Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum dan salam sejahtera
Taman Aman Homestay
Kepada para pembaca yang sedang mencari homestay di kawasan kangar. Para pembaca boleh menghubungi pemilik taman aman homestay. Kediaman ini dekat dengan kawasan bandar kangar, unimap, uitm dan institut perguruan. Homestay ini terletak di Jalan Raja Muda, Kangar. Bayaran untuk satu malam hanya RM 150.00. Rumah tersebut dilengkapi dengan air cond. Jika para pembaca berminat boleh hubungi no. tel. 013 4448725 (Mie).
Terima kasih
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera. Blog ini bertujuan untuk berkongsi ilmu dengan pembaca budiman tentang keindahan dan kemurnian ajaran Islam. Diharapkan percambahan ilmu ini dapat membantu para pembaca untuk memahami asas pengajaran agama Islam. Pembaca dialu-alukan untuk memberi sebarang komen bagi memantapkan lagi pengisian blog ini. sekian terima kasih- (Abu Rushd)
Thursday, April 26, 2012
Thursday, March 8, 2012
seminar ICOHSE 3
Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera
Dimaklumkan bahawa Pusat Teknologi Komunikasi dan Pembangunan Insan, UniMAP akan menganjurkan seminar antrabangsa ICOHSE kali ke-3 .http://icohse2012.unimap.edu.my/
Para pembaca dijemput untuk menyertai seminar tersebut. Mohon untuk dihebahkan kepada para sahabat yang lain.
Terima kasih.
-Aburushd-
Wednesday, February 29, 2012
Nilai-Nilai Murni
Assalamualaikum
Bersua kembali dalam laman blog. Saya kira sudah lama tidak mennjengah dalam blog ini. Terima kasih kepada para pembaca yang sudi membaca penulisan saya. Jika ada sebarang komen sila kemukakan kepada saya sebagai penambahbaikan dalam usaha penyebaran ilmu. Semoga tulisan kali ini memberi manfaat yang sewajarnya kepada semua. Doakan kesejahteraan saya sekeluarga dan ketekunan dalam menuntut ilmu. Semoga ianya diterima oleh Allah sebagai amalan dan bekalan untuk di bawa di alam yang seterusnya. Penulisan kali ini cenderung kepada kepentingan nilai-nilai murni
Pembugaran Nilai-Nilai
Murni Melalui Cermin Tasauf
Pengenalan
Fenomena yang berlaku di Barat seperti proses dekonstruksi secara
tidak langsung telah menghakis benteng-benteng nilai tradisi klasik yang telah
diasaskan oleh mahaguru moral yang terdahulu. Apa yang nyata ialah proses
dekonstruksi tersebut telah menafikan nilai-nilai tradisi yang disampaikan oleh
ajaran agama dan melalaikan manusia daripada mengikut petunjuk Ilahi. kekuatan
dalil aqliah yang berasaskan kepada kajian ilmiah dijadikan sebagai dalil yang
bersifat autoriti untuk menyangkal dalil-dalil yang bersumberkan naqliah yang
berteraskan ajaran agama. Akibatnya, lahirlah golongan manusia yang
mengagungkan akal pemikiran yang cenderung mempertikaikan ketentuan yang telah
ditetapkan oleh agama dan menuntut hak-hak yang melampaui batasan kerangka
syari`at. Justeru itu,
apabila tingkah laku manusia diwarnai dengan nilai-nilai murni yang
berorientasikan kepada pendekatan agama akan menjadi tunjang kekuatan yang
telah terbukti mampu melahirkan peribadi-peribadi besar dalam sejarah peradaban
manusia. Berasaskan kepada keterangan inilah nilai-nilai murni tidak boleh
disisihkan daripada faktor pembangunan manusia dalam setiap aspek peri lakunya.
Oleh yang demikian, nilai-nilai murni yang diutarakan oleh Islam perlu dihayati
dan disuburkan dalam segenap ruang lingkup keperluan sebagai asas kesejahteraan
manusia.
Pendekatan Tasauf
Secara umumnya, pelbagai pendekatan boleh
diaplikasikan untuk membudayakan
nilai-nilai murni secara teratur
dan terancang. Sebagai contoh, penerapan nilai-nilai murni boleh dilaksanakan
melalui jalan kerohanian pendekatan tasawuf. Al-Suhrawardi (1145-1234) dalam karyanya “`Awarif al-Ma`arif”, menukilkan maksud tasawuf sebagai individu yang sentiasa
dalam usaha pembersihan (al-Tasfiyah). Ia sentiasa memelihara setiap
waktu daripada kekotoran iaitu dengan membersihkan hati daripada kekotoran hawa
nafsu. Individu tersebut sentiasa memelihara dirinya daripada terikat dengan
kepatuhan yang mutlak kepada Allah S.W.T dan melaksanakan Sunnah. Melalui kaedah pentarbiahan latihan kerohanian
tersebut, sedikit sebanyak ia dapat memberi gambaran secara praktikal untuk
merawat penyakit-penyakit batin yang tidak dapat didiagnosa oleh manusia iaitu
penyakit hati yang cenderung kepada sifat-sifat tercela. Oleh yang demikian,
kaedah tersebut memberi petunjuk kepada individu untuk menjernihkan hati daripada semua sifat
yang tidak sempurna. Penyucian jiwa tersebut adalah bertujuan untuk mendidik
hati individu terbabit untuk mencapai darjat kesempurnaan iman dan akhlak.
