Monday, June 23, 2008

Pemikiran Luhur


Assalamualaikum dan salam sejahtera. Pertamanya bersyukur ke hadrat Allah S.W.T kerana diberi diberi nikmat yang tidak terhingga kepada kita. Untuk ruangan pada kali ini, penulisan saya cenderung memfokuskan konsep pemikiran manusia. Sebahagian daripada pemikiran tersebut dikenali sebagai pemikiran luhur. Pemikiran tersebut berlatarbelakangkan kepada teras keagamaan. Diharapkan penulisan kecil ini dapat memberi manfaat kepada para pembaca.


Konsep Asas Pemikiran Luhur

Secara amnya, pemikiran luhur boleh ditakrifkan sebagai pemikiran yang bersifat kudus dan mempunyai norma-norma positif yang dihormati. Menurut Prof. Dr. Yusof Hassan dalam bukunya “Pemikiran Saintifik, SPB4L” pemikiran luhur dikategorikan sebagai pemikiran keagamaan. Dalam membincangkan hal ini, kita tidak dapat lari dari menjelaskan tentang konsep akal. Secara prinsipnya, akal merupakan satu daya kekuatan yang tersembunyi dalam diri setiap manusia. Menurut kamus “Lisan al-Arab”, akal dimaksudkan sebagai pintar dan lawan kepada maksud tersebut iaitu bodoh. Ia juga dapat difahami sebagai:



- Daya penentu dalam banyak perkara;
- Hati nurani; dan
- Kuasa yang membezakan antara manusia dan binatang.

Sehubungan dengan itu, seorang sarjana Islam Muhammad Abd. Rauf dalam penulisanya “The muslim mind: history of the muslim intelectual life” menegaskan pemikiran Islam juga boleh diertikan sebagai pemikiran luhur. Penggunaan istilah ini adalah adalah relevan dan boleh diterima disebabkan pemikiran luhur didefinisikan sebagai pemikiran yang berteraskan elemen keagamaan. Meskipun begitu, pendekatan yang terdapat pada sistem pemikiran luhur dari perspektif Islam perlu dibezakan dengan sistem pemikiran berasaskan agama lain. Ini kerana prinsip-prinsip pemikiran luhur menurut acuan Islam bukan sahaja ditentukan melalui kaedah saintifik tetapi juga bersumberkan kepada wahyu Agung (reavealed principles).

Merujuk kepada kajian yang dijalankan oleh seorang intelektual Islam Mustafa Saad yang bertajuk “Al-Turath al-Islami fi ahdath al-turuq li ta`lim fann al-khutut al-`arabiah wa al-zakharif al-Islamiah” beliau menjelaskan akal manusia boleh dibahagikan kepada tiga tahap.


Pertama, akal yang bersifat burhaniyyah, kapasiti akal jenis ini cenderung untuk mengikut petunjuk yang yakin dan mempunyai keupayaan untuk sampai kepada kesimpulan yang bersifat dhururi. Akal dalam kategori ini akan melahirkan insan yang cemerlang. Meskipun begitu, hanya sebilangan kecil manusia sahaja yang memiliki akal jenis tersebut.


Kedua, akal yang mampu mencerna dan menganalisis sesuatu objek secara rasional. Manusia yang memiliki akal pada tahap cenderung menggunakan pendekatan pemikiran logik.


Ketiga, akal yang berada pada tahap ini memerlukan bimbingan dan panduan secara sistematik. Akal tersebut tidak mampu untuk berfikir secara deduktif. Realitinya, akal pada tahap ketiga inilah yang dimiliki oleh sebahagian besar manusia. Manusia yang memiliki bentuk pemikiran tersebut, perlu diberi bimbingan kerana mereka tidak mampu untuk menyelami sesuatu dengan mendalam yang diluar jangkauan kekuatan panca indera manusia.

Oleh yang demikian, manusia yang berpegang kuat kepada tuntutan agama dapat mengekploitasikan akal yang dianugerahkan oleh Allah S.W.T untuk menggali khazanah ilmu tentang rahsia-rahsia alam raya ini. Menurut Imam Abu Zakaria al-Razi dalam karangannya “Al-tibb al-ruhani”, Allah telah menganugerahkan kepada manusia akal bertujuan supaya manusia berusaha bersungguh-sungguh untuk mengecapi hasanah di dunia dan akhirat. Keistimewaan akal yang dimiliki oleh manusia merupakan suatu rahmat yang tidak ternilai.


Berbekalkan anugerah tersebut, manusia dikelompokkan dalam hirarki yang tertinggi berbanding makhluk ciptaan Allah yang lain seperti haiwan. Antara lain keajaiban akal yang dimiliki oleh manusia ialah dapat mengetahui rahsia alam yang tidak dapat dijangkau oleh mata manusia biasa. Di samping itu, dengan akal juga manusia dapat mengenali Allah, tuhan mencipta seluruh makhluk di alam ini. Justeru itu, klimaks kekuatan akal manusia tercapai apabila akal berfungsi sepenuhnya untuk mengkaji dan meneliti kekuasaan dan keagungan Allah S.W.T. Imam al-Ghazali dalam kitbnya yang terkenal “Ihya’ ulum al-din”, menukilkan manusia mengabaikan fungsi tersebut mengakibatkan taraf manusia tersebut lebih rendah daripada makhluk ciptaan Allah yang lain bahkan lebih rendah daripada haiwan. Realiti ini dapat dilihat melalui firman Allah S.W.T yang bermaksud:


Terjemahan : “Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati yang tidak (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan mempunyai mata yang tidak (mahu) melihat dengannya (bukti-bukti keEsaan Allah), dan mempunyai telinga yang tidak (mahu) mendengar dengannya (ajaran dan nasihat), mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai.”
(Surah al-Araf 7 : 179)

Hakikatnya, al-Quran memberi pengiktirafan yang tinggi terhadap akal manusia. Oleh yang demikian, manusia yang berjaya mengimplementasikan nilai-nilai pemikiran luhur yang diikat dengan prinsip-prinsip teologi akan menjadi manusia bahagia di dunia dan akhirat. Dalam hal ini, al-Quran sentiasa menekankan pembudayaan berfikir dalam setiap tingkah laku manusia. Penekanan ini dapat dilihat melalui ayat-ayat yang berkaitan dengan disentuh oleh al-Quran sebanyak 49 kali. Dalil ini menunjukkan betapa tinggi dan mulianya keistimewaan akal.


Antaranya, firman Allah S.W.T yang bermaksud:

Terjemahan : “Dan dari buah tamar (kurma) dan anggur, kamu jadikan daripadanya minuman haram dan makanan serta minuman yang halal; sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat satu tanda (yang membuktikan kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang mahu menggunakan akalnya.”
(Surah al-Nahl 16:67)


Selain dari itu juga manusia yang tidak menggunakan akal ke arah kebaikan menyebabkan mereka melakukan kemusnahan dan akan mendapat azab daripada Allah. Dalam Surah yang lain Allah S.W.T berfirman yang bermaksud:

Terjemahan : “Dan apabila kamu menyeru (azan) untuk mengerjakan sembahyang, mereka menjadikan sembahyang itu sebagai ejek-ejekan dan permainan. Yang demikian itu ialah kerana mereka suatu kaum yang tidak berakal.”
(Surah al-Ma’idah 5:58)

Berdasarkan ayat-ayat al-Quran tersebut, dapatlah difahami bahawa manusia yang bijak di sisi Allah S.W.T ialah mereka yang berjaya meletakkan peranan akal ditempat yang betul. Penyelewengan akal yang dilakukan oleh manusia akan memberi implikasi yang negatif dan seterusnya di keji oleh Allah. Dari sini, jelaslah pemikiran luhur yang berteraskan agama menjadi indicator kepada manusia untuk berjaya dalam kehidupan. Mereka yang tergolong dalam kategori ini akan berusaha bersungguh-sungguh untuk melakukan kebaikan demi kesejahteraan umat manusia sejagat dan sebaliknya mereka yang tidak dikawal oleh pemikiran luhur cenderung melakukan penyelewengan yang boleh menjejaskan proses pembentukan peradaban manusia. Kedangkalan manusia memahami fungsi akal yang hakiki menyebabkan fikiran mereka diwarnai dengan hasutan Iblis dan godaan nafsu yang tinggi dan akhirnya mereka semakin jauh dari petunjuk Ilahi.

