Tuesday, March 3, 2009

Usahawan Berilmu


Bismillahirrahmanirrahim


Assalamulaikum dan Salam Sejahtera


Bertemu lagi dalam ruangan ini, pada kali ini saya ingin berkonsi artikel dengan anda berkaitan dengan topik keusahawanan yang memfokuskan aspek ilmu. Semoga mendapat manfaat darinya.



Pendahuluan


Manusia diciptakan oleh Allah S.W.T bersifat kreatif dan dinamis untuk memajukan diri, keluarga dan membangunkan institusi masyarakat amnya. Atas peranan tersebut, Islam memberi dorongan kepada manusia untuk menggembelingkan daya dan usahanya memanipulasikan hasil-mahsul alam ini yang merupakan sebahagian daripada pemberian nikmat yang berlimpah-ruah kepada manusia atas kapasitinya sebagai pentadbir bumi. Daya usaha ke arah penjanaan hasil alam ataupun harta ini diistilah sebagai penerokaan pencarian rezeki yang telah dianugerahkan oleh Allah S.W.T . Dalam istilah keagamaan ia dikenali sebagai ”Ibtaghu min Fadl li Allah”. Penegasan ini disyaratkan oleh Allah S.W.T dalam al-Quran berdasarkan firman-Nya:

Maksudnya: Apabila telah menunaikan solat, maka bertebaranlah kamu di muka bumi; dan carilah kurnia Allah dan ingatlah Allah banyak-banyak semoga kamu berjaya.
(al-Jumu`ah: 10)

Merujuk kepada maksud firman Allah tersebut, Imam Ibn Kathir dalam karyanya yang terkenal ”Tafsir Ibn Kathir” mengemukakan pandangannya bahawa setelah manusia selesai menunaikan solat, maka mereka diminta untuk meneruskan aktiviti pekerjaan mencari rezeki di bumi Allah ini. Meskipun manusia dituntut beriltizam melaksanakan tanggungjawab tersebut, namun di akhir ayat tersebut ia menuntut manusia mengikat diri kepada Pencipta-Nya. Secara prinsipnya Islam menyeru penganutnya memaksimumkan usaha mereka dalam soal pencarian kurnia Allah (rezeki), walau bagaimanapun, usaha ke arah pencapaian tersebut perlu ada batasannya supaya manusia tidak bersikap alpa dan lalai daripada mengingati Allah. Ini kerana, kepatuhan manusia kepada titah perintah Allah akan memberi keuntungan dan kejayaan yang hakiki secara mutlak kepada manusia.


Jika disingkap sirah kehidupan Nabi Muhammad S.A.W., Baginda juga adalah antara individu usahawan yang berjaya sama ada dalam bidang perniagaan, pengurusan, kemanusiaan dan sebagainya. Dalam konteks perniagaan, Baginda telah berjaya menguruskan perniagaan yang dimiliki oleh Sayyidatina Khadijah binti Khuwailid dengan begitu cemerlang. Di samping sifat-sifat luhur yang dimiliki oleh Nabi S.A.W seperti benar, amanah, menepati janji dan sebagainya Baginda juga mempunyai keilmuan yang cemerlang dalam bidang perniagaan. Ilmu keusahawanan yang di asuh dalam diri Baginda sejak dari kecil lagi telah berjaya mematangkan kemahiran keusahwanan menjadi usahawan yang berjaya dalam pelbagai bidang.


Pandangan al-Qur’an dan al-Sunnah Berkaitan Usahawan Berilmu


Kemuliaan manusia bersandarkan kepada keilmuan yang dimilikinya telah disentuh dengan banyak dalam ayat-ayat al-Qur’an. Ketentuan istilah yang diaplikasikan oleh al-Qur’an untuk golongan manusia yang berilmu diistilahkan sebagai “uli al-bab”. Golongan manusia yang diistilahkan sedemikian sentisa melazimi diri mereka mencanai pemikiran membongkar rahsia-rahsia ciptaan Allah dan mengambil pengajaran daripadanya. Sebagai contoh, antara ayat-ayat yang menyentuh tentang persoalan tersebut seperti firman Allah S.W.T ialah:

Maksudnya: “Dan pertukaran malam dan siang silih berganti, dan rezeki yang diturunkan oleh Allah dari langit, lalu Ia hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya, serta peredaran angin, semuanya mengandungi tanda-tanda kekuasaan Allah bagi kaum yang mahu menggunakan akal fikiran.” (al-Jathiyah:5)
Dalam surah al-Baqarah Allah S.W.T berfirman:


