Monday, January 19, 2009

Institusi Pondok & Sumbangannya Terhadap Ketamadunan Melayu


Bismillahirrahmanirrahim


Assalamualaikum & Salam Sejahtera


Bertemu lagi dalam ruangan blog. Rasanya sudah lama saya tidak memasukkan artikel penulisan yang baru. Untuk kali ini saya akan berkongsi tentang hal ehwal pendidikan. Semoga membawa manfaat kepada sesiapa yang berhajat kepadanya. TQ


Pengenalan


Sistem pengajian pondok pada peringkat awalnya merupakan antara institusi pengajian Islam yang bersifat tidak formal dan mempunyai pengaruh yang besar dalam kalangan masyarakat Melayu. Sistem pengajian pondok mula berkembang sejak abad ke-18 Masehi hingga ke abad 20 Masehi. Perkembangan institusi ini serentak dengan kedatangan Islam. Ajaran Islam membawa bersamanya ilmu pengetahuan dan kemajuan. Ia berkembang pada peringkat awalnya melalui rumah, istana, masjid dan surau. Tidak dinafikan institusi pengajian pondok yang tumbuh di Tanah Melayu telah memberi implikasi yang positif dalam memperkayakan nilai-nilai kebudayaan Melayu. Proses evolusi yang dilalui oleh institusi kecil yang berasingan ini kemudiannya lahirlah suatu institusi yang lebih besar da diterima umum, lebih formal dan bersifat menyeluruh serta komprehensif. Ia berpusat di sebuah kawasan yang merangkumi masjid atau surau dan rumah tuan guru yang dikelilingi pula oleh rumah-rumah kecil sebagai tempat tinggal pelajar.

Semua komponen ini biasanya di Tanah Melayu dikenali sebagai pondok, manakala di Indonesia dikenali dengan nama pesantren. Institusi-institusi inilah yang telah menjadi tempat belajar dan penginapan di samping peranan utamanya untuk menyebarkan pengetahuan agama. Pondok tidak hanya memfokuskan orientasinya kepada fardhu ain sahaja, bahkan juga mengajar ilmu-ilmu yang lain yang dikategorikan dalam fardu kifayah. Umumnya antara pondok dengan pondok yang lain terdapat perbezaan dari segi pengkhususannya. Pada peringkat awal, sistem pengajian pondok tidak mempunyai kurikulum yang sistematik, tidak ada jangka masa yang tertentu dan tidak ada sistem ujian secara bertulis. Pendidikannya dijalankan oleh seorang ulama (tuk guru) mengajarkan ilmu agama Islam kepada tuk pake (para pelajar) yang mengelilinginya. Kaedah ini dikatakan berasal dari Masjid al-Haram, Makkah. Insititusi pengajian pondok juga turut terlibat dalam aktiviti kemasyarakatan setempat.


Keistimewaan dan keunikan pondok disebabkan para pelajar dapat mempelajari ilmu secara talaqqi dengan individu yang mempunyai kepakaran dalam bidang keagamaan atau dikenali sebagai tuan guru. Sepanjang tempoh pengajiannya, anak-anak murid tersebut akan dipantau dari segi tingkahlaku, pendidikan, dan kebajikan oleh tuan guru tersebut. Lazimnya, anak-anak murid lepasan pondok mendapat pengiktirafan daripada masyarakat tempatan dan diterima sebagai pemimpin dalam hal ehwal keagamaan.

Sumbangan Institusi Pondok Kepada Masyarakat Melayu

1. Memperkenalkan Tulisan Arab dan Tulisan Jawi

Dalam menyampaikan ilmu pengetahuan Islam, khususnya pengajian al-Quran dan asas-asas agama yang lain, institusi pondok pada peringkat awalnya, memperkenalkan tulisan Arab dan tulisan Jawi bagi memudahkan dan membetulkan pembacaan al-Quran. Institusi tersebut telah memperkenalkan pembacaan al-Quran yang betul dan mempelajari bahasanya melalui tulisan Jawi bagi memudahkan orang Melayu melafazkan perkataan Arab yang ganjil bunyinya. Sememangnya sebelum kedatangan Islam, bahasa Melayu sudahpun memiliki sistem tulisannya sendiri, iaitu tulisan Palava yang menjadi tulisan perantaraan.


