Saturday, May 3, 2008

Takrif Wali Dalam Perkahwinan




Definisi Wali

Menurut al-Imam Taqi al-Din dalam kitabnya “Kifayah al-Akhyar” perkataan wali diambil daripada perkataan arab iaitu al-Wilayah. Ia bermaksud kesanggupan bertindak, mengurus atau kekuasaan mentadbir sesuatu termasuklah mengurus anak yatim dengan menjamin keperluannya dan memperwalikan perempuan menguruskan akad nikah ke atasnya. Secara terminologinya, `Abd al-Rahman al-Jaziri dalam teks penulisannya “al-Fiqh `ala Madhahib al-Arba`ah” menukilkan wali merupakan sebagai pihak yang diberi kuasa oleh syara` untuk menguruskan akad perkahwinan seseorang perempuan sama ada wali tersebut di bawah kategori wali mujbir atau bukan mujbir. Wali mujbir terdiri daripada bapa atau datuk sebelah bapa sahaja. Secara ringkasnya wali mujbir bermaksud hak autoriti yang diberikan syara` kepadanya untuk mengahwinkan anak perempuannya dengan seseorang tanpa perlu mendapat keizinan daripadanya. Dengan kata lain wali mempunyai kuasa mutlak memberi pandangan dan melaksanakan keputusan atau menetapkan kata putus ke atas orang di bawah perwaliannya. Walau bagaimanapun, para ulama’ berbeza pendapat dalam menentukan kuasa perwalian dan keahlian tersebut.

Teks al-Quran yang menjelaskan tentang kepentingan wali dalam perkahwinan sebagaimana yang diperuntukkan dalam al-Quran yang bermaksud:

“Janganlah kamu menghalang mereka berkahwin kembali dengan bekas suami mereka apabila telah terdapat kerelaan antara mereka dengan cara yang makruf”
(al-Baqarah:232)

Berdasarkan tafsiran di atas, jelaslah bahawa ayat tersebut difokuskan kepada para wali. Ia dapat difahami apabila terdapat tegahan yang ditujukan kepada para wali agar tidak menghalang anaknya yang telah diceraikan untuk kembali semula kepada bekas suaminya.

Keperluan tentang wali juga boleh dilihat berasaskan penjelasan yang dibuat oleh Rasulullah S.A.W dalam sebuah hadis yang bermaksud:

“Tidak sah nikah itu melainkan dengan adanya wali. Mana-mana wanita berkahwin tanpa keizinan walinya maka nikahnya adalah batal, nikahnya batal, nikahnya batal. Apabila ia telah bersetubuh dengan wanita itu, maka yang wajib adalah mahar mitsli disebabkan ia telah mencampuri wanita itu. Jika mereka berselisih, maka sultanlah wali bagi orang yang tidak mempunyai wali.” (Abu Daud dan al-Thirmidhi).

(Abu Rushd)

No comments:

`Ibrah Covid 19. Suluhan Daripada Perspektif Islam

Assalamualaikum dan bertemu lagi. sudah lama saya tidak menjengok ke blogni. Harini rasa bersemangat semula untuk melihat blog yang sudah se...