Sunday, June 17, 2012

kematian

Bismillahirramanirrahim

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera. Artikel kali ini memerihalkan berkaitan topik kematian yang dilalui oleh manusia. Selamat membaca, semoga mendapat manfaatnya Insyallah.


Pengenalan

            Maut, ajal dan mati adalah satu makna yang membawa kepada pengertian terpisahnya keberadaan roh yang mengisi setiap jasad manusia. Realitinya, topik berkaitan kematian kurang senang dan tidak digemari untuk dibicarakan. Namun, sudah menjadi Sunnatullah, sama ada enak di dengar oleh halwa telinga atau sebaliknya yang pasti semua yang hidup akan mengalami saat ini. Panggilan maut ini datang pada saat yang tidak diundang bahkan tidak akan diketahui oleh sesiapapun melainkan semuanya dalam perbendaharaan ilmu Allah S.W.T.

            Lazimnya, kematian merupakan satu perkara yang digeruni oleh setiap manusia. Ini kerana, kematian akan memutuskan kelazatan dan kenikmatan manusia untuk mengecapi kemewahan, keindahan, keseronokan, kepopularan dan kemasyhuran yang menjadi idaman dan impian dalam hidupnya. Atas kepentingan tuntutan dunia seperti yang dinyatakan tersebut ketentuan maut adalah pemutus hubungan manusia dengan dunia. Meskipun begitu, bagi sesetengah golongan manusia mengingati tentang kematian adalah satu perkara yang baik bagi melenturkan jiwa dan memenjarakan nafsunya kepada kehendak-kehendak yang boleh menjerumuskan dirinya kepada perkara yang keji. Golongan manusia sedemikian, sentiasa melazimkan diri dengan perkara-perkara kebajikan yang menjadi bekalan hidup apabila berhijrah ke satu destinasi yang menjadi tempat pengadilan bagi setiap tingkah laku manusia. Tuntutan kepada ketetntuan ini disentuh dalam sebuah hadith Nabi Muhammad S.A.W yang bermaksud:

          Wadhin ibn `Ata’ menukilkan bahawa Rasulullah S.A.W., jika merasakan adanya kelalaian pada orang-orang yang akan kematian, beliau mendatangi mereka dan mengetuk pintu mereka, lalu berucap tiga kali, “Wahai sekelian manusia, wahai pemeluk Islam! Telah datang kepada kamu semua kematian yang merupakan suatu kepastian. Dia datang dengan segala yang dibawanya. Dia membawa ketenangan, kedamaian dan berkat yang melimpah bagi para wali-Nya daripada golongan para penghuni akhirat, yang usaha dan keinginan mereka tertuju pada-Nya. Ingatlah, bahawa setiap orang yang berusaha pasti mempunyai tujuan dan tujuan setiap orang yang berusaha adalah kematian; baik ia mendahuluinya atau didahului olehnya.”

            Justeru, daripada mafhum hadith di atas dapat difahami bahawa setiap individu manusia akan melalui detik kematian. Kematian yang datang menziarahi manusia itu akan membawa perkhabaran yang gembira bagi golongan yang takut kepada Allah dan mengharapkan kepada keredaan-Nya. Golongan manusia yang mendapat jaminan keistimewaan tersebut sentiasa menginsafi terhadap tindakan yang dilakukan dan sentiasa mencari peluang untuk melakukan perkara-perkara kebajikan bagi mengisi ruang hidup yang ada. Individu yang bersifat sedemikian akan mendapat ganjaran yang istimewa daripada Pencipta-Nya Yang Maha Berkuasa.
Menginsafi Kematian

             Kontemplasi tentang soal kematian bukanlah satu perkara yang merugikan dan memudaratkan kehidupan manusia. Malah tindakan tersebut, adalah sebahagian daripada persediaan kepada setiap individu untuk melalui detik getir tersebut yang dikenali dengan saat sakarat al-maut (sakit saat hampir mati). Bahkan dengan mengingatinya juga akan menimbulkan perasaan insaf tentang hakikat kejadian manusia, objektif penciptaannya dan ujian yang sedang dihadapinya. Secara tidak langsung, ia dapat melembutkan jiwa yang keras dan melemahkan keinginan dan ketamakan nafsu serakah yang sentiasa mendorong  manusia bersifat kebinatangan.

            Al-Imam Jalaluddin as-Suyuti dalam karyanya “Syarh as-Sudur bi Syarh Hal al-mawta wa al-Qubur” menukilkan satu riwayat daripada al-Barrara’ ibn Azib menjelaskan bahawa:
“Kami pernah pergi Rasulullah S.A.W melawat jenazah seseorang daripada kaum Ansar. Kami mengikuti menghantarnya sampai ke kubur. Ketika jenazah dimasukkan dalam lubang kubur, Rasulullah S.A.W duduk dan kami ikut duduk di sekeliling baginda; seakan-akan di kepala kami terdapat burung sementara di tangan beliau terdapat tongkat yang dihentakkan di tanah. Baginda mengangkat kepalanya lalu berkata, “Mohonlah perlindungan daripada azab kubur.” Beliau mengulangi sabdanya sehingga dua ke tiga kali. Baginda berkata lagi, ”Jika seorang hamba mukmin akan meninggalkan dunia menuju ke akhirat, turunlah beberapa malaikat daripada langit dengan berwajah putih seakan-akan matahari dengan membawa kain kafan dan minyak dari syurga. Para malaikat ada pada jarak sejauh mata memandang daripada si mayat. Kemudian malaikat maut datang dan duduk di sisi kepalanya lalu mengucapkan, “Wahai jiwa yang tenang, keluarlah menuju pengampunan dan keredaan Allah.” Serentak dengan itu, keluarlah nyawa seperti mengalirnya air meskipun orang sekeliling tidak melihatnya. Roh tersebut dikafankan dan diletakkan minyak wangi oleh para malaikat. Wangian yang keluar tersebut seperti aroma minyak kastur yang paling wangi di atas muka bumi.

