Assalamualaikum dan Salam Sejahtera. Blog ini bertujuan untuk berkongsi ilmu dengan pembaca budiman tentang keindahan dan kemurnian ajaran Islam. Diharapkan percambahan ilmu ini dapat membantu para pembaca untuk memahami asas pengajaran agama Islam. Pembaca dialu-alukan untuk memberi sebarang komen bagi memantapkan lagi pengisian blog ini. sekian terima kasih- (Abu Rushd)
Friday, October 15, 2010
Perniagaan dan Keusahawanan
Assalamualaikum dan salam sejahtera. Bertemu lagi dalam siri penulisan yang berkaitan dengan hal ehwal keusahawanan. Semoga ianya bermanfaat
Pendahuluan
Secara amnya, perbahasan keusahawanan yang diutarakan oleh para sarjana begitu luas skopnya. Sebagai contoh, pengusaha dalam bidang perniagaan, perladangan, pertanian, pembinaan, penternakan dan perkhidmatan. Dari pentas retrospektif sejarah Islam, penglibatan golongan muslim dalam dunia keusahawanan bukanlah satu fenomena yang asing. Kecenderungan orang-orang Islam dalam aktiviti sedemikian telah berlangsung hampir lima belas abad yang silam.
Umat Islam terdahulu telah berjaya menempa nama sebagai individu usahawan yang sukses dan menjadi model yang terbaik untuk dicontohi oleh golongan usahawan pada hari ini. Nabi Muhammad S.A.W, Sayyidina Abu Bakr R.A., Sayyidina `Uthman bin `Affan, Sayyidina `Umar al-Khattab, Zaid bin Arqam, Talhah bin `Ubaid al-Allah, `Abd al-Rahman al-`Auf dan sebagainya adalah individu-individu yang begitu cemerlang sebagai usahawan dan peniaga. Melalui aktiviti perniagaan dan keusahawanan amnya, pengaruh syi`ar Islam telah berjaya disebarkan ke wilayah-wilayah negara arab yang lain dan secara tidak langsung ia telah berjaya melahirkan negara-negara kota Islam yang cemerlang dalam bidang perdagangan. Perkembangan yang positif ini telah menyaksikan sebahagian daripada kota-kota Islam seperti kota Mekah menjadi pusat perdagangan yang terkenal. Senario yang berlaku tersebut diakui oleh sarjana Barat William Montgomery iaitu “The Religion of Islam Was First and Foremost a Religions of Traders, Not a Religion of the Desert and not a Religion of Peasants.”
Dalam konteks faham Islam, perniagaan adalah sebahagian daripada aktiviti yang berkaitan dengan bidang perekonomian. Justeru itu, ia memberi petunjuk bahawa bidang keusahawanan dilihat sebagai orientasi pengembangan ekonomi dan perniagaan yang mempunyai objektif untuk kesejahteraan umat manusia. Perlaksanaan aktiviti tersebut bukan hanya diskopkan terhadap aspek ekonomi sahaja namun ia juga turut merentasi bidang sains teknologi, sosial, perdagangan, budaya dan pelbagai institusi yang lain. Melihat kepada kepentingan tersebut, pada dasarnya aspek keusahawanan dilihat sebagai penjana atau pemangkin yang merangsang kepada pelbagai bidang keperluan manusia.
Oleh yang demikian, insan yang ditaklifkan sebagai pemakmur alam ini dituntut oleh agama untuk menggembelingkan sepenuh daya dan tenaga melakukan pelbagai aktiviti yang bertemakan kebajikan dan kebaikan. Ia bertujuan supaya dapat memberikan faedah kepada institusi masyarakat dan makhluk lain amnya. Manifestasi falsafah nilai keusahawanan ini digarap daripada petunjuk Allah S.W.T. yang bermaksud:
”Dan katakanlah: "bekerjalah kamu, maka Allah dan rasul-Nya serta orang-orang mukmin akan melihat pekerjaanmu itu, dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) yang mengetahui akan yang ghaib dan yang nyata, lalu diberitakan-Nya kepada kamu apa yang telah kamu kerjakan.”
(al-Taubah: 105)
Tafsiran ayat al-Qur’an tersebut dapat difahami bahawa Allah S.W.T. memerintahkan kepada manusia supaya melakukan sesuatu usaha secara komited. Ini adalah disebabkan usaha yang dilakukan oleh manusia adalah sebahagian daripada konseptual ibadah. Bertitik tolak daripada kehendak tersebut, sesuatu usaha amal yang dilaksanakan oleh manusia diikuti dengan nilai-nilai ikhlas kerana Allah S.W.T akan memperolehi ganjaran yang sewajarnya. Melalui aktiviti kerja tersebut tersebut, ia dapat meningkatkan lagi kualiti keimanan dan ketaqwaan kepada Allah S.W.T.