Bunyi dan sebutan huruf tersebut mempengaruhi alat-alat artikulasi penduduk-penduduk yang berbeza daripada fonetik Arab. Situasi yang baru ini menyulitkan mereka untuk menyebut dan membunyikan kalimah Arab berdasarkan kaedah linguistik, khususnya dalam pembacan al-Quran. Walaupun sejak zaman awal penjajahan Barat, huruf Rumi diperkenalkan, tetapi penggunannya amat sukar dalam meyebut dan membunyikan sesetengah perkataan Arab dengan tepat dan betul. Bagi mengatasi kesulitan itu, ulama-ulama dan mubaligh Islam, khususnya institusi pondok telah memperkenalkan huruf jawi yang berasaskan huruf Arab campuran Parsi bagi memudahkan pembacaan al-Quran dan kitab-kitab agama. Menurut Syed Muhammad Naquib al-Attas:
“Kedatangan Islam telah membawa bersama tulisan Arab yang dijadikan tulisan Melayu, mempunyai tambahan beberapa huruf istimewa bagi bahasa itu dari bahasa Parsi dan Barbar. Nampaknya tulisan Jawi inilah yang mengikat perpaduan satu bahasa meliputi seluruh golongan bangsa Melayu”.


Ada di antara institusi pondok di Tanah Melayu menjadikan pengajian jawi sebagai satu dari mata pelajaran dalam kurikulumnya dan ada pula yang semata-mata memberi penekanan pembelajarannya secara sampingan menerusi kitab-kitab Jawi dalam mata pelajaran Usuluddin, Fiqh, Tasawuf dan lain-lain di samping kitab Arab. Tindakan ini mempengaruhi perkembangan huruf Jawi dan penggunannya dalam media perhubungan masyarakat. Realitinya, pada ketika itu segala urusan perhubungan sama ada dari segi pembacan umum, maklumat bertulis, surat perjanjian arahan dan perintah adalah ditulis dengan menggunakan huruf Jawi. Sehinggalah ke hari ini, tulisan jawi memainkan peranan penting dalam pendidikan, khususnya dalam mata pelajaran Pendidikan Islam. Ini terbukti apabila buku-buku teks pendidikan Islam ditulis menggunakan tulisan jawi. Bagi mempertahankan identiti serta kesucian al-Quran, Majlis Fatwa Kebangsaan telah mengharamkan penulisan al-Quran menerusi huruf rumi.


2. Menyemarakkan Semangat Jiwa Merdeka dan Intelektualisme

Menerusi kegiatan agama Islam, institusi tersebut telah mencetuskan semangat jiwa merdeka dan intelektualisme bukan sahaja dalam kalangan rakyat bahkan dapat mempengaruhi pemikiran golongan atasan. Jika dahulu raja-raja, kaum bangsawan dan rakyat jelata menggemari hiburan yang melalaikan, diulit cerita dongeng yang bersifat khayalan namun kini mereka giat menganjurkan penulisan, perdebatan, dan pengajian ilmu pengetahuan seperti ilmu-ilmu sejarah, tasawuf dan falsafah Islam. Sebelum kehadiran Islam mereka mempercayai pelbagai kepercayaan khurafat dan amalan bid`ah yang tidak diterima akal dan bertentangan dengan tuntutan al-Quran dan al-Sunnah, kini sikap negatif tersebut telah dapat dikikis sedikit demi sedikit digantikan dengan kebudayaan yang berteraskan syariat Islam.