Penegasan ini disentuh oleh Ibn `Abidin dalam penulisannya ”Hasyiah Radd al-Muhtar `ala al-Dur Mukhtar Ibn `Abidin” dengan
memberikan ulasan iaitu:
”......., dan sifat kerosakan jiwa lainnya
seperti ilmu tentang sombong, kedekut, dengki, putar belit, marah permusuhan,
kebencian, tamak, bakhil, sombong, takabur, khianat, bermuka-muka, menolak
kebenaran, tipu muslihat, keras hati, panjang angan-angan, dan lainya yang
telah dijelaskan dalam seperempat kebinasaaan sebagaimana yang terdapat dalam kitab Ihya’ `Ulum al-Din. Imam al-Ghazali (1058-1011) berkata: Seseorang itu janganlah
melalaikan hal itu, seharusnya ia mempelajari dari rab` al-muhlikat apa yang diperlukan dirinya. Sedangkan
menghilangkan semua itu adalah fardu `ain. Hal itu tidak dapat dilakukan melainkan
harus mengetahui batasan-batasan, faktor-faktor, tanda-tanda, dan upaya
penyembuhannya, kerana orang yang tidak mengetahui keburukan akan terjebak di
dalamnya.”
Berpandukan ulasan tersebut, dapat
difahami bahawa kesucian dan ketenangan hati daripada nilai-nilai keji yang
boleh mencacatkannya adalah merupakan kunci keselamatan kepada manusia di dunia
dan akhirat. Antara kaedah yang boleh diaplikasikan untuk menyuburkan
nilai-nilai murni dalam diri individu melalui pendekatan disiplin amalan-amalan
sunat seperti dhikir, qiyam al-lail, puasa sunat, solat sunat (taubat, duha, rawatib, tahajjud dan sebagainya) serta pelbagai lagi amalan yang
boleh mendekatkan jiwa manusia dengan PenciptaNya. Amalan-amalan yang
dinyatakan tersebut adalah sebahagian daripada mekanisme ”mujahadah al-nafs” yang bertujuan untuk mendidik dan membersihkan
hati daripada pelbagai kotoron nilai-nilai keji (madhmumah). Keterikatan hati manusia dengan nilai-nilai
yang keji tersebut adalah didorong oleh nafsu shahwat yang boleh mengundang
kepada kerosakan potensi insan dan hubungannya dengan Allah S.W.T. Menginsafi situasi tersebut, Islam memberi petunjuk
kepada manusia supaya sentiasa memberi komitmen yang tinggi kepada cara hidup
beragama secara sempurna.
Justeru itu, andaikata
jiwa manusia dilingkari dengan nilai-nilai yang keji maka ia perlu berusaha
untuk memperbaiki dan menyucikannya. Jika nilai-nilai tersebut tidak dapat
diatasi nescaya sistem pertahanan dalamannya tidak mempunyai keupayaan untuk
menahannya daripada tergelincir ke dalam lembah kejahatan dan kekejian. Melalui
jalan latihan yang berorientasikan nilai-nilai kerohanian, manusia dapat
menginsafi dan kembali jalan sederhana dalam memenuhi keperluan kerangka
nilai-nilai murni yang luhur. Sebagai contoh, sifat pemurah merupakan
sebahagian daripada nilai-nilai sederhana di antara dua sifat yang keji seperti
boros dan kedekut. Dengan memberikan contoh tersebut, nilai-nilai murni yang
terpuji adalah asas kepada pembentukan hati budi yang terpuji dan dipandang
mulia dari perspektif akal manusia dan syariat seperti yang telah ditegaskan oleh
Muhammad Jamal al-Din al-Qasimi “Mau`izah al-Mu’minin min Ihya’ Ulum al-Din.” Dalam hal
ini, al-Qur’an
merekodkan bahawa
Maksudnya: “Orang yang bertaubat, yang
beribadat, yang memuji Allah, yang mengembara, yang ruku', yang sujud, yang menyuruh berbuat kebaikan
dan melarang daripada kejahatan, dan yang menjaga hukum-hukum Allah. Dan gembirakanlah orang yang beriman
itu.”
