Tuesday, January 19, 2010

Suburkan hati budi dengan nilai-nilai murni


Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Bertemu lagi, sudah lama saya tidak menulis dalam blog ini. Untuk kali, penulisan saya menjurus berkaitan topik nilai-nilai murni. Semoga ianya memberi faedah kepada para pembaca. Sekian terima kasih.

Suburkan hati budi dengan nilai-nilai murni

Pengenalan

Pada asasnya, nilai murni adalah nilai bersifat universal yang memprojekkan kepada adab yang terpuji, peradaban dan tatasusila individu dalam kerangka perhubungannya dengan tuhan, manusia dan alam. Perbincangan nilai murni cenderung membahaskan domain-domain nilai substantif seperti agama, rohaniah, moral dan estetika yang mencetuskan stimulasi yang positif seperti ketenangan emosi, kedamaian pemikiran, jiwa yang bersih dan keluhuran akal budi manusia. Nilai murni juga merangkumi set-set nilai yang terdiri daripada nilai instrumental, nilai mutakhir dan nilai integratif. Berdasarkan kepada penjelasan ini, dapatlah difahami bahawa unsur-unsur alam dan benda yang lain diluar kategori manusia dianggap tidak mempunyai nilai murni.

Umumnya, nilai-nilai murni dari perspektif Islam berfungsi sebagai indikator dan memandu manusia ke arah kesejahteraan dan kebahagiaan melalui pedoman wahyu. Nilai-nilai murni Islam lebih terfokus kepada harmonisasi antara doktrin rabbani dan kemanusiaan untuk mencapai kejayaan hakiki dalam dimensi duniawi dan ukhrawi. Nilai murni pada pandangan Islam bersifat `alami dan diikat dengan doktrin agama. Individu yang menghayati nilai-nilai tersebut akan mendapat ganjaran kebaikan, walau bagaimanapun, jika berlaku kontradiksi dengan nilai-nilai tersebut maka pelakunya akan mendapat dosa. Justeru itu, melihat kepada kepentingan tersebut, manusia diingatkan supaya memperkaya dan melengkapkan diri dari aspek zahir dan batin dengan nilai-nilai yang positif. Ini kerana, apabila keperluan rohaniah manusia dari aspek jasad dan ruh tidak disantapkan dengan nilai-nilai luhur ia boleh menyebabkan berlakunya kecacatan. Secara tidak langsung ia boleh merosakkan fungsi asal manusia untuk menjadi insan yang berkualiti. Meskipun pada zahirnya kelihatan jasad individu itu nampak sihat namun dari aspek batiniahnya dijangkiti dengan penyakit yang boleh merosakkan jiwa. Akibatnya, timbullah sifat gelisah, marah, dendam, kecewa dan pelbagai lagi sifat tercela.
Kepentingan Nilai-Nilai Murni Dalam Kerangka Hati Budi Manusia

Kehidupan manusia di atas muka bumi ini bukanlah hanya bertujuan semata-mata untuk memenuhi survival melangsungkan kehidupannya sebagai makhluk seperti makan, minum, berkeluarga, mengembangkan zuriat, bermasyarakat dan sebagainya. Keperluan yang dinyatakan tersebut hanyalah bersifat menyempurnakan masalah asasi yang dihajati oleh manusia. Objektif yang perlu dicapai oleh manusia dari perspektif konsep pandangan hidup muslim lebih tinggi dan murni dari keperluan tersebut.

Insan yang diciptakan Allah dan mendapat kedudukan yang istimewa di sisi makhluk lain perlu memelihara status kedudukan ini. Meskipun begitu, kegagalan manusia memenuhi tanggungjawabnya sebagai insan dalam kaca mata Islam akan meruntuhkan pengiktirafan tersebut sehingga darjat manusia sama sahaja dengan status haiwan. Analogi manusia yang bersifat sedemikian digambarkan dalam al-Quran, Allah S.W.T berfiman:

Maksudnya: Dan sesungguhnya kami jadikan untuk (isi neraka Jahannam) kebanyakan dari jin dan manusia, mereka mempunyai hati, tetapi tidak dipergunakannya untuk memahami (ayat-ayat Allah) dan mereka mempunyai mata (tetapi) tidak dipergunakannya untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah), dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakannya untuk mendengar (ayat-ayat Allah). mereka itu sebagai binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. mereka Itulah orang-orang yang lalai.
(al-`Araf:179)

Dalam konteks agama Islam, ruanglingkup amalannya perlu diharmonikan dengan nilai-nilai murni yang perlu dihayati dan dibudayakan oleh setiap individu muslim agar kejayaan yang ingin dicapai benar-benar menepati falsafahnya. Keperluan kepada nilai tersebut adalah penting kepada setiap insan dalam merangka blue print kehidupan manusia yang seimbang dari aspek rohani, spritual dan intelektual. Dalam mengurus institusi manusia amnya, elemen agama, akhlak dan etika perlu diberi keutamaan. Elemen-elemen yang dinyatakan ini menjadi asas yang bersifat fundamental dalam proses membangunkan nilai-nilai kemanusiaan yang positif. Ia perlu diolah secara kreatif dan komprehensif supaya pemahaman nilai-nilai murni yang berteraskan nilai rohaniah dapat diseimbangkan dengan faktor pematuhan, penghayatan dan pengamalan.

