Saturday, July 26, 2008

Manifestasi Konsep al-Falah Dalam Islam


Bismilahirrahmanirrahim.


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera. Selawat ke atas junjungan Nabi S.A.W. Untuk kali ini, penuisan saya cenderung untuk membincangkan konsep al-falah menurut kaca mata Islam. Semoga ianya dapat memberi manfaat kepada para pembaca. Semoga ianya dinilai sebagai ibadah di sisi Allah S.W.T.


Konsep al-Falah

Umumnya, apa jua tindakan manusia pada kesudahannya ia meletakkan satu matlamat iaitu untuk mencapai kejayaan. Dalam merencana untuk mencapai objektif tersebut, manusia perlu bertindak mengikut pelan perancangan yang dirangkanya atau yang telah ditentukan kepadanya. Begitu juga dengan prinsip nilai, sudah pastilah entiti yang mendasari sistem falsafah tersebut ialah kuantum nilai-nilai positif yang maksimum sama ada ia ditentukan melalui panduan wahyu atau melalui pemikiran dan pengalaman manusia. Pematuhan kepada norma-norma nilai murni tersebut menjadi faktor pendorong kepada kejayaan seseorang dalam setiap aspek keperluan kehidupannya.

Dari sudut pandang Islam, konsep kejayaan yang ditekankan ialah mendapat keuntungan, kebahagian, kejayaan bukan sahaja di alam dunia tetapi kejayaan tersebut berkesinambungan untuk dikongsi di alam akhirat. Dalam ketentuan ini, ia diistilah sebagai mencapai hasanah di dunia dan akhirat. Meskipun begitu, klimaks kepada pencapaian tersebut adalah untuk mendapat mardhatillah, keampunan Allah, rahmat dan perlindungan dari Allah S.W.T. Golongan manusia yang mendapat nikmat tersebut adalah kelompok manusia yang memperolehi kejayaan yang hakiki atau distilahkan sebagai al-falah.

Berasaskan kepada huraian tersebut, jelaslah bahawa secara implisitnya unjuran terhadap manusia untuk mengaplikasikan nilai-nilai murni dalam setiap aspek keperluan kehidupan adalah untuk menjamin kemaslahatan umum dan mendorong manusia menuju ke arah kejayaan sebagaimana yang telah dijanjikan oleh Allah S.W.T. Destinasi untuk mencapai kejayaan tersebut adalah berdasarkan kepada petunjuk dan bimbingan yang telah dilalui oleh para Rasul, Nabi-Nabi dan golongan soleh terdahulu melalui pedoman wahyu. Pra syarat utama untuk manusia mencapai kemenangan dan kejayaan adalah dengan cara menjadikan pegangan agama sebagai satu cara hidup yang bersifat holistik. Pengukuhan cara hidup manusia dengan nilai-nilai Islam akan melahirkan satu kondisi yang positif dan memotivasikan insan berusaha bersungguh-sungguh untuk berjaya dalam melangsungkan survival peradaban manusia.

Sehubungan dengan itu, apabila dipandang pada skala makro ajaran Islam sentiasa menyeru umatnya untuk maju ke hadapan, berperadaban tinggi dan menjadi perintis yang berjaya dalam pelbagai bidang untuk dicontohi oleh bangsa yang lain. Tidak diragukan lagi bahawa konsep al-falah seperti yang diprojekkan oleh Islam adalah bertujuan untuk menyemarakkan lagi kemurnian dan keagungan peradaban Islam untuk kesejahteraan umum dengan cara menintegrasikan keperluan duniawi dan maknawi secara bersepadu mengikut acuan agama. Kejayaan dalam neraca al- falah ini, tercetus dari inspirasi yang berasaskan gagasan-gagasan doktrin prinsip ajaran Islam yang memberi penekanan kepada nilai-nilai murni yang luhur.

Sekiranya diteliti saranan yang terdapat dalam al-Quran terhadap manusia untuk mencapai jalan kejayaan didapati ia telah meletakkan mekanisme-mekanisme yang tertentu. Secara tipikalnya, mekanisme yang dikenal pasti sebagai formula untuk mencapai kejayaan adalah dengan cara penghayatan terhadap unsur-unsur nilai seperti keimanan yang tinggi, amal soleh, taqwa, al-amr bi al-ma`ruf wa al-nahyu `an al-munkar, akhlak yang terpuji dan nilai-nilai luhur murni lain yang diiktiraf dalam setiap perlakuan manusia. Dari aspek psikologikal pula, kejayaan dan kesejahteraan yang diperolehi tersebut akan memberi impak yang positif dalam kehidupan insan seperti mententeramkan jiwa dan pemikiran serta bebas dari perasaan keluh kesah yang boleh memberi pengaruh negatif kepada ruh dan jasad. Justeru itu apabila unsur-unsur nilai yang dinyatakan tersebut diaplikasikan secara konsisten dalam kehidupan manusia, golongan yang demikian disebutkan oleh Allah sebagai golongan yang berhak memperolehi kejayaan dan mendapat rahmat di hari akhirat kelak. Gambaran ini dirakamkan oleh al-Quran melalui firman Allh S.W.T:

Maksudnya: Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman. Iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya. Dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia. Dan mereka yang berusaha membersihkan hartanya (dengan menunaikan zakat harta itu). Dan mereka yang menjaga kehormatannya. Kecuali kepada isterinya atau hamba sahayanya maka sesungguhnya mereka tidak tercela.
(al-Mukminun:1-6)



Dalam ayat lain, Allah S.W.T berfirman:

Maksudnya: Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertakwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan.
(al-A`raf:96)


Walau bagaimanapun, sekiranya manusia mengingkari dan membelakangkan segala tuntutan yang termaktub dalam wahyu maka kehidupan manusia itu terarah kepada kesesatan dan jatuh ke lembah kejahilan. Secara tidak angsung, ia akan membuka dan mencipta ruang untuk bertindak di luar batasan keagamaan dan boleh mengundang kepada fenomena fasad. Kemuncaknya berlakulah unsur-unsur seperti kezaliman, penindasan, kesengsaraan dan pelbagai kesan negatif lain yang mengundang kepada kemusnahan dan kegagalan manusia di dunia dan akhirat. Golongan manusia yang bertindak sedemikian disifatkan oleh Islam sebagai ”al-Khusran” iaitu manusia yang dikelompokkan sebagai golongan yang rugi dan malang di alam dunia dan akhirat. Ini kerana setiap tindakan yang dilakukannya bukan sahaja sia-sia bahkan tidak mempunyai nilai di sisi Allah S.W.T.


-Abu Rushd-

Friday, July 25, 2008

Kegemilangan Peradaban Islam


Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum dan Salam Sejahtera. Topik penulisan kali ini berkisar tentang retrospektif peradaban Islam. Semoga isi kandungannya menjadi pedoman dan menyuntik semangat motivasi dan membugarkan jiwa kita untuk menyemarakkan ajaran Islam di mana sahaja kita berada.

Tamadun Islam

Perkembangan Islam yang berkembang pantas pada zaman kemuncaknya membawa satu order baru untuk dunia yang menjangkau dari pergunungan Pyrennees di Eropah hingga pergunungan Himalaya di benua kecil India. Islam telah melahirkan satu empayar yang lebih besar daripada empayar Rom pada zaman keagungannya. Ia disusuli pula monopoli blok politik dan memacu ke arah kemakmuran yang melimpah ruah dalam bidang sosial dan budaya. Keagungan Islam pada zaman itu merentasi pencapaian yang ada pada era tersebut. Pencapaiannya dalam bidang teknologi sebagai perintis telah menjadi asas dan membuka jalan ke arah penerokaan dan penemuan yang lebih maju kepada tamadun dunia yang lain. Selain mencapai kejayaan dan kemajuan dalam bidang politik dan ekonomi, umat Islam turut mengembangkan seni sastera dan ilmu sains ke dalam setiap ruang kehidupan. Tentera-tentera Islam memenangi peperangan demi peperangan, segala syariat Islam dipatuhi, surat kreditnya diiktiraf, seni binanya hebat, syairnya pula amat indah dan puitis, para ilmuannya bijaksana dan teknologinya mantap.

Di semua wilayah yang dukuasainya, dari Baghdad, Lembah Sungai Nil dan Tigris-Euphrates, Afrika Utara dan Sepanyol ke Asia Tengah dan India, Islam bukan sahaja membawa kemakmuran semata-mata, tetapi membawa bersamanya kejayaan yang asli dan membina.
Sesuatu tamadun lahir daripada inspirasi yang berasaskan gagasan-gagasan pemikiran. Inspirasi dan sumber tamadun Islam amatlah jelas.

Ia dibina di atas tapak yang kukuh, iaitu al-Quran dan Sunah Nabi Muhammad s.a.w. Kandungan dan fitrah sumber-sumber agung ini telah melahirkan garis panduan yang sempurna kepada tindakan, tafsiran, kefahaman dan hujah, yang semuanya menyebabkan Islam diterima sebagai satu tamadun ilmu. Dari sinilah pemikiran-pemikiran kritikal, yang sentiasa mencari jawapan-jawapan kepada setiap masalah, bercambah dengan segarnya. Pemikiran inilah yang kemudiannya menetapkan hukum demi hukum untuk menghadapi cabaran-cabaran semasa dengan cara yang bijaksana dan adil.