(al-Taubah:112)
Menurut Ibn Kathir dalam ”Tafsir Ibn Kathir”, ayat tersebut merupakan pujian daripada Allah S.W.T terhadap hamba-hambaNya yang
berkorban jiwa dan hartanya kepada Allah. Sebagai balasannya golongan ini disediakan
dengan Syurga. Mereka ini disifatkan sebagai orang yang bertaubat, beribadah
kepada Allah
dengan perkataan dan perbuatan memujiNya, berpuasa, melakukan solat, dengan
ruku` dan sujud. Di samping itu, mereka menyeru manusia yang lain ke jalan yang
baik, melaksanakan amal ma`ruf dan
nahi mungkar dan mempunyai
pengetahuan tentang hukum-hukum Allah. Lantaran itu, Allah S.W.T menyatakan bahawa bergembiralah
golongan manusia yang bersifat sedemikian. Selain itu, dalil daripada al-Sunnah
juga turut menyokong, seperti sabda Nabi
Muhammad S.A.W. yang bermaksud:[1]
”Daripada Abu Hurairah R.A katanya: Nabi S.A.W
bersabda” Allah berfirman: ”Aku menurut sangkaan hambaKu terhadap Aku dan Aku bersama
dengan dia, apabila dia mengingati (menyebut) Aku. Apabila ia menyebut Aku
dalam hatinya, nescaya aku menyebutnya pula sendiriku. Dan kalau dia menyebutKu
di hadapan orang ramai, nescaya Aku menyebutnya pula di hadapan orang ramai
yang lebih baik. Kalau dia mendekatkan diri kepadaKu sejengkal, nescaya aku
mendekatkan kepadanya sehasta. Dan kalau dia mendekatkan diri kepadaKu sehasta,
nescaya Aku mendekatinya sedepa. Dan kalau dia datang kepadaKu berjalan biasa,
nescaya Aku datang kepadanya berlari.”
(Muttafaq`alayh)
Kesimpulan
Berdasarkan
kepada al-Qur’an dan
al-Sunnah tersebut dapat difahami bahawa, manusia yang dilengkapi dengan
nilai-nilai murni menurut kerangka Islam akan menjadi insan baik hati budinya
dan diredhai oleh Allah
S.W.T. Tidak diragukan lagi bahawa nilai-nilai murni yang dihayati oleh
individu manusia akan memantulkan cahaya kebaikan dan kebajikan yang memberi
manfaat kepada persekitaran sekelilingnya. Justeru itu, penghayatan nilai-nilai
murni tersebut memerlukan satu bentuk latihan kerohanian bagi melembut dan
membentuk jiwa manusia menurut acuan yang ditentukan oleh agama.
-Sekian- Abu Rushd
[1] Abu `Abd Allah Muhammad Isma`il bin Ibrahim
al-Bukhari
(1981) dlm Kitab Tauhid, Sahih al-Bukhari, jil. 3, h:467.
Friday, December 2, 2011
Perkasakan Budaya Infaq Dalam Pembangunan Insan
Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum dan bertemu lagi siri penulisan lain. Doakan saya supaya Allah memberi kekuatan kepada saya untuk untuk terus berkarya dalam menyebarkan ilmu. Semoga usaha kecil ini diterima olehNya sebagai ibadah. Artikel ini pernah saya siarkan dalam akhbar harian.
Budaya Infaq
Pengenalan
Dalam kerangka falsafah pembangunan insan, orientasi material yang bersifat
tunggal bukanlah dianggap sebagai kemuncak kepada kebahagian insan. Sebaliknya
objektif pembangunan insan adalah untuk melahirkan individu yang dapat memberi
manfaat atau sumbangan untuk memperkasakan agama, ekonomi dan institusi
masyarakat amnya. Golongan inilah yang menjadi sebahagian daripada kelompok
masyarakat yang menjadi pemangkin untuk menggerakkan sosio ekonomi masyarakat
dan negara amnya. Berasaskan penjelasan tersebut ia memberi satu gambaran umum
kepada setiap insan yang berfungsi sebagai pemegang amanah supaya memikul
tanggungjawab tersebut sebagaimana yang dikehendaki oleh syara`. Tanpa panduan
dan pedoman daripada agama, manusia untuk akan bertindak berasaskan kepada
pertimbangan keterbatasan akal dan hawa nafsu semata-mata.
Tuntutan Untuk Berinfaq
Sebagai insan, setiap individu dituntut untuk melazimkan diri menginfaqkan sebahagian daripada hartanya pada jalan Allah S.W.T. Penekanan kepada faktor ini
adalah berasaskan kepada tuntutan al-Qur’an dan al-Sunnah. Secara tersiratnya, syara`
menyeru kepada umat manusia supaya menginfaqkan sebahagian daripada harta kepada golongan
tertentu supaya pengagihan kitaran harta kekayaan dapat dilakukan secara adil
dan saksama dalam institusi masyarakat. Tuntutan tersebut disyari`atkan adalah
bertujuan untuk mengelakkan berlakunya
monopoli dan penimbunan harta dalam kelompok individu tertentu. Dalam masa yang
sama juga, amalan ini dapat membersihkan jiwa manusia daripada sifat-sifat yang
keji seperti bakhil, individualistik, tamak dan sebagainya.
Maksudnya: ”Bukanlah suatu kebajikan itu kamu menghadapkan muka ke timur
dan barat, tetapi kebajikan itu ialah berimannya seseorang kepada Allah, dan hari akhirat, segala malaikat,
segala Kitab, dan sekalian Nabi; dan mendermakan harta yang dicintainya kepada
kerabatnya, anak-anak yatim, orang miskin, orang yang musafir, orang yang
meminta-minta, orang yang memerdekakan hamba abdi; orang mendirikan sembahyang,
serta mengeluarkan zakat, dan perbuatan orang yang menyempurnakan janjinya
apabila mereka berjanji orang yang sabar dalam masa kesempitan, dan kesakitan,
dan dalam peperangan. Mereka itulah orang yang benar; dan mereka itulah
juga orang yang bertakwa.”