Semangat jiwa merdeka ini dapat dilihat daripada pengajaran agama Islam yang menekankan elemen ketauhidan kepada Allah S.W.T. Melalui pentarbiahan kepada order tauhid ini masyarakat Melayu Islam sedar jiwa dan mentaliti mereka perlu bebas daripada dijajah oleh kuasa manusia ataupun ideologi sesat ciptaan manusia. Hanya manusia yang bersifat sedemikian sahaja akan berjaya membangunkan peradaban insan menurut kerangka Islam. Mereka tidak mudah tunduk kepada golongan manusia yang berhasrat menyesatkan pegangan agama dan merosakkan nilai-nilai yang luhur. Dalam korpus sejarah masyarakat Melayu, order tauhid inilah yang membebaskan jiwa umat Melayu dengan memperbetulkan persepsi raja-raja berasal dari alam kedewaan (konsep devaraja) kepada konsep khalaifatulard. Melalui kefahaman konsep ini manusia menginsafi bahawa fungsinya sebagai hamba Allah dan perlu mengabdikan secara mutlak kepada Allah S.W.T. Umat Melayu yang telah dididik dengan orientasi tauhid ini telah melahirkan bangsa Melayu yang kuat daya juangnya. Pengalaman ini dapat dilihat daripada tokoh-tokoh Melayu yang bangun menentang penjajah seperti Syeikh Nuruddin al-Raniri (1658M), Tuan Guru Hj. Wan Shaghir (1879M), Tok Kenali (1933), Tuan Guru Tuan Hussain Muhammad Nasir al-Mas'udi al-Banjari (1936) dan tokoh-tokoh tersohor yang lain.

Di samping itu, pembentukan kurikulum di institusi pondok pada dasarnya, sama dengan kurikulum di institusi tradisional Islam pada zaman Khulafa’ al-Rasyidin, kerajaan Bani Umaiyah dan Abbasiyah juga kerajaan-kerajaan Islam kemudiannya. Secara keseluruhannya pada zaman tersebut, pelajaran al-Quran dijadikan mata pelajaran asas di samping bahasa dan kesusasteraan Arab juga mata pelajaran-mata pelajaran lain seperti Tafsir, Hadith, Tauhid, Fiqh, Tasawuf atau Akhlak juga lain-lain. Struktur kurikulum, ketokohan pengajar serta perkaedahan yang sedemikian rupa telah berjaya melahirkan generasi intelegensia Muslim yang unggul serta barisan ulama yang sanggup berkorban demi kepentingan agama dan negara.

Terdapat lulusan pondok di Tanah Melayu yang menjadi pegawai tadbir Majlis Hal Ehwal Agama Islam Negeri. Antaranya seperti Haji Wan Sulaiman Wan Sidik, Syeikh Ismail Haji Salleh (Pondok Pulau Pisang), Syeikh Mahmud bin Noh (Pondok Kulim) dan Haji Abdul Rahman bin Latif (Pondok Kubang Bongor). Begitu juga terdapat beberapa orang bekas pelajarnya yang melibatkan diri dalam politik tanah air seperti Dr Burhanuddin bin Haji Muhammad Nor yang mendapat pendidikan awal di Pondok Pulau Pisang, Jitra, Kedah .dan Haji Hussein bin Haji Ismail Dol yang mendapat pendidikan awal di Pondok Gajah Mati, Pendang, Kedah dan kemudiannya melanjutkan pelajaran ke Patani dan akhirnya ke Makkah.

3. Mempengaruhi Kepercayaan Akidah Masyarakat Melayu


Umumnya, mentaliti masyarakat Melayu nusantara sebelum kedatangan Islam dipengaruhi oleh unsur paganisme atau animisme. Dalam fasa ini pandangan alam Melayu dipenuhi dengan semangat dan dewa dewi yang mengerakkan kosmos mitos animistik. Elemen jampi mentera dan amalan-amalan ritual yang merupakan himpunan komunikasi budaya Melayu dipengaruhi oleh aliran keagamaan hindu dan budha. Sistem agama dan kepercayaan masyarakat melayu tradisional diadaptasikan melalui kefahaman manusia tentang alam sekeliling dan kuasa alam semesta. Hubungan interaksi manusia dengan alam perlu dipelihara bagi mengelakkan sebarang bentuk ancaman atau malapetaka akan menimpa mereka. Di samping itu, penghormatan dan upacara-upacara tertentu dijalankan dari semasa-semasa bertujuan untuk mengekalkan kesejahteraan, diberi perlindungan terhadap diri, keluarga, hasil tanaman, ternakan dan sebagainya. Oleh yang demikian masyarakat pada ketika itu mempercayai unsur semangat atau kuasa asing yang mempengaruhi setiap fenomena alam yang berlaku.