Kejayaan ini adaah berteraskan kepada dogma akidah yang menjadi tunjang dan dasar kepada setiap polisi perencanaan manusia. Masyarakat Islam pada ketika itu dinaungi dengan ideologi rabbani menjadi institusi sosial yang berjaya dan bersatu padu. Kejayaan yang dinikmati oleh masyarakat bukan sahaja bersifat duniawi semata-mata tetapi yang menjadi keutamaan adalah memperolehi kemenangan, kejayaan dan kesejateraan yang berkesinambungan di alam akhirat kelak. Di samping menunaikan hak-hak yang sewajarnya kepada umat Islam, pemerintah pada masa tersebut tidak mengabaikan prinsip-prinsip keadilan kepada kaum non muslim. Asas keadilan yang didoktrinasikan dengan elemen akidah menjadi formula kepada kejayaan pemerintahan Islam silam.

Kegemilangan umat Islam harus dianalisis dari aspek kualiti keimanan yang tinggi kepada akidah Islam. Mereka bukan sahaja mencapai kejayaan di medan perang dan kebahagiaan pada masa aman, tetapi juga berjaya mengintegrasikan cara hidup Islam (way of life) dalam masyarakat dunia kepada satu tamadun Islam. Pelbagai unsur menghasilkan kemunculan tamadun Islam - unsur- unsur budaya Arab, Helleni, Semitic dan budaya tradisi Timur dan Sasani, Iran dan India. Kehebatan umat Islam berpunca daripada kebijaksanaan mereka mengadun dan menyesuaikan segala unsur ini kepada satu bentuk kehidupan yang sama dan menyerapkan unsur-unsur ini kepada perkara-perkara baru. Islam jugalah yang memulakan proses integrasi dan pada masa yang sama memberikan stimulasi dan penghayatan untuk mengekalkannya. Prinsip siasah Islam jugalah yang memberikan rasa kesatuan dan meningkat sinergi daya momentum yang positif kepada masyarakat.

Pemusatan kepada kehidupan Islam yang lengkap sebagaimana yang diistilahkan sebagai syariat Islam menjadi sebahagian daripada polisi pemerintahan. Syariat ini mengatur segala urusan hidup manusia dari ibadah sembahyang hinggalah hak-hak harta. Ia menyatukan juga setiap individu Muslim kerana setiap detik kehidupannya telah diatur untuk membentuknya menjadi insan yang tunduk kepada Penciptanya melalui corak yang suci ini.

Menyorot sejarah Islam yang gemilang ini, kita kadang kala merasakan realiti kehidupan masyarakat Islam pada hari ini dianalogikan sebagai obor yang kehabisan minyak dan akan malap ditup oleh badai yang menghalang api tersebut untuk memberi sinar harapan kepada masyarakat Islam. Di tambah lagi dalam era langit terbuka, umat Islam terdedah dengan pelbagai halangan dan cabaran dalam usaha memperkasakan Islam di alam ini. Ditambah lagi dengan perpecahan dalaman umat Islam sama ada disebabkan oleh isu politik, sosial, perbezaan pandangan dan sebagainya dipercayai melebarkan lagi jurang kekuatan umat Islam dalam menangani mehnah dan fitnah yang merosakkan jiwa umat Islam. Menginsafi hakikat itu, percayalah selagimana umat Islam berpegang teguh dengan tali wahyu iaitu al-Quran dan al-Sunnah, peradaban Islam akan kembali menjadi satu blok peradaban yang disegani sepertimana era kegemilangannya pada satu ketika dahulu.
-Abu Rushd-

Wednesday, July 9, 2008

Konsep Maslahah:Satu Kupasan


Bismillahirrahmanirrahim.


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera. Bertemu lagi dalam ruangan penulisan. Pada kali ini saya ingin berkongsi sedikit ilmu dengan sahabat2 sekalian berkaitan konsep maslahah. Semoga dapat memberi manfaat dan faedah kepada para pembaca dan dinilai sebagai ibadah oleh Allah S.W.T


Pendahuluan

Secara prinsipnya, istilah masalih al-mursalah (memelihara kepentingan umum) mempunyai signifikan dalam mempengaruhi sesuatu hukum. Dari segi falsafahnya, syariat Islam yang dilahirkan atas muka bumi mempunyai misi dan wawasan bertujuan memberikan kesejahteraan kepada insan untuk mencapai kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Islam ialah agama yang menganjurkan keadilan, membawa rahmat, membawa kebaikan dan menjamin kepentingan umum (maslahah) kepada seluruh manusia dan makhluk yang lain. Meskipun begitu, dari sudut kedudukan sumber perundangan Islam, pemakaian konsep ini diklasifikasikan sebagai sumber yang tidak disepakati (sumber tab`iyyah) seperti `urf, al-istihsan, istishab dan mazhab sahabi.