(al-Baqarah: 177)
Dalam persoalan perhubungan
dengan masyarakat berdasarkan ayat tersebut, Ibn Kathir (1301-1372/774H)
berpendapat setiap individu muslim juga dituntut supaya melakukan
sedekah kepada golongan yang memerlukan, mengeluarkan zakat dan menginfaqkan sebahagian
daripada harta mereka ke jalan Allah S.W.T. Beliau telah memetik sebuah hadith yang bermaksud:
“Abu Hurairah R.A mengatakan
bahawa Rasulullah S.A.W bersabda: Sedekah yang paling utama ialah anda
bersedekah ketika anda sihat, rasa kedekut, masih mengharap untuk menjadi kaya
dan takut miskin.”
(Bukhari)
(Wahbah al-Zuhayli, 1991) pula mengutarakan pandangannya bahawa firman Allah S.W.T yang bermaksud ”dan mendermakan
harta yang dicintainya” merujuk kepada sedekah yang dikategorikan wajib
iaitu zakat dan terangkum juga bagi maksud sedekah sunat. Beliau mengemukakan
hujah yang disokong oleh al-Jassas
menyatakan bahawa ayat ini tidak menyentuh persoalan sedekah wajib. Sebaliknya,
ia mengandungi objektif untuk
menggalakkan aktiviti sedekah dan menjanjikan ganjaran kepada para
pelakunya. Alasan yang dikemukakan kerana perbuatan yang dimaksudkan dalam ayat
tersebut secara literalnya diistilahkan sebagai kebajikan. Oleh yang demikian,
ayat tersebut mengandungi konotasi makna yang boleh difahami sebagai sedekah
wajib (zakat) dan juga sedekah sunat. Secara keseluruhannya, individu yang
patuh kepada tuntutan ayat tersebut disifatkan sebagai melaksanakan segala
kebajikan. Sebagai penghormatannya, Allah S.W.T mengklasifikasikan golongan manusia
tersebut sebagai individu yang jujur dan bertaqwa.
Dalam keterangan ayat yang lain, Allah S.W.T turut menegaskan bahawa menafkah
atau menginfaqkan harta pada
jalanNya adalah seperti mewujudkan jaringan interaksi dengan Allah S.W.T dalam urusan transaksi yang
dijalankan oleh pelakunya. Sebagai ganjarannya, manusia yang melakukan tuntutan
infaq akan dinilai
sebagai individu yang berjaya di sisi Allah S.W.T.
Kenyataan ini berdasarkan kepada firman Allah S.W.T iaitu:
Maksudnya: ”Maka berikanlah kepada kerabatmu, dan orang miskin serta
orang musafir akan haknya masing-masing; pemberian yang demikian adalah baik
bagi orang yang bertujuan memperoleh keredhaan Allah, dan mereka itulah orang yang berjaya.”
(Al-Rum:38)
Mengulas ayat
tersebut, Ibn Kathir
(1301-1372/774H) menjelaskan bahawa golongan manusia yang mempraktikkan tuntutan
dalam ayat tersebut adalah mereka yang sentiasa mengharapkan keredaan Allah S.W.T. Justeru itu, manusia yang
bersifat sedemikian dikategorikan sebagai golongan yang berjaya di dunia dan
akhirat.
Maksudnya: “Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai kebajikan (yang
sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian dari apa yang kamu sayangi. Dan
sesuatu apa jua yang kamu dermakan maka sesungguhnya Allah mengetahuinya.”
(Ali-`Imran: 92)
“Bagus-bagus, itulah harta
yang menguntungkan. Aku telah mendengar kata-katamu dan aku berpendapat hendaklah engkau berikan kepada kaum keluarga
kamu. Maka beliau melakukan sedekah tersebut seperti yang diperintahkan oleh
Nabi.”
Berasaskan pandangan yang telah dikemukakan ole Ibn Kathir (1301-1372/774H) jelas menunjukkan bahawa
individu yang melaksanakan tuntutan infaq
akan mendapat keutamaan yang tinggi daripada Allah
S.W.T.
Di
samping dalil-dalil daripada al-Qur’an, didapati banyak hadith yang menyeru manusia melaksanakan aktiviti infaq sebagai memenuhi
tuntutan syara`. Di antara keterangan hadith yang berkaitan dengan infaq seperti sabda Nabi
S.A.W yang bermaksud:
Daripada `Abd Allah ibn Umar R.A, katanya ketika Rasulullah
S.A.W sedang berada di atas mimbar, Baginda menjelaskan perihal sedekah
(`iffah) dan perihal meminta-minta. Sabda Baginda: Tangan yang di atas lebih
baik daripada tangan yang di bawah. Tangan di atas iaitu tangan yang memberi
dan tangan yang di bawah iaitu tangan yang meminta.
(al-Bukhari)
Dalam keterangan hadith yang lain yang bermaksud:
Daripada Abu Hurairah R.A berkata: Nabi S.A.W
bersabda: ”Setiap hari turun dua orang malaikat dari langit, salah seorang
daripadanya berkata, Ya Allah! Gantikanlah bagi setiap orang yang pemurah keranaMu. Dan yang lain
berkata, Ya Allah! Musnahkanlah harta setiap orang yang menahan-nahan (hartanya daripada
bersedekah).”