Maksudnya: “Maka Maha Tinggilah Allah, Yang Menguasai seluruh alam, lagi Yang Benar. Dan janganlah engkau tergesa-gesa membaca Al-Qur'an sebelum selesai dibacakan oleh Jibril kepadamu, dan berdoalah dengan berkata: Wahai Tuhanku, tambahilah ilmuku.” (Taha:114)

Mengulas ayat dalam surah al-Baqarah, Ibn Kathir menjelaskan berdasarkan riwayat Abu Hurairah Rasululullah S.A.W. sentiasa berdoa dengan membaca “ Ya Allah berilah aku manfaat dari apa yang engkau ajarkan kepadaku, dan ajarkanlah kepadaku apa yang bermanfaat bagiku dan tambahkanlah ilmu pengetahuan kepadaku, dan segala pujian bagiMu atas segala hal.”


Manusia secara tabienya sentiasa memerlukan ilmu. Dengan medium ilmu tersebut, manusia dapat memacu mengembangkan potensi yang ada padanya memanfaatkan segala kurniaan yang telah dianugerahkan kepadanya.


Keterangan ini juga boleh dilihat melalui pemberitahuan Nabi S.A.W dalam sunnahnya, antaranya seperti sabda Nabi S.A.W yang bermaksud:

“Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah S.A.W bersabda: "Apabila seorang manusia telah meninggal, maka putuslah (terhenti) segala amalnya, kecuali tiga perkara: (1) Sedekah jariyah. (2) Ilmu yang diambil orang manfaatnya, dan (3) Anak yang soleh yang selalu mendoakannya."
(Muslim)
Dalam hadith yang lain, sabda Nabi S.A.W yang bermaksud:


“Dari Abu Musa R.A., katanya Nabi S.A.W bersabda: "Perumpamaan petunjuk dan ilmu pengetahuan, yang Allah mengutus aku untuk menyampaikannya, seperti hujan lebat jatuh ke bumi. Bumi itu ada yang subur, menghisap air, menumbuhkan tumbuh-tumbuhan, dan rumput-rumput yang banyak. Ada pula yang keras, tidak menghisap air sehingga tergenang, maka Allah memberi manfaat dengan dia kepada manusia. Mereka dapat minum dan memberi minum (binatang ternak dan sebagainya), dan untuk bercucuk-tanam. Dan ada pula hujan yang jatuh kebahagian lain, iaitu di atas tanah yang tidak menggenangkan air dan tidak pula menumbuhkan rumput. Begitulah perumpamaan orang yang belajar agama, yang mahu memanfaatkan apa yang aku disuruh Allah menyampaikannya, dipelajarinya dan diajarkannya. Dan begitu pula perumpamaan orang yang tidak mahu memikirkan dan mengambil peduli dengan petunjuk Allah, yang aku diutus untuk menyampaikannya."
(Bukhari)
Oleh yang demikian jelaslah Islam menggalakkan umatnya menuntut ilmu untuk menghiasi kehidupan dengan cara yang lebih sempurna. Begitu juga dalam konteks keusahawanan, garapan ilmu pengetahuan sebagai sebahagian daripada prinsip-prinsip yang perlu dihayati oleh usahawan adalah bertepatan dengan tuntutan wahyu. Kombinasi ilmu pengetahuan dan juga kemahiran secara bersepadu adalah mekanisme yang ideal untuk melangsungkan survival usahawan dan secara tidak langsung dapat membina ketahanan dan daya saing yang tinggi dalam kalangan usahawan.

Pandangan Islam Terhadap Usahawan Berilmu


Pada asasnya, apa sahaja aktiviti yang dilakukan oleh manusia ia perlu dilatari dengan ilmu. Dalam konteks keusahawanan amnya, ia menuntut terhadap golongan usahawan supaya dilengkapi dengan asas-asas seperti kemahiran, perancangan yang sistematik, bijak menyelesaikan konflik, menyusun strategi, teknik pemasaran dan sebagainya yang memerlukan kepada landasan ilmu. Berpandukan kepada kepentingan asas inilah, ilmu menjadi sebahagaian daripada falsafah kepada kerangka keusahawanan Islam yang secara tipikalnya memotivasikan golongan usahawan untuk cemerlang dalam setiap lapangan yang diceburi.
Oleh yang demikian, tidak disangkal lagi usahawan yang terbilang memiliki pengetahuan kompeten yang kritis terhadap apa yang diusahakannya. Sebagai contoh, Menurut Ahmad Berek dalam penulisannya “Melahirkan Usahawan Bumiputera Merdeka: Pulihkan Semangat Usahawan” menjelaskan bahawa usahawan yang cemerlang sentiasa mendorong dirinya untuk berusaha dengan bersungguh dan tidak akan berhenti belajar sesuatu yang baru. Melalui ilmu pengetahuan, para usahawan akan bergerak dengan pantas menuntaskan idea-ideanya untuk mengembangkan bidang keusahawanan.

