Saturday, November 22, 2008

Keusahawanan Islam dan Relevansinya Dengan Prinsip Kepentingan Umum


Bismillahirrahmanirrahim


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera. Terima kasih kepada para pembaca yang sudi datang ke blog ini. Pada kali ini penulisan saya cenderung kepada skop keusahawanan Islam. Semoga ianya memberi manfaat kepada para pembaca.



Pendahuluan

Islam bersikap optimis terhadap penganutnya untuk menggerakkan setiap aktiviti keusahawanan bagi memajukan diri dan masyarakat umumnya. Melalui penjanaan aktiviti tersebut, manusia dapat melangsungkan peradaban dalam suasana yang cukup harmoni atas fungsinya sebagai khalifatulard. Bagi mencapai objektif murni tersebut, Islam mempunyai mekanisme-mekanisme tertentu dalam menyediakan satu gagasan yang adil dan telus untuk menyelesai dan merungkai permasalahan mua`malah yang dihadapi oleh seluruh manusia. Jika diamati dalam sesebuah masyarakat yang berpegang kukuh kepada norma-norma kegamaan yang luhur, mereka bebas dari cara hidup yang tidak sihat seperti penyelewengan, pengurusan yang tidak cekap, penyalahgunaan kuasa, mengutamakan kepentingan diri, rasuah, menipu, tidak amanah, masalah sosial, hasad dengki dan sebagainya. Ini kerana, asas kesedaran tersebut adalah bersumberkan petunjuk daripada Allah S.W.T. Keyakinan dan kepercayaan yang mutlak terhadap ketentuan tersebut akan memprojekkan bahawa mengutamakan kepentingan umum adalah intisari kepada ajaran Islam dan semua elemen kejahatan yang mendorong kepada kerosakan objektif tersebut adalah terkeluar dari prinsip kemurnian Islam.

Islam begitu menitikberatkan prinsip kepentingan umum. Dalam konteks faham fiqh keperluan ketentuan ini dikenali sebagai sebagai maslahah `ammah. Prinsip ini mempunyai signifikasinya dengan objektif syara` iaitu memelihara dan memperkasakan dhururiyat al-khams yang meliputi agama, nyawa, akal, keturunan dan harta benda. Atas kepentingan inilah Islam telah menyediakan kodifikasi peraturan yang komprehensif bagi mengawal tata kelakuan manusia daripada melakukan pelanggaran hak-hak tersebut. Justeru itu, dalam konteks keusahawanan pula, pemakaian prinsip ini masih lagi menjadi keutamaan kepada amalan pelaksanaannya. Malah pengaplikasiannya adalah bertujuan untuk menjamin kesejahteraan kepada insan bagi mencapai kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Islam ialah agama yang menganjurkan keadilan, membawa rahmat, membawa kebaikan dan menjamin kepentingan umum (maslahah) kepada seluruh manusia dan makhluk yang lain.


Konsep Umum Maslahah

Menurut al-Syeikh Muhammad Khudri Bik dalam karangannya “Ilmu usul al-Fiqh”, majoriti ahli usul menjustifikasikan masalih al-mursalah dengan istilah al-munasib al-mursal. Bagaimanapun, Imam Malik lebih cenderung menggunakan istilah masalih al-mursalah. Berbeza pula dengan pendapat Imam al-Ghazali, beliau mentakrifkan konsep ini sebagai al-Istislah.
Sehubungan dengan itu, para ulama` berbeza pandangan dalam mendefinisikan maksud maslahah. Walau bagaimanapun, menurut Dr. Abd Hamid Mutawwali dalam karangannya “al-Syariah al-Islamiyyah Kamasdar Asasi li al Dustur” menjelaskan dari segi terminologi maknanya, pandangan Imam al-Ghazali lebih bertepatan dan bersesuaian dengan konsep yang digunapakai. Beliau menjelaskan bahawa pentafsiran makna tersebut merujuk kepada perkara-perkara yang boleh memelihara dan memartabatkan objektif syara` (al-dharuriyyat al-khams). Justeru itu, sebarang bentuk unsur-unsur negatif mengikut tafsiran agama yang menjadi penghalang ke arah mencapai objektif syara` dikategorikan sebagai keburukan (mafsadah). Kemungkinan sesuatu perbuatan atau tingkah laku yang dilakukan oleh manusia dianggap satu perkara yang baik, namun ia dianggap sebaliknya oleh syara`. Sebagai contoh, perbuatan minum arak dan berjudi di kalangan bangsa Arab Jahiliah dianggap satu perbuatan yang mulia di sisi mereka dan tidak mendatangkan keburukan. Bagaimanapun, tafsiran ini berbeza di sisi syara` dengan menjelaskan perbuatan tersebut adalah haram dan berdosa. Oleh yang demikian, tafsiran memelihara kepentingan syara` perlu mengambilkira asas-asas yang dalam kerangka perundangan Islam di samping pemahaman manusia.

