Tuesday, April 15, 2008

Konsep Insan Menurut Worldview Islam

Konsep Insan

Islam sebagai ad-din yang ditaja oleh Allah bersifat universal merupakan sistem tatacara hidup yang sempurna dan komprehensif. Ajarannya yang fleksibel dan bersesuaian dengan fitrah kejadian manusia untuk membentuk peradaban manusia dinamik. Bagi membentuk acuan manusia sebagai khalifah Allah, maka manusia perlu mengikut garis panduan yang termaktub dalam al-Quran dan al-Sunnah. Menurut Wahbah al-Zuhayli dalam penulisannya “Al-Quran Perlaksanaan Hukum dan Peradaban Manusia” menjelaskan fungsi al-Quran dan al-Sunnah sebagai sumber pembentukan syariat (tasyri`) bagi umat Islam. Kedua-dua sumber yang berautoriti ini merupakan prinsip asas yang penting yang sama sekali tidak boleh diabaikan oleh manusia. Lantaran itu, sekiranya tuntutan ini diabaikan maka hilanglah fungsi manusia sebagai utusan Allah ke atas muka bumi ini.

Agama Islam mempunyai persepsi yang tersendiri dalam membincangkan konsep al-insan. Al-Quran sebagai indikator utama bagi umat Islam mendefinisikan insan sebagai manusia. Bagi membezakan taraf dan darjat manusia dengan makhluk lain, manusia dianugerahkan akal. Pemberian yang sangat berharga ini kepada manusia menyebabkan manusia dinaikkan taraf dan sebagai makhluk yang teristimewa disisi tuhan. Meskipun begitu, sekiranya akal yang dinugerahkan oleh Allah disalahgunakan oleh manusia ia merosakkan fungsi sebagai sehingga taraf manusia ini disamakan seperti haiwan.
Dalam al-Quran, perkataan al-insan disebut sebanyak 65 kali. Dalam al-Quran terdapat surah “al-Insan” yang ditafsirkan sebagai manusia. Bahkan wahyu yang pertama diturunkan kepada Rasulullah iaitu surah “al-`Alaq” perkataan insan disebut sebanyak 3 kali. Semua perkataan insan dalam surah “`al-Alaq” didefinisikan sebagai manusia. Berdasarkan kepada peruntukan ayat al-Quran menunjukkan pengertian insan secara literalnya difokuskan kepada manusia.

Begitu juga al-Quran menjelaskan proses pembentukan kejadian manusia. Berhubung dengan penciptaan manusia, Allah berfirman bermaksud:

“Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari suatu saripati (berasal) dari tanah. Kemudian Kami jadikan saripati itu air mani (yang disimpan) dalam tempat yang kukuh (rahim). Kemudian air mani itu Kami jadikan segumpal daging dan segumpal daging itu Kami jadikan tulang belulang. Kemudian tulang-tulang itu kami balut dengan daging. Sesudah itu, Kami jadikan ia makhluk yang (berbentuk) lain. Maka Maha sucilah Allah Pencipta yang paling baik.”
(surah al-Mukminun: 12-14)

Berdasarkan ayat di atas al-Quran menjelaskan secara ilmiah proses kejadian manusia yang bermula dari proses percampuran benih (air mani) kemudian berlaku proses biologi sehinggalah membentuk lembaga manusia. Semua proses fisiologi ini mengikut prosedur yang telah ditetapkan oleh Allah (sunnah al-Allah) yang diluar kemampuan manusia. Pelbagai ilmu dan pengajaran yang ditunjukkan oleh al-Quran kepada manusia.

Jika diteliti proses kejadian manusia, secara umumnya, al-Quran menjelaskan proses kejadian manusia itu mempunyai tahap yang berbeza. Kejadian makhluk pertama yang diciptakan Alah iaitu Nabi Adam a.s diciptakan berasaskan unsur tanah. Manakala penciptaan manusia selain daripada Nabi Adam terbentuk melalui proses biologi seperti yang dikaji melalui pembelajaran sains. Proses penciptaan manusia merupakan sesuatu perkara yang unik dan menakjubkan. Proses kejadian ini membuktikan kepada manusia bahawa kebesaran Allah merupakan Pencipta yang Maha Bijaksana, Tuhan sekalian alam.