Menyedari hakikat ini, dorongan kepada usahawan membudayakan ilmu dalam lapangan keusahawanan dilihat sebagai prinsip asasi yang ditekankan oleh Islam. Ini kerana, usahawan bukan sahaja menguruskan dirinya semata-mata sebaliknya ia juga mentadbir sumber-sumber fizikal dan juga manusia yang lain. Seseorang usahawan perlu kepada kemahiran dan pengetahuan kepada ilmu pengurusan (sumber manusia, organisasi), sosial, kewangan, perakaunan, gelagat manusia, teknologi dan sebagainya. Secara de factonya, penguasaan ilmu pengetahuan adalah penting kepada para usahawan untuk bergiat sama ada secara langsung atau sebaliknya dalam dunia keusahawanan yang penuh dengan cabaran.


Justeru itu, berdasarkan kepada kupasan tersebut Islam secara emphasisnya mendorong penganutnya khususnya golongan usahawan untuk mendalami ilmu secara konsisten untuk meningkatkan prestasi pekerjaan yang dilakukan. Bagi tujuan memotivasikan manusia menggali ilmu pengetahuan untuk tujuan kelangsungan peradaban manusia, Allah S.W.T telah meletakkan kedudukan yang tinggi bagi golongan yang berilmu. Kecenderungan yang konsisten dalam kalangan usahawan yang memberi penekanan kepada aktiviti pencarian ilmu akan dapat mengukuh dan mengembangkan lagi pengetahuan dalam selok-belok dunia keusahawnaan. Tambahan lagi dalam era digital pada masa kini pelbagai medium boleh digunakan untuk menambahkan input terkini dalam dunia usahawan. Sebagai contoh, seminar dan kursus-kursus yang dianjurkan oleh pelbagai pihak, melalui pelbagai laman web yang dibangunkan berkaitan keusahawanan, buku-buku dan pelbagai lagi. Apa yang penting ialah keinginan yang tinggi dalam diri usahawan untuk mendalami ilmu adalah faktor penting yang perlu ada.


Ilmu bukan sahaja dapat membantu usahawan untuk mendalami sesuatu bidang yang bakal diusahakannya bahkan ia merupakan sebahagian daripada elemen penting kepada kejayaan usahawan. Di samping kemampuan kewangan, pengalaman, kemahiran dan sebagainya yang perlu dimiliki oleh individu yang bergelar usahawan malah ilmu juga merupakan domain yang penting. Ini kerana, ilmu menjadi landasan kepada akal para usahawan yang berfungsi memandu tindakan mereka ke arah menjana kebaikan dan seterusnya mendorong mencapai kecemerlangan. Dalam istilah keusahawanan Islam, kejayaan yang perlu dicapai oleh individu usahawan ialah hasanah bukan sahaja di alam dunia tetapi juga berkesinambungan hingga ke alam akhirat. Inilah keunikan dan keistimewaan yang ada dalam keusahawanan Islam ia bukan sahaja mementingkan keuntungan material di dunia semata-mata bahkan yang lebih penting ialah ganjaran kebaikan di hari akhirat kelak.


Secara umumnya, usahawan perlu mengisi dirinya dengan keperluan ilmu-ilmu seperti berikut:

1. Ilmu Berkaitan Keusahawanan

Pada hakikatnya, asas-asas keusahawanan seperti pengurusan kewangan, pengurusan sumber manusia, pengurusan organisasi, perancangan bidang yang bakal diusahakan dan pelbagai lagi perlu dikuasai sepenuhnya oleh individu usahawan. Ilmu tersebut perlu dipelajari bukan sahaja sebelum memulakan aktiviti keusahawanan tetapi juga proses tersebut perlu dilakukan secara berterusan meskipun bidang yang diusahakan tersebut telah lama berjalan. Proses menuntut mendapat input berkaitan selok belok dunia usahawan tidak hanya terbatas kepada usahawan baru semata-mata. Sebaliknya ia merupakan amalan yang lazim diaplikasikan oleh usahawan yang telah berjaya. Lihat sahaja usahawan yang telah menempa kejayaan yang cemerlang pada hari ini, antaranya seperti Syed Mokhtar al-Bukhari beliau merupakan individu yang berusaha dengan gigih dan sentiasa membudayakan ilmu dalam amalan keusahawanannya. Atas kejayaannya tersebut beliau telah dianugerahkan “Tokoh Maal Hijrah” 2007 di atas kecemerlangan dan sumbangannya kepada masyarakat Islam di Malaysia.