Friday, June 20, 2008

Perbezaan Falsafah Nilai Antara Islam dan Barat



Assalamulaikum dan salam sejahtera.




Bertemu lagi dalam siri penulisan artikel. Dalam siri ini, saya berhasrat untuk mengupas falsafah nilai menurut perspektif Islam dan Barat. Diharapkan semoga mendapat manfaat darinya dan dinilai sebagai amalan kebajikan oleh Allah S.W.T kepada saya.




Pengenalan

Dalam sejarah peradaban manusia, persoalan tentang nilai sentiasa mengalami proses penambahbaikan bersesuaian dengan realiti dan pencapaian kemajuan semasa yang dicapai oleh manusia. Revolusi pemikiran manusia dalam memperbaiki taraf kehidupan insaniah telah mencetuskan satu dimensi yang positif untuk merangka satu sistem tamadun manusia yang progresif dan bersifat ”sustainable system”. Setiap masyarakat memiliki mekanisme yang tersendiri untuk merungkai permasalahan yang dihadapinya. Justeru itu, masyarakat Islam mempunyai pertimbangannya yang tersendiri dalam menentukan nilai-nilai yang bersesuaian dengan ruh syariat dan dapat menampung realiti dan keperluan semasa masyarakat. Ajaran Islam dan budaya masyarakat telah menjadi asas kepada cerminan nilai masyarakat Islam amnya. Hanya nilai-nilai yang tidak bertentangan dengan ajaran Islam sahaja diiktiraf sebagai nilai-nilai murni dalam Islam.

Dalam ruanglingkup Islam, setiap bidang komponen keperluan manusia adalah terikat dengan konsep pandangan hidup tauhid. Sejarah ketamadunan manusia telah melakarkan konsep pandang semesta manusia tidak pernah sunyi dari petunjuk keagamaan yang berorientasikan order tauhid. Meskipun manusia telah mencapai kemajuan dan kemodenan yang telah diciptakan namun ia hanya bersifat kuantitatif dan sentiasa mengalami perubahan. Berbeza pula dengan aspek ketauhidan yang yang memiliki ciri-ciri kualitatif dan universal sifatnya sentiasa memelihara keasliannya walaupun berbeza suasana dan tempat. Reformasi kerohanian yang berteraskan tauhid secara eksplisitnya memberi gambaran kepada manusia tentang hakikat kebenaran yang perlu dijadikan falsafah asasi kehidupan manusia. Asas pegangan inilah yang akan memberi kesedaran kepada manusia tentang hakikat kejadiannya dan objektif utama ia diutuskan atas muka bumi ini.

Oleh yang demikian, kerangka sistem nilai yang dicanai dengan ruh tauhid akan mencerminkan satu kebenaran tentang keindahan ajaran Islam yang diwarnai dengan nilai-nilai murni yang luhur. Nilai-nilai kolektif yang disaduri dengan nilai-nilai Islam akan menzahirkan ciri-ciri yang positif seperti keadilan, kesaksamaan, kebaikan dan memelihara kepentingan umum sepertimana yang telah termaktub dalam al-Quran dan al-Sunnah. Nilai-nilai yang diutarakan tersebut mempunyai falsafah keinsanan yang besar dan memberi isyarat bahawa manusia mempunyai nilai stratafikasi sosial yang sama tanpa wujud perbezaan sempadan dan geografi. Ia memberi pengajaran kepada manusia agar tidak bertindak melampaui batas sehingga menimbulkan ketidakstabilan dan ketidakharmonian dalam hubungan manusia sesama manusia. Islam sentiasa mengutamakan sistem nilai yang adil dan bersih dari kecacatan yang boleh memberi implikasi yang negatif kepada sistem pembangunan masyarakat amnya melalui petunjuk wahyu.




Takrifan Nilai

Dalam konteks sistem perhubungan manusia, secara prinsipnya al-Quran telahpun menyentuh secara implisit atau sebaliknya dengan memberi panduan kepada manusia bagaimana bentuk interaksi dan mekanisme yang perlu diaplikasikan dalam institusi kemasyarakatan. Al-Quran bersikap emphasis terhadap falsafah nilai kepada insan kerana ia mencerminkan keperibadian personaliti seseorang muslim yang bertaqwa. Hakikatnya, pembangunan sakhsiah individu muslim tidak akan berjaya sepenuhnya tanpa diikat dengan nilai-nilai murni yang luhur. Malik Bin Nabi menghuraikan dalam bukunya ”Taamulat”, institusi masyarakat juga turut dipengaruhi dengan dinamika sistem nilai sebagai pra syarat utama asas jaringan hubungan sosial yang bertepatan dengan kemaslahatan manusia.

Secara prinsipnya, teori nilai ialah untuk melihat penerimaan dan penilaian manusia terhadap sesuatu nilai sama ada diukur bentuk positif atau negatif. Ibn Manzur dalam “ Lisan al-`Arab” mentafsirkan nilai juga merujuk kepada harga, kebaikan, keburukan dan penilaian berasaskan kepada pertimbangan domain-domain nilai yang ditentukan oleh manusia. Natijah daripada konsep tersebut, ia akan menjadi indikator kepada manusia untuk membuat penilaian dan penganalisaan terhadap aplikasi nilai tersebut dalam gelagat tingkah laku manusia. Sekiranya diterjemahkan dalam bentuk amalan praktikal, kerangka konsep nilai menjurus kepada pandangan nilai-nilai yang baik dan murni yang diterima oleh manusia sejagat. Barat pula berpandangan bahawa falsafah teori ini secara relatifnya sinonim dengan teori aksiologi.

Dikotomi teori nilai mempunyai fasa perjalanan sejarahnya yang tersendiri. Jika diukur dari aspek kematangannya dalam dunia akademik, tema teori nilai yang diperkenalkan pada akhir abad ke-19 masih lagi dianggap sebagai teori muda. Meskipun begitu secara eksplisitnya, teori ini mendapat perhatian yang sewajarnya dalam siri perbincangan dan kajian yang dijalankan oleh para sarjana. Dalam konteks falsafah pula, pemakaian teori ini telah lama diaplikasikan dalam perbahasan ilmiah oleh falsafah agung yang terkenal seperti Plato. Menurut K. Bertens dalam karangannya ”Sejarah Falsafah Yunani”, penghuraian teori ini disentuh secara tidak langsung dalam idea ”baik” diklasifikasikan sebagai nilai yang unggul dalam hirarki idea.

Umumnya, terdapat perbezaan pemahaman konseptual di antara moral dan benda yang baik. Moral yang baik merujuk kepada adab dan perbuatan yang dilakukan oleh manusia dan ianya dinilai sama ada baik atau dicela. Manakala benda yang baik pula diprojekkan kepada benda bukannya kepada manusia. Meskipun begitu, apabila membincangkan teori nilai ia tidak boleh dipisahkan di antara elemen moral dan benda baik sebaliknya kedua-dua elemen tersebut perlu dikombinasikan dalam satu domain yang menjadi topik perbincangan teori nilai. Nilai dapat difahami secara berbeza mengikut disiplin pengajian ilmu.