Banyak kepincangan yang berlaku dalam institusi masyarakat antaranya adalah disebabkan oleh mengutamakan nilai materialistik, bersifat ananiah (individualistik), terpengaruh dengan faktor peredaran semasa serta nilai-nilai negatif yang lain. Oleh yang demikian, tidak menghairankan sekiranya pihak pemerintah begitu menekankan penghayatan nilai-nilai murni dalam kalangan masyarakat. Realitinya, kepentingan nilai-nilai murni perlu dijadikan agenda keutamaan dalam proses membangunkan institusi manusia. Hal yang demikian disebabkan agama adalah kemuncak keutamaan bagi manusia dan agama juga menjadi petunjuk hakiki kepada kejayaan yang dikecapi oleh manusia.

Kehidupan manusia perlu dibimbing dengan panduan wahyu supaya setiap tindakannya sentiasa bertepatan dengan tuntutan keagamaan dan selari dengan fitrah kemanusiaan. Manusia yang terpinggir dengan pedoman wahyu seringkali melanggar arahan dan peraturan agama serta bertindak di luar norma kemanusiaan demi memenuhi cita-citanya atas desakan hawa nafsu. Sebaliknya, individu muslim yang beriman sentiasa bertindak berasaskan nilai-nilai mahmudah yang diutarakan oleh Islam dan sentiasa berhati-hati dalam tindak-tanduknya. Golongan manusia sedemikian bukan sahaja mempunyai personaliti dan akhlak terpuji sesama manusia dalam masa yang sama juga mereka juga memiliki adab yang baik dengan Allah S.W.T.

Sebagai individu mukmin yang baik, ia sentiasa mengutamakan nilai-nilai murni dalam kehidupan seperti berakhlak, bercakap benar, beramanah, akauntabiliti, mengutamakan pemuafakatan dan persefahaman, bertoleransi, menghormati hak orang lain dan sebagainya. Manusia yang bertaqwa kepada Allah S.W.T. sentiasa berhati-hati dan takut melakukan sesuatu perkara yang bertentangan dengan syara` sama ada secara terang-terangan atau di luar pandangan manusia. Ironinya, inilah keistimewaan dan keunikan sistem agama yang berteraskan order tauhid rabbani, sistem ini dihormati dan diiktiraf oleh manusia atas sifatnya yang sejagat dalam memelihara keharmonian dan ketenteraman manusia bukan sahaja di alam dunia bahkan berkesinambungan di alam akhirat.

Manifestasi ketaqwaan manusia kepada Allah dapat dilihat melalui tanda kesyukuran yang dizahirkan oleh manusia di atas nikmat yang dikecapinya. Setiap nikmat yang dianugerahkan oleh Allah kepada manusia atas sifat Rahman dan Rahim tidak dapat dihitung oleh manusia. Allah S.W.T. tidak melihat kekayaan, kemegahan, kehormatan, pangkat dan darjat dimiliki oleh manusia sebaliknya tahap ketaqwaan yang dimiliki oleh seseorang menjadi kayu ukur kepada kejayaan seseorang.

Oleh yang demikian, apabila nilai-nilai murni yang disokong dengan elemen takwa berasimilasi dalam diri inidividu muslim secara tidak langsung ia akan membenihkan tindakan yang terarah kepada kebaikan. Hati, pemikiran dan tingkahlaku manusia yang bersifat sedemikian sentiasa cenderung melaksanakan tuntutan dan amanah sebagaimana yang dianjurkan oleh Islam dengan penuh berhikmah dan bertanggungjawab. Dalam sebuah hadith daripada Anas bin Malik R.A, dinyatakan, bahawa Nabi Muhammad S.A.W bersabda yang maksudnya:

“Ada tiga perkara, apabila terdapat dalam diri seseorang maka dia akan merasakan bagaimana manisnya Iman: mencintai Allah dan Rasulnya melebihi daripada yang lain-lain. Benci menjadi kafir kembali, setelah Allah melepaskannya dari kekafiran itu, sebagaimana bencinya akan dilemparkan ke dalam neraka” (Riwayat Muslim).


Kesimpulan

Meskipun nilai-nilai murni dilihat sebagai subjektif, namun mengetepikan nilai-nilai moral rohaniah akan menjadi pembangunan insan tidak bersifat holistik. Ini kerana, dengan mengabaikan nilai-nilai luhur yang mempengaruhi tingkahlaku manusia ia akan memberi dampak yang negatif kepada kerangka perhubungan manusia sesama manusia secara bersepadu. Justeru itu, nilai murni yang bersumberkan nilai rohaniah menjadi formula yang terbaik untuk mendidik masyarakat tentang nilai-nilai fitrah kemanusiaan yang murni, menyedarkan manusia tentang hak dan obligasi sosial yang lain.

Masyarakat yang dididik dengan lokus kawalan nilai-nilai murni akan berjaya mencipta budaya masyarakat penyayang dan bertoleransi terhadap kepelbagaian dan perbezaan agama dan budaya. Oleh yang demikian, budaya penyayang dalam institusi masyarakat yang dijalin dengan nilai insaniah yang murni tidak mungkin menyuburkan nilai-nilai negatif seperti berfikiran jumud, hasad dengki, bersifat cauvinis, individualistik, materialistik dan sebagainya. Penyatuan di antara kelompok etnik yang berlainan seperti yang berlaku di antara kaum Ansar dan Muhajirin menjalinkan ukhuwwah al-Islamiyyah dan mengukuhkan lagi jaringan interaksi sosial menjadi bukti kepada konsep persaudaraan yang dislogankan oleh Islam.

_Abu Rushd-

`Ibrah Covid 19. Suluhan Daripada Perspektif Islam

Assalamualaikum dan bertemu lagi. sudah lama saya tidak menjengok ke blogni. Harini rasa bersemangat semula untuk melihat blog yang sudah se...