Pada dasarnya, konsep masalih al-mursalah mempunyai kaitan yang rapat dengan konsep penilaian semasa dan setempat yang diiktiraf oleh Islam sebagai mekanisme untuk menjamin kepentingan masyarakat secara amnya. Oleh yang demikian, maslahah boleh difahami sebagai kepentingan yang tidak disyariatkan hukumnya oleh perundangan untuk mewujudkannya dan tidak ada dalil yang menolaknya. Dengan kata lain, maslahah ialah sesuatu yang memberikan manfaat dan menghindarkan dari keburukan serta tidak bercanggah dengan prinsip syara`. Menurut Musa, Ibrahim al-Ibrahim` dalam kitabnya “al-Madkhal ila Usul al-Fiqh wa Tarikh Tashri` al-Islami”, konsep ini digunapakai untuk memelihara objektif syariah (al-dharuriyyat al-khams) yang meliputi memelihara dan memperkasakan agama, jiwa, akal, keturunan dan harta. Oleh yang demikian apa-apa unsur yang berlawanan dengan perkara murni dikira sebagai mafsadah. Malah menurut Prof. Dato` Mahmood Zuhdi Hj. Abd Majid dalam penulisannya “Pengajian Syariah: Satu Pentakrifan” konsep ini sebahagian daripada instrumen fiqh yang unggul dalam melayani perkembangan dan keperluan semasa masyarakat. Bersesuaian dengan sifatnya yang flexible dan dinamis serta bersedia menerima perubahan mengikut peredaran zaman dalam ruang lingkup yang dibenarkan oleh syara`.

Konsep Maslahah

Menurut al-Syeikh Muhammad Khudri Bik dalam karangannya “Ilmu usul al-Fiqh”, majoriti ahli usul menjustifikasikan masalih al-mursalah dengan istilah al-munasib al-mursal. Bagaimanapun, Imam Malik lebih cenderung menggunakan istilah masalih al-mursalah. Berbeza pula dengan pendapat Imam al-Ghazali, beliau mentakrifkan konsep ini sebagai al-Istislah.

Sehubungan dengan itu, para ulama` berbeza pandangan dalam mendefinisikan maksud maslahah. Walau bagaimanapun, menurut Dr. Abd Hamid Mutawwali dalam karangannya “al-Syariah al-Islamiyyah Kamasdar Asasi li al Dustur” menjelaskan dari segi terminologi maknanya, pandangan Imam al-Ghazali lebih bertepatan dan bersesuaian dengan konsep yang digunapakai. Beliau menjelaskan bahawa pengertian makna tersebut merujuk kepada perkara-perkara yang boleh memelihara dan memartabatkan objektif syara` (al-dharuriyyat al-khams). Justeru itu, apa-apa unsur negatif mengikut tafsiran agama yang menjadi penghalang ke arah mencapai objektif syara` dikategorikan sebagai keburukan (mafsadah). Kemungkinan sesuatu perbuatan atau tingkah laku yang dilakukan oleh manusia dianggap satu perkara yang baik, namun ia dianggap sebaliknya oleh syara`. Sebagai contoh, perbuatan minum arak dan berjudi di kalangan bangsa Arab Jahiliah dianggap satu perbuatan yang mulia di sisi mereka dan tidak mendatangkan keburukan. Bagaimanapun, tafsiran ini berbeza di sisi syara` dengan menjelaskan perbuatan tersebut adalah haram dan berdosa. Oleh yang demikian, tafsiran memelihara kepentingan syara` perlu mengambilkira asas-asas yang dalam kerangka perundangan Islam di samping pemahaman manusia.

Tegasnya, maslahah adalah perkara-perkara yang mendatangkan manfaat dan menghindarkan daripada unsur-unsur kemudharatan. Menurut Muhammad `Iwadz al-Hazayimah dan Mustafa Ahmad Najib dalam kitab bertajuk “al-Madkhal Ila Dirasah al-Tashri` al-Islami” pada asasnya, syara` mengklasifikasikan maslahah kepada tiga komponen yang utama:

Pertama: Maslahah Mu`tabarah.


Maslahah dalam kategori ini bermaksud maslahah yang diterima oleh syara` untuk mencapai yang dharuri (kepentingan manusia) yang merangkumi semua objektif syara`. Sebagai contoh, bagi memelihara kepentingan jiwa maka agama mensyariatkan hukuman qisas. Begitu bagi tujuan memelihara kepentingan harta, syariat memperundangkan hukuman potong tangan.

Kedua: Maslahah Mulghah.


Ia bermaksud maslahah yang ditolak atau dengan kata lain perkara yang tidak diambilkira oleh syara`. Sebagai contoh, menyamaratakan hak anak perempuan dengan hak anak lelaki dalam persoalan pewarisan. Maslahah ini secara jelas berlaku kontradiksi dengan peruntukan nas al-Quran.

Ketiga: Maslahah Mursalah.