(al-Bukhari)
Berdasarkan kepada dalil-dalil daripada al-Qur’an dan al-Sunnah yang telah dinyatakan
tersebut jelaslah bahawa syara` menuntut kepada manusia melakukan aktiviti infaq untuk dikongsikan lebihan harta manusia untuk
disumbangkan kepada institusi masyarakat. Tambahan lagi sebagai individu
muslim, ia menjadi kewajipan untuk melakukan infaq sama ada yang berbentuk wajib seperti zakat
dan juga yang berbentuk sunat seperti bersedekah. Dengan cara menginfaqkan hartanya pada jalan Allah secara tidak langsung individu terbabit
telah melakukan satu pelaburan yang paling menguntungkan bukan sahaja di dunia
tetapi yang lebih penting di alam akhirat kelak. Ini kerana, individu tersebut
telah melaksanakan tangungjawab sosialnya di dunia ini terhadap insan yang
memerlukan dan juga membahagiakan orang lain dalam memenuhi keperluan asas
mereka. Sehubungan dengan itu, tuntutan Islam ke atas individu muslim
melakukan infaq terhadap orang lain
adalah bertujuan supaya umat Islam mengutamakan kepentingan umum berbanding
dengan keperluan peribadi.
Menurut kajian yang dilakukan oleh Mushtaq Ahmad dalam karyanya ” Business Ethics in Islam”, beliau mendapati keterangan-keterangan
yang ada dalam al-Qur’an
menunjukkan tidak kurang daripada sebelas ayat yang menyeru kepada golongan muslim
supaya mengorbankan harta dan jiwa mereka pada jalan Allah. Apa yang menariknya, al-Qur’an menarik perhatian manusia dengan
menegaskan harta terlebih dahulu daripada terma jiwa. Secara impilisitnya, ia
memberi satu indikasi yang jelas kepada manusia bahawa menurut kaca mata
al-Qur’an
mengorbankan yang pertama lebih diutamakan daripada yang kedua seperti yang
dinukilkan oleh al-Tahawi dalam bukunya ”al-Iqtisad
al-Islami Madhhaban wa Nizaman.” Keterangan inilah yang mengukuhkan lagi bahawa infaq merupakan aktiviti yang diberi penekanan dalam
Islam. Oleh yang demikian, segala perolehan atau pendapatan yang didapati akan
menjadi nikmat dan kebajikan jika ia disalurkan ke arah jalan-jalan kebaikan.
Kesimpulan
Friday, March 25, 2011
Doa Abu Darda'
Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum dan salam sejahtera. Mudah2an doa ini sentiasa dilazimi dalam setiap doa kita. Mudah2an kita dirahmati oleh Allah. itulah kesudahan dan kemuncak kepada penghidupan kita.
Assalamualaikum dan salam sejahtera. Mudah2an doa ini sentiasa dilazimi dalam setiap doa kita. Mudah2an kita dirahmati oleh Allah. itulah kesudahan dan kemuncak kepada penghidupan kita.
Tadhkiyyah Sebagai Terapi Merawat Jiwa Insan
Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum dan salam sejahtera. Bersua kembali dalam lembaran maya pada kali ini. Artikel pada kali cenderung memerihalkan bab penyucian jiwa manusia daripada sifat-siafat tercela. Semoga beroleh manfaat daripadanya.
Pengenalan
Pada prinsipnya, insan diciptakan oleh Allah S.W.T dalam keadaan fitrah. Ia dapat difahami bahawa insan dilahirkan dalam keadaan suci dan bersih daripada sifat-sifat tercela. Namun begitu, dalam proses perkembangan sebagai seorang manusia ia perlu berhadapan dengan pelbagai cabaran yang akan mengujinya untuk menjadi insan yang terpuji. Islam telah memberi panduan bahawa jiwa setiap insan perlu disuburkan dengan nilai-nilai rohaniah yang berfungsi sebagai pelengkap kepada akhlak manusia. Justeru itu, nilai-nilai yang dinyatakan tersebut menjadi penggerak, pendorong dan pemangkin kepada seluruh perlakuan dan tingkah laku manusia yang memantulkan tindakan yang bersifat mahmudah seperti amanah, sabar, toleransi, suci hati, ikhlas, bertanggungjawab, berfikiran positif dan sebagainya. Kepentingan untuk menghayati nilai-nilai terpuji yang diutarakan oleh Islam adalah bertujuan untuk memeberi panduan kepada jiwa insan supaya selari dengan konsep khilafah dan khalifah al-ard.
Proses untuk melahirkan insan yang memiliki hati budi yang luhur memerlukan kepada sesuatu unsur yang bertindak sebagai daya untuk membentuk acuan keperibadian yang unggul. Bagi memenuhi aspirasi objektif murni tersebut, konsep tadhkiyyah dilihat sebagai mekanisme yang penting untuk membersihkan jiwa manusia daripada dicemari dengan unsur-unsur yang boleh menghalang pintu hati daripada menerima pancaran sinar taufik Ilahi. Dengan kata lain, nilai-nilai yang terkandung dalam konseptual tadhkiyyah dilihat sebagai agen penyucian yang bersifat dinamis untuk membersihkan zahir dan batin manusia melalui terapi rohaniah. Di samping itu, ia juga turut membersihkan sistem jaringan manusia sama ada yang melibatkan interaksi manusia dengan Allah, sesama manusia, alam dan juga makhluk lain.
