu kebajikan itu kamu menghadapkan muka ke timur dan barat, tetapi kebajikan itu ialah berimannya seseorang kepada Allah, dan hari akhirat, segala malaikat, segala Kitab, dan sekalian Nabi; dan mendermakan harta yang dicintainya kepada kerabatnya, anak-anak yatim, orang miskin, orang yang musafir, orang yang meminta-minta, orang yang memerdekakan hamba abdi; orang mendirikan sembahyang, serta mengeluarkan zakat, dan perbuatan orang yang menyempurnakan janjinya apabila mereka berjanji orang yang sabar dalam masa kesempitan, dan kesakitan, dan dalam peperangan. Mereka itulah orang yang benar; dan mereka itulah juga orang yang bertakwa.”
                                                                                                  (al-Baqarah: 177)
            Dalam persoalan perhubungan dengan masyarakat berdasarkan ayat tersebut, Ibn Kathir (1301-1372/774H) berpendapat setiap individu muslim juga dituntut supaya melakukan sedekah kepada golongan yang memerlukan, mengeluarkan zakat dan menginfaqkan sebahagian daripada harta mereka ke jalan Allah S.W.T. Beliau telah memetik sebuah hadith yang bermaksud:
Abu Hurairah R.A mengatakan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda: Sedekah yang paling utama ialah anda bersedekah ketika anda sihat, rasa kedekut, masih mengharap untuk menjadi kaya dan takut miskin.”
                                                                                                              (Bukhari)
 Kesimpulannya, beliau mengulas bahawa orang yang memiliki sifat-sifat yang diperihalkan dalam ayat tersebut ialah individu yang beriman dan memiliki ketaqwaan yang tinggi terhadap Allah S.W.T. Hal yang demikian, disebabkan individu tersebut telah menyempurnakan tuntutan fitrah yang merangkumi hati, perasaan, pemikiran dan amal perbuatan dengan melaksanakan segala perintah dan meninggalkan segala larangan.

            (Wahbah al-Zuhayli, 1991) pula mengutarakan pandangannya bahawa firman Allah S.W.T yang bermaksud ”dan mendermakan harta yang dicintainya” merujuk kepada sedekah yang dikategorikan wajib iaitu zakat dan terangkum juga bagi maksud sedekah sunat. Beliau mengemukakan hujah yang disokong oleh al-Jassas menyatakan bahawa ayat ini tidak menyentuh persoalan sedekah wajib. Sebaliknya, ia mengandungi objektif untuk  menggalakkan aktiviti sedekah dan menjanjikan ganjaran kepada para pelakunya. Alasan yang dikemukakan kerana perbuatan yang dimaksudkan dalam ayat tersebut secara literalnya diistilahkan sebagai kebajikan. Oleh yang demikian, ayat tersebut mengandungi konotasi makna yang boleh difahami sebagai sedekah wajib (zakat) dan juga sedekah sunat. Secara keseluruhannya, individu yang patuh kepada tuntutan ayat tersebut disifatkan sebagai melaksanakan segala kebajikan. Sebagai penghormatannya, Allah S.W.T mengklasifikasikan golongan manusia tersebut sebagai individu yang jujur dan bertaqwa.

            Dalam keterangan ayat yang lain, Allah S.W.T turut menegaskan bahawa menafkah atau menginfaqkan harta pada jalanNya adalah seperti mewujudkan jaringan interaksi dengan Allah S.W.T dalam urusan transaksi yang dijalankan oleh pelakunya. Sebagai ganjarannya, manusia yang melakukan tuntutan infaq akan dinilai sebagai individu yang berjaya di sisi Allah S.W.T.  Kenyataan ini berdasarkan kepada firman Allah S.W.T iaitu:

Maksudnya: ”Maka berikanlah kepada kerabatmu, dan orang miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing; pemberian yang demikian adalah baik bagi orang yang bertujuan memperoleh keredhaan Allah, dan mereka itulah orang yang berjaya.”
                                                                                                            (Al-Rum:38)
           
