Sunday, April 20, 2008

Mengenali Diri


Assalamualaikum


Bertemu lagi dalam ruangan penawar hati. Topik perbincangan pada kali ini ialah kupasan berkaitan mengenali diri. Sebagai manusia yang diutuskan atas muka bumi ini kadang-kadang kita terlupa misi kita sebagai hamba Allah untuk memakmurkan alam ini dalam melangsungkan kemaslahatan manusia dan alam sejagat. Kealpaan ini barangkali disebabkan oleh sifat manusia yang suka memberontak atau disebabkan oleh terpedaya dengan tipu daya dunia. Refleksi sifat negatif yang ada dalam diri manusia perlu diimbangi dengan imunisasi yang bersumberkan perubatan rohani sperti yang termaktub dalam al-Quran dan al-Sunnah. Ironinya, pedoman dari sumber wahyu tersebut sahaja yang dapat menyelamatkan jiwa manusia dari tenggelam dalam lautan kesesatan yang memusnahkan kehidupan insan.


Dalam al-Quran, Allah S.W.T berfirman yang bermaksud “Dan sesungguhnya Kami telah mengulangi bagi manusia dalam al-Quran ini pelbagai perumpamaan. Dan manusia adalah makhluk yang paling banyak bantah (al-kahfi: 54).


Manusia juga mempunyai banyak kelemahan, sekiranya kekosongan dan kekurangan ini tidak diisi dengan cahaya keimanan dan ketaqwaan kepada Allah nescaya ia akan mengundang manusia ke lembah kebinasaan dan kerugian bukan sahaja di dunia bahkan berkesinambungan di alam akhirat. Sifat kekurangan dalam diri manusia dinyatakan dalam teks al-Quran yang bermaksud" “Sesungguhnya manusia itu dijadikan bertabiat resah gelisah (kedekut). Apabila ia ditimpa kesusahan, ia sangat resah gelisah. Dan apabila ia beroleh kesenangan , ia sangat bakhil dan kedekut.” (al-Ma`arij: 19,20 dan 21).


Oleh yang demikian, marilah sama-sama kita renung dan berfikir sejenak tentang objektif kita diutuskan atas muka bumi ini. Manusia hanyalah hamba kepada Allah yang Maha Berkuasa. Sekiranya kita merenung dengan mata hati dan mentaddabur dengan menggunakan akal yang dianugerahkan oleh Allah, kita akan dapat menemui dan mengungkapi rahsia kejadian manusia, apa tujuan kita di atas muka bumi, apa yang menjadi keutamaan untuk kita kecapi dan apakah persiapan yang perlu dilakukan oleh kita.

Bagi memastikan kita sentiasa di landasan yang betul, wawasan, misi, objektif, niat, strategi dan operasi dalam setiap lapangan keperluan hidup perlu dipastikan kesahihan, benar dan mematuhi segala aspek perundangan Islam. Tidak ada kompromi, manipulasi, keingkaran dan penafian dari segi yang wajib, sunat, harus, halal, haram dan makruh; yang halal adalah jelas dan yang haram juga jelas. Prinsip yang terdapat dalam syara’ bersifat rigid namun masih lagi terdapat ruang fleksibiliti yang dibenarkan dari sudut pengaplikasian.


Justeru itu, apabila kita menginsafi hakikat kejadian manusia insyallah akan terbukalah pintu hati kita untuk melakukan apa yang terbaik atas kapasiti sebagai khalifatul ard. Akhir kata, marilah sama kita berdoa kepada Allah semoga kita dirahmati dan diberkati setiap amalan perkerjaan yang kita lakukan. Sentiasalah memohon keampunan kepada Allah di atas kesilapan yang sengaja atau sebaliknya yang dilakukan oleh kita. Sesungguhnya Allah itu Maha Pengampun atas segala dosa yang dilakukan oleh hamba-Nya. Janganlah kita berputus harapan mengharapkan rahmat Allah disebabkan ujian kehidupan yang berlaku ke atas diri kita. Allah sentiasa bersama kita pada bila-bila masa dan waktu sama ada dalam situasi kita gembira, duka, sedih dan sebagainya. (Abu Rushd)

No comments:

`Ibrah Covid 19. Suluhan Daripada Perspektif Islam

Assalamualaikum dan bertemu lagi. sudah lama saya tidak menjengok ke blogni. Harini rasa bersemangat semula untuk melihat blog yang sudah se...