2. Ilmu Berkaitan Kemanusiaan

Secara tipikalnya, objektif keusahawanan Islam adalah bertujuan untuk memberi manfaat kepada diri individu dan manusia sejagat serta setiap makhluk ciptaan Allah S.W.T. yang lain. Menurut Uthman Syabir dalam ”al-Mu`amalah al-Maliyah al-Mu`asirah fi al-Fiqh al-Islami”, berasaskan maslahah inilah kepentingan manusia menjadi indikasi kepada segala bentuk aktiviti yang dilakukan oleh usahawan. Apabila usaha dan kreativiti manusia difokuskan kepada prinsip tersebut ia akan mendorong momentum tenaga dan pemikiran manusia memanipulasikan sumber alam ataupun sebarang bentuk aktiviti lain untuk menjana manfaat dan faedah yang bermotifkan kebajikan umum. Ini kerana, hasil usaha yang dilakukan oleh manusia sama ada yang berimpakkan material ataupun hasil pemikiran yang dinamis bukan hanya untuk keuntungan individu semata-mata. Sebaliknya ia perlu diimbangi dengan asas-asas pertimbangan yang berorientasikan komuniti masyarakat dan memenuhi kerangka syari`at. Dengan yang demikian, amalan keusahawanan yang digembelingkan dengan nilai kemanusiaan dalah bersifat terbuka dan tidak hanya disempitkan di bawah ruang lingkup kebendaan semata-mata yang sentiasa mempengaruhi manusia.

Berdasarkan kepada kepentingan inilah usahawan perlu melengkapkan dirinya dengan ilmu kemanusiaan yang mendorong kepada memelihara kepentingan dan kebajikan manusia umum. Ini kerana, apa sahaja usaha atau amal yang dilakukan oleh usahawan adalah untuk mencapai satu matlamat mulia dan terpuji iaitu menghormati dan memelihara hak-hak individu yang lain. Secara tidak langsung ia akan memberi petunjuk dan bimbingan kepada usahawan untuk mencapai kejayaan sama ada kejayaan dalam bentuk material, penghargaan terhadap apa sahaja sumbangan dan juga berjaya dalam aspek kerohanian yang merupakan kemuncak kepada kebahagiaan yang dicari oleh manusia. Usahawan yang diikat dengan nilai kemanusiaan sentiasa bersikap adil, bersimpati dengan masyarakat disekelilingnya, berkasih-sayang, membantu dan tolong-menolong, menyuburkan perasaan ukhuwwah, bersikap ihsan, dan bersikap untuk maju ke hadapan serta tidak mengambil kesempatan atas kesulitan yang dihadapi oleh orang lain.


3. Ilmu Berkaitan Akhirat

Dalam konteks ini, falsafah keusahawanan Islam yang disuburkan dengan manhaj rabbani adalah merupakan sesuatu entiti yang penting. Ini kerana, melalui kefahaman konsep ini ia dapat menimbulkan stimulasi yang positif iaitu hubung kait faktor kejadian yang diciptakan oleh Allah S.W.T dengan faktor kehidupan dan juga alam. Sememangnya tidak dinafikan perhubungan manusia dan alam adalah satu hubungan yang bersifat simbiosis dan begitu sinonim. Dengan kata lain, manusia memerlukan alam untuk urusan kehidupannya. Atas keperluan tersebutlah, manusia diberi panduan untuk menguruskannya secara berhikmah. Begitu juga dengan alam yang sentiasa mematuhi perintah Sunnah Allah supaya dapat dimanfaatkan oleh manusia. Asas ketentuan yang dinyatakan ini mengisyaratkan kepada manusia supaya bergerak dan bertindak dalam spektrum yang terarah kepada jalan-jalan yang telah ditentukan oleh syara`. Keterikatan kepada doktrin rabbani dilihat sesuatu yang amat penting kerana ianya mengawal tindak-tanduk manusia daripada cenderung kepada nilai-nilai kemanusiaan yang bersifat individualistik dan materialistik.