Oleh kerana insan dikategorikan sebagai makhluk dwi dimensi iaitu zahiriah dan batiniah ia dianugerahkan dengan potensi yang istimewa sama ada cenderung kepada jalan kebaikan atau sebaliknya. Meskipun manusia diberi alternatif untuk memilih dua jalan tersebut atas kapasitinya sebagai khalifah al-ard, namun ia bertanggungjawab sepenuhnya di atas pilihan tersebut. Ini kerana, manusia telah dikurniakan dengan keupayaan yang istimewa berbanding dengan makhluk lain iaitu potensi akliah, rohaniah, jasmaniah dan bimbingan wahyu bersesuaian dengan fungsinya untuk memakmurkan alam ini. Atas keperluan ini, konsep tadhkiyyah dilihat sebahagian daripada keperluan rohaniah yang penting kepada manusia sebagai persediaan untuk untuk menuju ke maqam yang lebih tinggi atau dikenali sebagai insan yang kamil.
Dalam mengupas persoalan ini, intelektual falsafah Islam seperti al-Ghazali dalam karyanya bertajuk ”keajaiban-keajaiban hati” memberikan pandangan bahawa konsep tadhkiyyah yang digagaskan oleh Islam perlu mencakupi unsur-unsur nilai tertentu. Pada asasnya, unsur-unsur tersebut perlu dikombinasikan secara komprehensif untuk membentuk kerangka asas kepada konsep tadhkiyyah seperti yang dituntut oleh syara`. Unsur-unsur nilai yang yang dinyatakan adalah seperti berikut:
1- Taharah: i-Ia memberi konotasi iaitu mensucikan tubuh badan manusia daripada najis dan benda-benda kotor pada syara`.
ii-Membersihkan anggota tubuh badan manusia daripada perbuatan atau tindakan yang diklasikasikan sebagai dosa.
iii-Membersihkan pandangan mata hati manusia daripada tingkah laku yang dikategorikan sebagai akhlak yang buruk dan dikeji oleh syara`.
iv-Membersihkan aspek batiniah manusia daripada memfokuskan perhatian kepada semua perkara melainkan kepada Allah S.W.T.
2- `Ibadah: Ia memberi maksud mengabdikan diri kepada Allah S.W.T secara mutlak.
3- Dhikir: Dalam konteks ini, manusia sentiasa melazimi mengingati Allah dan mengiktraf kebesaranNya secara istiqamah setiap masa dan waktu.
4- Doa: Sebagai makhluk yang lemah, manusia sentiasa berdoa kepada Allah S.W.T. untuk memohon bantuan dan pertolongan.
5- Taubat: Manusia sentiasa menginsafi setiap tindakan yang dilakukan dan mendisiplinkan diri memohon keampunan kepada Allah ke atas segala kesalahan dan kesilapan yang dilakukan.
6- Sabar: Ia merupakan sebahagian daripada nilai luhur yang dituntut untuk dihayati oleh setiap manusia. Melalui nilai tersebut, ia dapat meningkatkan daya ketahanan dalaman diri manusia bersabar menerima segala ujian yang telah ditentukan oleh Allah S.W.T.
7- Muhasabah: Apabila wujudnya penghayatan nilai ini dalam diri manusia, ia akan membuka pintu kesedaran pada hati dan akal manusia untuk menilai dan mengkritik setiap tindakan yang dilakukan menurut pertimbangan syara`.
Justeru itu, apabila wujudnya keharmonian unsur-unsur yang dinyatakan tersebut dalam ruang lingkup konsep tadhkiyyah, ia menjadi panduan kepada manusia untuk diterjemahkan dalam tindak-tanduknya. Hakikatnya, perbuatan manusia yang diwarnai dengan konsep tadhkiyyah ternyata memberi kesan yang positif terhadap pola perlakuannya. Ini kerana, konsep tersebut dilihat sebagai terapi batin untuk merawat penyakit-penyakit rohani yang dihadapi oleh manusia. Jiwa manusia yang bertuhankan hawa nafsu seringkali gemar kepada perlakuan-perlakuan yang keji seperti hasad dengki, tamak, sombong, menipu, rasuah, membunuh, berzina, pecah amanah dan sebagainya. Dengan kata lain, jiwa manusia yang terpengaruh kepada bisikan syaitan dan hawa nafsu akan menzahirkan nilai-nilai tercela dalam tindakan mereka. Malah sifat-sifat kejahatan yang terpancar dalam diri individu tersebut akan menafikan cahaya kebenaran dan kebaikan yang dituntut untuk dilaksanakan oleh setiap manusia.
