Wednesday, November 25, 2009

Nak Untung Cepat Punca Usahawan Gagal


Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum dan bertemu lagi. Pada kali ini saya ingin berkongsi pengalaman dengan pembaca berkaitan topik usahawan. Memandangkan isu ini berkaitan dengan rrealiti yang dihadapi oleh para usahawan, barangkali ia dapat memeberi manfaat kepda kita semua. Semoga usaha ini mendapat keberkatan dan keredhaan daripada Ilahi. Bertemu lagi Selamat Hari Raya AindilAdha kepada semua.


Pengenalan

Kerajaan Malaysia melalui agensi sokongan seperti MARA, MADA, FAMA dan sebagainya ditubuhkan untuk memperkasakan penguasaan ekonomi Bumiputera. Agensi-agensi tersebut telah merangka pelbagai aktiviti dan program bagi memenuhi objektif tersebut. Natijah daripada penubuhan agensi-agensi sokongan tersebut, memperlihatkan peningkatan peratusan kaum Bumiputera menceburi bidang keusahawanan sebagai satu kerjaya alternatif semakin bertambah. Meskipun pada setiap tahun dapat disaksikan kemunculan para usahawan baru namun, sasaran untuk melahirkan usahawan Bumiputera berjaya dan berkualiti masih lagi belum mencapai tahap yang membanggakan.

Berdasarkan kepada kajian yang dijalankan terdapat pelbagai faktor yang menyumbang kepada kegagalan usahawan Bumiputera untuk berkembang maju dan berjaya setaraf dengan golongan usahawan bukan Bumiputera yang lain. Antara faktor yang dikenalpasti penyebab kepada kegagalan usahawan Bumiputera adalah disebabkan oleh sikap mengejar keuntungan dengan cara cepat. Dengan lain perkataan nak kaya cepat. Akibat terpengaruh dengan epidermik penyakit tersebut, golongan usahawan yang terbabit sanggup melakukan sesuatu perkara sama ada dengan cara menipu dan lain-lain kaedah yang dapat mencapai matlamat mereka. Justeru itu, penulisan ini akan mengupas isu tersebut dari sudut kaca mata Islam dan penyelesaiannya.

Akibat Nak Untung Cepat

Dunia keusahawanan menyajikan ruang dan peluang kepada manusia untuk mencipta dan menjana kekayaan melalui aktiviti yang dilaksanakan. Realiti yang berlaku ini memberi ruang kepada golongan manusia khususnya kepada golongan usahawan dan menguji mereka melaksanakan aktiviti tersebut sama ada melalui saluran yang dibenarkan ataupun sebaliknya. Akibat terpengaruh dengan tuntutan gaya hidup yang bersifat materialistik mengakibatkan timbulnya perasaan tamak haloba yang menguasai tindak-tanduk golongan yang terlibat. Natijah daripada penghayatan sifat tersebut mendorong usahawan untuk menghalalkan matlamat mereka untuk mendapatkan keuntungan, kekayaan dan kejayaan dalam masa yang singkat. Sebagai contoh, mengambil keuntungan dengan cara melampau, tidak jujur dalam sebarang transaksi yang dijalankan, menjalankan perniagaan atau skim yang kononnya untuk membantu orang lain tetapi sebaliknya menggunakan premis tersebut untuk menipu dan mengaut keuntungan dengan cara mudah. Contoh yang lain seperti “mengalibabakan” sesuatu projek yang dimilikinya kepada pihak yang lain dan pelbagai lagi.

Memetik pandangan yang diutarakan oleh Tan Sri Muhammad Ali Hashim (Ketua Eksekutif Kumpulan Johor Corporation, J-Corp) dalam artikelnya “Kesan Minda Gajah Sarkas”, beliau mengemukakan pendapat bahawa sebahagian daripada usahawan Bumiputera Melayu mempunyai sikap ingin cepat untung dalam perniagaan yang diusahakannya. Kenyataan ini memberi gambaran bahawa sikap tidak sabar dan pengaruh wang ringgit yang menjadi keutamaan hakiki golongan tersebut mendorong mereka kepada gejala yang tidak sihat dan akhirmya mereka gagal dalam sebarang aktiviti yang diusahakan. Kesan yang lebih parah lagi sifat yang buruk tersebut mengundang kerugian dan kemudharatan kepada para pengguna dan masyarakat amnya. Ini kerana, pengusaha yang bersikap sedemikian, bukannya memiliki nilai kejujuran dan keikhlasan untuk membantu dan menyediakan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat sebaliknya mereka mempunyai agenda yang tersirat untuk menindas dan mengambil kesempatan ke atas orang lain.

Pandangan Islam berkaitan dan Penyelesaiannya

Islam adalah satu agama yang terbukti membawa kesejahteraan kepada para penganutnya. Dalam sektor keusahawanan, Islam bersikap positif dan memberi kebebasan sepenuhnya kepada umat manusia untuk menerokai bidang tersebut. Meskipun begitu, dalam usaha kerancakan manusia khususnya golongan usahawan mencipta aktiviti kekayaan namun aktiviti transaksi tersebut perlu berjalan atas landasan dalam kerangka yang diizinkan oleh syara`. Perlu diingatkan bahawa apa sahaja aktiviti yang dijalankan matlamatnya adalah memperolehi ganjaran dan keberkatan di dunia dan akhirat. Oleh yang demikian, kemakmuran dan kejayaan yang dikecapi oleh manusia bukan sahaja dilimitasi dengan keuntungan di dunia secara tunggal sebaliknya kenikmatan tersebut akan dikecapi di alam akhirat kelak. Gambaran ini disentuh dalam al-Qur’an, seperti firman Allah S.W.T:

