Assalamualaikum dan Salam Sejahtera. Blog ini bertujuan untuk berkongsi ilmu dengan pembaca budiman tentang keindahan dan kemurnian ajaran Islam. Diharapkan percambahan ilmu ini dapat membantu para pembaca untuk memahami asas pengajaran agama Islam. Pembaca dialu-alukan untuk memberi sebarang komen bagi memantapkan lagi pengisian blog ini. sekian terima kasih- (Abu Rushd)
Friday, May 7, 2010
Pengurusan Penting Kepada Usahawan
Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum dan salam sejahtera. Semoga sema pembaca dirahmati oleh Allah. Pada kali ini , penulisan saya menyentuh tentang aspek keusahawanan Islam. Semoga mendapat manfaat dan faedah daripadanya. Yang selebihnya hanya Allah dan Rasul yang lebih mengetahui
Pengenalan
Dalam dunia keusahawanan, unsur keuntungan adalah perkara penting yang ada dalam pemikiran para usahawan. Usahawan berjaya sentiasa mencari jalan untuk menjana keuntungan hasil daripada pelbagai aktiviti yang diusahakan. Namun begitu, faktor pengurusan juga tidak boleh diabaikan oleh para pengusaha. Justeru itu, usahawan yang berjaya bukan hanyak bijak memasarkan produk atau perkhidmatan yang disediakan tetapi juga berfungsi sebagai pengurus yang cekap. Pengurusan yang efisien dapat membantu pengusaha mengorganisasikan pengurusan dengan baik dan juga dapat melicinkan setiap proses yang berlaku daripada perkara yang besar sehinggalah kepada perkara yang kecil. Tanpa pengurusan yang mantap, tidak mungkin seseorang individu pengusaha tersebut dapat merencanakan aktiviti yang dijalankan dengan berkesan bahkan sistem organisasi yang diwujudkan juga agak rapuh dan lemah. Lihat sahaja usahawan yang berjaya, di samping memiliki empayar perniagaan yang hebat mereka juga mempunyai sistem pengurusan yang berkesan. Justeru itu, dalam artikel ini penulisan ini cuba mengupas berkaitan kemahiran mengurus yang perlu ada usahawan dari perspektif Islam.
Kemahiran Mengurus
Islam berpandangan bahawa usahawan yang berjaya perlu dilengkapi dengan nilai-nilai sebagai pengurus dan memiliki karisma sebagai pemimpin yang baik. Ajaran ini juga menyeru umatnya supaya memberi perhatian terhadap pengurusan yang efektif dan mengutamakan perancangan yang strategik. Pemahaman ini diisyaratkan dalam al-Qur’an yang bermaksud:
”Dan Kami jadikan daripada kalangan mereka beberapa pemimpin, yang membimbing kaumnya kepada agama Kami, selama mereka bersikap sabar serta mereka tetap yakin akan ayat-ayat keterangan Kami.”
(al-Sajadah: 24)
Ibn Kathir melalui tafsirnya ”tafsir Ibn Kathir” dalam mengulas ayat tersebut menjelaskan Allah S.W.T menjadikan pemimpin-pemimpin yang menyeru kaumnya pada jalan yang benar, taat kepada perintah Allah, menyeru kepada perkara ma`ruf dan mencegah perbuatan mungkar. Oleh kerana kesabaran mereka melaksanakan perintah dan menjauhi larangan dan meyakini sepenuhnya isi kandungan wahyu berasaskan iman yang kukuh maka Allah mengurniakan pemimpin yang menjadi ketua kepada kaumnya.
Menurut al-Sunnah pula terdapat beberapa hadith yang menyentuh tentang pemimpin dan kepimpinan. Antaranya, seperti sabda Nabi S.A.W yang bermaksud:
”Daripada al-Hasan R.A., katanya: "Pada suatu hari, 'Ubaid Allah bin Ziyad datang berkunjung ke rumah Ma'qil bin Yasar, ketika Ma'qil sedang sakit yang menyebabkan kematiannya. Kata Ma'qil kepada 'Ubaid Allah, "Saya akan sampaikan kepada anda sebuah hadith yang saya dengar sendiri daripada Rasullullah S.A.W Kalaulah saya yakin bahawa saya akan hidup lama, hadith itu belum saya sampaikan pada anda. Saya mendengar Rasulullah S.A.W bersabda: "Seorang hamba yang dipercayakan Allah memimpin rakyatnya, tetapi dia menipu rakyat, maka jika dia mati, Allah mengharamkan syurga baginya." (Hadith Sahih diriwayatkan oleh Muslim)
Dalam satu riwayat yang lain, Rasulullah S.A.W bersabda maksudnya:
“Daripada 'Auf bin Malik R.A, dari Rasulullah S.A.W., katanya: "Imam (pemimpin atau pembesar) yang terbaik ialah mereka yang mencintai kamu dan kamu mencintai mereka; mereka mendoakan kamu dan kamu mendoakan mereka. Imam yang paling buruk (jahat) ialah yang kamu benci dan mereka membenci kamu; kamu mengutuk mereka dan mereka mengutuk kamu." Seseorang bertanya, "Ya, Rasulullah! Bolehkah kami menyingkirkannya dengan pedang?" Jawab Rasulullah S.A.W., "Tidak, selama mereka masih solat bersama-sama kamu. Apabila kamu lihat suatu tindakan (kebijaksanaan) yang tidak baik daripada pembesar kamu, kritiklah tindakannya, dan jangan lepas tangan untuk tidak taat (terhadap tindakannya yang baik)."