Ketentuan ini dirakamkan dalam al-Qur’an seperti firman Allah S.W.T yang bermaksud:
”Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk(isi neraka jahanam) kebanyakan dari jin dan manusia, mereka mempunyai hati, tetapi tidak dipergunakannya untuk memahami (ayat–ayat Allah) dan mereka mempunyai mata (hati), (tetapi) tidak digunakan untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah), dan mereka mempunyai telinga, (tetapi) tidak dipergunakan untuk mendengarkan (ayat-ayat Allah). Mereka itu sebagai binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai.” (al-`A`raf:179)
Mengambil istifadah daripada mafhum ayat tersebut ia memberi satu pengajaran dan keinsafan kepada kita bahawa jiwa manusia yang tidak mensyukuri ni`mat Allah dianalogikan seperti haiwan bahkan lebih rendah lagi darjat binatang ternakan. Oleh yang demikian, berpegang kepada konsep tadhkiyyah, ia dapat melembut dan menjinakkan jiwa manusia supaya melaksanakan apa yang diperintah dan meninggalkan apa yang ditegah. Jiwa yang bersih dan akal yang jernih dengan akidah yang betul akan melahirkan manusia yang seimbang dari aspek emosi, fizikal dan spiritual. Ironinya, jiwa yang kontang dan pemikiran yang singkat dengan suluhan iman mengakibatkan manusia lalai dan tercari-cari objektif kehidupannnya. Jiwa individu yang kosong dan berpenyakit tersebut tidak pernah merasa puas dengan kejahatan dan kesombongan yang dilakukannya.
Kesimpulan
Konklusinya, tadhkiyyah adalah sebahagian daripada mekanisme yang boleh diaplikasikan untuk merawat jiwa manusia yang sakit. Jiwa manusia yang bebas dan tidak terikat dengan pedoman agama akan memberi impak yang negatif terhadap perlakuannya. Natijahnya, ia akan melahirkan individu yang mementingkan kepentingan diri dan memenuhi keperluan hawa nafsu yang cenderung kepada tindakan yang menyalahi tuntutan agama dan norma hidup masyarakat. Justeru itu, dengan memberi penekanan terhadap elemen tadhkiyyah, secara tidak langsung ia akan meneutralkan hati budi insan untuk bertindak secara beradab dan sentiasa memanfaatkan orang di sekelilingnya.
-Abu Rushd- artikel yang telah ditulis dalam akhbar oleh penulis

Monday, January 10, 2011
ASAS AGAMA PENTING DALAM AKTIVITI KEUSAHAWANAN

Bismillahirrahmanirrahim
Bertemu lagi. Penulisan kali ini masih lagi berkisar tentang topik keusahawanan. Semoga ia memberi faedah kepada para pembaca. Semoga usha ini dinilai oleh Allah S.W.T. Terima kasih.
Pengenalan
Dalam konteks keusahawanan, faktor keagamaan perlu dijadikan nilai-nilai teras dalam merangka model tersebut. Keperluan kepada nilai-nilai rohaniah ini disebabkan ia akan mengawal manusia daripada melakukan sebarang pencorobohan yang boleh menggugat kepentingan agama dan kemaslahatan manusia amnya. Al-Buraey dalam karyanya “Administrative Development: An Islamic Perspective” menjelaskan bahawa komitmen untuk mengaplikasikan nilai-nilai agama dalam amalan keusahawanan masih lagi berkurangan. Kelemahan yang berlaku ini disebabkan para pengusaha terpengaruh dengan orientasi nilai-nilai ekonomi kapitalis yang hanya bermotifkan elemen material.
Kepentingan Agama
Sistem ekonomi abad 21 yang berorientasikan sistem ekonomi kapitalis menyaksikan organisasi-organisasi korporat berperanan dominan dalam bidang ekonomi. Pemusatan kuasa ekonomi global Barat pada 'multi national corporations' (MNCs) mengancam penjajahan semula sesebuah negara yang turut memberi kesan kepada nilai hidup dan budaya setempat. Jika budaya negatif ini tidak disaring dengan elemen agama ia boleh memberi impak yang tidak baik dan boleh mempengaruhi amalan keusahawanan. Dalam konteks itulah terbukanya kemungkinan peniruan budaya korporat yang membawa bersamanya gaya hidup materialistik yang tamak, mementingkan diri, rakus dan boros. Ironinya, usahawan Melayu memerlukan sebuah model budaya korporat yang berteraskan kernagka agama. Usahawan Melayu seharusnya memiliki kekuatan ekonomi yang tumbuh daripada penghayatan agamanya. Meskipun ini bukanlah suatu yang mudah namun pendekatan keagamaan akan dapat mendisiplinkan perilaku manusia. Dalam era persaingan ekonomi seperti sekarang, pembinaan budaya dan kelompok usahawan memang tidak dapat dielak, tetapi usaha ini hanya akan bermanfaat andainya budaya keusahawanan itu dibina di atas prinsip ajaran Islam. Hanya asas agama dapat memberikan landasan peribadi unggul kepada individu usahawan.
Kajian yang dijalankan oleh Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB)pada tahun 2006 mendapati 65 peratus nisbah kegagalan usahawan Bumiputera berpunca daripada masalah disiplin dan integriti yang lemah manakala 35 peratus kerana masalah perniagaan yang diceburi. Menurut bekas Ketua Pegawai Eksekutif PUNB Mohd Nasir Ahmad, kajian yang dilaksanakan ke atas projek usahawan bumiputera dalam bidang peruncitan (PROSPER) mendapati sebahagian besar usahawan Bumiputera gagal membentuk disiplin dan integriti yang baik sehingga menyebabkan perniagaan yang dijalankan gulung tikar.