Pandangan Islam dan Barat Tentang Sistem Nilai

Golongan cendikiawan Barat banyak melakukan kajian terhadap nilai. Taylor dalam penulisannya ”Normative Discourse” menjelaskan bahawa nilai merupakan kombinasi antara elemen darjah dan nilai normatif yang membentuk kerangka kehidupan manusia. Pandangan yang lain pula seperti Radhakamal Mukerjee ”The Social Structure of Values” memberi pengertian bahawa nilai adalah terpancar daripada kemahuan dan motif yang dihasilkan serta diiktiraf oleh masyarakat dan budaya untuk mengekalkan keharmonian dalam kehidupan. Gordon Willard Allport dalam “Pattern and Growth in Personality” berpendapat nilai merupakan set kepercayaan yang menyebabkan manusia menentukan sesuatu tingkah laku yang sesuai. Umumnya pengertian nilai dari perspektif sarjana Barat adalah berasaskan kepada kepercayaan yang terhasil berorientasikan penerimaan masyarakat berdasarkan pengiktirafan kosmologi dan pertimbangan akal manusia semata-mata. Barat tidak memperakukan adanya domain-domain rohaniah dalam jiwa manusia yang mempengaruhi citra hati budi manusia. Sarjana Barat hanya menitikberatkan keintelektualan manusia dalam menyelidik fenomenon dan persekitaran zahiriah manusia tanpa diimbangi dengan ketentuan yang dituntut oleh agama. Menurut Prof Hashim Musa dalam kertas kerjanya ”Citra Hati Budi Melayu” menjelaskan Barat tidak sependapat dalam mentakrifkan definisi nilai yang baik, ideal dan luhur. Golongan hedonis mentakrifkan nilai yang baik dapat memberi keserokan kepada jiwa manusia (pleasure and happiness). Aliran positivistik berpendapat nilai yang baik cenderung kepada kesempurnaan (perfection). Aliran pragmatis menyimpulkan nilai yang baik dapat memenuhi impian dan obligasi semasa (fulfillment of current mission and duties).

Sehubungan dengan itu, Islam mempunyai pandangannya yang tersendiri dalam melihat teori nilai atau dikenali sebagai aksiologi. Dari dimensi Islam, nilai ialah ukuran piawaian kepada manusia untuk menilai sama ada sesuatu perkara, perbuatan atau perkataan itu baik, bermanfaat, mudharat, atau tercela. Sesuatu benda juga mempunyai nilai instrinsiknya sama ada ia mendatangkan faedah atau sebaliknya. Ironinya, mekanisme yang diaplikasikan oleh Islam untuk menilai sesuatu tindakan atau benda yang terangkum dalam elemen nilai perlu disaring dengan doktrinasi akhlak, hukum syariah dan tauhid. Melalui proses penyaringan inilah sesuatu nilai dapat dijustifikasikan ketentuannya sama ada dikategorikan sebagai wajib, sunat,makruh dan haram.

Oleh yang demikian nyatalah, pemahaman nilai dalam Islam bukanlah berdasarkan penilaian akliah semata-mata ataupun apresiasi variasi budaya masyarakat sahaja. Sebaliknya, refleksi manusia terhadap nilai perlu dipandu dengan dalil-dalil naqliah yang bersumperkan al-Quran dan al-Sunnah. Di pandang pada skala yang lebih umum, nilai yang diiktiraf oleh Islam ialah sebahagian daripada ketentuan agama. Berpegang kepada asas tersebut, nilai-nilai yang menimbulkan konflik dengan prinsip Islam sudah pastilah ia terkeluar daripada takrifan domain nilai menurut perundangan Islam. Dengan adanya garis panduan ini, ia memberi kefahaman bahawa tidak wujud pengasingan di antara domain-domain nilai kompleks yang diutarakan oleh manusia dengan pengajaran agama Islam. Ia memberi satu gambaran yang jelas bahawa segala tindak tanduk manusia tidak pernah sunyi daripada prinsip Islam yang bersifat komprehensif.


Apabila teoritikal nilai ditanggapi sebagai sebahagian daripada pengajaran agama Islam, ianya akan dihayati dan dibudayakan dalam kehidupan insan. Nilai-nilai yang dilahirkan menerusi perakuan agama akan dipatuhi dan dihormati oleh manusia berasas keyakinan bahawa ianya bersumberkan dari Ilahi. Sifat inilah tidak ada pada teori nilai yang ditaja oleh pemikiran manusia, walau bagaimana tinggi sekalipun kreativiti dan intelektual manusia. Meskipun kelompok masyarakat mengiktiraf dan menghormati nilai-nilai yang baik tetapi pematuhan terhadap nilai-nilai tersebut begitu terhad berbanding dengan nilai-nilai yang terpancar dari ajaran agama. Hal yang demikian membuktikan wujudnya dikotomi pemahaman berkenaan konsep kebaikan yang bersifat universal sebagai nilai penghormatan yang dipersetujui secara consensus bagi seluruh masyarakat yang berperadaban. Walau bagaimanapun, sekiranya ia diterima pakai oleh masyarakat umum namun penerimaan pemahamannya definisi dan darjah-darjahnya masih lagi dipolemikkan berdasarkan kepada perbezaan tafsiran budaya dan suasana masyarakat. Mahmood Zuhdi dalam bukunya “Sejarah Pembinaan Hukum Islam” menukilkan bahawa sesuatu nilai hanya akan dihormati dan dipatuhi apabila ianya berasaskan kepada ketentuan agama. Nilai pegangan yang diiktiraf oleh Islam ialah perkara atau benda yang tidak mendatangkan kemudharatan kepada manusia dan objektif syara` serta jagat sifatnya.

Manifestasi sistem nilai yang ditunjangi dengan nilai-nilai rohaniah akan melahirkan insan-insan yang bertaqwa, beradab dan berakhlak untuk memakmurkan, membangunkan dan menerajui alam ini atas kapasitinya sebagai khalifatulard. Antara nilai-nilai positif yang terpancar dalam domain rohaniah seperti amanah, akauntabiliti, tidak cuai, tidak menyalahgunakan kuasa, integriti, jujur, setia, berdisiplin, benar, murni niat, tepati janji, rendah diri, suka membantu. Nilai-nilai positif lain adalah seperti menggunakan pertimbangan akal yang rasional dan kebijaksanaan bukannya emosi, tidak mengambil jalan mudah, profesional, berfikir secara kritis dan inovatif, mensyukuri nikmat Allah dan nilai-nilai luhur yang lain asalkan tidak menyalahi prinsip agama Islam. Lantaran itu, Islam melihat teori nilai dalam terma-terma yang mengandungi unsur-unsur akhlak seperti ganjaran, balasan, betul, salah syurga, neraka dan sebagainya.

Perbezaan Sistem Nilai Menurut Islam dan Barat

Teori nilai dalam Islam mempunyai ciri-ciri keistimewaan yang eksklusif berbanding dengan teori nilai yang difahami oleh golongan Barat. Teori nilai Islam bersumberkan kepada wahyu Ilahi. Justeru itu, sekiranya berlaku pertentangan dengan ketentuan hukum syara` maka nilai tersebut dianggap sebagai bukannya dari nilai yang dituntut oleh agama dan bertentangan dengan kemaslahatan manusia amnya. Walau bagaimanapun, syara` juga tidak menafikan penglibatan manusia secara tidak langsung dalam mentafsir dan memahami sistem pembentukan nilai tersebut. Ini kerana meskipun prinsip syara` bersifat dogmatif namun terdapat ruang fleksebiliti dan dinamis dalam memahami prinsip wahyu. Di sinilah akal manusia berfungsi dalam mentafsirkan kehendak syara` menurut peruntukan yang ada dalam nas.

Dalam Islam, sistem nilai berteraskan agama yang menjadi pegangan masyarakat tidak berubah mengikut peredaran masa dan zaman. Hal yang sedemikian disebabkan sistem nilai yang didokong oleh Islam berasaskan kepada wahyu dan ia tetap relevan dalam memenuhi keperluan hidup masyarakat. Walau pun syara` memberi ruang kepada akal manusia, namun ruang yang diizinkan adalah terhad dalam ruanglingkup yang diizinkan oleh syara`. Sebagai contoh, kepercayaan kepada perkara-perkara ghaib yang diluar kemampuan akal manusia untuk menta`akulkan perkara tersebut. Begitu juga dengan persoalan dosa dan pahala. Individu muslim wajib beriman secara sepenuh hati tentang persoalan tersebut.