Keadaan atau sifat yang relevan untuk dijadikan asas hukum yang memberi implikasi kebaikan dan menghindarkan kemudharatan serta tiada nas yang menyokong sama ada ia diterima atau ditolak. Meskipun begitu, sebahagian daripada ulama’ menamakan konsep ini sebagai al-Istislah. Sebagai contoh, pengumpulan al-Quran dalam satu mushaf pada zaman Saidina Abu Bakar yang tidak pernah dilakukan oleh Rasulullah S.A.W. Saidina Umar menjalankan pentadbiran negara berasaskan maslahah (kepentingan umum) seperti membentuk jabatan-jabatan kerajaan, membina penjara. Begitu juga Saidina Ali mewajipkan memberi pampasan gantirugi oleh pihak tukang yang menerima tempahan membuat sesuatu sekiranya berlaku apa-apa kecacatan ke atas barang buatannya atas dasar kepentingan umum (maslahah).

Kehujahan al-Masalih Mursalah

Para ulama` mempunyai persepsi yang tersendiri dalam menerima pakai teori masalih al-mursalah sebagai asas dalam pembinaan hukum. Menurut Mohd Saleh Haji Ahmad dalam karangannya Pengantar Syariat Islam” Sekiranya diteliti dalam perbincangan kitab-kitab fiqh, perbahasan konsep ini sebagai sumber hukum terbahagi kepada tiga aliran mazhab. Aliran pertama berpendirian al-Masalih Mursalah tidak boleh dijadikan hujah secara mutlak. Golongan yang berpandangan sedemikian terdiri daripada pendapat jumhur al-Shafi`iyyah, al-Hanafiyyah, ahli Zahiri dan sebahagian ulama’ mazhab Maliki. Aliran kedua yang terdiri daripada al-Imam al-Ghazali dan al-Baidhawi dari golongan mazhab Shafi`i berpandangan kehujahan al-Masalih Mursalah sebagai instrumen hukum digunapakai apabila memenuhi tiga elemen berikut:

Pertama: Maslahah hanya boleh diaplikasikan pada tahap darurat dan bukannya pada tahap hajat. Maslahah hajiyah ini bermaksud sesuatu maslahah yang diperlukan bertujuan untuk memberi kemudahan dan kelonggaran bagi seseorang hamba melaksanakan kewajipan. Sebagai contoh, kemudahan rukhsah dalam ibadat bagi situasi tertentu yang diizinkan syara` seperti kesukaran (masyyaqah) ketika menunaikan sembahyang, puasa, haji dan sebagainya.

Kedua: Qat`iyyah bukan Zanniyah.

Ketiga: Kulliyyah (keseluruhan) bukan Juziyyah (sebahagian)

Menurut Sheikh Abu al-Nur dalam kitabnya “Usul Fiqh” menjelaskan maslahah dalam kategori ini bermaksud sesuatu perkara yang ditetapkan oleh kaedah pembinaan hukum sebagai maslahah dan tidak menimbulkan keraguan. Begitu juga dengan maslahah yang bersifat kulliyyah bermaksud maslahah yang memberi faedah kepada kepentingan awam dan bukannya bersifat individu. Dalam teks perundangan fiqh, contoh yang diberikan bagi kategori kedua dan ketiga seperti apabila orang kafir menjadikan tawanan orang Islam sebagai benteng perisai bagi melindungi diri mereka. Dalam situasi ini, membunuh orang Islam yang diperalatkan oleh tentera musuh sebagai benteng perisai bersifat qati`yah. Ini kerana, jika tentera Islam tidak berbuat demikian sekiranya kemenangan berada di pihak musuh maka lebih ramai lagi umat Islam akan dibunuh. Dalam kes ini memelihara umat Islam dari dibinasakan secara keseluruhannya dikategorikan sebagai maslahah bersifat kulliyyah.

Aliran ketiga pula dipelopori oleh Imam Malik dan satu riwayat dari Imam Shafi`i. Pemakaian teori Masalih al-Mursalah tertakluk kepada beberapa kriteria yang telah ditetapkan. Syarat-syarat yang dipersetujui seperti maslahah tersebut bersifat pasti dan bukannya andaian atau sangkaan (waham). Dalam masa yang sama tidak terdapat mana-mana nas yang membatalkannya. Di samping itu, maslahah yang hendak dilaksanakan tersebut perlu berasaskan kepada kepentingan umum dan bukannya atas dasar individu. Sehubungan dengan itu, maslahah tersebut bersifat rasional dan realistik dan juga boleh berfungsi menghapuskan kemudharatan dan kesukaran yang pasti.

Daripada perbezaan pendapat di atas dapat dirumuskan dua aliran mazhab menyokong pemakaian teori masalih al-mursalah sebagai sumber hukum dalam perundangan Islam meskipun terdapat perbezaan dari aspek syarat-syarat untuk menguatkuasakannya. Apa yang jelas perbezaan ini hanya melibatkan perbezaan pemahaman dan pentafsiran dari segi hirarki keutamaan maslahah. Sebagai contoh, Imam al-Ghazali menerimapakai konsep masalih mursalah pada tahap daruriyyah dan bagi Imam Malik meletakkan pemakaian teori tersebut pada tahap hajiyyah.