Sumbangan Usahawan
Individu yang dikenali sebagai usahawan akan memberi sumbangan dalam bentuk penerokaan, nukilan idea dan mencari peluang atau mencipta sesuatu untuk memberi manfaat kepada manusia amnya. Natijahnya, penglibatan golongan sedemikian dalam institusi masyarakat telah memberi impak yang positif terhadap penjanaan sosioekonomi masyarakat dan secara tidak langsung merangsang pertumbuhan katalis ekonomi negara secara lebih mapan. Dalam masa yang sama, peningkatan daya saing dalam kalangan usahawan telah berjaya mencipta satu suasana yang positif untuk memacu tahap perkembangan ekonomi yang lebih pesat. Realiti semasa sekarang yang memperlihatkan order ekonomi dunia kini sedang mengharungi arus gelombang globalisasi yang hebat dan mewujudkan persaingan yang kompleks di antara satu sama lain. Justeru itu, bagi mengekalkan daya saing tersebut golongan usahawan perlu mencipta, meneroka potensi alternatif, mengilhamkan idea dan merebut peluang yang sedia ada untuk menyelesaikan masalah dan cabaran semasa yang dihadapi.
Meskipun Islam memberi kebebasan kepada golongan usahawan untuk memanipulasikan sumber alam bagi tujuan untuk merancakkan aktiviti perekonomian, namun individu tersebut perlu terikat dengan ketentuan dan peraturan yang termaktub dalam mu`amalah Islam. Peraturan yang bersifat Ilahi inilah yang menjadi dasar panduan dan etika kepada setiap individu usahawan dalam beinteraksi sesama manusia dan makhluk lain. Ini kerana, usahawan dikonotasikan sebagai pemegang amanah atau dikenali sebagai pengurus. Dalam konteks ketentuan Islam, kedudukan manusia diberi pengiktirafan yang tinggi untuk mengurus sumber-sumber pengeluaran asas seperti tanah, modal, dan hasil mahsul yang lain. Atas kefahaman ini, faktor manusiawi tidak boleh disamakan dengan unsur komoditi sebagaimana yang difahami dalam teoritikal ekonomi ciptaan manusia yang dikenali sebagai faktor asas ekonomi.
Kewajaran ini adalah disebabkan segala makhluk dan sumber yang diciptakan Allah S.W.T di alam ini adalah untuk keperluan dan kemudahan manusia sebagai pelengkap dan kesempurnaan kelangsungan manusia di atas muka bumi ini. Dalam hal ini, manusia tidak boleh diinterpertasikan sebagai alat atau modal untuk tujuan pembangunan dan sebagainya. Sebaliknya, Islam cuba menonjolkan manusia sebagai pemilik, pengolah, perancang atau pentadbir kepada semua faktor-faktor pengeluaran.
Keismpulan
Justeru itu, atas fungsi peniaga atau usahawan amnyaa dalah sebagai pengurus atau pemegang amanah sudah tentulah manusia terikat dengan obligasi hak keagamaan yang perlu ditunaikan sama ada yang melibatkan hubungan dengan PenciptaNya, sesama insan dan makhluk lain. Kealpaan dan kelalaian individu melakukan pelanggaran kewajiban yang telah ditentukan oleh syari`at maka pelakunya akan dikenakan azab yang pedih di hari pembalasan kelak. Menginsafi hakikat tersebut, para peniaga khususnya yang muslim perlu berhati-hati dalam setiap tindak-tanduk yang dilakukan. Peringatan ini dijelaskan dengan nada yang tegas oleh Allah S.W.T. dalam al-Qur’an yang bermaksud:
”Kecelakaan besarlah bagi orang-orang yang curang (dalam timbangan dan sukatan). Iaitu orang yang apabila menerima sukatan (cupak dan gantang) daripada orang lain mereka minta dipenuhi. Dan (sebaliknya) apabila mereka menyukat atau menimbang untuk orang lain mereka menguranginya. Tidakkah orang itu yakin bahawa sesungguhnya mereka dibangkitkan (hidup semula sesudah mati)? Pada hari (kiamat) yang amat besar (huru-haranya)., hari berdiri manusia yang mengadap Tuhan Sekelian Alam? Tidak sepatutnya (mereka melakukan perbuatan yang salah itu dan melalaikan hari akhirat)! Sesungguhnya ”Kitab Suratan Amalan” orang yang derhaka tersimpan dalam Sijjin”
(al-Mutaffifin:1-7)
-Abu Rushd-
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
`Ibrah Covid 19. Suluhan Daripada Perspektif Islam
Assalamualaikum dan bertemu lagi. sudah lama saya tidak menjengok ke blogni. Harini rasa bersemangat semula untuk melihat blog yang sudah se...
-
Bismillahirrahmanirrahim Assalamualaikum & Salam Sejahtera Bertemu lagi dalam ruangan blog. Rasanya sudah lama saya tidak memasukkan art...
-
Konsep Insan Islam sebagai ad-din yang ditaja oleh Allah bersifat universal merupakan sistem tatacara hidup yang sempurna dan komprehensif. ...
-
KEPENTINGAN KONSEP PERSAUDARAAN DALAM ISLAM Secara konseptualnya, persaudaraan (ukhuwwah) merupakan asas kepada kesatuan umat ma...
No comments:
Post a Comment