Sunday, June 21, 2009

Carilah Rezeki Yang Halal


Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum

Bertemu lagi dalam ruang pada kali ini. Saya mohon maaf kepada para pembaca kerana tidak menyajikan penulisan kepada anda disebabkan ada sedikit masalah pada blog ini. Semoga penulisan pada kali ini dapat direnungi dan diambil iktibar oleh para pembaca. Terima kasih

Islam begitu mengapreasiasikan umatnya supaya berusaha dengan gigih dalam aktiviti pencarian rezeki. Jika ditinjau daripada skop keusahawanan, setiap tindakan dan usaha yang dilakukan oleh setiap pengusaha adalah terikat dengan konsep yang diistilahkan sebagai ibadah. Oleh kerana ia dinilai sebagai ibadah, sudah tentulah ia perlu dilakukan secara ikhlas dan jujur berasaskan kepada ketaatan dan kepatuhannya kepada Allah S.W.T yang Maha Berkuasa. Di samping itu juga, setiap aktiviti dan amalan yang terangkum dalam skop keusahawanan tersebut perlu terikat sepenuhnya kepada tata cara mu`amalah Islam. Bertitik-tolak daripada pengertian tersebut, Islam menuntut kepada setiap individu manusia supaya berusaha mengolah segala sumber yang dianugerahkan untuk memenuhi keperluan mereka dengan cara yang halal dan bersih daripada unsur-unsur kekejian yang menyalahi prinsip syara`. Keperluan untuk mematuhi perkara tersebut adalah merupakan sebahagian daripada perkara asas sebagaimana yang dituntut oleh al-Qur’an dan al-Sunnah.

Pada hakikatnya, kodifikasi tata kelakuan manusia sama ada pada domain yang dizinkan ole syara` atau sebaliknya telahpun dijelaskan oleh al-Qur’an. Umumnya, al-Qur’an telah memberi penegasan kepada manusia supaya bermu`amalah dengan jalan yang haq dan dihalalkan oleh syara`. Petunjuk ini adalah berasaskan kepada firman Allah S.W.T antaranya iaitu:

Maksudnya: Katakanlah: Adakah kamu lihat apa yang diturunkan Allah untuk manfaat kamu itu sehingga dapat kamu jadikan sebahagian daripadanya haram, dan sebahagian lagi halal? Katakanlah lagi: Adakah Allah izinkan bagi kamu berbuat demikian, atau kamu hanya mengada-adakan secara dusta terhadap Allah?
(Yunus: 59)

Mengulas ayat di atas, Ibn Kathir memberikan pandangannya bahawa Allah S.W.T mencela golongan yang telah dianugerahkan oleh Allah S.W.T dengan rezekiNya tetapi sebahagian daripada rezeki tersebut dinyatakan haram dan sebahagian daripada yang lain ditafsirkan halal menurut keperluannya sendiri. Secara relatifnya, manusia tersebut hanya menurut kehendak hawa nafsu dan akal fikiran semata-mata tanpa bersandarkan kepada tafsiran agama. Oleh yang demikian, manusia yang bertindak mengharamkan apa yang telah dihalalkan oleh Allah S.W.T dan menghalalkan apa yang diharamkan oleh Allah S.W.T diancam dengan azab siksaan yang pedih pada hari akhirat kelak disebabkan mereka dianggap mengada-adakan kedustaan terhadap Allah.

Dalam pada itu, al-Qur’an juga memberi petunjuk kepada manusia tentang garis panduan perkara yang halal dan haram dalam aktiviti transaksi sesama mereka. Ia bertujuan untuk memberi gambaran kepada manusia tentang kodifikasi hukum yang berkaitan perbuatan yang dibenarkan atau ditegah oleh syara`. Dalam persoalan ini, ia boleh dipetik berdasarkan kepada firman Allah S.W.T dalam al-Qur’an iaitu:

Maksudnya: ”Iaitu orang yang mengikut Rasulullah Nabi yang Ummi, yang mereka dapati tertulis di dalam Taurat dan Injil yang ada di sisi mereka. Ia menyuruh mereka mengerjakan yang baik, dan melarang yang keji; dan ia menghalalkan bagi mereka yang baik-baik, dan mengharamkan yang buruk; dan ia menghapuskan dari mereka beban-beban dan belenggu-belenggu yang ada pada mereka. Maka orang yang beriman kepadanya, dan memuliakannya, juga menolongnya, serta mengikut nur (cahaya) yang diturunkan kepadanya (Al-Qur'an), mereka itulah orang yang berjaya.”
(al-A`raf: 157)
Dalam memberi penafsiran ayat tersebut, Imam Ibn Kathir menjelaskan bahawa tafsiran ayat " " ويحل لهم الطيبت ويحرم عليهم memberi maksud menghalalkan apa yang diharamkan oleh orang-orang pada masa jahiliah daripada makanan yang baik dan mengharamkan semua yang keji dan berbahaya seperti daging babi, bangkai dan riba. Daripada penjelasan tersebut ia memberi gambaran bahawa setiap perkara yang dihalalkan oleh Allah S.W.T mengandungi rahsia atau kebaikan untuk tubuh badan manusia dan untuk kebaikan agama. Begitu juga dengan perkara yang diharamkan oleh Allah S.W.T sudah tentulah ia mengundang bahaya kepada tubuh badan dan juga kepada agama. Secara amnya, pada ayat 157 tersebut Allah menyatakan berkenaan dengan rahmatNya yang meliputi setiap sesuatu. Walau bagaimanapun, rahmat Allah tersebut hanya dianugerahkan kepada manusia yang beriman, bertaqwa dan mematuhi perintah Nabi Muhammad S.A.W. Selayaknya, golongan inilah yang pasti akan memperolehi keuntungan, kebahagiaan dan kejayaan dunia serta akhirat.

Begitu juga dalam ayat yang lain, firman Allah S.W.T dalam al-Qur’an,


Maksudnya: Wahai orang yang beriman, janganlah kamu makan harta-harta sesama kamu dengan jalan salah, kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antaramu, dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengasihi kamu.
(al-Nisa’:29)

Menurut Ibn Kathir, ayat tersebut memberi pengertian bahawa Allah S.W.T melarang hamba-hambaNya memakan harta sesamanya dengan cara yang batil. Dengan kata lain, iaitu mencari keuntungan dengan cara yang tidak sah dan bertentangan dengan syari`at seperti riba’, judi dan perbuatan-perbuatan lain yang ditegah oleh Islam. Ini kerana, semua tindakan tersebut seolah-olah nampak bersesuaian dengan kehendak syara`, namun Allah S.W.T mengetahui segalanya setiap perkara yang dilakukan oleh manusia. Tambahan lagi perkara yang dilakukan tersebut merupakan satu helah yang dilakukan oleh manusia yang merupakan dalihan untuk mengelak daripada ketentuan hukum yang digariskan oleh syara`.

Secara praktikalnya, Islam memuji para penganutnya yang berusaha melibatkan diri dalam sektor keusahawanan ataupun perdagangan. Namun begitu, usaha mencari keuntungan melalui jalan tersebut perlulah melalui saluran yang halal dan diberkati oleh Allah S.W.T. Justeru itu, individu usahawan yang berusaha secara tekun melalui jalan yang dihalalkan oleh syara` sudah pastilah ia akan diredhai oleh Allah dan secara tidak langsung mendapat pengiktirafan yang tinggi oleh agama sebagai usahawan yang berjaya. Penghormatan yang diberikan ini disebabkan perilaku usahawan tersebut sentiasa terikat dengan ketentuan agama dan nilai kebaikan yang mendorong mereka agar tidak terlibat dengan sebarang bentuk kegiatan atau aktiviti yang menyalahi peraturan syara`. Atas kemuliaan prinsip tersebut, mu`amalah Islam memberi peringatan kepada para pengusaha supaya tidak terlibat dalam perkara-perkara yang mengandungi unsur-unsur seperti riba, menipu, kegiatan menyorok barang, memanipulasi harga, rasuah dan sebagainya. Realitinya, tindakan-tindakan yang dinyatakan tersebut bertentangan dengan kepentingan maqasid al-syar`iyyah iaitu bertunjangkan prinsip keadilan, menjauhi unsur-unsur kezaliman dan juga kepentingan memelihara harta.

Tuntutan kepada para pengusaha supaya memberi keutamaan kepada aktiviti yang sihat dan dihalalkan oleh syara` serta tidak terlibat dengan aktiviti-aktiviti yang tidak negatif banyak ditegaskan dalam al-Sunnah antaranya seperti sabda Nabi Muhammad S.A.W yang bermaksud:


”Sesungguhnya para pedagang akan dibangkitkan kelak pada hari kiamat sebagai orang yang curang, kecuali orang-orang yang bertaqwa kepada Allah, berbuat kebajikan dan jujur.
(al-Tirmidhi)

Dalam keterangan hadis yang lain sabda Nabi Muhammad S.A.W yang bermaksud:

”Ada tiga golongan di mana Allah tidak mahu melihat mereka, tidak mensucikan dan mereka mendapat seksaan yang sangat menyakitkan. Salah satu daripada mereka adalah orang yang memasarkan dagangannya dengan sumpah palsu.”
(al-Tirmidhi)

Begitu juga dengan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda maksudnya:

"Sesiapa yang ada di tangannya kepunyaan saudaranya, diperolehinya dengan jalan tidak halal, hendaklah diadakannya penyelesaian, kerana di situ (di akhirat) nanti tidak ada dinar dan dirham (untuk membayar). Jangan sampai nanti diambil kebaikannya untuk diberikan kepada saudaranya. Setelah habis kebaikannya, diambil dosa saudaranya lalu ditimpakan kepadanya."
(al-Bukhari)

Pada hadis yang lain pula yang bermaksud: dari 'Iyadh bin Himar Al Mujasyi'iy R.A katanya: "Pada suatu hari Rasulullah S.A.W bersabda dalam khutbah seperti berikut:
"............. Firman Allah Ta'ala, "Penduduk Syurga ada tiga jenis: (1) Penguasa yang adil, pemurah, dan bertindak sesuai dengan hukum. (2) Orang yang berhati pengasih dan berhati lembut terhadap kaum kerabat dan kaum muslimin. (3) Orang daif yang tidak memiliki keupayaan akal yang sihat, mereka di samping kamu hanyalah pengikutmu, mereka tidak mahu berkeluarga dan tidak berhajat kepada kekayaan. Penduduk Neraka ada lima jenis: (1) Orang daif yang tidak menggunakan akalnya, mereka hanya menjadi pengikut, tidak berusaha mencari nafkah untuk diri dan keluarganya. (2) Pengkhianat yang tidak tahu malu, sampai hal-hal yang kecilpun dikhianatinya juga. (3) Orang yang pada waktu pagi dan petang berusaha hendak menipumu, tentang keluargamu, dan harta mu, (4) Orang bakhil atau pendusta. (5) Orang yang bermulut kotor (orang yang bersikap buruk dan memfitnah).
(Muslim)

Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari yang bermaksud:

“Nabi S.A.W bersabda akan ada satu zaman pada umat manusia yang seseorang itu tidak lagi memperdulikan apa yang diambilnya (rezeki yang diterima olehnya) apakah daripada yang halal atau haram?.”
(Bukhari)

Berasaskan kepada beberapa hadith yang telah dibentangkan tersebut dapat difahami bahawa Islam mengharamkan sebarang bentuk perdagangan atau perusahaan yang mengandungi unsur-unsur kezaliman, ketidakadilan, penindasan, diskriminasi dan sebagainya. Ini kerana, sifat-sifat tersebut mempunyai stigma nilai yang tercela dengan fitrah agama dan manusia. Tambahan lagi pendapatan yang diperolehi dengan jalan yang salah tersebut bukan sahaja tidak mendapat keberkatan tetapi juga mematikan nilai-nilai kebaikan dalam diri usahawan. Dalam hal ini, Imam al-Ghazali telah menyatakan bahawa setiap individu manusia wajib berusaha untuk mencari makanan melalui jalan yang diiktiraf dan dihalalkan oleh syara`. Beliau telah membuat satu garis panduan tentang perkara tersebut iaitu yang pertama, sesuatu harta itu dikategorikan sebagai haram disebabkan zat benda itu sendiri. Kedua, sesuatu harta itu ditaksirkan sebagai haram disebabkan perkara yang mendatang seperti perolehan harta tersebut didapati daripada sumber yang tidak betul. Imam al-Ghazali juga turut memetik berkaitan athar daripada para sahabat di antaranya peristiwa yang berlaku ke atas Sayyidina Abu Bakar. Beliau menukilkan bahawa pada suatu hari Sayyidina Abu Bakar telah meminum seteguk susu yang diperolehi daripada hamba sahayanya hasil daripada tenungannya. Apabila selesai minum, ia bertanya, daripada mana susu tersebut diperolehi. Hamba tersebut menjawab ”Saya telah memberikan ramalan (tenungan) kepada satu kelompok manusia, lalu sebagai upahnya saya diberikan susu.” Mendengar jawapan tersebut beliau segera memasukkan jarinya ke dalam mulut dan memuntahkan sehinggakan saya menyangka bahawa beliau meninggal dunia kerananya.” Setelah selesai muntah beliau berdoa: ”Ya Allah! Hamba memohon kebebasan padamu daripada makanan yang telah dibawa oleh urat-urat tubuh serta yang sudah bercampur aduk dalam perut.” Kes yang berlaku tersebut memberi pengajaran kepada umat Islam tentang kaedah orang-orang salaf dalam memelihara diri mereka daripada sumber-sumber harta yang syubhah.