Kehidupan masyarakat pada hari ini bersifat kompleks berbanding dengan kehidupan masyarakat silam. Tambahan lagi dalam era globalisasi, golongan usahawan lebih terdedah kepada pelbagai risiko dan saingan yang bersifat terbuka. Oleh itu, timbul kecenderungan dalam segelintir usahawan untuk meminggirkan ajaran agama demi mengejar cita-citanya untuk berjaya dalam lapangan yang diceburinya. Banyak kajian yang dibuat mendapati sebahagian besar usahawan Melayu menceburi bidang perniagaan menghadapi pelbagai masalah. Antara masalah yang dikenalpasti seperti terlalu bergantung kepada subsidi kerajaan dan gejala ”Ali Baba” yang giat berlaku pada era 1970-an dan 1980-an dan berterusan sehingga kini.
Bagi sesetengah usahawan yang menghadapi masalah kekurangan modal mereka terpaksa mendapatkan bantuan pinjaman daripada institusi kewangan yang mengenakan kadar bunga pinjaman. Bahkan dalam keadaan tertentu golongan usahawan juga terpaksa meminjam daripada agensi peminjam ”ceti” yang mengenakan kadar faedah yang tinggi dan membebankan mereka. Realiti yang berlaku ini sudah tentulah bercanggah dengan keusahawanan Islam. Oleh yang demikian, jelaslah bahawa halangan-halangan yang terpaksa ditempuhi oleh para usahawan sehingga kadang-kadang mereka terpaksa meminggirkan pendekatan agama dalam amalan keusahawanan yang dijalankan.
Umumnya usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) Bumiputra selalunya `mudah lupa' apabila berada di puncak kejayaan. Mereka beranggapan perkara remeh-temeh tidak boleh mengugat prestasi syarikat perniagaan. Kajian yang telah dilakukan oleh Biro Pembangunan IKS, Dewan Usahawan Muda Bumiputra Malaysia (BEPI-DUMBM) mendapati antara perkara asas yang sering diabai oleh pengusaha IKS Bumiputra ialah:-
• Tidak amanah, jujur, telus dan bertanggungjawab dengan perniagaan sendiri.
• Tidak menjaga kebajikan pekerja dengan sebaik mungkin.
• Gagal membayar gaji, elaun, KWSP pekerja mengikut jadual.
• Bertukar gaya hidup dari mengamal sistem kehidupan Islam kepada kehidupan Barat.
• Terlalu sibuk dengan perkara-perkara yang tidak berhubung kait dengan urusan perniagaan mereka seharian.
• Mengabaikan soal kualiti produk keluaran mereka dengan sengaja.
• Tidak mempunyai pasukan Research and Development (R&D) yang bertauliah serta mengambil sikap sambil lewa dalam pengurusan kewangan dan pentadbiran syarikat.
• Mempunyai sikap ego dan berfikiran sempit dalam menghadapi situasi menjelang AFTA 2003.
• Mempunyai budaya `tunggu dan lihat' barulah mereka mula berfikir untuk mencari peluang yang pada ketika itu sudah terlambat.
Kesimpulan
Usahawan berjaya sentiasa mempunyai sikap positif untuk merangsang aspirasi kejayaan mereka. Namun kejayaan tersebut perlu dirangsang dengan asas agama. dilihat masih lagi tidak bersifat holistik. Oleh yang demikian, meskipun secara lahiriah usahawan tersebut dikatakan berjaya namun dari sudut yang lain ia muflis dari aspek nilai-nilai kerohanian dan miskin akal budi yang terpuji. Islam mempunyai pandangan yang berbeza dalam hal ini disebabkan segala tingkah laku manusia dicorakkan melalui pedoman wahyu yang hakiki. Pembangunan keusahawanan yang tidak diimbangi dengan asas agama akan menyuburkan lagi semangat materialistik dan invidualistik dalam kalangan usahawan. Akibatnya, para usahawan akan hilang arah tujuan bahkan merugikan diri bukan sahaja di dunia tetapi yang lebih malang pada hari hari akhirat kelak.
Subscribe to:
Posts (Atom)
`Ibrah Covid 19. Suluhan Daripada Perspektif Islam
Assalamualaikum dan bertemu lagi. sudah lama saya tidak menjengok ke blogni. Harini rasa bersemangat semula untuk melihat blog yang sudah se...
-
KEPENTINGAN KONSEP PERSAUDARAAN DALAM ISLAM Secara konseptualnya, persaudaraan (ukhuwwah) merupakan asas kepada kesatuan umat ma...
-
Bismillahirrahmanirrahim Assalamualaikum dan salam sejahtera. Sudah lama rasanya sati tidak post apa2 artikel. Pada kali ini, say...
-
Assalamualaikum dan bertemu lagi. sudah lama saya tidak menjengok ke blogni. Harini rasa bersemangat semula untuk melihat blog yang sudah se...