Menurut ulama tradisi, al-Syaibani merumuskan aspek insan kepada tiga elemen penting. Pertama, insan diciptakan dari segumpal darah “al-Alaq” berasaskan kepada firman Allah s.w.t yang bermaksud:

“Dia menciptakan manusia dari segumpal darah”
(al-Alaq : 2)

Kedua, insan mempunyai daya dan kecenderungan untuk berilmu. Fakta ini bersandarkan kepada ayat al-Quran yang pertama sekali diturunkan dengan “Iqra’”. Berpegang kepada konsep Iqra’ menunjukkan secara semulajadi (natural), fitrah manusia dahagakan ilmu pengetahuan. Begitu juga dalam surah al-`Alaq, Allah s.w.t berfirman yang bermaksud:


“Dia mengajarkan kepada manusia apa yang tidak diketahuinya”
(al-Alaq: 5)

Ketiga, insan boleh menjadi diktator apabila ia bersifat sombong dan merasa tidak perlu lagi dengan pencipta-Nya atau menurut ajaran Ilahi. Kenyataan ini digambarkan oleh Allah s.w.t dalam firmannya yang bermaksud:

“Ketahuilah! Sesungguhnya manusia melampaui batas”
(al-Alaq: 6)

Begitu juga dalam ayat yang lain Allah s.w.t berfirman yang bermaksud:

“Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari setetes mani yang bercampur yang Kami hendak mengujinya (dengan perintah dan larangan), kerana itu Kami jadikan dia mendengar dan melihat. Sesungguhnya Kami telah menunjukinya jalan yang lurus; ada yang bersyukur dan ada pula yang kafir”.
(al-Insan: 2,3)


Perkataan insan apabila dilihat dari aspek disiplin pengajian mantik diistilahkan sebagai haiwan yang berkeupayaan berkata-kata dan mempunyai keupayaan daya berfikir “al-insan hayawan an-natiq”. Menurut Syed Naquib al-Attas dalam pengkajiannya tentang konsep insan, beliau berpendapat “Man has two souls (nafsan) analogous to his dual nature: the higher, rational souls (al-nafs al-natiqah); and the lower, animal souls (al-nafs al-hayawaniah)”. Berdasarkan pendapat beliau dapat dirumuskan jiwa manusia itu diklasifikasikan kepada dua bahagian, pertama jiwa yang rasional bagi manusia yang menggunakan akal dan jiwa kebinatangan bagi manusia yang membelakangi peranan akal.

Berdasarkan sifat dan kecenderungan yang ada pada insan dapat dirumuskan manusia mempunyai potensi ke arah kebaikan dan kebatilan. Ini kerana, setiap jiwa insan yang hidup mempunyai nafsu yang boleh membentuk peribadi manusia sama ada bersifat kebaikan atau kejahatan. Gambaran ini dijelaskan oleh Allah s.w.t tentang umat yang ditimpa dengan azab dan kemuliaan yang dianugerahkan oleh Allah kepada orang yang berjiwa tenang. Firman Allah s.w.t yang bermaksud :

“Dan pada hari itu diperlihatkan neraka Jahannam; dan pada hari itu ingatlah manusia akan tetapi tidak berguna lagi mengingatkan itu baginya. Dia mengatakan: “Alangkah baiknya kiranya aku dahulu mengerjakan (amal saleh) untuk hidupku ini”. Maka pada hari itu tiada sesiapapun yang dapat mengikat sera membelenggu seperti ikatan dan belenggu-Nya. “Wahai orang yang mempunyai jiwa yang sentiasa tenang tetap dengan kepercayaan dan bawaan baiknya!. “Kembalilah kepada Tuhanmu dengan keadaan engkau berpuas hati (dengan segala nikmat yang diberikan), lagi diredhai (disisi Tuhanmu)!. “Serta masuklah engkau dalam kumpulan hamba-hambaku yang berbahagia. “Dan masuklah ke dalam Syurga-Ku!”
(al-Fajr: 23,24,25,26,27,28, 29 dan 30).
Pada akhir surah al-Fajr al-Quran menjelaskan manusia diklasifikasikan kepada dua golongan iaitu ahli syurga dan ahli neraka. Mekanisme pembalasan ke atas manusia pada hari kiamat dinilai berdasarkan merit amalan dan perbuatan yang dilakukan semasa hidup di dunia.