Tegasnya, maslahah adalah perkara-perkara yang mendatangkan manfaat dan menghindarkan daripada unsur-unsur kemudharatan ataupun dikenali sebagai mafsadah. Menurut Muhammad `Iwadz al-Hazayimah dan Mustafa Ahmad Najib dalam kitab bertajuk “al-Madkhal Ila Dirasah al-Tashri` al-Islami” pada asasnya, syara` mengklasifikasikan maslahah kepada tiga komponen yang utama:

Pertama: Maslahah Mu`tabarah.


Maslahah dalam kategori ini bermaksud maslahah yang diterima oleh syara` untuk mencapai yang dharuri (kepentingan manusia) yang merangkumi semua objektif syara`. Sebagai contoh, bagi memelihara kepentingan jiwa maka agama mensyariatkan hukuman qisas. Begitu bagi tujuan memelihara kepentingan harta, syariat memperundangkan hukuman potong tangan.

Kedua: Maslahah Mulghah.


Ia bermaksud maslahah yang ditolak atau dengan kata lain perkara yang tidak diambilkira oleh syara`. Sebagai contoh, menyamaratakan hak anak perempuan dengan hak anak lelaki dalam persoalan pewarisan. Maslahah ini secara jelas berlaku kontradiksi dengan peruntukan nas al-Quran.

Ketiga: Maslahah Mursalah.

Keadaan atau sifat yang relevan untuk dijadikan asas hukum yang memberi implikasi kebaikan dan menghindarkan kemudharatan serta tiada nas yang menyokong sama ada ia diterima atau ditolak. Meskipun begitu, sebahagian daripada ulama’ menamakan konsep ini sebagai al-Istislah. Sebagai contoh, pengumpulan al-Quran dalam satu mushaf pada zaman Saidina Abu Bakar yang tidak pernah dilakukan oleh Rasulullah S.A.W. Saidina Umar menjalankan pentadbiran negara berasaskan maslahah (kepentingan umum) seperti membentuk jabatan-jabatan kerajaan, membina penjara. Begitu juga Saidina Ali mewajipkan memberi pampasan gantirugi oleh pihak tukang yang menerima tempahan membuat sesuatu sekiranya berlaku apa-apa kecacatan ke atas barang buatannya atas dasar kepentingan umum (maslahah).


Prinsip Kepentingan Umum Dalam Keusahawanan Islam

Ironinya, Islam bersikap terbuka terhadap umatnya dalam melangsungkan aktiviti keusahawanan bagi tujuan memakmurkan alam ini. Atas keistimewaan yang diberikan ini, manusia perlu menunjukkan komitmen yang bersungguh-sungguh memanipulasikan segala sumber alam dan tenaga secara efisien untuk menjana sumber pengeluaran, dan mengembangkannya atau menjadi pelopor atau peneraju meneroka idea baru untuk kepentingan umum manusia. Namun begitu, setiap pendekatan, teknik, kaedah dan sebagainya dalam memajukan aktiviti tersebut perlu merujuk kepada panduan yang telah ditentukan oleh al-Quran dan al-Sunnah. Sebagai contoh, dalam skop kerangka mu`amalah Islam, aktiviti keusahawanan yang merangkumi idea, inovasi, penerokaan sesuatu potensi perlu bertepatan dengan prinsip syara` dan tidak berkonfrantasi dengan falsafah maqasid syar`iyyah. Menurut Muhammad `Abd al-Mu`im al-Jamal dalam Mausu`ah al-Iqtisad al-Islami, dalam setiap bidang yang diusahakan yang merangkumi bidang perkhidmatan, perniagaan, ekonomi, pengurusan, kesenian, kebudayaan, akademik atau apa sahaja yang bidang yang sinonim dalam ruang lingkup keusahawanan ia perlu diimplemantasikan atas prinsip memelihara kemaslahatan umum dengan cara menunaikan hak-hak yang wajib ke atasnya. Inilah keadilan dan kedinamikan yang ada pada sistem keusahawanan Islam yang bersikap menolak sebarang unsur kemudharatan yang boleh menjejaskan sistem tersebut dan menghalang sebarang bentuk penindasan serta kezaliman kepada manusia amnya. Perkara ini ditegaskan oleh Allah S.W.T dalam al-Quran:

Maksudnya: ”Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu saling memakan harta sesamamu dengan jalan yang batil, kecuali dengan jalan perniagaan yang berlaku dengan suka sama-suka di antara kamu. dan janganlah kamu membunuh dirimu; Sesungguhnya Allah adalah Maha Penyayang kepadamu. (al-Nisa’:29)

Kerangka keusahawanan menurut worldview Islam bukan hanya berorientasi keuntungan material di dunia semata-mata namun ia merentasi alam fizikal yang tidak dapat dilihat dengan pancaindera manusia biasa iaitu alam akhirat. Atas kefahaman inilah konsep keuntungan (gain) dan kerugian (loss) perlu dilihat dari medium syariat dan bukan hanya berdasarkan pertimbangan rasional akal manusia semata-mata. Justeru itu, tanpa bimbingan daripada wahyu mengakibatkan manusia menjadi ta`sub dan terpesona kepada kehidupan dunia yang penuh dengan fitnah dan kepalsuan. Dampaknya, untuk mencapai cita-cita persaingan pengumpulan harta nagi tujuan kepentingan individu yang terbabit, manusia sanggup membelakang keperluan tanggungjawab agama, melakukan penindasan, kezaliman, amalan riba, gharar dan unsur-unsur negatif lain. Fazlur Rahman dalam bukunya Islam and Problem of Economic Justice menukilkan bahawa kemuncak kepada fenomena yang tidak sihat tersebut berlakulah satu penciptaan order masyarakat yang penuh dengan kebobrokan dan tidak bermoral yang jelas bertentangan dengan falsafah Islam.

Pada hakikatnya, Islam bukanlah berpendirian pasif terhadap konsep harta dan menghalang manusia menghampirinya. Secara prinsipnya, penjanaan harta itu sesuatu yang dituntut kerana ia mempunyai nilai dari aspek ekonomi yang menjadi keperluan asasi kepada setiap individu. Namun begitu, dalam memenuhi usaha tersebut ia perlu dilaksanakan dalam suasana order yang sihat dan progresif serta memenuhi konsep ”halalan toyyiba.” Atas keperluan inilah dalam memenuhi tuntutan fardhu kifayah, setiap usaha yang dilaksanakan dengan penuh komitmen dan dedikasi mengharapkan keredhaan dari Allah S.W.T. adalah dianggap sebagai ibadah serta diberikan ganjaran yang setimpal. Berdasarkan kepada ketentuan tersebut, Islam jelas menyeru manusia menggembelingkan daya usaha ke arah mencapai kualiti produktiviti. Dengan kata lain ia dapat difahami bahawa amal usaha ke arah mencapai hasanah dan menolak simptom fasad adalah dituntut kepada setiap individu. Menurut Ibrahim al-Thahawi dalam karyanya al-Iqtisad al-Islami dan `Abd al-Mun`im Khalaf dalam karangannya al-Madiyyah al-Islamiyyah wa `Abduha, mereka berpendapat bahawa atas kapasiti inilah setiap insan dipertanggungjawabkan di atas setiap perilaku yang dilakukan.

Setiap tindak tanduk usahawan perlu diharmonisasikan dengan memenuhi objektif dan hukum-hukum syariat yang bersifat tetap dan tidak berubah. Atas ketentuan inilah, dalam kerangka konseptual keusahawanan Islam, sebarang usaha yang akan atau telah dilaksanakan tidak boleh wujud unsur-unsur kemudharatan kepada pihak lain. Prinsip ini dikenali sebagai ”no injury principle” ataupun dalam legal maxim perundangan Islam iaitu لا ضرر ولا ضرار"”. Prinsip ini secara asasnya mengandungi konotasi bahawa tidak boleh melakukan kemudharatan terhadap orang lain dengan cara melakukan kemudharatan ke atasnya. Pematuhan kepada prinsip ini adalah bertujuan untuk menghalang sebarang tindakan atau gerak kerja yang dilakukan dicerakin dan dirumuskan mengikut keperluan hawa nafsu dan menyalahi kepentingan faedah umum manusia. `Abd al-Karim al-Zaydan dalam kitabnya Madkhal li Dirasah al-Syari`ah al-Islamiyyah menghuraikan bahawa Kepentingan umum adalah menjadi keutamaan dalam syaria`t Islam. Atas kepentingan inilah syari`at itu pada dasarnya adalah maslahah sama ada dalam bentuk mengelakkan kerosakan atau memberi faedah kemaslahatan. Hakikatnya, sesuatu objektif yang dilakukan perlu mengambilkira faedah yang optimum untuk kesejahteraan umat manusia di dunia dan akhirat.