Secara keseluruhannya, maslahah bertujuan untuk menghasilkan kebaikan dan menghindarkan keburukan. Dalam membahaskan tentang maslahah ini, sudah semestinya tidak dapat lari dari dikaitkan dengan “`illah” iaitu asas yang digunapakai dalam membuat kesimpulan hukum. Sebagai contoh, inisiatif yang dibuat oleh Sayyidina Abu Bakr mengumpulkan al-Quran. Ia bertujuan untuk menjaga kepentingan awam disebabkan beliau bimbang hilangnya ayat suci dari muka bumi ekoran meningkatnya kematian di kalangan para penghafaz al-Quran di medan perang.

Justeru itu, dalam arus globalisasi pada hari ini, pelbagai masalah kehidupan yang ditimbulkan oleh manusia yang memerlukan jawapan dan penyelesaian dari hukum syara`. Sebagai penyelesaian kepada permaslahan tersebut, teori maslahah merupakan sebahagian daripada instrumen fiqh yang berfungsi membawa kebaikan dan mengelakkan kemudharatan dalam menghurai permasalahan moden yang bersifat global. Bersesuai dengan falsafah syariat yang sentiasa mengalami perubahan dan pembaharuan sebagai manifestasi kepada realiti dan keperluan masyarakat yang semakin kompleks. Meskipun begitu, kecenderungan menggunakan prinsip maslahah dalam menyelesaikan pelbagai persoalan kehidupan manusia mesti dilakukan dengan penuh hati-hati. Kajian dan penyelidikan yang terperinci perlu dilakukan oleh para fuqaha` dalam menerima pakai teori maslahah.

Oleh yang demikian, keunikan yang terdapat pada doktrin maslahah dilihat sebagai medium yang dapat memainkan peranan dalam zaman moden. Sebagai contoh dalam kes bedah siasat. Prosedur ini dilakukan terhadap mayat untuk mencari punca atau sebab kematian. Tambahan lagi jika kematian tersebut dikaitkan dengan kes pembunuhan, keterangan pakar perubatan boleh digunakan sebagai pembelaan pada si mati dan ahli keluarganya untuk mendapat keadilan yang sewajarnya. Pembunuh pula akan dihukum setimpal dengan kesalahan yang dilakukannya. Bahkan menurut perspektif Islam, kesalahan membunuh termasuk dalam kategori jenayah berat dan boleh dikenakan hukuman qisas. Justeru itu, keperluan melakukan bedah siasat ke atas mayat yang meninggal dalam keadaan yang mencurigakan bukan kes kematian biasa merupakan satu maslahah. Secara tidak langsung kaedah bedah siasat ini dapat memberi faedah yang besar kepada masyarakat dalam menegakkan keadilan yang sewajarnya


Termasuk juga kes pendermaan organ bagi manusia yang sudah mati kepada manusia yang masih hidup merupakan satu maslahah. Manfaat ini dilihat kepada keperluan dan kepentingan bagi manusia yang masih hidup dan sangat memerlukan bantuan tersebut. Sehubungan dengan itu, para fuqaha’ telah mengeluarkan fatwa sebagai prosedur asas untuk melaksanakan amalan tersebut. Pendermaan organ bagi kes tersebut boleh dilaksanakan dengan memenuhi empat syarat yang telah ditetapkan.

Pertama, perlu mendapat keizinan dan kebenaran si mati pada masa dia masih hidup. Penderma tersebut mestilah telah mencapai umur baligh, waras dan keizinan tersebut bukannya diperolehi secara paksa. Dalam pada itu, pemindahan organ boleh juga dilakukan jika diizinkan oleh ahli waris selepas kematiannya.

Kedua, hendaklah dibuktikan sekiranya pemindahan organ tersebut dibuat ia dapat membantu menyelamatkan dan memberi faedah yang besar serta tidak mendatangkan kemudharatan kepada penerima organ.

Ketiga, perlu dipastikan bahawa pendermaan atau pemindahan organ tersebut adalah bertujuan untuk kepentingan perubatan dan bukannya atas tujuan lain.

Keempat, tidak berlaku transaksi jual beli dalam pendermaan organ tersebut.

Sumbangan maslahah dalam bidang perubatan banyak membantu menyelesaikan pebagai masalah, contoh persoalan semasa yang berkaitan dengan euthanasia atau dikenali sebagai “mercy killing” dan dalam istilah bahasa Melayu pula “pembunuhan rahmat”. Kes ini berbangkit apabila seorang pesakit telah disahkan oleh pakar perubatan menunjukkan otak pesakit gagal berfungsi sepenuhnya (mati otak) dan berada dalam koma sepanjang hayatnya. Dalam situasi ini, si pesakit bergantung penuh kepada alat bantuan pernafasan yang berfungsi untuk meneruskan kehidupannya. Oleh yang demikian, tanpa menggunakan alat bantuan tersebut menyebabkan aliran darah dan pernafasan akan terhenti. Dalam kes seperti ini, para fuqaha` berselisih pendapat sama ada doktor boleh menghentikan alat bantuan tersebut atau tidak. Alasan kematian yang diguna berasaskan kaedah perubatan telah menunjukkan pesakit tersebut sebagai “mati otak”. Merujuk kepada pandangan yang dikemukakan oleh Profesor Yusof al-Qaradhawi dalam penulisannya “Fatawa Mu`asirah”, beliau membuat ulasan dengan menyatakan bahawa tindakan menghentikan alat bantuan pernafasan dibenarkan oleh Islam. Alasannya perbuatan tersebut merupakan satu maslahah kepada pesakit, keluarga dan pesakit-pesakit lain (otak yang berfungsi) yang sangat memerlukan alat bantuan tersebut untuk meneruskan kehidupan mereka secara normal.