Begitu juga dengan pengiktirafan kaum wanita. Islam mengangkat martabat kaum wanita sama sepertimana pengiktirafan terhadap kaum lelaki. Persepsi sistem nilai Islam terhadap wanita adalah jelas dan tidak pernah berubah disebabkan ianya dinisbahkan kepada petunjuk wahyu. Pemahaman ini dapat dilihat pada zaman Nabi Muhammad S.A.W, di mana kaum wanita mendapat tempat dan diberi peranan yang sewajarnya dalam menegakkan syi`ar Islam. Golongan ini turut menyumbangkan peranan sama ada dalam suasana aman ataupun dalam keadaan peperangan. Dalam suasana aman, golongan wanita turut terlibat dalam aktiviti kemasyarakatan. Menurut al-Balaziri dalam kitabnya ”Futuh al-Buldan”, Ummu `Atiyyah telah diajar oleh Rasulullah S.A.W kaedah mengkhatan kanak-kanak perempuan dan memandikan jenazah. Seorang tokoh wanita lain seperti Zainab al-Tabib dikenali sebagai seorang yang mempunyai kemahiran dalam perubatan seperti luka dan sakit mata.

Berbeza pula dengan sistem nilai tajaan Barat. Secara prinsipnya, teori nilai Barat adalah berasaskan kepada kesimpulan manusia berdasarkan kepada mekanisme pemerhatian, pengkajian, pengalaman, pemikiran dan adat yang mempengaruhi manusia. Berdasarkan kepada metodologi tersebut, mereka telah membuat kesimpulan mengikut logik akal dan penerimaan masyarakat setempat. Selagimana penerimaan masyarakat terhadap sistem nilai tersebut, maka selagi itulah sistem nilai tersebut diiktiraf dan dijadikan sebahagian daripada norma hidup masyarakat. Persepsi masyarakat Barat terhadap sistem nilai sentiasa mengalami penambahbaikan mengikut realiti, suasana masyarakat dan pemikiran manusia. Perubahan ini berlaku disebabkan perbezaan pemahaman tahap pemikiran manusia dan keperluan hidup norma masyarakat. Sebagai contoh, penerimaan nilai terhadap golongan homoseksual, penukaran jantina (transexual) seksual bebas, persepsi wanita dan sebagainya. Barat tidak beranggapan perbuatan homoseksual merupakan satu fenomena songsang atau dikenali sebagai bilazim yang jelas bertentangan dengan ketentuan agama. Masyarakat mengiktiraf kelompok golongan tersebut. Bahkan Barat berpendapat tingkah laku simptom homoseksual adalah sesuatu yang lazim dan tabie dan bukannya pilihan hidup mereka.

Dalam konteks dunia wanita, sistem nilai yang ditaja oleh Barat dilihat tidak begitu konsisten dalam merungkai isu permasalahan golongan tersebut. Penonjolan idea emansipasi oleh tokoh-tokoh wanita Barat yang memperlihatkan komitmen terhadap kebebasan dan kehidupan yang lebih terbuka. Idea ini secara tidak langsung telah menyerlahkan lagi isu kemelut pemberontakan wanita di Barat. Secara tidak langsung senario yang berlaku ini memberi gambaran tentang penolakan terhadap sistem nilai kepercayaan masyarakat Barat yang bersifat membataskan perkembangan keperluan kehidupan personal wanita dan hasrat perjuangan untuk mendapatkan hak dan peluang yang lebih dalam lapangan kehidupan. Konflik ini timbul disebabkan sejarah masyarakat Barat telah meletakkan status wanita di tempat yang rendah dan hina. Sebaliknya masyarakat lebih mengagungkan nilai-nilai sekular.

Dalam lipatan sejarah Barat silam, pada era pemerintahan Victoria wanita dianggap sebagai makhluk yang bodoh, lemah, simbol seks dan sebagainya. Persepsi negatif sedemikian dapat dilihat dalam teks-teks kesusasteraan yang dimonopoli sepenuhnya oleh kaum lelaki yang terdiri daripada golongan paderi. Dalam penulisan novel-novel, kaum wanita dideskripsikan secara ekstrem sebagai perempuan jahat (scarlet women). Walau bagaimanapun, akibat perkembangan pemikiran dan realiti keperluan masyarakat Barat, nilai negatif tentang wanita telah berjaya diubah dalam pemikiran masyarakat. Penerimaan persepsi yang positif ini dapat dilihat dalam teks-teks penulisan novel yang ditulis oleh golongan inteleks seperti Mary Wollstonecraft dalam A Vindication of the Rights of Women. Menurut Mustafa al-Siba`i dalam ”Wanita Menurut Syariat Islam dan Peradaban Moden” bahawa masyarakat Barat melihat golongan wanita dengan persepsi yang negatif sehinggalah sampai satu ketika golongan wanita pandai menunggang kuda seperti yang dilakukan oleh kaum lelaki. Pada ketika itulah, golongan wanita mula mendapat tempat menurut pandangan masyarakat umum.

Dari segi cakupan pula, sistem nilai Barat dilihat bersifat melihat kepentingan manusia dari aspek zahiriah semata-mata berdasarkan kajian yang dibuat oleh pemikiran manusia. Oleh yang demikian, dalam keadaan tertentu mereka gagal untuk menilai sesuatu dalam ruanglingkup yang luas. Umpamanya, dalam isu pengklonan manusia (artificial twinning), golongan Barat beranggapan isu ini adalah untuk kebaikan kepada generasi yang akan datang untuk kelangsungan zuriat. Walau bagaimanapun, isu ini ditentang oleh pihak gereja. Eksperimen ujian berkenaan telahpun dilakukan oleh saintis Barat ke atas haiwan lewat tahun 1970-an. Isu pengklonan ini jelas bertentangan Islam, dan hukumnya adalah haram disebabkan perkara ini bertentangan dengan fitrah kejadian manusia. Perbuatan sedemikian memberi implikasi yang negatif dan menjatuhkan darjat manusia sama seperti haiwan.

Sebaliknya sistem nilai dalam Islam mencakupi aspek zahiriah dan batiniah manusia. Ia bukan hanya bermatlamatkan keduniaan semata-mata bahkan mencakupi alam akhirat. Sistem nilai dalam Islam bukan sahaja meraikan pemikiran manusia sahaja tetapi juga perlu mengikut tatacara yang digariskan oleh Syariat Islam. Justeru itu, sistem nilai dalam Islam dilihat begitu konsisten dalam menangani isu permasalahan manusia. Ia tetap bersesuaian dengan fitrah kemanusiaan dan bersifat sejagat. Keunikan sistem nilai dalam Islam kerana ia merupakan kesepaduan antara pemikiran manusia yang dipandu oleh wahyu. Jika berlaku konflik dengan tuntutan wahyu maka nilai tersebut adalah ditolak.

Kesimpulan

Justeru itu, Islam mempunyai pandangan dan prinsipnya yang tersendiri dalam merangka sistem nilai menurut syari`at. Sistem nilai dalam Islam adalah merupakan adunan pemikiran manusia yang dipandu oleh wahyu. Prinsip-prinsip yang terdapat dalam wahyu menjadi kata pemutus untuk mengukur sama ada sesuatu nilai yang diiktiraf oleh masyarakat itu baik atau sebaliknya. Disinilah keistimewaan yang ada dalam sistem nilai menurut kerangka Islam. Ia berfungsi mendidik jiwa manusia menjadi insan terpuji dan beradab tinggi. Berbeza pula dengan Barat, sistem nilai tersebut ditaja oleh pemikiran manusia yang tidak bersifat eksklusif dan boleh dirungkai serta tidak konsisten. Nilai yang dipegang oleh masyarakat tersebut boleh berubah apabila berlaku perubahan penerimaan dalam masyarakat yang berasaskan kepada perbezaan intelektual, pengalaman, pemerhatian dan kajian-kajian lain. Sistem nilai tersebut tidak akan dipatuhi sepenuhnya kerana ia tidak disandarkan kepada tanggungjawab agama dan berakhlak.