Mengulas ayat tersebut, Ibn Kathir (1301-1372/774H) menjelaskan bahawa golongan manusia yang mempraktikkan tuntutan dalam ayat tersebut adalah mereka yang sentiasa mengharapkan keredaan Allah S.W.T. Justeru itu, manusia yang bersifat sedemikian dikategorikan sebagai golongan yang berjaya di dunia dan akhirat.
 Begitu juga pada ayat yang lain, Allah S.W.T mengutarakan kepada manusia bahawa  infaq merupakan sebahagian daripada nilai tertinggi dalam kerangka kebajikan yang dituntut kepada setiap insan. Penjelasan tersebut dapat dilihat kepada firman Allah S.W.T:

Maksudnya: “Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai kebajikan (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian dari apa yang kamu sayangi. Dan sesuatu apa jua yang kamu dermakan maka sesungguhnya Allah mengetahuinya.”
                                                                                           (Ali-`Imran: 92)
             Menurut Ibn Kathir (1301-1372/774H) menukilkan menurut riwayat Waqi` dalam tafsirnya terma ŽÉ9ø9$# dalam ayat tersebut membawa maksud syurga seperti yang dijelaskan oleh `Amr ibn Maimun. Ibn Kathir (1301-1372/774H)  juga memetik pandangan yang telah dikemukakan oleh Imam Ahmad yang bermaksud:
 `Abd Allah ibn Abi Talhah telah mendengar Anas bin Malik bercerita: “Seorang lelaki Ansar yang terkaya dalam kalangan kaumnya di Madinah bernama Abu Talhah, ketika mendengar turunnya ayat ini beliau datang menemui Nabi Muhammad S.A.W” dan berkata, “Ya Rasulullah, di antara harta kekayaanku yang paling aku sayangi ialah Bairuha iaitu sebuah ladang yang terletak berhadapan dengan masjid. Rasulullah sering memasuki kawasan tersebut dan minum air yang segar dari tempat tersebut. Oleh yang demikian, aku berhasrat untuk menafkahkannya pada jalan Allah bersesuaian dengan firmanNya, maka terimalah wahai Rasulullah sedekahku ini dan letakkannya seperti mana Allah perintahkan kepadamu.” Lantaran itu  Rasulullah bersabda yang bermaksud:

“Bagus-bagus, itulah harta yang menguntungkan. Aku telah mendengar kata-katamu dan aku berpendapat  hendaklah engkau berikan kepada kaum keluarga kamu. Maka beliau melakukan sedekah tersebut seperti yang diperintahkan oleh Nabi.”  
Berasaskan pandangan yang telah dikemukakan ole Ibn Kathir (1301-1372/774H) jelas menunjukkan bahawa individu yang melaksanakan tuntutan infaq akan mendapat keutamaan yang tinggi daripada Allah S.W.T.
            Di samping  dalil-dalil daripada al-Qur’an, didapati banyak hadith yang menyeru manusia melaksanakan aktiviti infaq sebagai memenuhi tuntutan syara`. Di antara keterangan hadith yang berkaitan dengan infaq seperti sabda Nabi S.A.W yang bermaksud:

Daripada `Abd Allah ibn Umar R.A, katanya ketika Rasulullah S.A.W sedang berada di atas mimbar, Baginda menjelaskan perihal sedekah (`iffah) dan perihal meminta-minta. Sabda Baginda: Tangan yang di atas lebih baik daripada tangan yang di bawah. Tangan di atas iaitu tangan yang memberi dan tangan yang di bawah iaitu tangan yang meminta.
                                                                                              (al-Bukhari)