Atas kepentingan inilah, konsep rabbani yang bertunjangkan unsur rohaniah dilihat sebagai indikasi kepada para usahawan dalam menentukan sesuatu tindakan, mengambil keputusan atau merancang sesuatu perkara. Melalui petunjuk rabbani manusia memperolehi ilmu, pengisyaratan jalan yang benar atau yang salah, perbuatan yang terpuji atau yang dikeji. Secara tidak langsung, ia membantu manusia menyusun dan mengatur asas-asas untuk kelangsungan kehidupan yang ideal dan sentiasa bergantung kepada Allah Yang Maha Esa bagi memenuhi fungsinya sebagai hamba dan khalifatulard.


Tegasnya, sebagai seorang usahawan ia perlu memiliki daya kekuatan beribadah yang berkualiti. Pudarnya kualiti ibadah tersebut mengakibatkan golongan usahawan mengabaikan tanggungjawab beragama. Ini kerana, kenaifan para usahawan dalam memahami hubungan rohaniah manusia dan Rabb dalam konteks peribadatan menyebabkan mereka kufur terhadap nikmat yang telah dikurniakan. Situasi yang berlaku ini cenderung memfokuskan golongan tersebut kepada usaha yang mungkar, kefasadan, khusran dan unsur-unsur lain yang berkonfrantasi dengan syari`at Islam. Fenomena fasad ini telah disentuh dalam al-Qur’an. Pada hakikatnya, Allah S.W.T dengan tegas melarang manusia daripada terpengaruh sifat negatif tersebut. Keterangan ini dapat dilihat mellaui firman Allah S.W.T. yang bermaksud:


“Telah nampak kerosakan di darat dan di laut disebabkan kerana perbuatan tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian dari (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar). (al-Rum: 41).


Menurut al-Khallaf dalam “al-Madiyah al-Islamiah wa `Abduha”, tafsiran ayat tersebut dapat difahami bahawa Allah S.W.T memandang keji kepada perbuatan atau aktiviti yang mendorong kepada kerosakan dan kebinasaan. Peringatan ini difokuskan kepada manusia disebabkan kelompok ini adalah penyebab utama kepada penyumbang kepada kemusnahan dan bala bencana. Ia berlaku disebabkan kedekadenan doktrin akidah yang dialami oleh manusia. Golongan tersebut melencong daripada landasan akidah yang telah disyari`atkan. Dalam kondisi tersebut, Allah S.W.T akan menurunkan bala bencana sebagai pengajaran dan balasan kepada tindak-tindak manusia yang melampaui batas. Oleh yang demikian, sudah tentulah ia merosakkan objektif syara` yang menjadi teras kepada sistem tasawwur manusia yang progresif. Dalam pada itu, ukuran usahawan berjaya dalam persepektif Islam bukan sahaja berjaya di dunia sahaja tetapi yang lebih penting mendapat ganjaran yang istimewa daripada Allah S.W.T pada hari akhirat kelak.Kejayaan ini yang disifatkan sebagai holistik yang merangkumi dan memenuhi keperluan duniawi dan maknawi.

Kesimpulan


Justeru itu, pengabaian kepada elemen ilmu dalam amalan keusahawanan boleh memberi impak yang negatif kepada para usahawan. Kedangkalan usahawan untuk membudayakan ilmu dalam amalan mereka mengakibatkan mereka gagal untu menjadi usahawan berjaya menurut acuan Islam. Ini kerana, Ilmu menjadi sebahagian daripada nadi yang mengidupkan sistem keusahawanan dengan lebih efektif. Justeru itu, jika diamati kepada cirri-ciri usahawan Berjaya mereka meletakkan proses pencarian ilmu tidak dapat dipisahkan dengan asas keusahawanan. Tambahan lagi dalam dunia keusahawanan moden pada hari ini yang sentiasa berkembang dan berubah mengikut realiti kondisi keperluan masyarakat. Impaknya, perubahan dimensi perdagangan, teknologi maklumat, globalisasi dan sebagainya yang berlaku menjadi keperluan kepada usahawan untuk memperkasakan diri mereka dengan ilmu.

-Abu Rushd-

`Ibrah Covid 19. Suluhan Daripada Perspektif Islam

Assalamualaikum dan bertemu lagi. sudah lama saya tidak menjengok ke blogni. Harini rasa bersemangat semula untuk melihat blog yang sudah se...