Kesimpulan


Sebagai natijah kepada perbincangan topik ini, syariat islam merupakan agama yang terakhir membawa sinar harapan kepada seluruh manusia dalam membantu mengatur dan menyusun sistem kehidupan yang lebih sempurna. Ketika manusia meneruskan survival kehidupan mereka yang penuh dengan cabaran, doktrin maslahah dilihat sebagai sebahagian daripada alternatif perundangan Islam yang penting untuk berfungsi dalam pentas dunia moden. Realiti ini menjadikan sumber perundangan Islam bersifat synergy dan dinamis dalam menjamin kemaslahatan manusia. Meskipun begitu, dalam menerimapakai doktrin maslahah, para fuqaha’ perlu mengikut hirarki sumber perundangan Islam supaya kepentingan umum yang difahami manusia tidak berlaku kontradiksi dengan sumber asas perundangan Islam. Secara umumnya dapat difahami bahawa doktrin maslahah dapat membantu memperkayakan sumber pembendaharaan fiqh yang sedia ada dalam menjawab pelbagai persoalan semasa kehidupan manusia yang meliputi aspek sosial, ekonomi, politik, perubatan, sains dan teknologi, pertahanan dan sebagainya.

Monday, July 7, 2008

Pemikiran Luhur Asas Kepada Pembentukan Towering Personality


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera. Bertemu lagi dalam siri penulisan seterusnya. Semoga sumbangan kecil ini dapat memberi manfaat kepada pembaca


Pemikran Luhur


Islam sebagai satu ajaran yang sempurna sudah semestinya mempunyai sistem peraturan lengkap yang diciptakan oleh Ilahi untuk diaplikasikan oleh manusia dalam memastikan kelangsungan peradaban insan berjalan dengan sempurna. Menyentuh tentang aspek pembangunan akal manusia lazimnya ia perlu dibangunkan dengan menerimapakai prinsip-prinsip yang digariskan oleh Islam dan relevan dengan kehendak masyarakat dan realiti semasa. Dalam hal ini Prof. Dr. Fazlur Rahman menjelaskan dalam penulisannya bertajuk “Islam dan masalah keadilan ekonomi” menjelaskan sifat normatif yang perlu ada pada aspek pembangunan pemikiran lazimnya berdasarkan kepada kerangka yang ditetapkan oleh al-Quran dan al-Sunnah. Kombinasi pemikiran manusia dengan tuntutan agama akan mempengaruhi tingkah laku manusia ke arah perbuatan yang lebih positif. Melalui pemikiran tersebut terpancarlah nilai-nilai murni dalam diri manusia atau dikenali sebagai sifat mahmudah.

Di samping itu, perbincangan pemikiran luhur juga merangkumi semua prinsip yang terdapat dalam ajaran Islam. Sebagai contoh, pemikiran ini juga meliputi perkara-perkara yang berkaitan aktiviti manusia yang menyentuh tentang elemen akidah, syariah, muamalah dan akhlak serta nilai-nilai terpuji yang lain. Golongan manusia yang berjaya mengaplikasikan semua elemen ini dengan sempurna dalam kehidupan mereka mencapai tahap muslim, mukmin dan muhsin. Di samping itu, manusia yang benar-benar menghayati tuntutan agama akan melahirkan insan yang beriman dan bertaqwa kepada Allah. Nilai-nilai keimanan dan ketaqwaan ini merupakan benteng pertahanan yang dapat mengawal manusia daripada melakukan perkara yang bertentangan dengan ajaran agama. Ini kerana, pada pandangan masyarakat Islam setiap gerak laku manusia akan dinilai dengan seadil-adilnya oleh Allah S.W.T sama ada dengan ganjaran atau balasan. Berasaskan kepada kepercayaan ini, manusia akan lebih berhati-hati dalam berinteraksi sama ada yang melibatkan hubungan dengan Allah, sesama manusia dan juga alam. Individu yang memiliki personaliti unggul bukan sahaja cemerlang dari segi pencapaian ilmu tetapi juga memiliki keperibadian yang baik.