Apabila Islam disebarkan di Kepulauan Tanah Melayu, aliran ini mengemukakan doktrin metafizik dan kosmologi yang amat berbeza sekali dengan Hindu dan Budha. Falsafah Islam berteraskan doktrin Tauhid menekankan konsep “al-uluhiyyah” dan “al-rubbubiyyah”. Konsep tauhid memfokuskan kepada hakikat ketuhanan, penghambaan dan pengabdian dan hubungan antara hamba dan penciptanya yang bersumberkan perlembagaan al-Quran dan al-Sunnah. Kepercayaan yang bertentangan dengan aqidah Islam adalah ditolak dan dikategorikan sebagai syirik.


Sehubungan dengan itu, apabila institusi pondok mula diperkenalkan di Tanah Melayu, secara tidak langsung ia banyak mempengaruhi mentaliti pegangan dan kepercayaan penduduk di nusantara. Ini kerana golongan intelektual yang berpendidikan agama timur tengah memainkan peranan penting dalam usaha memartabatkan syiar Islam di nusantara. Ramai dalam kalangan ilmuan agama ini telah mengasaskan pondok-pondok di tempat masing-masing. Golongan ulama gigih dalam mengembangkan dakwah dan mengikis kepercayaan khurafat dalam kalangan rakyat. Di samping berdakwah, para alim ulama’ juga banyak menghasilkan penulisan kitab bagi menjelaskan konsep akidah yang benar di sisi syara`.


Sebagai contoh, ilmuan agama yang terkenal di Kelantan Haji Yaakub Gajah Mati (1895-1957) telah mengarang kitab yang berkaitan dengan akidah “Cenderamataku”. Kitab ini mengandungi wirid-wirid al-Musabba `at al-Asyarah dan wirid-wirid yang dibaca oleh Nabi Muhammad s.a.w. Keistimewaan kitab ini, ia mengandungi ringkasan akidah tauhid yang memberi penjelasan yang mudah dan terang tentang konsep tauhid. Secara tidak langsung karya yang dihasilkan ini merupakan sebahagian daripada perbendaharaan kitab yang dihasilkan oleh ulama’ nusantara dalam memperkayakan bahan bacaan dan rujukan masyarakat Melayu. Sumbangan golongan ulama dalam dunia penulisan agama amat besar faedahnya kepada masyarakat Islam dalam memberi kefahaman dan memurnikan pegangan akidah yang banyak dipengaruhi oleh kepercayaan khurafat yang boleh merosakkan kemurnian Islam.


Justeru itu, menjadi tanggungjawab guru dan pelajar pondok memainkan peranan penting dalam memartabatkan keluhuran akidah dan kepercayaan masyarakat Islam setempat. Banyak tinggalan kitab-kitab yang dihasilkan oleh ulama’ silam dalam meninggikan syiar Islam di Tanah Melayu. Sebagai contoh kitab “Bakuratal-Amani” karangan Ahmad Fathy al-Fatani, merupakan seorang yang ahli dalam bidang Usuluddin. Kitab ini dikarang bertujuan untuk membuat sedikit penambahbaikan untuk memudahkan kefahaman masyarakat tentang ilmu Usuluddin yang dikatakan rumit pada ketika itu. Keperluan kitab yang menjelaskan tentang aqidah sangat penting pada ketika itu disebabkan pegangan masyarakat tentang kepercayaan ketuhanan masih longgar dan memerlukan bimbingan serta tunjuk ajar dari golongan yang bergelar ulama’. Usaha yang gigih dan dedikasi yang ditunjukkan olek ilmuan agama silam sedikit sebanyak dapat mempengaruhi sistem agama dan kepercayaan masyarakat Islam di Tanah Melayu dalam memurnikan pemahaman syariat Islam. Tranformasi aqidah yang dilakukan oleh para ilmuan silam di alam Melayu telah mengubah mentaliti pemikiran ke arah pemikiran yang sihat dan positif.