Di samping itu, secara fitrahnya manusia bersifat pelupa “nisyan”. Secara prinsipnya manusia yang bergelar insan mengikat janji dengan Allah untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai hamba. Namun begitu, apabila lahir di dunia, manusia bersikap alpa terhadap misi dan visi dia diutuskan di muka bumi. Al-Quran menjelaskan impak yang bakal diterima oleh manusia yang tidak mengindahkan peringatan-peringatan Allah s.w.t. Firman Allah s.w.t yang bermaksud:

“Dan sesungguhnya Kami telah mengulangi bagi manusia dalam al-Quran ini pelbagai perumpamaan. Dan manusia adalah makhluk yang paling banyak bantah.”
(al-Kahfi:54)

Manusia yang bergelar insan juga mempunyai beberapa kelemahan dan kekurangan lain bersesuaian dengan fitrahnya. Manusia diselubungi dengan keluh-kesah apabila ditimpa kesusahan, dan tidak tahan apabila diuji dengan kesenangan dan menjadi bakhil bila mendapat kebaikan. Gambaran ini dijelaskan dalam firman Allah s.w.t yang bermaksud:

“Sesungguhnya manusia itu dijadikan bertabiat resah gelisah (kedekut). Apabila ia ditimpa kesusahan, ia sangat resah gelisah. Dan apabila ia beroleh kesenangan , ia sangat bakhil dan kedekut.”
(al-Ma`arij: 19,20 dan 21)

Meskipun begitu, kecacatan dan kelemahan dapat diatasi sekiranya manusia itu dibajai dengan keimanan yang hakiki kepada Allah dan Rasul. Ajaran Islam yang ditaja oleh Allah bersifat penawar dan penyembuh bagi seluruh umat manusia. Manusia juga bersifat melupai nikmat Allah apabali berada dalam keadaan yang senang dan selesa dan mengingati Tuhan apabila ditimpa kesusahan. Sebagaimana firman Allah s.w.t yang bermaksud:

“Dan apabila manusia itu disentuh dengan oleh sesuatu bahaya, ia segera berdoa kepada Tuhannya dengan rujuk kembali bertaubat kepada-Nya; kemudian apabila Allah memberikannya sesuatu nikmat (sebagai kurnia) daripada-Nya, lupalah ia dari segala merbahaya yang menyebabkannya merayu kepada Allah sebelum itu, dan ia pula menjadikan menjadikan sekutu-sekutu bagi Allah untuk menyesatkan dirinya (dan orang lain) dari Jalan Allah. Katakanlah (kepadanya) : “Bersenang-senanglah engkau dengan kekufuranmu itu bagi sementara, sesungguhnya engkau dari penduduk Neraka.”
(az-Zumar : 8)



Sehubungan dengan itu, Sayyidina Ali pernah menegaskan bahawa perbezaan individu menjadi asas survival dalam entiti masyarakat. Beliau menambah lagi, manusia itu akan sentiasa berada dalam persekitaran kebaikan (selamat) selagi ia berbeza. Jika mereka bersifat sama (dalam semua perkara) maka binasalah mereka. Keupayaan yang ada pada manusia berbeza membolehkan manusia dapat mengembangkan potensi keperibadian mereka secara konstruktif ke arah yang lebih produktif. Menurut Mohd Idris Jauzi dalam kertas kerjanya “konsep Insan”, beliau menjelaskan seorang sarjana muslim iaitu Iqbal mempunyai pandangan yang tersendiri tentang potensi yang ada pada insan. Menurut Iqbal (selfhood, individuality) “is a real and preeminently significant entity which is the centre and basis of the entire organization of human life”.

Daripada sekelumit contoh di atas ia adalah merupakan sebahagian daripada beberapa contoh berkenaan persepsi al-Quran terhadap konsep insan. Ringkasnya manusia merupakan makhluk ciptaan Allah yang terbaik. Manusia dilengkapi dengan dua unsur penting iaitu jiwa rohani dan jiwa jasmani bagi memenuhi keperluan tabienya. Oleh yang demikian, manusia mempunyai daya potensi secara alternatif sama ada memilih ke arah kebaikan atau ke arah kemungkaran yang boleh membinasakan manusia. Islam telah memberi garis panduan yang jelas kepada manusia ke arah kesejahteraan kehidupan di dunia dan di akhirat. Manusia dianugerahkan akal dan daya pilihan melakukan sesuatu perkara berasaskan pedoman daripada wahyu yang dapat melahirkan insan yang seimbang dari aspek fizikal, spiritual dan intelektual. (Abu Rushd)

No comments:

`Ibrah Covid 19. Suluhan Daripada Perspektif Islam

Assalamualaikum dan bertemu lagi. sudah lama saya tidak menjengok ke blogni. Harini rasa bersemangat semula untuk melihat blog yang sudah se...