-Abu Rushd-

Sunday, June 15, 2008

Asas Peradaban Islam


Assalamualaikum dan salam sejahtera


Bertemu lagi daam siri penulisan seterusnya. Topik yang dipilih pada kali ini adalah berkaitan dengan perbahasan peradaban Islam. Di harapkan sumbangan kecil dapat memberi manfaat kepada wadah perjuangan Islam. Terima kasih kepada para pembaca


Pengenalan

Islam sebagai al-din yang diturunkan kepada umat manusia merupakan sistem tatacara hidup yang lengkap bagi menjamin kebahagian dan kecemerlangan di dunia dan di akhirat. Sebagai agama yang terakhir, ia bersifat fleksibel dan pragmatis serta dapat menampung perkembangan peradaban umat manusia sejagat. Syariat Islam telah memberi panduan yang jelas kepada manusia sebagai asas dalam pembentukan kenegaraan sehinggalah ia dapat mencipta satu peradaban yang bersifat hadhari dan unggul.

Mengikut perspektif Islam, terdapat beberapa instrumen asas yang menjadi paksi kepada pembinaan peradaban Islam dalam menghadapi keperluan semasa manusia. Asas kepada peradaban itu adalah akidah, ilmu, akhlak dan nilai-nilai norma masyarakat yang murni seperti bertoleransi, tolong menolong, menghormati agama lain, bersifat sederhana serta amalan-amalan yang mencerminkan nilai-nilai yang baik. Islam mengiktiraf norma- norma masyarakat yang murni selagimana unsur-unsur tersebut tidak melanggar batasan syariat.

Oleh yang demikian, semua unsur-unsur yang dinyatakan di atas merupakan asas kepada pembinaan peradaban manusia yang ideal. Sekiranya, asas-asas ini diabaikan dalam membentuk acuan peradaban, maka ia akan menuju ke arah keruntuhan sesebuah tamadun. Menurut Ibn Khaldun al-Hadrami dalam karya agungnya “Muqaddimah Ibn Khaldun”, “Allah akan menghancurkan sesuatu umat itu disebabkan golongan tersebut melakukan perkara-perkara yang keji dan melakukan pelbagai kemungkaran, ekoran dari tindakan tersebut Allah akan menggantikan golongan tersebut dengan kaum yang lebih mulia dan terpuji, sepertimana yang telah dilakukan ke atas kerajaan Saba’dengan berlakunya peristiwa banjir besar sehingga memusnahkan empangan Ma’rib. Dalam al-Quran, Allah berfirman yang bermaksud:

“Dan jika Kami hendak membinasakan sesuatu negeri, maka Kami perintahkan kepada oran-orang yang hidup mewah di negeri itu (supaya mentaati Allah) tetapi mereka melakukan penderhakaan dalam negeri itu, maka sudah sebaiknya berlaku terhadap perkataan (ketentuan Kami) kemudian Kami hancurkan negeri itu sehancur-hancurnya”.
(al-Isra’:16)

Asas-Asas Peradaban Islam

1. Akidah



Akidah merupakan pra - syarat kepada pembentukan peradaban manusia. Istilah akidah ialah mengakui kekuasaan Allah s.w.t dan membenarkan keseluruhan ajaran Nabi Muhammad s.a.w. dengan penuh keyakinan yang mutlak. Secara tidak langsung seseorang yang bergelar muslim perlu mempercayai secara jazam dalam hati tentang kewujudan Allah dan dibuktikan melalui pengamatan serta berfikir tentang kejadian alam. Secara prinsipnya, sebagai muslim, tidak ada perbezaan antara manusia sama ada bangsa, keturunan dan warna kulit di sisi Allah, melainkan perbezaan dari aspek tingkatan iman. Justeru itu, umat Islam diseru hidup bersatu padu, tolong menolong, tidak ada perasaan hasad dengki dan berpadu di bawah akidah yang satu. Akidah merupakan mekanisme yang menyatukan umat Islam di dunia ini. Ia menjadikan umat yang gemilang dan terbilang sebagaimana yang telah berlaku dalam era pemerintahan Nabi Muhammad s.a.w. Kesan daripada penerapan nilai akidah yang tulen terhadap umatnya pada ketika itu, telah mencipta satu umat yang kuat dan sukar digugat oleh bangsa asing . Secara tidak langsung masyarakat Islam dapat bekerjasama antara satu sama lain dalam apa jua bidang kehidupan dan akhirnya membentuk peradaban yang unggul.

2. Ilmu



Selain itu, ilmu merupakan elemen yang kedua terpenting dalam membangunkan peradaban manusia hadhari. Kepentingan ilmu ini jelas dinyatakan dalam al-Quran yang bermaksud:

“Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang mencipta (sekalian makhluk)”
(al-`Alaq:1)

Dalam ayat ini, Allah s.w.t memerintahkan kepada manusia supaya “membaca”, kerana ia merupakan medium utama untuk mendapat maklumat-maklumat. Justeru itu, manusia mempunyai sinonim yang rapat dengan ilmu dan tidak boleh dipisahkan. Tanpa sifat ini manusia tersebut boleh disamakan dengan manusia primitif yang hidup di zaman jahiliah yang tidak bertamadun. Menurut Ibn Khaldun, Allah s.w.t. membezakan manusia daripada makhluk-makhluk lain dengan kelebihan akal yang telah dianugerahkan. Sesuai dengan sifat manusia sebagai khalifah di muka bumi, maka ia diberi pengiktirafan berbanding dengan makhluk lain disebabkan keupayaannya untuk berfikir sesuatu perkara melalui pancainderanya. Melalui ilmu yang diperolehi hasil daripada pemikiran, manusia dapat mengatur segala perilaku secara tertib dan dapat menyumbangkan faedah yang kepada manusia dan alam semulajadi, Pengiktirafan dan anugerah yang diberikan oleh Allah kepada manusia tidak ternilai harganya. Firman Allah s.w.t. dalam al-Quran yang bermaksud:

“Dan Dia menciptakan bagi kamu pendengaran dan penglihatan serta akal”
(al-Mulk:22)

Menurut Prof. Dr. Hashim Haji Musa dalam kertas kerjanya “Citra Hati Budi Melayu (2004)”, matlamat manusia meneroka ilmu pengetahuan adalah untuk memperoleh ilmu yang hak, iaitu kebolehan untuk mengetahui dan memahami kedudukan serta fungsi yang tepat dan wajar bagi segala sesuatu dalam alam ini yang membawa kepada pengenalan kepada Tuhan sebagai Maha Pencipta dan Maha Pentadbir segala alam ini. Ilmu pengetahuan tidak ada batasan, tetapi setiap ilmu ada had kebenarannya iaitu penjelasan tentang tempat dan fungsi yang tepat dan wajar bagi perkara itu dalam sistem yang didudukinya, itulah kebenarannya. Sebagai contoh, kajian tentang manusia adalah untuk mengetahui hakikat dan objektif sebagai ciptaan Tuhan yang terbaik dalam sistem makhluk. Ia berfungsi sebagai hamba dan khalifah di bumi. Kajian tentang pengklonan manusia melebihi had kebenarannya kerana tidak bertujuan untuk memenuhi dua fungsi tersebut. Malah perbuatan ekstrimis manusia yang tidak berlandaskan ilmu yang hakiki akan merosakkan individu tersebut dan seterusnya memberi implikasi yang besar dalam sejarah peradaban manusia.

Secara umumnya, ilmu pengetahuan dan pengajaran merupakan sesuatu yang semulajadi dalam peradaban manusia. Sekiranya manusia mengabaikan elemen ini, mereka akan hidup dalam kesesatan, keangkuhan dan kebodohan dalam ilmu pengetahuan. Sekirannya diimbas semula sejarah peradaban masyarakat jahiliah, antara ciri-ciri yang terdapat dalam masyarakat tersebut ialah tradisi keilmuan diabaikan oleh masyarakat tersebut. Teras kehidupan mereka berasaskan kepercayaan primitif nenek moyang yang cenderung kepada kepercayaan animisme menyebabkan pemikiran mereka dibelenggu dengan kepercayaan karut-marut. Begitu juga yang berlaku kepada penduduk Maghribi dan peradabannya yang runtuh satu ketika dahulu disebabkan tradisi ilmu pengetahuan semakin pupus dan tidak aktif.