(Hadith Sahih diriwayatkan oleh Muslim)
Berasaskan kepada dalil-dalil yang dikemukakan tersebut jelas menunjukkan keistimewaan manusia yang menjadi utusan Allah di muka bumi diberi tanggungjawab sebagai pemimpin, pengatur dan pentadbir kepada alam sejagat. Bagi melaksanakan fungsi tersebut, manusia sebagai daya penggerak kepada semua sumber dan alat yang terdapat dalam sesuatu organisasi. Sumber itu boleh diperolehi sama ada daripada tenaga manusia ataupun dari bahan mentah. Manusia yang diletakkan sebagai pemimpin, pentadbir dan sebagainya mengurus sumber manusia untuk mengolah sumber alam supaya dapat dimanfaatkan bersama. Menurut Mohd Amin Salih dalam penulisannya bertajuk ” Kecemerlangan Pentadbiran, Dasar dan Amalan Dalam Islam”, sebagai seorang pemimpin, individu tersebut perlu memikul tanggungjawab terhadap apa yang dilakukan. Ini kerana, sekiranya berlaku salah laku dan unsur-unsur penyelewengan, sebagai balasannya akan dikenakan azab daripada Allah S.W.T kelak.
Menurut Muhammad Salleh Majid dalam penulisannya ”Budaya Usahawan”, usahawan sebagayang bertindak sebagaii pengurus yang cekap akan berusaha menggembelengkan pengurusan yang diterajuinya ke arah pencapaian objektif yang jelas. Pada tahap ini, usahawan bertindak melaksanakan tugasan yang berorientasikan keputusan. Lazimnya, ia bertindak membuat keputusan berdasarkan kepada pertimbangannya sendiri. Sebagai pengurus yang bijak, dia bukan sahaja memiliki keupayaan untuk mempengaruhi staf bawahannya untuk melaksanakan aktiviti kerja sepertimana yang disasarkan. Di samping itu, dia juga mampu melahirkan suasana persekitaran budaya kerja yang kondusif dan berkebolehan menguruskan sumber manusia supaya menyokongnya dan melaksanakan tugas dengan cekap dan berproduktif.
Dengan kata lain, nilai-nilai kepimpinan yang baik ialah individu tersebut berjaya mengintegrasikan nilai memimpin dan mendidik orang-orang di sekelilingnya dengan budaya kerja yang cekap dan menerapkan penghayatan nilai-nilai terpuji sebagai seorang muslim. Oleh yang demikian, usahawan yang berjaya sentiasa memikirkan langkah dan strategi yang perlu digunakan untuk menjadi pengurus dalam organisasi yang diterajuinya agar menjadi pemimpin yang baik. Ini kerana, usahawan yang memiliki nilai-nilai kepimpinan yang terpuji, bijak menyesuaikan kekuatan dan kelemahan yang ada dengan melihat peluang dan persaingan yang terpaksa dihadapinya. Dalam masa yang sama, ia juga memiliki keupayaan dalam menggunakan teknik-teknik kreatif untuk mencipta nilai baru terhadap kehendak pelanggan yang sukar ditandingi oleh pesaing yang lain.
Kesimpulan
Justeru itu, tidak dinafikan lagi bahawa kemahiran mengurus adalah sebahagian daripada unsur-unsur penting yang ada pada usahawan. Ini kerana, kebayakan pengusaha yang baru berkecimpung dalam dunia perniagaan pada hari ini kurang menitikberatkan aspek pengurusan dalam amalan mereka. Ini kerana, barangkali unsur tersebut didapati kurang diberi keutamaan oleh para pengusaha disebabkan tahap pengetahuan dan pengalaman masih lagi rendah. Sebaliknya, para pengusaha hanya mementingkan persoalan keuntungan material dan kurang memberi perhatian dari aspek pengurusan. Berkemungkinan, para usahawan beranggapan perkara ini adalah remeh dan tidak menjejaskan prestasi pengusaha. Oleh kerana, mentaliti songsang yang ada pada individu terbabit mengakibatkan aktiviti yang diusahakan tersebut hanya dapat bertahan dalam jangka masa yang pendek dan tidak mempunyai keupayaan untuk bersaing di pentas yang lebih terbuka.
Mengambil contoh bentuk pengurusan yang diaplikasikan oleh Nabi Muhammad S.A.W dalam perniagaan yang dijalankannya. Baginda S.A.W telah berjaya membuktikan dirinya sebagai seorang pengurus yang hebat. Jika dibongkar sirah Baginda, beliau telah berjaya memajukan perniagaan Siti Khadijah (Isteri Baginda) bukan hanya di peringkat domestik tetapi juga merentasi sempadan negara yang lain. Oleh kerana, Baginda telah membuktikan kejayaannya sebagai seorang peniaga dan pengurus yang cekap, beliau telah diberi kepercayaan oleh Siti Khadijah untuk menjadi ketua ekspedisi perniagaan membawa barang dagangan untuk dipasarkan di luar tanah Arab. Oleh yang demikian, jelaslah bahawa kemahiran pengurusan adalah penting kepada usahawan yang perlu diberi perhatian sewajarnya.
-Abu Rushd-
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
`Ibrah Covid 19. Suluhan Daripada Perspektif Islam
Assalamualaikum dan bertemu lagi. sudah lama saya tidak menjengok ke blogni. Harini rasa bersemangat semula untuk melihat blog yang sudah se...
-
Bismillahirrahmanirrahim Assalamualaikum & Salam Sejahtera Bertemu lagi dalam ruangan blog. Rasanya sudah lama saya tidak memasukkan art...
-
Konsep Insan Islam sebagai ad-din yang ditaja oleh Allah bersifat universal merupakan sistem tatacara hidup yang sempurna dan komprehensif. ...
-
KEPENTINGAN KONSEP PERSAUDARAAN DALAM ISLAM Secara konseptualnya, persaudaraan (ukhuwwah) merupakan asas kepada kesatuan umat ma...
No comments:
Post a Comment