Friday, September 19, 2008

Ramadhan




Bismillahirrahmanirrahim




Assalamualaikum dan salam sejahtera. Salam Ramadhan Bertemu lagi dalam ruangan penulisan ini. Topik perbincangan yang dipilih pada kali ini iaitu "Penghayatan dan Pengisian Ramadhan." Semoga dapat memberi manfaat yang sewajarnya kepada para pembaca.






Ramadhan.




Dalam banyak siri penulisan yang telah dilontarkan oleh penulis lain banyak dibincangkan tentang fadhilat ramadhan, kelebihan beramal pada bulan tersebut, ganjaran yang diterima, bulan rahmat, keberkatan dan sebagainya. Secara peribadi saya berpendapat bahawa isu tersebut tidak perlu dibincangkan lagi kerana ia banyak diperkatakan oleh golongan ustaz berserta dengan dalil2 nas yang telah dikemukakan. Semoga penulisan tersebut dapat merangsang para pembaca menambahkan amal ibadah bersesuaian dengan kemuliaan yang ada pada bulan tersebut.




Namun begitu, persoalan yang timbul dalam kotak pemikiran saya iaitu bagaimanakah mekanisme yang berkesan supaya apa yang dibincangkan tersebut dapat direalisasikan oleh umat Islam khususnya di negara kita?. Tambahan lagi Ramadhan telah berada dipenghujungnya dan akan meninggalkan kita sama ada sedar atau tidak atau masih lagi menjadi satu hikayat sekadar dibaca tetapi tidak difahami akan hakikatnya. Dalam pada itu, pada fasa yang terakhir ramadhan ini (10 malam terakhir) mengandungi seribu rahsia yang perlu diterokai oleh umat Islam dan perlu direbut oleh setiap individu muslim iaitu malam lailah al-qadr. Beruntunglah kepada sesiapa yang dipilih oleh Allah S.W.T untuk mendapat ganjaran dan habuan hasanah di dunia dan akhirat sebagaimana yang telah dijanjikan oleh Allah.




Walau bagaimanapun, suasana dan realiti yang berlaku pada hari ini apakah ianya dapat menyediakan satu suasana yang kondusif dan positif kepada umat Islam untuk berlumba-lumba mengerjakan amalan kebajikan yang seoptimum mungkin. Pada dasarnya, realiti suasana dan kondisi semasa tidak akan mempengaruhi pegangan akidah seseorang untuk menjalani obligasinya sebagai seorang muslim, mukmin dan muhsin. Namun, disebabkan kerapuhan benteng akidah yang diterjemahkan dalam bentuk iman yang lemah mengakibatkan manusia sering lupa, alpa, keluh kesah, memberontak, hiburan yang melampau dan sebagainya dan gagal melaksanakan tanggungjawab yang sepatuntnya ditunaikan.