Ilmu merupakan antara resepi utama dalam mengasaskan peradaban manusia. Sekiranya disorot sejarah kegemilangan peradaban umat Islam silam, pusat-pusat kebudayaan seperti Baghdad, Cordova, Qairawan, Basrah dan Kufah telah mencipta dan mencapai tamadun yang unggul dalam bidang ilmu pengetahuan seperti ilmu falsafah, perubatan, seni bina, sains teknologi dan sebagainya. Masyarakat pada ketika itu dinaungi dalam lautan keilmuan dan ilmu disusun mengikut bidang disiplin yang tersendiri yang diiktiraf oleh masyarakat dunia. Menurut Ibn Khaldun, ilmu yang telah dihasilkan oleh golongan cendekiawan Islam klasik dipercayai telah mendahului teknologi dan perkembangan semasa dalam konteks kondisi masyarakat pada era tersebut dan juga zaman sebelumnya.



Namun begitu, zaman keemasan yang dikecapi oleh masyarakat Islam menjadi malap dan mundur disebabkan pusat peradaban semakin mundur dan tradisi keilmuan menjadi semakin sirna. Pada zaman kemunduran tamadun Islam, manusia bersikap jumud dan bersifat taqlid terhadap sesuatu aliran, sehinggakan kerangka pemikiran masyarakat tidak dapat berkembang dengan keperluan semasa. Mentaliti masyarakat Islam pada ketika itu bersifat tertutup disebabkan fahaman ekstrimisme terhadap aliran-aliran yang muncul pada ketika itu sehinggakan para pendokongnya tidak dapat menerima pembaharuan dan reformasi pemikiran yang positif. Ketokohan ulama’ silam disebabkan sifat pro aktif dan berfikiran dinamis dalam meneroka bidang ilmu. Oleh yang demikian, berdasarkan pengalaman sejarah umat Islam yang lampau, banyak pengajaran dan panduan yang boleh dijadikan “indicator” kepada masyarakat Islam dalam mencipta peradaban Islam hadhari.


3. Akhlak



Nilai ketiga terpenting iaitu akhlak, yang merupakan unsur keperluan dalam melengkapkan umat manusia ke arah peradaban yang ideal dan unggul. Akhlak melambangkan keperibadian dan tatasusila sesuatu bangsa umat manusia dalam sesebuah peradaban. Nabi Muhammad s.a.w. merupakan manusia yang paling sempurna dan ideal dari aspek akhlak yang perlu dicontohi oleh umat manusia. Sifat Baginda yang tinggi budi pekerti, adab yang mulia, berintegriti, pemalu dan sebagainya diakui oleh umat Islam bahkan diiktiraf oleh pihak lawan. Keperibadian Baginda yang mulia telah melemahkan musuh Islam apabila berdepan dengannya.

Sebagai pemimpin agung, Baginda meletakkan akhlak sebagai batu asas dalam membentuk negara Islam yang bersepadu. Kombinasi elemen akhlak dan prinsip-prinsip asas kenegaraan diterapkan ke dalam setiap individu masyarakat, sama ada Islam atau bukan Islam dalam menjana masyarakat yang bertamadun. Produk masyarakat yang dihasilkan oleh Nabi Muhammad s.a.w. merupakan satu institusi komuniti sosial yang beretika dan berakhlak mulia serta bersatu padu di bawah satu sistem politik, sosial dan ekonomi. Tanpa akhlak yang mantap, nilai kemanusiaan yang diasaskan oleh nabi akan hancur dan menyebabkan nilai-nilai kebendaan akan menguasai manusia. Nilai akhlak dianggap sebagai kawalan sosial bagi masyarakat Islam dalam tindak tanduk dan perilaku dalam kehidupan seharian.

Dalam peradaban Melayu silam, ketinggian bangsa Melayu dikaitkan dengan nilai tingkahlaku dan akhlak yang tinggi. Kebanyakan penulisan yang dihasilkan oleh sarjana Melayu silam menjelaskan, antara faktor-faktor kegemilangan peradaban Melayu disebabkan masyarakat pada ketika itu mencapai tahap kehalusan tatasusila dengan memiliki kebudayaan yang luhur. Lantaran itu, mengikut tradisi kepercayaan masyarakat nusantara, banyak pepatah Melayu yang boleh dikaitkan dengan nilai dan akhlak contohnya, “Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama” amat sinonim dengan keperibadian seseorang. Masyarakat Melayu terkenal dengan hati budi yang tinggi dan terkenal dengan adat ketimuran sangat mementingkan soal adab dari segenap segi. Dalam aspek kekeluargaan, masyarakat Melayu dididik dengan adab yang tinggi semenjak dari kanak-kanak dengan harapan menjadi manusia yang berakhlak apabila dewasa. Dari aspek kenegaraan,, elemen akhlak amat diperlukan bagi memastikan masyarakat dapat hidup dalam suasana yang harmoni dan aman damai. Oleh yang demikian, nilai akhlak menjadi salah satu paksi yang perlu diimbangi oleh al-Quran dan al-Sunnah dalam membentuk insan yang kamil (sempurna) dan seterusnya membentuk sebuah negara yang utuh. Justeru itu, doktrin akhlak merupakan manifestasi yang perlu dihayati oleh setiap individu muslim. Nilai ini telah disuntik oleh Nabi Muhammad kepada umatnya dalam membentuk masyarakat maddani yang bersumberkan nur ilahi.

Oleh yang demikian, keunggulan sesebuah tamadun bukanlah dinilai secara mutlak dengan pencapaian yang tinggi dalam bidang sains dan teknologi. Pencapaian yang tinggi dalam bidang tersebut adalah berbentuk kuantitatif dan tidak menjamin dalam membentuk peradaban Islam hadhari kerana ia bersifat materialistik dan tidak diimbangi dengan keperluan rohani. Nilai-nilai asas seperti kemantapan akhlak, ilmu dan nilai-nilai lain yang terpuji perlu digemblengkan dan dihayati bagi merealisasikan hakikat peradaban Islam hadhari yang cemerlang, gemilang dan terbilang.



-Abu Rushd-

Saturday, June 7, 2008

Pesanan Buat Mahasiswa


Assalamualaikum


Terima kasih diucapkan kepada para pembaca yang sudi berkunjung ke blog ini, semoga mendapat manfaat yang sewajarnya.


Penulisan saya pada kali ini ialah cenderung untuk membincangkan Cabaran Buat Mahasiswa Sebagai Generasi Ulu al-Bab dan Bakal Peneraju Kepimpinan Negara.


Pada hemat saya, Mahasiswa merupakan kelompok golongan intelektual yang bakal mewarnai kepimpinan negara pada masa hadapan. Oleh yang demikian sewajarnya sebagai golongan elit dalam kelompok cerdik pandai sewajarnya mereka berkewajipan untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pelajar dengan sebaik mungkin. Setiap masa yang ada di kampus sepanjang tempoh pengajian tersebut perlu diisi dan dimanfaatkan sebaik mungkin dalam usaha memperkasakan ilmu di dada. Di universiti atau Institusi Pengajian yang setaraf dengannya, golongan mahasiswa perlu bijak menguruskan masa dengan sebaik mungkin dalam menguasai disiplin ilmu yang menjadi pilihan mereka. Di samping itu, tidak dinafikan kemahiran-kemahiran lain juga perlu dikuasai khususnya kemahiran dalam aspek softskill. Antaranya seperti kemahiran berkomunikasi, pengurusan, menguasai teknologi maklumat dan kemahiran-kemahiran kompetensi yang lain. Pendek kata tempoh masa yang ada sepanjang pengajian tersebut begitu singkat untuk dilalui oleh golongan mahasiswa di antara 3 hingga 5 tahun.