Menurut Muhammad Uthman Syabir, pada dasarnya syara` telah memberi garis panduan umum keapada manusia dalam urusan mu`amalah bahawa segala bentuk akad dan terma-terma yang diimplementasikan dalam kontrak mu`amalah adalah bersifat harus. Walau bagaimanapun, keharusan ini adalah terbatas dan terhad jika terdapat peruntukan daripada nas yang melarang dan mengharamkannya. Secara itlaknya, Muhammad Abu Zahrah menukilkan indikasi-indikasi yang perlu difahami untuk mengenalpasti tindakan yang mempunyai perkaitan dengan hukum taklifi

Berdasarkan kepada petunjuk wahyu dan pandangan yang telah dikemukakan oleh para ulama’ maka usahawan berjaya menurut kerangka keusahawanan Islam sentiasa berhati-hati dalam tindakan dalam menerokai, mencipta dan merebut peluang serta mencari sumber-sumber perolehan supaya ia tidak menyalahi kehendak syara`. Sebagai contoh, dalam aspek sumber perolehan, usahawan yang berjaya sentiasa peka dan bersikap perihatin berkenaan dengan sumber modal yang menjadi penjana utama aktiviti yang diusahakannya. Hal yang demikian disebabkan sumber yang halal dan bersih daripada segala unsur yang diharamkan oleh syara’ akan memberikan impak kepada diri dan pembangunan usahawan.

Apa yang jelas sumber yang halal akan menjanjikan natijah kebaikan dan keuntungan kepada para usahawan bukan sahaja di dunia tetapi yang lebih penting keredhaan Allah S.W.T pada hari akhirat kelak. Sebagai contoh, sumber pembiayaan kewangan seperti modal untuk menggerakkan aktiviti perdagangan ataupun membiayai entiti aktiviti tersebut. Jika sumber kewangan tersebut didapati melalui pinjaman sudah tentulah ia perlu dipastikan institusi kewangan ataupun agensi-agensi yang membiayai bantuan kemudahan tersebut adalah berasaskan kepada prinsip-prinsip syara`. Setiap transaksi yang berlaku tersebut perlu bebas daripada unsur-unsur gharar dan riba. Ini kerana, unsur-unsur tersebut jelas dilarang oleh Islam. Begitu juga dengan hasil pandapatan yang diperolehinya sama ada melalui aktiviti perdagangan, pelaburan, pertanian, perindustrian, perikanan dan sebagainya perlu ditunaikan kewajipan-kewajipan tertentu seperti zakat perniagaan, simpanan dan lain-lain.

Melihat kepada kepentingan tersebut, al-Maududi telah menegaskan bahawa setiap individu muslim termasuklah usahawan perlu mengambil sikap berhati-hati dalam meneroka atau melaburkan modal dalam sesuatu perusahaan. Adalah perlu dipastikan modal tersebut dilaburkan dalam prospek pelaburan yang halal meskipun pulangan keuntungan adalah minimum berbanding dengan pelaburan pada sektor yang mengandungi unsur-unsur yang diharamkan oleh syara`. Oleh yang demikian jelaslah bahawa skop keusahawanan Islam bukanlah cenderung kepada motif keuntungan sehingga menafikan ketentuan dalam agama. Sebaliknya, setiap aktiviti yang dijana atau dirancang perlu dilihat kepada kaca mata penilaian agama dan kemaslahatan umat manusia amnya. Apa yang nyata, pelaburan atau penjanaan aktiviti harta pada jalan yang salah pasti memusnahkan keharmonian institusi masyarakat dan penyebab kepada pelanggaran hak orang ramai.



Tegasnya, antara penilaian kriteria usahawan berjaya menurut kerangka keusahawan Islam ialah individu yang sentiasa berusaha memakmurkan sumber alam untuk kesejahteraan umat manusia sejagat melalui saluran-saluran yang dihalalkan oleh syara`. Untuk tujuan tersebut, Islam membuka pintu seluas-luasnya kepada manusia untuk merencanakan aktiviti mu`amalah untuk faedah umum manusia. Namun begitu, usaha yang dilakukan tersebut perlu selari dengan prinsip yang digariskan oleh Islam. Oleh itu, pendapatan atau perolehan yang didapati oleh para pengusaha secara suci dan halal adalah sebahagian daripada tanggungjawabnya di dunia ini sebagai bukti ketaatannya yang tinggi dan juga untuk memenuhi keperluan ibadahnya kepada Allah S.W.T dan juga sesama makhluk yang lain. Menginsafi ketentuan pengertian tersebut ia memberi panduan kepada para usahawan bahawa hasil keuntungan yang diperolehi dengan cara yang halal akan memberi impak yang positif terhadap pola perkembangan fizikal dan spiritual individu yang terlibat. Apabila ia berjaya dipatuhi nescaya terbuka dan suburnya pintu-pintu rahmat dan keberkatan daripada Allah S.W.T kepada para pengusaha yang beriman tersebut.

_Abu Rushd-

No comments:

`Ibrah Covid 19. Suluhan Daripada Perspektif Islam

Assalamualaikum dan bertemu lagi. sudah lama saya tidak menjengok ke blogni. Harini rasa bersemangat semula untuk melihat blog yang sudah se...