4. Menyemai Nilai-Nilai Luhur Berteraskan Akhlak

Kedatangan Barat ke rantau ini juga telah memperkukuh lagi budaya kebendaan dan budaya negatif yang lain. Mereka bukan sahaja berjaya memisahkan tanggapan terhadap dunia dan akhirat dalam fahaman sekularisme, yang akhirnya membawa kepada perubahan tanggapan dan budaya. Pengaruh budaya yang mengutamakan kebendaan dan hedonistik tanpa mengambil kira aspek kerohanian menjadikan masyarakat Melayu diresapi dengan pengaruh materialistik dan kemuflisan moral. Apabila jiwa manusia dikuasai oleh pengaruh hawa nafsu sudah tentulah manusia tersebut bertindak di luar batasan agama dan norma hidup murni masyarakat. Akibatnya golongan manusia tersebut cenderung melakukan kebatilan dan akhirnya boleh merosakkan institusi masyarakat amnya. Dalam menangani permasalahan ini, golongan pendidikan pondok tidak henti-henti meniupkan semangat beragama dan mengutamakan nilai-nilai akhlak dalam kehidupan. Meskipun golongan ulama’ pondok tidak berjaya menangani penyakit masyarakat secara sepenuhnya, tetapi sebahagian dari kejayaannya usha yang dilakukan masih jelas kelihatan hingga kini. Ramai juga guru-guru pondok mengarang kitab-kitab yang berkaitan akhlak, seperti kitab Nur Zalam karangan Yaaku bin Ismail, kitab al-Qaul al-Mufid la Faidatu al-Mustafid dan kitab Adab Pergaulan karangan Abu Abd al- Aziz Muhammad bin Idris al-Shafie dan lain-lain lagi.


Kesimpulan


Institusi pondok telah diiktiraf sebagai institusi tradisional Melayu berbentuk formal yang memberi sumbangan positif kepada dunia Melayu. Institusi tersebut telah berjaya meneruskan kelangsungan tradisi pengajian al-Quran dan al-Sunnah serta asas-asas ilmu agama secara sanad yang lazimnya berlangsung masjid dan surau dalam kawasan pondok berkenan. Hasilnya penyebaran ilmu melalui medium institusi pondok secara impisitnya dapat membasmi segala bentuk kejahilan dan khurafat yang bertentangan dengan ajaran Islam di samping menyekat pengaruh kebudayaan tidak bermoral yang sentiasa mempengaruhi pemikiran dan kebudayaan penduduk Melayu di rantau ini. Institusi pondok yang bersifat tradisi ini perlulah dikekalkan agar ianya menjadi sebagai sebahagian daripada mekanisme yang dapat menyumbang kepada kefahaman dan kelangsungan pengajian agama Islam di tanah Melayu. Di samping sistem pengajarannya perlu diasimilasikan dengan metod pengajaran moden supaya ia dapat memenuhi dan meyelesaikan permasalahan semasa yang dihadapi oleh masyarakat pada hari ini. Melalui institusi inilah, golongan yang berminat untuk mendalami disiplin ilmu agama (tafaqquh fi al-din) dapat mempelajarinya dengan lebih sistematik dan terperinci. Natijahnya, institusi pondok ini masih lagi relevan dalam membantu untuk meningkatkan kebudayaan luhur umat Melayu.

`Ibrah Covid 19. Suluhan Daripada Perspektif Islam

Assalamualaikum dan bertemu lagi. sudah lama saya tidak menjengok ke blogni. Harini rasa bersemangat semula untuk melihat blog yang sudah se...