Bagi golongan manusia yang menggunakan akal tetapi tidak bersandarkan kepada landasan teologi mereka sentiasa didorong oleh hawa nafsu dalam melakukan sebarang tindakan. Mereka sanggup melakukan pencerobohan terhadap orang lain, melakukan pembunuhan, penipuan, penyelewengan dan sebagainya. Kelompok manusia tersebut lebih mementingkan faktor kebendaan (profane) dan mereka hanya mengeksploitasi sains dan teknologi untuk kepentingan mereka semata-mata. Sebaliknya, golongan saintis yang beriman kepada Allah S.W.T sentiasa memikirkan bagaimana teknologi tersebut dapat meningkat kualiti hidup masyarakat. Di samping itu, mereka juga menggunakan teknologi tersebut untuk mengkaji misteri khazanah alam bagi membuktikan kekuasaan Allah yang Maha Bijaksana.

Menurut al-Maududi dalam kitabnya “Mabadi’ al-Islam”, beliau menjelaskan bahawa pemikiran manusia yang bertunjangkan akidah akan melahirkan insan yang mempunyai personaliti yang unggul. Mereka tidak mudah berputus asa dalam mencapai sesuatu yang dihajati di dunia ini, disebabkan keyakinan yang tinggi bahawa Allah S.W.T yang Maha berkuasa di atas sekalian makhluk. Jiwa manusia yang sentiasa dibasahi dengan cahaya iman sentiasa dalam keadaan yang aman dan tenang. Menyentuh tentang syariah pula ia merangkumi konsep beribadah kepada Allah, prinsip kenegaraan, kemasyarakatan, sistem mamalah, interaksi manusia sesama makhluk dan ketentuan yang berkaitan dengan persoalan hukum. Dengan kata lain, syariah dapat difahami sebagai peraturan-peraturan keagamaan yang menerangkan sistem perhubungan manusia dengan Allah, sesama manusia dan makhluk Allah yang lain serta merangkumi ibadah bersifat khusus dan umum.

Dalam konteks akhlak pula, pemikiran luhur yang bercitrakan Islam perlu sentiasa dirangsang dengan adab yang terpuji. Hakikatnya, fitrah kejadian manusia begitu sinonim kepada perkara-perkara kebaikan. Menurut pandangan Islam, ajaran ini cenderung menyeru manusia melakukan kebaikan yang tidak bertentangan dengan tabie manusia. Sehubungan dengan itu, doktrin akhlak merangkumi keseluruhan ruang lingkup kehidupan manusia. Citra hati budi masyarakat Islam dapat digambarkan melalui nilai-nilai akhlak yang diamalkan. Bagi masyarakat Islam, Nabi Muhammad S.A.W. merupakan model ikutan yang terbaik untuk dicontohi dari aspek akhlak. Seluruh kehidupan baginda merupakan manifestasi keindahan akhlak yang tiada tolok bandingnya.

Kesimpulan

Justeru itu, pemikiran luhur yang dilatari dengan prinsip Islam akan membentuk satu kerangka pembangunan fikiran yang cenderung untuk melahirkan manusia yang memiliki personaliti unggul. Berasaskan kepada kaedah pemikiran tersebut, masyarakat Islam akan berjaya membentuk masyarakat yang berinovatif, mempunyai daya reka cipta yang tinggi serta berfikiran terbuka. Tegasnya, ajaran Islam tidak menyekat kebebasan manusia untuk menerokai sesuatu bidang disiplin ilmu, bahkan ia sentiasa menyeru manusia berfikir ke arah yang positif. Islam sentiasa memberi dorongan dan motivasi kepada masyarakatnya supaya membudayakan amalan berfikir secara kritis dalam setiap bidang kehidupan agar manusia tidak bersifat statik dan jumud. Kegagalan dan kelesuan masyarakat Islam menggunakan akal fikiran yang sepatutnya berfungsi sebagai inteligensia muslim dalam memperkasakan peradaban Islam akan memberi implikasi yang negatif seperti yang ditegaskan oleh `Abd al-Muta’ali dalam kitabnya “ Al-Nazariyyah al-Islamiyyah fi al-daulah”. Secara tidak langsung fenomena negatif tersebut menyebabkan doktrin taklid membelenggu umat Islam sehingga boleh merugikan dunia Islam. Mentaliti manusia yang bersifat sedemikian akan melahirkan masyarakat Islam yang kaku dan tidak mempunyai keupayaan untuk bersaing dalam gelanggang era globalisasi yang semakin mencabar. Justeru itu, pemikiran manusia yang dicemari dengan nilai-nilai negatif akan mempengaruhi tingkah laku manusia untuk bertindak di luar batasan keagamaan dan bercanggah dengan norma-norma hidup masyarakat.


(-AbuRushd-)

`Ibrah Covid 19. Suluhan Daripada Perspektif Islam

Assalamualaikum dan bertemu lagi. sudah lama saya tidak menjengok ke blogni. Harini rasa bersemangat semula untuk melihat blog yang sudah se...