Namun begitu, realiti yang berlaku dalam kalangan mahasiswa khususnya golongan terpelajar yang beragama Islam masih lagi memerlukan proses penambahbaikan bagi memperkasakan prestasi pencapaian akademik agar setanding dengan golongan mahasiswa yang beragama bukan Islam. Melalui pengamatan saya, didapati pencapaian prestasi akademik sama ada dalam bidang sains sosial atau dalam bidang teknikal, keputusan kejayaan yang cemerlang ( first class) dimonopoli oleh golongan mahasiswa non muslim. Apa yang jelas wujud jurang perbezaan dalam prestasi akademik di antara dua kelompok berkenaaan.


Persoalannnya Apakah punca atau kesilapan yang menyebabkan perkara ini berlaku?. Adakah golongan mahasiswa Melayu Muslim tidak mempunyai keupayaan dan daya saing yang konsisten untuk bersaing dalam pentas akademik berbanding dengan golongan non Muslim?. Adakah kesilapan disebabkan sikap mahasiswa atau kelemahan tenaga pengajar dalam sistem pengajaran dan pembelajaran?. Namun mahasiswa non Muslim telah membuktikan mereka telah berjaya dalam bidang akademik dengan melalui proses pengajaran dan pembelajaran yang sama, sistem yang sama, tenaga pengajar yang sama dan sebagainya.


Timbul juga kemushkilan di benak saya, sebahagian daripada para pelajar yang diterima masuk ke Universiti dipilih daripada yang terbaik dan mendapat keputusan yang cemerlang di peringkat Matrikulasi. Sewajarnya, golongan yang disaring melalui proses sedemikian mempunyai keupayaan dan kebolehan untuk mengekalkan prestasi cemerlang di peringkat Universiti. Namun, apa yang berlaku didapati segelintir daripada kelompok tersebut gagal mendapat keputusan yang diharapkan dan malah ada yang terpaksa menamatkan pengajian terlebih awal daripada yang sepatutnya. Berkemungkinan dinasihatkan oleh pihak universiti menamatkan pengajian disebabkan oleh masalah disiplin atau melakukan sesuatu yang melanggar dengan peraturan tatatertib universiti.


Hakikatnya, banyak cabaran yang perlu dilalui oleh golongan mahasiswa dalam usahanya mengejar cita-cita untuk menggengam segulung ijazah.


1. Cabaran untuk menjadi golongan intelektual muslim yang sejati.


Ianya mudah diungkap dalam betuk tulisan namun sukar untuk dipraktikkannya. Sebagai seorang mahasiswa muslim mereka perlu berkelakuan yang mencerminkan sebagai seorang muslim yang mukmin. Mereka perlu memiliki akhlak yang luhur dan tidak melanggar tatasusila yang ditetapkan oleh Islam. Mempraktikkan tuntutan agama dengan bersungguh-sungguh. Golongan pelajar sedemikian sentisa mendapat keampunan dan kerahmatan daripada Allah S.W.T. Jiwa mereka sentiasa bersih dan tenang serta memudahkan ilmu memasuki pintu hati. Ingatlah ilmu adalah cahaya dan taufiq dari Ilahi. Ia tidak akan mendampingi orang yang bayak melakukan maksiat kepada Allah. Lihat sahajalah golongan sarjana Islam silam seperti Imam al-Shafi`i, al-Ghazali dan tokoh-tokoh kesarjanaan lain yang silam bagaimana perwatakan dan personaliti mereka. Bagaimana akhlak mereka dengan Allah, sesama manusia dan makhluk yang lain. Justeru itu, ikutlah contoh tauladan yang ditinggalkan oleh ulama' silam dalam usaha mereka mencari ilmu.


2. Memberi perhatian dan fokus yang spesifik kepada ilmu.


Segelintir daripada golongan mahasiswa berpendapat apabila mereka berjaya menjejak kaki ke manara gading mereka beranggapan telah berjaya dalam hidup. Sebagaimana yang dicita-cita sejak dari sekolah menengah lagi, seseorang itu dikatakan berjaya sekiranya dapat masuk ke universiti. Apabila kaki menjejak masuk ke universti mereka mulalah dibuai dengan mimpi fantasi dan perasaan-perasaan lain yang indah sehingga melalaikan dan mengalihkan pandangan untuk menumpukan sepenuh perhatian kepada pelajaran sepenuhnya. Pada ketika orang lain sedang sibuk berdiskusi dan melakukan kajian terhadap bidang ilmu mereka sibuk dengan aktiviti-aktiviti hedonistik sehingga lupa tanggungjawab mereka sebagai pelajar. Mereka juga lupa dengan harapan yang menggunung yang ditagih oleh kedua ibu bapa mereka. Apa yang ada difikiran mereka hanyalah untuk bersuka ria, mencari pasangan kekasih, mencari hiburan dan sebagainya. Semua yang berlaku ini disebabkan oleh longgarnya ikatan keagamaan dan kekeluargaan yang dikatakan sebagai kawalan sosial yang mengawal kehidupan manusia. Apabila hilang perasaan sedemikian, golongan mahasiswa tersebut merasakan ianya sebagai satu kebebasan yang perlu dikecapi oleh mereka. Jiwa mereka yang kosong mudah diisi dan dipenuhi dengan nilai-nilai mazmumah yang melalaikan mereka daripada menunaikan tanggungjawab sebagai pelajar yang hakiki.


Bertemu lagi pada bahagian ke-2


(-AbuRushd)

Tuesday, June 3, 2008

Adab Penuntut Dengan Guru


Muqaddimah


Islam meletakkan kedudukan yang tinggi terhadap orang yang menuntut ilmu. Sekiranya, dibuka lipatan sejarah ketamadunan manusia yang silam, elemen ilmu merupakan sebahagian pra syarat ciri-ciri negara yang bertamadun seperti yang berlaku dalam era kegemilangan Islam silam. Matlamat manusia mencari ilmu pengetahuan adalah untuk memperoleh hakikat ilmu yang benar. Secara tradisinya, kebanyakan golongan intektual menterjemahkan ilmu sebagai kebolehan untuk memahami kedudukan dan fungsi yang tepat dan wajar bagi setiap persoalan alam ini yang membawa kepada pengenalan kepada Tuhan sebagai Maha Pencipta dan Maha Pentadbir segala alam ini. Oleh yang demikian, Islam amat mementingkan penghayatan terhadap ilmu sama ada yang meliputi hal-hal kedunian atau akhirat. Dalam usaha menuntut ilmu, seseorang yang dikenali sebagai pelajar perlu mematuhi etika-etika atau adab-adab supaya ilmu yang diperolehi itu diberkati dan diredhai oleh Allah.

Adab Murid Dengan Guru


Dalam penulisan agung “Ihya’ `Ulum al-Din” karangan Hujjatul Islam, Imam al-Ghazali, beliau telah membuat satu garis panduan adab pelajar dalam menuntut ilmu. Dalam penulisannya, beliau telah mengenalpasti 10 panduan yang boleh dijadikan asas pedoman kepada para pelajar. Asas-asas ini perlu dihayati dan dicernakan dalam diri para pelajar dalam usaha mereka menuntut ilmu sama ada di peringkat rendah atau di peringkat pengajian tinggi.

Pertama, menjauhi perkara-perkara yang boleh merosakkan akhlak yang murni, kerana ilmu amat mudah mendekati orang yang baik budi pekertinya dan jiwa yang sentiasa bersih dan tenang. Sekiranya, hati seseorang itu dicemari dengan elemen-elemen yang negatif yang boleh merosakkan kemurnian hati dan jiwa menyebabkan pelajar tersebut sukar untuk menguasai ilmu. Ini kerana secara prinsipnya, ilmu itu bersifat suci. Sebagaimana firman Allah dalam al-Quran yang bermaksud:

“Sesungguhnya orang-orang musyriq itu najis” (at-Taubah:28).