Melihat kepada kepentingan inilah golongan sarjana intelektual Islam seperti Imam al-Shatibi bersikap empahasis dalam mengupas persoalan kepentingan umum dalam aktiviti perdagangan ataupun dalam istilah modennya sebagai keusahawanan. Penegasan ini dapat dilihat dalam tulisannya dalam al-Muwafaqat, beliau menjelaskan bahawa antara asas-asas pertimbangan yang perlu diambilkira oleh para peniaga atau pengusaha dalam menjalankan aktiviti perniagaan seperti berikut:
a- Apakah impak kemudharatan tersebut memberi kesan dan akibat yang negatif kepada kepentingan masyarakat umum atau kepada kelompok inidividu yang tertentu sahaja.?
b- Apakah elemen kemudharatan tersebut akan berlaku atau barangkali peratusan yang akan berlaku tersebut terlalu kecil, tidak penting, atau timbul keberangkalian bahawa ia berpotensi untuk menimbulkan kemudharatan yang besar.
c- Apakah kemudharatan yang ditimbulkan oleh pengusaha tersebut disengajakan atau ia merupakan sebahagian daripada polisi perniagaannya?.
d- Apakah wujud alternatif lain yang boleh diaplikasikan bagi mengelakkan elemen kemudharatan atau kemudharatan yang minimum berbanding dengan kaedah pendekatan yang dilaksanakan tersebut.

Berdasarkan sebahagian daripada asas-asas pertimbangan yang dipapar oleh Imam al-Shatibi dalam penulisannya, ia memberi satu gambaran bahawa para pengusaha perlu berhati-hati dalam menentukan polisi atau dasar dalam perniagaan yang bakal atau yang sedang diusahakan. Asas garis panduan ini adalah bertujuan supaya aktiviti perniagaan yang dijalankan tersebut tidak boleh menjejaskan kepentingan masyarakat umum. Sebagai contoh, pengusaha kosmetik mengeluarkan produk kecantikan yang mengandungi bahan kimia yang boleh menjejaskan kesihatan pengguna namun dalam masa yang sama berjaya mengaut keuntungan hasil jualan produk tersebut. Begitu juga dalam kes menyorok barang keperluan sehingga ia menimbulkan kesan seperti keresahan dalam kalangan pengguna dan menindas masyarakat. Dalam contoh yang lain, pengusaha menindas pekerjanya dengan menafikan upah dan hak-hak lain yang sepatut diterimanya. Sikap negatif ini dikupas dalam sebuah hadis Nabi Muhammad S.A.W. yang bermaksud:

”Siapa yang menjadi pekerja kami (sedang ia tidak beristeri), maka ia berhak mendapat isteri dan jika tiada pembantu maka hendaklah ia mendapat pembantu dan jika tiada tempat tinggal maka hendaklah ia memperolehi tempat tinggal. Abu Bakr R.A. berkata ”Aku diceritakan bahawa Nabi Muhammad S.A.W. bersabda: Sesiapa yang bertindak sebaliknya maka ia adalah pengkhianat atau pencuri.” (Abu Daud)

Dengan kata lain, kewajipan yang perlu ditegakkan ialah tidak bersikap individualistik sebaliknya mengutamakan kebajikan masyarakat umum. Secara tipikalnya, seseorang individu ditegah secara mutlak mengambil pendekatan menyakiti orang lain. Ironinya, seperti yang ditekankan oleh Chapra dalam The Economic System, Islam menuntut kepada manusia mengambil langkah positif menggembirakan orang lain atas prinsip memelihara kepentingan awam. Berasaskan kepada tuntutan ini, seseorang individu muslim bertanggungjawab sepenuhnya ke atas kesan yang timbul sama ada positif atau sebaliknya kesan daripada tindakannya. Sebagai contoh, seseorang usahawan yang mempunyai idea untuk mendirikan sesebuah kilang, dalam pelan perancangannya tersebut ia bukan sahaja perlu mengambilkira pulangan keuntungan yang bakal diperolehi tetapi juga perlu melihat kepada kesan-kesan sampingan yang lain seperti manfaat pernigaanya, peluang pekerjaan, faedah kepada masyarakat, pencemaran dan perkara-perkara penting yang lain. Impak tersebut perlu dianalisa merentasi sempadan kewilayahan, nasional, pekerjaan, ras etnik, sosial dan agama.

