Monday, January 10, 2011

ASAS AGAMA PENTING DALAM AKTIVITI KEUSAHAWANAN


Bismillahirrahmanirrahim
Bertemu lagi. Penulisan kali ini masih lagi berkisar tentang topik keusahawanan. Semoga ia memberi faedah kepada para pembaca. Semoga usha ini dinilai oleh Allah S.W.T. Terima kasih.

Pengenalan
Dalam konteks keusahawanan, faktor keagamaan perlu dijadikan nilai-nilai teras dalam merangka model tersebut. Keperluan kepada nilai-nilai rohaniah ini disebabkan ia akan mengawal manusia daripada melakukan sebarang pencorobohan yang boleh menggugat kepentingan agama dan kemaslahatan manusia amnya. Al-Buraey dalam karyanya “Administrative Development: An Islamic Perspective” menjelaskan bahawa komitmen untuk mengaplikasikan nilai-nilai agama dalam amalan keusahawanan masih lagi berkurangan. Kelemahan yang berlaku ini disebabkan para pengusaha terpengaruh dengan orientasi nilai-nilai ekonomi kapitalis yang hanya bermotifkan elemen material.


Kepentingan Agama
Sistem ekonomi abad 21 yang berorientasikan sistem ekonomi kapitalis menyaksikan organisasi-organisasi korporat berperanan dominan dalam bidang ekonomi. Pemusatan kuasa ekonomi global Barat pada 'multi national corporations' (MNCs) mengancam penjajahan semula sesebuah negara yang turut memberi kesan kepada nilai hidup dan budaya setempat. Jika budaya negatif ini tidak disaring dengan elemen agama ia boleh memberi impak yang tidak baik dan boleh mempengaruhi amalan keusahawanan. Dalam konteks itulah terbukanya kemungkinan peniruan budaya korporat yang membawa bersamanya gaya hidup materialistik yang tamak, mementingkan diri, rakus dan boros. Ironinya, usahawan Melayu memerlukan sebuah model budaya korporat yang berteraskan kernagka agama. Usahawan Melayu seharusnya memiliki kekuatan ekonomi yang tumbuh daripada penghayatan agamanya. Meskipun ini bukanlah suatu yang mudah namun pendekatan keagamaan akan dapat mendisiplinkan perilaku manusia. Dalam era persaingan ekonomi seperti sekarang, pembinaan budaya dan kelompok usahawan memang tidak dapat dielak, tetapi usaha ini hanya akan bermanfaat andainya budaya keusahawanan itu dibina di atas prinsip ajaran Islam. Hanya asas agama dapat memberikan landasan peribadi unggul kepada individu usahawan.

Kajian yang dijalankan oleh Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB)pada tahun 2006 mendapati 65 peratus nisbah kegagalan usahawan Bumiputera berpunca daripada masalah disiplin dan integriti yang lemah manakala 35 peratus kerana masalah perniagaan yang diceburi. Menurut bekas Ketua Pegawai Eksekutif PUNB Mohd Nasir Ahmad, kajian yang dilaksanakan ke atas projek usahawan bumiputera dalam bidang peruncitan (PROSPER) mendapati sebahagian besar usahawan Bumiputera gagal membentuk disiplin dan integriti yang baik sehingga menyebabkan perniagaan yang dijalankan gulung tikar.


Kehidupan masyarakat pada hari ini bersifat kompleks berbanding dengan kehidupan masyarakat silam. Tambahan lagi dalam era globalisasi, golongan usahawan lebih terdedah kepada pelbagai risiko dan saingan yang bersifat terbuka. Oleh itu, timbul kecenderungan dalam segelintir usahawan untuk meminggirkan ajaran agama demi mengejar cita-citanya untuk berjaya dalam lapangan yang diceburinya. Banyak kajian yang dibuat mendapati sebahagian besar usahawan Melayu menceburi bidang perniagaan menghadapi pelbagai masalah. Antara masalah yang dikenalpasti seperti terlalu bergantung kepada subsidi kerajaan dan gejala ”Ali Baba” yang giat berlaku pada era 1970-an dan 1980-an dan berterusan sehingga kini.

Bagi sesetengah usahawan yang menghadapi masalah kekurangan modal mereka terpaksa mendapatkan bantuan pinjaman daripada institusi kewangan yang mengenakan kadar bunga pinjaman. Bahkan dalam keadaan tertentu golongan usahawan juga terpaksa meminjam daripada agensi peminjam ”ceti” yang mengenakan kadar faedah yang tinggi dan membebankan mereka. Realiti yang berlaku ini sudah tentulah bercanggah dengan keusahawanan Islam. Oleh yang demikian, jelaslah bahawa halangan-halangan yang terpaksa ditempuhi oleh para usahawan sehingga kadang-kadang mereka terpaksa meminggirkan pendekatan agama dalam amalan keusahawanan yang dijalankan.

Umumnya usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) Bumiputra selalunya `mudah lupa' apabila berada di puncak kejayaan. Mereka beranggapan perkara remeh-temeh tidak boleh mengugat prestasi syarikat perniagaan. Kajian yang telah dilakukan oleh Biro Pembangunan IKS, Dewan Usahawan Muda Bumiputra Malaysia (BEPI-DUMBM) mendapati antara perkara asas yang sering diabai oleh pengusaha IKS Bumiputra ialah:-

• Tidak amanah, jujur, telus dan bertanggungjawab dengan perniagaan sendiri.
• Tidak menjaga kebajikan pekerja dengan sebaik mungkin.
• Gagal membayar gaji, elaun, KWSP pekerja mengikut jadual.
• Bertukar gaya hidup dari mengamal sistem kehidupan Islam kepada kehidupan Barat.
• Terlalu sibuk dengan perkara-perkara yang tidak berhubung kait dengan urusan perniagaan mereka seharian.
• Mengabaikan soal kualiti produk keluaran mereka dengan sengaja.
• Tidak mempunyai pasukan Research and Development (R&D) yang bertauliah serta mengambil sikap sambil lewa dalam pengurusan kewangan dan pentadbiran syarikat.
• Mempunyai sikap ego dan berfikiran sempit dalam menghadapi situasi menjelang AFTA 2003.
• Mempunyai budaya `tunggu dan lihat' barulah mereka mula berfikir untuk mencari peluang yang pada ketika itu sudah terlambat.








Kesimpulan
Usahawan berjaya sentiasa mempunyai sikap positif untuk merangsang aspirasi kejayaan mereka. Namun kejayaan tersebut perlu dirangsang dengan asas agama. dilihat masih lagi tidak bersifat holistik. Oleh yang demikian, meskipun secara lahiriah usahawan tersebut dikatakan berjaya namun dari sudut yang lain ia muflis dari aspek nilai-nilai kerohanian dan miskin akal budi yang terpuji. Islam mempunyai pandangan yang berbeza dalam hal ini disebabkan segala tingkah laku manusia dicorakkan melalui pedoman wahyu yang hakiki. Pembangunan keusahawanan yang tidak diimbangi dengan asas agama akan menyuburkan lagi semangat materialistik dan invidualistik dalam kalangan usahawan. Akibatnya, para usahawan akan hilang arah tujuan bahkan merugikan diri bukan sahaja di dunia tetapi yang lebih malang pada hari hari akhirat kelak.

`Ibrah Covid 19. Suluhan Daripada Perspektif Islam

Assalamualaikum dan bertemu lagi. sudah lama saya tidak menjengok ke blogni. Harini rasa bersemangat semula untuk melihat blog yang sudah se...