Kemudian para malaikat naik ke langit. Mereka tidak melintasi satu kumpulan malaikat melainkan disambut dengan pertanyaan, “Siapakah roh yang memiliki aroma yang wangi,?. Mereka menjawab, “fulan Ibn fulan, dengan panggilan nama yang paling indanh semasa hidup di bumi.” Apabila sampai di langit. Mereka meminta dibukakan pintu dan roh yang diiring tersebut dibawa melalui langit yang terendah sehinggalah ke tingkat langit yang tertinggi (langit ke-tujuh). Lantaran itu, Allah berfirman dengan mafhumnya, “Tulislah buku catatan hambaku di Illiyin (orang yang melakukan kebajikan) dan kembalikan roh tersebut ke tanah kerana sesungguhnya Aku menciptakannya dari tanah dan daripada tanah Aku kembalikannya serta Aku akan keluarkannya pada suatu hari nanti.”

            Berbeza pula dengan pula dengan individu yang ingkar dan kafir. Al-Barrara’ ibn Azib menjelaskan bahawa:
“Sekiranya manusia itu dikategorikan sebagai kafir meninggal dunia, akan datang kepadanya para malaikat dengan wajahnya yang hitam dengan pakaian bulu yang tebal. Mereka duduk di sekelilingnya pada jarak sejauh mata yang memandang. Malaikat maut yang datang dan menyeru kepada roh tersebut “Wahai jiwa yang buruk, keluarlah menuju pada kemurkaan dan kemarahan Allah,!”.


Apabila nyawa terpisah daripada jasad ia digambarkan seperti mencabut besi pemanggang daripada bulu yang basah. Roh yang dicabut tersebut di bawa naik ke langit. Para malaikat yang mengiringi roh tersebut melintasi kumpulan malaikat di langit melainkan ditanya, “Roh siapa yang buruk tersebut.” Mereka menjawab,”fulan bin fulan. Apabila sampai dipintu langit malaikat meminta izin supaya dibuka pintunya, namun permintaan tersebut tidak dibenarkan.” Peristiwa digambarkan melalui firman Allah S.W.T yang bermaksud:

Sekali-kali tidak akan dibukakan bagi mereka pintu-pintu langit.”
                                                                                       (al-`Araf:40)

Lantaran itu, Allah berfirman dengan mafhumnya, “Catatkan amalan orang itu di Sijjin (orang yang derhaka). Roh tersebut akan dicampakkan pada lapisan bumi yang paling bawah. Roh tersebut akan disiksa dengan azab yang pedih. Kuburnya akan disempitkan sehingga hancur tulang-belulang. Begitulah sebahagaian daripada balasan azab yang bakal dikenakan terhadap jiwa-jiwa manusia yang ingkar dan degil dengan perintah Allah S.W.T.

Kesimpulan
           
Secebis kisah daripada perjalanan manusia menuju ke alam barzakh sedikit-sebanyak akan memberi pengajaran kepada manusia untuk hidup taat kepada perintah Allah dan menyumbang bakti untuk kehidupan sejagat. Dalam situasi ini, berfikir dan bermuhasabah tentang kehidupan pasca-kematian bukanlah satu kisah dongeng yang direka untuk menakutkan manusia. Sebaliknya, ia adalah satu pengalaman ghaib yang bakal dilalui oleh setiap individu yang bernafas. Kehidupan seseorang insan akan lebih bermakna dan menguntungkan jika setiap saat yang ada  diisi sepenuhnya dengan amal kebajikan yang menjadi bekalan untuk sampai kepada terminal pengakhiran kehidupan. Keyakinan tentang pengalaman ghaib seperti diberitakan melalui al-Qur’an dan al-Sunnah hanya dapat diyakini oleh insan yang memiliki keyakinan yang jazam terhadap kekuasaan Allah S.W.T. Bagi individu yang tidak mempercayainya ataupun berfikiran waham (keraguan) sudah pasti kedangkalan akal fikiran tidak dapat menerima berdasarkan kerasionalan fikiran manusia yang terbatas. Justeru, bagi individu muslim yang beriman sepenuhnya bermuhasabah berkaitan kematian akan mendekatkan diri dengan Pencipta dan sentiasa mengharapkan rahmat dan pertolongan-Nya apabila sampai pada saat sakarat al-maut kelak. 

-Abu Rushd-

`Ibrah Covid 19. Suluhan Daripada Perspektif Islam

Assalamualaikum dan bertemu lagi. sudah lama saya tidak menjengok ke blogni. Harini rasa bersemangat semula untuk melihat blog yang sudah se...