Berdasarkan kepada ketentuan ini, prinsip-prinsip yang diasaskan dalam konsep keusahawanan Islam perlu melihat kepada objektif keharmonian umum sejagat dan bukannya bersifat kepentingan individu. Oleh yang demikian, jika didapati wujudnya unsur-unsur yang boleh memberi kesan dan impak kepada kesejahteraan manusia sudah pastilah ia dianggap tertolak dari ajaran syara`. Pandangan ini dikemukakan oleh seorang sarjana perundangan Islam yang terkenal iaitu al-Imam Ibn al-Qayyim dalam karyanya tersohor iaitu I`lam al-Muwaqqi`in, beliau menjelaskan bahawa:


”Kepentingan umum manusia adalah berasaskan kepada hikmah dan kemaslahatan manusia di dunia dan di akhirat. Ia dikenali sebagai ketentuan perundangan Allah yang mengandungi keadilan dan rahmat di mana ia mengandungi maslahah dan hikmah. Justeru itu, setiap maslahah yang keluar dari landasan keadilan kepada kezaliman, dari rahmat kepada tidak rahmat, dari maslahah kepada mafsadah dan dari hikmah kepada sia-sia maka ia tidak diiktiraf sebahagian dari syari`at meskipun diterjemahkan dengan pelbagai tafsiran, kerana syari`at hakikatnya adalah simbol keadilan Allah kepada hamba-hamba-Nya.”.

Kesimpulan

Tuntutan mengutamakan kepentingan manusia dalam aktiviti perdagangan atau keusahawanan adalah mempunyai objektif untuk memelihara kebajikan dan kesejahteraan manusia umum. Bertitik tolak daripada natijah murni tersebut, Islam secara mutlak menolak sebarang bentuk elemen kemudharatan yang boleh menjejaskan kesejahteraan dan keharmonian yang dikecapi oleh manusia sehingga menimbulkan implikasi yang negatif terhadap institusi masyarakat. Namun begitu, secara realistiknya dalam dunia keusahawanan pada hari ini yang sedang berhadapan dengan era langit terbuka dan pelbagai rintangan dan cabaran yang dihadapi oleh golongan usahawan barangkali agak sukar untuk menghazafkan secara total elemen kemudharatan dalam amalan perniagaan yang diusahakan. Agak sukar bagi golongan usahawan dalam dunia moden kini untuk mempastikan tidak akan berlaku elemen kemudharatan terhadap pengguna dan masyarakat amnya. Contohnya, kenaikan harga barang sudah tentulah akan memberi kesan menjejaskan sebahagian kelompok masyarakat. Meskipun begitu, apa yang menjadi garis panduan kepada golongan usahawan pada hari ini ialah segala dasar dan perancangan yang dijalankan dalam aktiviti perniagaan mereka perlulah diimbangi dengan nilai keadilan dan kesederhanaan yang berfungsi sebagai neraca pengimbang kebaikan kesejahteraan masyarakat umum. Hakikatnya, citra keusahawanan yang diprojekkan oleh Islam adalah berasaskan pertimbangan mengoptimumkan kepentingan umum masyarakat dan dalam masa yang sama ia menuntut kepada pengusaha meminimumkan unsur kemudharatan yang boleh membuka ruang kefasadan kepada umat manusia. Dengan rumusan tersebut, dapatlah difahami bahawa dominasi prinsip kepentingan umum dalam amalan keusahawanan merupakan satu tuntutan yang diapresiasikan oleh syara`. Secara tidak langsung nilai tersebut dapat memandu para usahawan untuk membangunkan alam ini sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah S.W.T dan juga menepati konsep kecemerlangan (al-falah) yang meliputi kejayaan yang hakiki di dunia dan akhirat.

No comments:

`Ibrah Covid 19. Suluhan Daripada Perspektif Islam

Assalamualaikum dan bertemu lagi. sudah lama saya tidak menjengok ke blogni. Harini rasa bersemangat semula untuk melihat blog yang sudah se...