Istilah najis yang dijelaskan oleh al-Quran merupakan simbolik yang mengertikan sifat kotor tersebut mesti dijauhi dan dihindari disebabkan sifat tersebut boleh merosakkan manusia.

Kedua, para pelajar disarankan tidak terlalu terikat dengan hal-hal keduniaan yang berkecenderungan melalaikan fikiran daripada menumpukan perhatian sepenuhnya terhadap pelajaran. Unsur-unsur ini boleh menyebabkan pelajar tidak dapat menunaikan tanggungjawabnya sebagai pelajar yang hakiki dan memalingkan fikirannya dalam usaha menuntut ilmu. Hal ini sebagaimana yang dijelaskan oleh Allah dalam al-Quran yang bermaksud:

“Allah sekali-kali tidak menjadikan bagi seseorang dua organ hati dalam rongganya” (al-Ahzab:4).

Oleh yang demikian, sekiranya fikiran para pelajar dipengaruhi oleh elemen-elemen yang boleh mencemari mentalitinya menyukarkan untuk mengetahui hakikat ilmu. Menurut Imam al-Ghazali, “Seseorang itu tidak dapat menguasai ilmu secara sebahagian, melainkan ia memberi perhatian dan tumpuan yang sepenuhnya”. Beliau memberi perumpamaan terhadap pemikiran yang dipengaruhi oleh hal-hal yang tidak berkait dengan ilmu seperti air yang mengalir dari sungai kecil, sebahagiannya diserap oleh tanah dan sebahagian lagi diserap oleh udara sehingga tidak ada lagi yang sampai ke ladang.

Ketiga, para pelajar tidak boleh bersikap angkuh dan bongkak terhadap golongan intelektual dan guru. Adalah menjadi kewajipan pelajar untuk menyerahkan segala urusan berkaitan ilmu dan mematuhi serta menghormati guru seperti orang sakit yang mematuhi arahan dan nasihat doktor. Para pelajar dituntut bersifat rendah diri, baik sangka dan setia kepada guru serta sedia menawarkan perkhidmatan kepadanya. Oleh yang demikian, pelajar tidak boleh bersikap sombong dengan guru seperti tidak mengambil manfaat ilmu yang disampaikannya dengan alasan antaranya, beranggapan guru tersebut tidak mempunyai kelayakan akademik yang tinggi. Sikap seperti ini menunjukkan kebodohan dan kedangkalan pemikiran yang ada dalam diri seseorang pelajar. Sebaliknya, para pelajar seharusnya merasa terhutang budi terhadap guru yang mencurahkan ilmu yang memandunya ke arah kebenaran.

Keempat, orang yang bersifat tekun dalam menuntut ilmu pada tahap awalnya perlu mengelakkan diri mendengar perselisihan dan perbezaan pendapat di kalangan manusia sama ada yang melibatkan ilmu keduniaan atau ilmu akhirat. Secara rasionalnya, ia boleh mengelirukan pemikirannya terhadap disiplin ilmu yang baru dipelajarinya dan membantutkan usahanya untuk membuat penyelidikan yang mendalam. Namun begitu, bagi seseorang yang telah menguasai sesuatu bidang disiplin ilmu secara mahir dan mendalam tidak menjadi halangan untuk mengkaji perbezaan pendapat tentang sesuatu perkara. Ini kerana, perbezaan pendapat tentang sesuatu perkara merupakan salah satu daripada metodologi medan penyelidikan ilmu.

Kelima, seseorang pelajar tidak boleh meninggalkan sesuatu disiplin ilmu yang terpuji melainkan ia telah mempertimbangkan dengan sebaik mungkin. Sekiranya faktor usia mengizinkan untuk menuntut ilmu, ia harus mengambil peluang untuk meningkatkan kepakarannya ke peringkat yang lebih tinggi. Sebaliknya jika faktor usia menjadi kekangan terhadap usaha menimba ilmu pengetahuan maka seseorang itu perlu mengetahui perkara asas dan penting dalam ilmu yang dikuasainya berdasarkan kemampuannya.

Keenam, tidak memaksa untuk menguasai semua disiplin ilmu secara sekaligus. Tindakan yang bijak ialah dengan menguasai sesuatu bidang ilmu itu mengikut tahap dan tingkatan ilmu berdasarkan kemampuan dan keupayaan yang ada pada diri seseorang. Kompetensi yang ada pada manusia adalah terbatas oleh pelbagai faktor dari aspek pengalaman, realiti semasa, kepakaran dan keupayaan mentaliti seseorang.


Ketujuh, seseorang tidak boleh mencampuradukkan sesuatu cabang ilmu sebelum menguasai dan memahami dengan mahir cabang ilmu yang sebelumnya. Ini kerana tertib dalam ilmu adalah tersusun dan berkait rapat antara satu sama lain. Oleh yang demikian, sekiranya seseorang pelajar memahami sesuatu ilmu dengan tertib dan tersusun maka ia dapat menguasai sesuatu konsep ilmu dengan baik. Pemahaman manusia tentang konsep ilmu akan lebih sempurna dan konsisten jika setiap cabang ilmu dihadam dan dicernakan mengikut tahap-tahap dan fasa yang tersusun dan terancang.

Kelapan, seseorang pelajar perlu mengetahui hakikat dan objektif sesuatu disiplin ilmu yang dipelajari. Ia bertujuan untuk menilai sesuatu kepentingan ilmu dan faedahnya kepada para pelajar supaya ilmu tersebut dapat diaplikasi dalam kehidupan dan memberi manfaat kepada masyarakat. Matlamat utama ilmu yang dipelajari itu tidak bertentangan dengan syariat dan membawa kemudharatan kepada umat manusia.

Kesembilan, para pelajar perlu bersikap ikhlas dalam menuntut ilmu. Kepentingan nilai ikhlas bertujuan untuk membersihkan jiwa seseorang yang bersifat riak dan takabur sesama manusia. Hakikatnya, manusia yang berilmu memiliki jiwa yang bersih dan sentiasa mendekatkan diri kepada Allah. Meskipun manusia dituntut menguasai ilmu-ilmu agama, namun ilmu-ilmu yang berkaitan dengan keduniaan tidak boleh diabaikan, kerana ia sebahagian daripada fardhu kifayah. Dalam era globalisasi ini, ilmu yang dikategorikan sebagai fardhu kifayah sangat penting bagi masyarakat Islam kerana ia dianggap sebagai satu kemaslahatan ( keperluan ) yang perlu dikuasai oleh umat Islam. Sekiranya manusia mengabaikan bidang disiplin ilmu ini menyebabkan umat Islam ketinggalan dalam zaman yang serba canggih. Dalam al-Quran, Allah berfirman yang bermaksud:
“ Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan” (al-Mujadalah:11)


Kesepuluh, setiap pelajar perlu mengetahui perkaitan ilmu yang dipelajari bertujuan supaya mengutamakan keperluan ilmu yang perlu didahulukan daripada ilmu yang berbentuk sampingan. Keutamaan ilmu ini penting kerana ia dapat mengukuhkan pemahaman pelajar tentang sesuatu perkara. Di samping itu, ia menjadi asas utama untuk mempelajari disiplin ilmu yang lain disebabkan ia mempunyai kesinambungan di antara satu cabang ilmu dengan disiplin ilmu yang lain.

Berdasarkan garis panduan yang telah diberikan oleh Hujjatul Islam, Imam al-Ghazali dalam kitabnya “Ihya’ `Ulum al-Din” diharapkan dapat memberi pedoman yang berfaedah kepada mereka yang bergelar pelajar. Mutiara kata-kata yang dicurahkan oleh ulama’ silam perlu diambil perhatian dan diamalkan oleh individu yang bergelar pelajar, agar ilmu yang dipelajari diberkati oleh Allah dan dapat memberi faedah besar kepada umat sejagat.


`Ibrah Covid 19. Suluhan Daripada Perspektif Islam

Assalamualaikum dan bertemu lagi. sudah lama saya tidak menjengok ke blogni. Harini rasa bersemangat semula untuk melihat blog yang sudah se...