Dalam keterangan hadith yang lain yang bermaksud:
Daripada Abu Hurairah R.A berkata: Nabi S.A.W bersabda: ”Setiap hari turun dua orang malaikat dari langit, salah seorang daripadanya berkata, Ya Allah! Gantikanlah bagi setiap orang yang pemurah keranaMu. Dan yang lain berkata, Ya Allah! Musnahkanlah harta setiap orang yang menahan-nahan (hartanya daripada bersedekah).”
                                                                                                        (al-Bukhari)
Berdasarkan kepada dalil-dalil daripada al-Qur’an dan al-Sunnah yang telah dinyatakan tersebut jelaslah bahawa syara` menuntut kepada manusia melakukan aktiviti infaq untuk dikongsikan lebihan harta manusia untuk disumbangkan kepada institusi masyarakat. Tambahan lagi sebagai individu muslim, ia menjadi kewajipan untuk melakukan infaq sama ada yang berbentuk wajib seperti zakat dan juga yang berbentuk sunat seperti bersedekah. Dengan cara menginfaqkan hartanya pada jalan Allah secara tidak langsung individu terbabit telah melakukan satu pelaburan yang paling menguntungkan bukan sahaja di dunia tetapi yang lebih penting di alam akhirat kelak. Ini kerana, individu tersebut telah melaksanakan tangungjawab sosialnya di dunia ini terhadap insan yang memerlukan dan juga membahagiakan orang lain dalam memenuhi keperluan asas mereka. Sehubungan dengan itu, tuntutan Islam ke atas individu muslim melakukan infaq terhadap orang lain adalah bertujuan supaya umat Islam mengutamakan kepentingan umum berbanding dengan keperluan peribadi.

Menurut kajian yang dilakukan oleh Mushtaq Ahmad dalam karyanya ” Business Ethics in Islam”, beliau mendapati keterangan-keterangan yang ada dalam al-Qur’an menunjukkan tidak kurang daripada sebelas ayat yang menyeru kepada golongan muslim supaya mengorbankan harta dan jiwa mereka pada jalan Allah. Apa yang menariknya, al-Qur’an menarik perhatian manusia dengan menegaskan harta terlebih dahulu daripada terma jiwa. Secara impilisitnya, ia memberi satu indikasi yang jelas kepada manusia bahawa menurut kaca mata al-Qur’an mengorbankan yang pertama lebih diutamakan daripada yang kedua seperti yang dinukilkan oleh al-Tahawi dalam bukunya ”al-Iqtisad al-Islami Madhhaban wa Nizaman.” Keterangan inilah yang mengukuhkan lagi bahawa infaq merupakan aktiviti yang diberi penekanan dalam Islam. Oleh yang demikian, segala perolehan atau pendapatan yang didapati akan menjadi nikmat dan kebajikan jika ia disalurkan ke arah jalan-jalan kebaikan.

Kesimpulan
 Berasaskan kepada penjelasan inilah, elemen infaq merupakan sebagai daripada elemen yang perlu diambilkira untuk menilai kejayaan seseorang individu. Bertitik-tolak daripada pengertian tersebut, pensyariatan infaq memberi peluang kepada setiap individu muslim untuk menggunakan sumber-sumber yang ada pada mereka sama ada dalam bentuk material, tenaga, inovasi, kreativiti dan sebagainya untuk diinfaqkan ke jalan Allah. Apabila komitmen terhadap tuntutan ini dilaksanakan secara konsisten secara tidak langsung sumbangan tersebut dapat memperkasakan komuniti masyarakat Islam dalam pelbagai bidang lapangan. Tegasnya, merujuk kepada panduan yang dinukilkan oleh al-Qur’an dan al-Sunnah mengisyaratkan bahawa manusia melakukan infaq ke jalan Allah akan mendapat faedah dan manfaat yang tidak terhingga daripada Allah S.W.T. Ternyata melalui amalan tersebut ia dapat menyuburkan lagi keberkatan terhadap harta yang diperolehi tersebut. Di samping itu juga, amalan tersebut akan mendapat ganjaran yang berlipat kali ganda daripada Allah S.W.T. Dalam pada itu, ia juga dapat membentuk jalur-jalur persekitaran yang adil dan harmoni dalam institusi masyarakat amnya.

`Ibrah Covid 19. Suluhan Daripada Perspektif Islam

Assalamualaikum dan bertemu lagi. sudah lama saya tidak menjengok ke blogni. Harini rasa bersemangat semula untuk melihat blog yang sudah se...