Maksudnya: “Sesiapa yang beramal saleh, dari lelaki atau perempuan sedang ia beriman, maka sungguh Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik; dan sesungguhnya Kami akan membalas mereka, dengan pahala yang lebih baik dari apa yang mereka telah kerjakan.”
(an-Nahl:97)

Islam tidak pernah menghalang umatnya untuk mengejar keuntungan. Namun apa yang ditegahnya ialah mencari keuntungan sehingga menyebabkan berlakunya kemudharatan kepada pihak yang lain. Oleh yang demikian, disebabkan terlalu dipengaruhi untuk mendapat kekayaan dan kejayaan dalam masa yang singkat tanpa perlu berusaha dengan bersungguh-sungguh menyebabkan golongan terbabit melakukan perkara yang boleh merosakkan akhlak dan keperibadian diri. Sifat negatif tersebut seringkali mempersonafikasikan sifat-sifat tercela dalam diir manusia akibat dipengaruhi dan dikuasai oleh kebobrokan hawa nafsu yang sentiasa meruntun manusia ke lembah kebinasaan. Tegasnya Islam melarang keras tindakan tercela tersebut. Pemahaman tersebut dapat dilihat dalam sebuah hadith yang melarang individu mencari rezeki dengan cara tidak bermoral. Ini kerana, hasil perolehan yang didapati daripada aktiviti yang tidak diizinkan oleh syara` bukan sahaja menghilangkan keberkatan hidup bahkan pelakunya akan jauh dari hidayah dan petunjuk daripada Allah S.W.T. Preskripsi ini dijelaskan oleh Nabi Muhammad S.A.W dalam sebuah hadith yang bermaksud:


“Ubaid bin Humaid menceritakan kepada kami, Abu Nu'aim memberitahun kepada kami, Fudhail bin Marzuq memberitahu kepada kami dari Adi bin Tsabit dari Abi Hazm dari Abu Hurairah, ia berkata : "Rasulullah S.A.W. bersabda :"Wahai manusia sesungguhnya Allah itu baik, Allah tidak mahu menerima sesuatu kecuali dari perkara yang baik, dan sesungguhnya Allah perintah kepada orang-orang mukmin seperti apa yang telah diperintahkan kepada para utusan, maka Nabi membaca : (Wahai para Rasul, makanlah dari makanan yang baik-baik, dan kerjakanlah amal yang soleh. Sesungguhnya Aku Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan) dan Rasulullah membaca : (Wahai orang-orang beriman, makanlah di antara rezeki yang baik-baik yang Kami anugerahkan kepadamu), Abu Hurairah berkata : Kemudian Nabi menyebut seorang lelaki yang bermusafir jauh yang kusut masai dan berdebu dan menadahkan tangannya ke langit sambil berdoa, Ya Tuhan, Ya Tuhan, padahal makannya dari sumber haram, minumnya daripada sumber haram pakaiannya pun haram dan dibesarkannya dengan barang haram, bagaimana doanya dimakbulkan untuk itu.
(al-Tirmidhi)

Berdasarkan kepada petunjuk daripada al-Qur`an dan al-Sunnah dapat disimpulkan bahawa kegiatan mencari keuntungan dengan jalan yang bertentangan dengan kehendak agama adalah ditolak sama sekali. Tambahan lagi kesan dan akibat perbuatan tersebut boleh mendatangkan penganiayaan kepada pihak lain. Ironinya, Islam begitu menghargai usaha yang dilakukan oleh usahawan untuk memperkasakan bidang perekonomian. Walau bagaimanapun, kegiatan tersebut perlulah dilaksanakan dengan penuh tanggugjawab dan diimbangi dengan keperluan beragama dan berakhlak. Berusahalah dengan tekun dan penuh kesabaran sambil diiringi dengan kekuatan doa dan bertawakkal kepada Allah. Di samping itu, Islam menganjurkan supaya para usahawan sentiasa berdoa supaya dilindungi daripada fitnah kebendaan yang mengusai diri dan berpotensi menodai untuk melakukan perkara-perkara yang ditegah oleh agama. Hakikatnya, Islam mengkritik individu manusia yang bersikap cuai, leka, mengharapkan ihsan orang lain, malas, tidak produktif, menindas golongan yang lemah dan sebagainya. Sifat-sifat negatif yang dinyatakan tersebut bertentangan dengan konsepsi usaha yang dibugarkan oleh Islam. Ianya jelas menyanggahi potensi yang dianugerahkan oleh Allah S.W.T kepada manusia. Individu yang bersifat sedemikian gagal melaksanakan tanggungjawabnya dengan baik dan tidak mencerminkan sebagai individu muslim yang muttaqin.

Kesimpulan

Islam menegah para usahawan mencari keuntungan melalui jalan singkat yang boleh mendatangkan kesulitan dan keugian kepada pihak yang lain. Sebaliknya, Islam amat menghargai umatnya supaya berusaha dengan tekun dalam apa sahaja yang pekerjaan yang dilaksanakannya. Sikap mengambil jalan mudah dan segera untuk mendapatkan kekayaan bukan sahaja mendatangkan kerugian kepada usahawan bahkan ia boleh mengundang kepada faktor kegagalan. Yakinlah kepada maksud firman Allah yang maksudnya “setiap kesusahan itu disertai dengan kemudahan” (al-Insyirah:6).


-Abu Rushd-

No comments:

`Ibrah Covid 19. Suluhan Daripada Perspektif Islam

Assalamualaikum dan bertemu lagi. sudah lama saya tidak menjengok ke blogni. Harini rasa bersemangat semula untuk melihat blog yang sudah se...