Wednesday, December 9, 2020

`Ibrah Covid 19. Suluhan Daripada Perspektif Islam

Assalamualaikum dan bertemu lagi. sudah lama saya tidak menjengok ke blogni. Harini rasa bersemangat semula untuk melihat blog yang sudah sekian lama ditinggalkan. Doakan saya untuk terus beistiqamah berdakwah melalui pena penulisan ini untuk manfaat bersama. Semoga dengan apa yang dilakukan ini mendapat ganjaran yang sewajarnya daripada Allah S.W.T. Semoga Allah S.W.T mengampunkan dosa kita semua.  💪💪💪💪


COVID 19.

 


Pandemik ini telah membawa kepada gangguan sosioekonomi global, penangguhan dan pembatalan acara kebudayaan, keagamaan dan kesukanan serta ketakutan yang meluas dalam kekurangan bekalan telah mendorong pembelian panik. Teori maklumat palsu dan teori konspirasi mengenai virus itu telah tersebar secara meluas dalam talian, dan terdapat insiden xenofobia dan perkauman terhadap orang Cina dan orang Timur atau Asia Tenggara lain. Justeru, tindakan kerajaan membendung penularan COVID-19 melalui Perintah Kawalan Pergerakan dan pelbagai kempen kesihatan yang bermula awal tahun ini bertepatan dengan ajaran agama.

 

Meskipun Covid 19, merupakan petaka atau bala kepada umat manusia,namun di sana adanya `ibrah yang perlu diteladani dan diinsafi oleh setiap individu atas kapasitinya sebagai seorang hamba. Di sebalik tularnya Novel Coronavirus 2019 yang ditakuti akan mengancam umat manusia,  umat Islam sebenarnya harus mengingati kembali apa yang terjadi terhadap umat manusia terdahulu yang ingkar kepada ajaran Allah S.W.T. Bagaimana kaum Nabi Luth yang Allah terbalikkan bumi ke atas mereka, bagaimana kaum Nabi Nuh ditimpa banjir besar yang menenggelamkan bumi, semuanya kerana mereka ingkar pada ajaran Allah S.W.T. Malangnya, apabila Allah menurunkan bala dengan tujuan memberi peringatan supaya manusia menginsafi perbuatannya, namun manusia berterusan melakukan kerosakan dan melawan Allah. Mereka mencabar orang beriman dengan kerosakan yang dibuat langsung tidak menjejaskan kehidupan mereka, bahkan kehidupan mereka semakin baik dan dilimpahi kesenangan. Sungguh malang manusia yang bertindak sedemikian. Oleh yang demikian, apabila sesuatu tindakan itu berasaskan kepada nafsu maka berlakulah sesuatu di luar batasan. Malah boleh mendorong kepada perlakuan-perlakuan songsang, tidak berintegriti, dan menyalahi sunnah alami. Bahkan perbuatan, tindakan yang diklasifikasikan sebagai dosa dianggap sesuatu yang fitrah dan selari dengan hak asasi kemanusiaan.

 

Perkataan bala’ dan pecahannya di dalam al-Qur;an direkodkan sebanyak 38 kali. Setiap ayat memiliki perinciannya yang tertentu. Bala itu menurut bahasanya juga bermaksud ujian.Terdapat dua ayat yang menjelaskan fungsi bala Allah ini secara umum iaitu pertama dengan merujuk kepada bala baik dan buruk. Seringkali apabila menyebut perkataan bala’, yang dibayangi hanyalah keburukan dan terkena pada orang jahat atau tidak beriman. Walhal bala’ ini boleh jadi pada kedua-dua golongan baik dan buruk, beriman atau tidak, begitu juga bala’ boleh datang dalam bentuk kesenangan mahupun keburukan. Boleh sahaja terjadi keduanya menurut kehendak Allah Taala. Kedua, iaitu elemen peringatan. Penegasan ini dijelaskan oleh Allah S.W.T bahawa fungsi bala, samada baik mahupun buruk, mengenai orang beriman atau orang kufur, bertujuan mengembalikan manusia kepada Allah. Berasaskan kepada ketetapan ini, Nabi S.A.W telah  memuji orang beriman, apabila diuji dengan keduanya pun tetap kembali pada Tuhan. Sabda Nabi S.A.W maksudnya;