Senario yang berlaku pada hari ini, didapati apabila menjelang penghujung ramadhan, kita sentiasa disibukkan dengan persiapan untuk menyambut hari raya dan hal ehwal keduniaan yang lain. Maka apabila menjelang waktu malam, manusia berpusu-pusulah ke pekan-pekan atau ke bandar untuk membeli-belah atau dengan pelbagai tujuan lain. Lazimya, pada saat ini lah masyarakat Islam sibuk membuat perancangan meninjau di kedai atau bazar menjual pakaian, kuih dan aksesori yang lain dan sebagainya. Sudah pastilah dari satu segi ia bagaikan pintu rezeki telah terbuka seluasnya kepada golongan peniaga dan saat inilah yang ditunggu oleh golongan tersebut untuk menambahkan pendapatan mereka. Ia bagaikan karnival atau pesta membeli belah bagi masyarakat Islam di Malaysia untuk mendapatkan barangan keperluan hari raya. Seolah-olah ia bagaikan satu klimaks yang ditunggu oleh masyarakat kita dalam bulan ramadhan ini sebagai tanda untuk memperlengkapkan kesempurnaan menyambut hari raya sebagai hari kemenangan dan kejayaan bagi umat Islam. Kebiasaannya menjelang larut malam manusia berduyun-duyun untuk hadir ke pesta membeli belah tersebut. Ini kerana pada waktu siang, kita sibuk dengan kerja dan mungkin faktor keletihan membataskan aktiviti disebabkan pada sebelah petang kita sibuk pula dengan pesta membeli makanan. Saya tidak menyalahkan golongan peniaga, kerana ianya adalah sebagai sumber pendapatan mereka. Walau apapun, sebagai peniaga atau pembeli sekiranya mereka sedar dan memahami tanggungjawab sebagai seorang muslim sudah pastilah mereka dapat bermuamalah dengan baik sebagaimanana yang dituntut oleh agama dan bukannya dipengaruhi oleh faktor material sehinggakan sanggup mengenepikan suruhan dan larangan dalam agama. Sebagai contoh, peniaga apabila masuk waktu solah perlulah menunaikannya, bagi yang wanita pula diwajibkan menutup aurat, menyedikan makanan yang berkualiti dan bukannya hanya untuk meraih keuntungan semata-mata, mengutamakan nilai ihsan, berakhlak dan pelbagai lagi. Bagi pembeli pula, kita perlu mengawal tabiat membeli dengan kadar yang berlebihan dan akhirnya berlakulah pembaziran. Maklumlah pada sebelah petang, nafsu perut kita tidak dapat mengawal keinginan untuk berbuka. Jika diikutkan kita akan membeli sebayak yang mungkin yang sebanyak mungkin untuk memenuhi ruang perut yang kosong setelah menahan diri daripada makan dan minum berjam-jam lamanya. Bersikaplah sederhana dalam membeli.




Jika kita masih dalam situasi ini, amat malang dan rugilah kita sebagaimana yang disifatkan dalam al-Quran iaitu golongan al-khusran yang sentiasa dirundung malang bukan sahaja di alam dunia lebih-lebih lagi di hari akhirat kelak. Justeru itu saya mengingatkan diri saya dan juga para pembaca dalam tempoh baki ramadhan yang bakal meninggalkan kita marilah bersama-sama mengisi 10 malam yang terakhir ini dengan pelbagai aktiviti ibadah dengan harapan kita dipilih oleh Allah S.W.T dapat beribadah pada malam yang penuh kemuliaan iaitu lailah al-qadr. Semoga ianya tidak terlambat untuk diri kita bermunajat kepada Allah memohon keampunan, keberkatan dan termasuk dalam golongan al-yamin iaitu mendapat keredhaan, kejayaan, dan kerahmatan di dunia dan di hari akhirat kelak. Lebih malang lagi, kita telah mengetahui hikmah dan ganjaran yang telah dikurniakan kepada manusia yang beribadah pada malam tersebut sama ada melalui pembacaan atau di mana-mana kuliah, namun peluang dan waktu tersebut dipersia-siakan dengan begitu sahaja. Belum tentu lagi kita dapat bertemu ramadhan pada tahun hadapan. Pada waktu inilah kita perlu memanfaatkan dan menggunakan peluang untuk mendekati Pencipta kita dengan penuh rasa keinsafan yang datang dari lubuk hati yang ikhlas. Benarlah firman Allah, iaitu Allah bersumpah dengan masa, dan manusia itu sering dalam tertinggal dan kerugian. Semoga Allah memberi kekuatan kepada kita supaya dapat bermujahadah melawan hawa nafsu dan mendorong kita melakukan amal ibadah yang sebaik mungkin daam bulan yang mulia. Untuk mencapai usaha tersebut, ia memerlukan disiplin diri yang tinggi, dan sentiasa berdoa dan bertawakkal supaya amalan kita sentiasa konsisten bukan sahaja pada bulan yang penuh keberkatan ini tetapi juga bulan-bulan yang lain. Akhir kalam, semoga amalan puasa yang dilakukan pada tahun ini diterima dengan sebaiknya oleh Allah dan bukannya hanya sekadar dapat menahan lapar dan dahaga semata-mata serta ianya tidak dinilai disisi Allah.




Salam Ramadhan dan Selamat Hari Raya-Abu Rushd_

No comments:

`Ibrah Covid 19. Suluhan Daripada Perspektif Islam

Assalamualaikum dan bertemu lagi. sudah lama saya tidak menjengok ke blogni. Harini rasa bersemangat semula untuk melihat blog yang sudah se...