 

“Adalah amat mengkagumkan bagi orang yang beriman, kerana seluruh kehidupannya sentiasa dalam keadaan baik. Keadaan ini tidak akan dirasai kecuali orang beriman sahaja. Sekiranya dia mendapat kesenangan, dia bersyukur maka ia baik baginya. Sekiranya dia ditimpa kesusahan, dia bersabar maka ia juga baik baginya.”

(Riwayat Muslim)

 

Apresiasi manusia tentang faktor alamiah menyebabkan manusia rasa terusik. Rasa terusik itu boleh menyebabkan manusia semakin dekat kepada Pencipta. Ini kerana, semua yang terlihat terdengar, terasa datangnya dari kekuasaan Allah. Apa yang direka dan digubah oleh manusia cuba mendekati Ilahi untuk membimbingnya menjadi insan yang terbaik. Itulah puncak pengabdian hamba kepada Penciptanya. Umat Islam harus menginsafi bahawa Islam membawa perubahan pada zaman dan bukannya zaman membentuk prinsip Islam. Fitrah manusia harus selari dengan fitrah zaman. Islam adalah agama yang hidup. Ia bukan agama yang ketinggalan zaman. Takdirnya zaman menjadi rosak, manusia hanyut dengan faham kebendaan dan nafsu nafsi yang melampau, Islam tidak boleh menurutinya. Ajaran Islam memberi jalan penyelesaian kepada umat manusia dalam apa jua keadaan sesuai dengan objektif syaraknya yang lima iaitu memelihara agama, nyawa, akal, harta benda dan keturunan. barangsiapa yang tidak memahami kewujudan maqasid dalam perintah-perintah dan larangan-larangan syara’, maka ia tidak memiliki pandangan yang jelas dan benar tentang agama.

 

Justeru, menginsafi `ibrah fenomena COVID 19 yang berlaku di dunia dan di Malaysia khususnya akan mematangkan lagi masyarakat, baik orang awam mahupun agamawan supaya kembali kepada ajaran Islam yang sebenar dalam konteks saling mengingati ke arah kebaikan dan kesabaran, keperluan menjaga kebersihan dan mengutamakan kepentingan umum daripada diri sendiri serta menjauhi daripada menyebarkan berita palsu. Selain itu, mengingatkan kita bahawa ajaran Islam memberi penekanan kepada kebersihan termasuklah kepada sebahagian daripada sunnah Nabi S.A.W tentang adab menutup mulut dan merendahkan suara ketika bersin. Secara tidak langsung juga, ujian yang berlaku ke atas umat Islam pada masa kini mendekatkan diri kita dengan penuh ketaqwaan dan pengharapan penuh kepada Allah SWT agar diselamatkan dari wabak ini. Malah isu yang berlaku ini juga  telah menarik perhatian kita kepada amalan pelbagai doa dan zikir bagi memohon kesihatan dan keselamatan dari musibah yang begitu jarang dipraktikkan sebelumnya. Tegasnya, `ibrah yang paling penting untuk dipelajari daripada ujian ini ialah memperkasa manusia supaya terus berada dalam fitrah. Fitrah manusiawi atas landasan akidah yang mantap, ibadah yang berterusan, kepatuhan kepada syariah bakal membentuk pekerti atau akhlak yang mulia.


`Ibrah Covid 19. Suluhan Daripada Perspektif Islam

Assalamualaikum dan bertemu lagi. sudah lama saya tidak menjengok ke blogni. Harini rasa bersemangat semula untuk melihat blog yang sudah se...